Saturday, January 13, 2024

Cerita Sapporo (Bahagian 5 - akhir)

Aku masih terkandas di Lapangan Terbang Chitose. Aku menghabiskan masa melayari internet dan termenung dan menerawang melihat-lihat manusia lalu-lalang sambil bersandar pada bangku. Aku letih psikologi. Sebenarnya aku bukanlah tiada wang, namun aku telah sumbatkan semuanya ke dalam ASB. Aku tidak mahu mengeluarkannya, itu sahaja. Jika keadaan terlalu menekan aku akan keluarkan juga, namun aku tak pasti sama ada aku akan berjaya mengeluarkannya secara atas talian, kerana meski pengeluaran atas talian dibenarkan, aku tidak pernah melakukannya, lagi-lagi dari luar negara. Satu lagi alternatif lain yang aku terfikirkan ialah aku boleh duduk di lapangan terbang ini sehingga Jumaat depan (24 November), kerana pada hari itu gaji akan masuk. Lagipun, aku sebenarnya belum puas berjalan-jalan di bandar Sapporo itu, bahkan aku masih belum berkesempatan melihat salji turun di sini.

 

Aku tepuk kepala. Tiket sudah dibeli! Mengapa aku tak terfikirkan perancangan ini awal-awal?

 

Jika diikutkan, wang tiga ratus ringgit lebih digabungkan dengan wang tunai yang aku ada, cukup untuk bermalam di hotel kapsul di bandar Sapporo, atau dorm sekurang-kurangnya. Satu malam di hotel kapsul ialah dalam sekitar 3000yen. Jika ditukarkan kepada ringgit, adalah dalam RM90. Katakanlah aku bermalam di lapangan terbang ini dua malam, maka jika aku mula bermalam di hotel kapsul atau dormitori selama empat malam sehingga Jumaat depan, aku habis dalam RM360. Masih cukup untuk aku sambung berjalan-jalan di bandar Sapporo sementara menanti hari gaji. Pada hari gaji itu nanti, aku akan membeli tiket pulang. Lagi pula, aku sememangnya dibenarkan berada di negara ini sehingga sembilan puluh hari dari tarikh aku dibenarkan masuk.

 

Aku menyoal diriku, buat apa pulang awal-awal? Namun yang silapnya sekarang, aku sudah membeli tiket pulang dan ia tidak boleh dipulangkan kembali.

 

Saat itu aku berasa agak menyesal kerana terburu-buru membeli tiket pulang. Namun nasi sudah menjadi bubur. Aku belajar sesuatu dari sini, iaitu keperluan untuk belajar bertenang ketika sedang dilanda masalah. Bila kita bertenang, akan ada idea lain datang. Aku dapat idea baru itu pun selepas aku duduk-duduk dan bertenang. Andai aku bertenang dan tidak gelabah membeli tiket baru tadi, sudah pasti aku boleh tinggal di sini lebih lama. Lagi pula, wang dari ibu berjumlah RM2600 itu dari cukup untuk membolehkan aku duduk di hotel yang lebih baik dari hotel kapsul atau dormitori. Cuti aku pun sehingga Ahad depan, maka tiada keperluan pun untuk pulang awal.

 

Tiga hari di sini sebenarnya tidak mencukupi. Dahulu ketika aku merancang lawatan ini, aku mulanya bercadang memperuntukkan tujuh hari. Namun aku fikir, tujuh hari akan membuatkan aku jelak. Ia pernah berlaku dahulu, ketika aku ke Switzerland. Pada hari kelapan aku di sana, aku tidak melakukan apa-apa lagi kerana naik jelak. Mungkin juga kerana pengembaraan aku di sana tidak dirancang (aku main redah sahaja), maka mungkin juga disebabkan itu aku kehabisan perancangan dan naik jelak. Berdasarkan pengalaman itu, aku pendekkan masa lawatan di Sapporo ini kepada empat hari sahaja. Namun peristiwa terlepaskan penerbangan ke Sapporo itu telah memendekkan masa lawatan di sini kepada tiga hari sahaja.

 

Aku hanya bersandar di bangku sambil mendengar lagu dari telefon bimbit, dan memerhati orang awam lalu-lalang. Tidak jauh di hadapanku ialah kedai serbaneka Lawson dan ada surau di hadapannya. Aku solat jamak Zohor dan Asar di sana. Selepas solat aku kembali duduk di bangku yang sama. Di belakangku ada deretan ruang mengecas telefon, di mana engkau boleh duduk sambil menunggu telefon dicas. Di depan kiriku ada kaunter menukar wang. Pada jam lima petang aku keluarkan onigiri dan makan malam. Waktu itu hari sudah pun gelap. Aku jamak Maghrib dan Isyak terus.

 

Pada jam lima dua puluh, aku mencari arah ke penerbangan domestik. Aku tidak menemuinya, lantas aku naik ke tingkat pelepasan. Di situ ada kaunter pertanyaan. Mujur penjaga kaunter bagus bahasa Inggerisnya, aku diberitahu untuk penerbangan Peach Aviation, aku perlu ke bahagian penerbangan domestik yang terletak di satu hujung bangunan. Maka aku bergegas ke sana sehingga menemui satu lapangan yang luas dan ramai orang. Kaunter daftar masuk Peach terletak di sayap kiri lapangan ini. Pabila aku masuk sahaja ke bahagian kiri, ada banyak kaunter seperti terminal bas TBS pula. Rupanya kaunter Peach terletak di bahagian paling hujung.

 

Melihatkan kaunter hanya dibuka jam enam dua puluh, aku pun turun ke bawah dahulu. Di bahagian bawah rupanya ialah terminal ketibaan domestik. Ya, di sinilah aku tiba tiga hari lepas, dari Osaka. Aku duduk di sini kerana di sini tidak terlalu ramai orang. Aku keluar sebentar kerana kepanasan, entah berapa suhu pemanas mereka tetapkan. Di luar cuaca sudah sejuk, hari sudah pun malam meski masih pukul lima lebih. Aku nampak mesin air lantas membeli sebotol minuman, kerana sejak aku makan malam tadi aku masih belum minum air. Selepas beberapa lama melepak di situ, aku kembali ke atas. Jika engkau menempah tiket Peach melalui aplikasinya, engkau boleh daftar masuk lebih awal dan ada lorong khas untuk tujuan itu. Namun disebabkan aku menempah melalui Agoda dan ia disekalikan dalam satu itinerari bersama Batik Air, maka aku perlu mendaftar masuk di kaunter. Proses daftar masuk berjalan lancar. Lebih kurang pukul tujuh lebih aku sudah dibenarkan masuk ke pesawat.

 

Penerbangan ke Narita hanya berlangsung selama sejam lebih sahaja. Disebabkan penerbangan ini penerbangan domestik, maka ramailah orang Jepun yang menaikinya. Sebaik tiba di Narita, aku perlu menaiki sebuah bas untuk ke pintu ketibaan. Dalam pukul sepuluh lebih malam waktu tempatan, aku tiba di pintu ketibaan tanpa perlu melalui kastam dan imigresen (kerana ia penerbangan domestik, sama seperti penerbangan dari Osaka ke Sapporo tempoh hari). Dari itinerari aku tahu tempat ketibaan ini ialah Terminal 1. Untuk mengambil penerbangan Batik Air ke KLIA, aku perlu bertukar ke Terminal 2. Ini adalah salah satu ciri penerbangan transit yang amat penting, di mana tempat ketibaan transit dan tempat berlepas transit berbeza. Ini juga pertama kali aku bertransit dengan cara ini, kerana aku tiada pilihan lain dan tiket ini adalah yang termurah yang aku perolehi. Mujur aku tiada bagasi, kerana jika tidak, aku perlu menuntutnya dahulu di tempat ambil bagasi dan padaku ini amatlah membuang masa dan melecehkan. Aku pun tak faham kenapa pelancong lain gemar membawa bagasi yang berat-berat seolah-olah mereka mahu membawa kehidupan dan rumah mereka sekali ketika melancong. Ia padaku tidak praktikal dan aku agak meluat dengan makhluk begini, yang juga melambatkan proses masuk pesawat. Jika melancong, maka lumrahlah kehidupan dalam pelancongan itu tidak sama dengan kehidupan sehari-hari, di mana engkau mungkin perlu memakai pakaian yang sama selama lima hari, tidak mandi, dan sebagainya.

 

Sampai di tingkat empat iaitu tingkat berlepas, hampir semua kaunter daftar masuk lengang. Aku melihat satu papan kenyataan yang dipenuhi logo-logo syarikat penerbangan, tiada logo Batik Air. Sudah pastilah, kerana aku di Terminal 1. Aku dapati tanda arah untuk ke hentian bas untuk ke Terminal 2 pada peta yang disediakan. Maka aku pun bergerak ke sana. Aku tidak bergegas kerana penerbangan Batik Air itu ialah pada jam lapan pagi esok.

 

Hentian bas itu dikatakan berada di tingkat LG. Aku pun turun beberapa tangga bergerak sehingga ke LG. Di LG, aku dapat ia terminal keretapi. Di mana hentian bas? Aku cuba tahan rasa gelabah. Aku tidak menyangka di Jepun pun boleh menghadapi kesulitan begini. Ya, papan tanda yang membawa engkau ke hentian bas untuk ke Terminal 2 kurang jelas di sini. Aku tadi ada meng-Google dan mendapati aku perlu mengambil bas ulang-alik untuk ke sana, namun di mana hentiannya?

 

Saat inilah aku perlu menggunakan logik. Bas biasanya tidak akan berhenti di bawah tanah, maka aku pun keluarlah dari lapangan terbang itu dan berjalan-jalan di kaki limanya, di sebelah kaki lima itu adalah jalan raya di mana kereta lalu-lalang. Di sinilah baru dapat aku lihat logo bas, dan jadual dan peta laluannya. Bahkan ada skrin menunjukkan lokasi semasa bas. Dari peta dan jadual itulah baru aku tahu di sini adalah tempat menunggu bas untuk ke Terminal 1. Aku menghembus nafas lega.

 

Bas pun sampai dan aku naik. Tak ramai di dalamnya, dalam empat orang sahaja termasuk aku. Jarak ke Terminal 2 agak jauh juga, dan perjalanan memakan masa hampir setengah jam. Bas itu berhenti di Terminal 3 dahulu sebelum tiba di Terminal 2.

 

Aku pun sampai di Terminal 2. Suasana sungguh lengang di sini. Aku hanya mahu mencari tempat tidur. Di mana aku boleh tidur? Maka aku merayau-rayau di sepanjang ruang legar. Banyak kedai sudah ditutup. Seperti biasa, ada banyak mesin-mesin jual barang, jual minuman, jual kopi, jual simkad. Selepas itu ada suara-suara terakam yang dimainkan berulang-ulang kali, seperti suara meminta engkau berhati-hati ketika menggunakan eskalator, suara iklan berulang-ulang dengan skrin pada satu mesin air memaparkan Nakajo Ayami melaram sebagai kaum bangsawan demi mempromosi minuman yang aku tak ingat apa. Aku boleh jamin sesiapapun boleh gila jika tinggal di lapangan terbang di Jepun, satu kerana tidak boleh tidur dek bunyi-bunyi ini, dan yang kedua, disebabkan bunyi-bunyi ini berulang, engkau akan jelak dan rasa mahu memusnahkan punca bunyi itu namun disebabkan mustahil ia dapat dilakukan (terutama bunyi di eskalator), maka engkau memusnahkan objek lain seperti bangku contohnya, dan ditangkap polis di sini.

 

Disebabkan aku hanya memakan onigiri dan jam sudah lewat sebelas malam, aku mulai lapar kembali. Aku menahan diri dari membeli kopi kerana aku ingin tidur dan juga demi mengurangkan rasa lapar. Aku tidak bertemu sebarang kedai makan di sini, kecuali yang tidak halal sahaja. Mujur, aku menemui 7-Eleven di tingkat bawah. Ia dibuka dua puluh empat jam. Aku hanya beli telur rebus. Selepas makan, aku fikir aku mahu mencari hotel transit. Aku bertemu hotel Nine Hours Narita, sebuah hotel kapsul. Di kaunter aku ditanya apakah aku ada membuat tempahan. Aku jawab tiada. Maka penjaga kaunter memberitahuku yang hotel sudah penuh. Aku beredar dalam hampa. Nampaknya terpaksalah aku tidur di sini.

 

Aku tidak akan tidur di bangku meskipun ada ramai yang melakukannya. Padaku bangku ialah tempat duduk. Aku membawa nama negaraku di sini, maka tidak eloklah jika perangai begitu dibawa dan ditunjukkan kepada Jepun. Oleh itu, aku hanya tidur secara duduk di bangku. Namun disebabkan ketidakselesaan, aku pun mengambil keputusan berbaring di atas lantai di belakang barisan bangku. Hanya di kawasan ini sahaja tidak terlalu ramai orang. Aku jadikan beg sandang sebagai bantal. Masih ada sekali-sekala bunyi yang mengganggu, seperti bunyi orang lalu-lalang, bunyi telefon, bunyi kereta vakum lantai, dan juga bunyi iklan berulang-ulang pada mesin air berhampiran. Namun bila sudah mengantuk, bunyi-bunyi itu mampu aku abaikan. Namun ada satu bunyi yang amat mengganggu yang akhirnya membuatkan aku terjaga dan tidak dapat meneruskan tidur, iaitu bunyi dari seorang lelaki yang sedang mengemas barang-barang di dalam begnya. Aku lihat lelaki itu bukan lelaki tempatan, dia seolah dari negara Arab atau India. Aku pun tak faham kenapa dia mengemas di sini. Sedari awal dia tiba di sini pun (sebelum aku mula tidur) dia nampak tak tentu hala dan gelisah, jenis tak duduk diam macam cacing kepanasan, sekejap duduk cara itu, sekejap duduk cara ini, maka kriuk-kreklah bunyi bangku. Aku fikir, macam seseorang yang sedang diaktifkan dadah. Sungguh merimaskan. Aku tidak tahu kawasan mana lagi aku boleh tidur, kerana semua kawasan lain di sini sudah penuh. Bila lelaki itu sudah reda sedikit, aku pun sambung tidur.

 

Aku hanya dapat tidur tiga jam sahaja. Masuk jam empat lebih, aku ke surau untuk solat subuh. Barulah aku nampak ada ramai dari warga yang tak silap aku dari sebarang negara Arab atau Pakistan atau Bangladesh, dalam dua ke tiga orang begitu, sedang enak tidur di sini. Padaku, aku tidak akan tidur di surau. Surau ialah tempat bersolat bukan untuk tidur. Ini kerana jika orang Islam boleh tidur di surau, maka bagaimana dengan penumpang lain yang bukan Islam? Bukankah tidak adil namanya begitu, hanya kerana engkau Islam dan dibolehkan masuk surau, maka engkau memanfaatkan kebenaran itu untuk tidur di surau... sungguh tidak elok dipandang. Budaya beginilah yang memburukkan pelancong dari negara Islam di mata masyarakat Jepun. Aku nampak seorang polis yang masuk memeriksa surau itu, dan mendapati mereka semua ini sedang tidur, hanya menggeleng-geleng kepala. Hendak ditegur serba salah dia. Sungguh memalukan. Aku tekad dalam diri aku tidak akan memalukan negara dan agama di sini.

 

Usai solat subuh, aku ada empat jam lagi sebelum berlepas. Tingkat berlepas ialah tingkat tiga. Laluannya sudah pun dibuka. Aku pergi membeli kopi di mesin kopi dahulu. Pada waktu itu baru aku perasan ada sekumpulan budak lelaki macam Melayu. Aku memandang mereka, namun mengalih pandang ke lain. Rupa mereka sungguh Melayu. Biasanya kalau aku bertemu orang yang aku syaki rakyat Malaysia di luar negara, aku akan cuba untuk tidak menegur mereka. Bukan kerana aku anti-sosial, tapi kerana aku sememangnya tak gemar berborak. Ia akan melarat, percayalah. Mula berborak, lepas itu ke mana-mana pun sama-sama, dan itu sangat merimaskan. Aku gemar berseorangan dan melayan dunia dalam kepala dan aku tidak suka berdampingan, disebabkan itu aku gemar melancong seorang diri. Melancong seorang diri juga menajamkan pemerhatian dan membolehkan aku merakam pemerhatian. Kalau melancong dengan orang lain, aku selalunya akan terlepaskan banyak pemerhatian.

 

Mendengarkan mereka berborak, dari intonasi percakapan mereka tahulah aku mereka dari Malaysia. Intonasi Indonesia lain sedikit. Aku buat-buat tidak nampak dan terus ke tingkat berlepas. Kaunter dibuka jam lima lima puluh pagi. Bila beratur sahaja aku, barisan mulai jadi semakin panjang. Proses daftar masuk berjalan lancar, dan aku fikir aku hanya mahu tidur. Bila aku amati barisan itu, rupanya kumpulan budak Melayu tadi juga akan menaiki pesawat sama. Aku harap aku tidak duduk berhampiran mereka.

 

Usai daftar masuk, aku duduk di bangku menanti pintu imigresen dan kastam dibuka jam tujuh pagi. Untuk mengelakkan kopi dalam botol yang aku beli tadi dirampas (walaupun aku fikir mereka tak akan rampas air engkau seperti di China, namun aku fikir risiko dirampas masih ada dan aku tak mahu bazirkan 150yen yang aku laburkan untuk kopi ini), maka aku habiskan isinya. Beg diimbas dan wajah dan pasport diimbas. Aku rasa aneh juga, kerana selalunya pasport aku akan dicop.

 

Tibalah aku di bangunan pintu berlepas. Aku terus ke pintu berlepas. Di sana aku duduk-duduk dan tidak berhajat membeli apa-apa lagi. Aku hanya mahu pulang. Jika diikutkan, aku sepatutnya bermalam di Beijing dan pagi ini aku sepatutnya masih tidur di hotel di Beijing atau mungkin, sedang berjalan-jalan di sekitar Beijing melawat Kota Larangan, jika aku menepati rancangan asal. Pada petangnya barulah aku akan mengambil pesawat Air China dari Beijing ke KL dan melengkapkan itinerari. Namun apakan daya, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Hanya kerana terlepaskan satu penerbangan, habis semua penerbangan lain dalam itinerari sama terbatal. Satu peraturan dan polisi penerbangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. Satu kesilapan yang mahal harganya. Perancangan aku melawat China musnah dek kesilapan sendiri.

 

Orang Malaysia tidaklah terlalu ramai yang menaiki Batik Air ini. Mujur aku tidak duduk berhampiran budak Melayu itu. Aku tidak pasti siapa yang duduk di sebelahku, namun yang pastinya, dia seorang wanita India. Di sebelahku ialah pintu kecemasan. Di sepanjang perjalanan, aku hanya tidur. Tiada makanan diberi percuma, semua harus dibeli. Aku tidak selera makan, kerana aku terlalu mengantuk. Perjalanan selama hampir lapan jam itu sungguh membosankan. Lumrah penerbangan tambang murah beginilah, tiada paparan skrin, tiada aktiviti, tiada makanan. Aku memainkan lagu pada telefon bimbit berulang kali. Kadangkala aku buka tingkap sedikit untuk melihat awan, namun dek terlalu cerah cahaya matahari aku tutup sepanjang masa, agar silaunya tidak mengganggu penumpang lain. Aku tidur sehingga hilang segala kantuk yang tidak dilangsaikan sejak semalam.

 

Selepas lapan jam penerbangan yang membosankan dan meletihkan itu, aku tiba jua dengan selamat di KLIA pada jam lima petang lebih, 19 November 2023. Dengan ini, aku tamatkan diari travelog aku di sini. Secara umumnya, pengembaraan aku kali ini ada perasaan yang bercampur-baur. Ia sepatutnya perjalanan yang paling murah, namun bertukar menjadi perjalanan paling mahal dan paling menyusahkan. Namun pada masa yang sama, aku tak akan lupakan masa-masa di Jepun adalah yang paling menggembirakan dan menenangkan. Aku mendapat gambaran sebenar betapa menyusahkan lapangan terbang di Beijing, dan pengurusan dan stafnya. Namun tidak semua begitu, aku tidak lupakan pegawai yang bersimpati dengan nasibku dan menawarkan bantuan hotspot mereka. Mereka bersungguh dalam membantu, namun ada banyak yang boleh diperbaiki, seperti pemahaman mereka tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka dan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Boleh aku katakan, China ada rakyat yang baik namun kerajaan yang kurang memuaskan, rakyat menjadi mangsa paranoia kerajaan terhadap Amerika dan segala produknya terutama Google. Dari kelana ini juga aku tahu betapa pentingnya penggunaan proksi untuk mengakses Google dan semua produk Google ketika di China. Juga kelana ini mengubah tanggapan aku terhadap kad kredit. Aku selalu ada tanggapan buruk terhadap kad kredit, yang padaku akan menggalakkan orang berhutang dan menjerat penggunanya dalam perangkap hutang. Namun sebenarnya kad kredit amat membantu di kala engkau perlu berhutang namun tiada sesiapa yang sudi memberikan engkau hutang, di kala engkau memerlukan wang tunai namun wang tunai dalam akaun engkau tidak mencukupi. Aku fikir aku perlu membawa kad kredit ketika mengembara ke mana-mana selepas ini. Namun pada masa yang sama, aku perlu belajar mendisiplinkan diri agar tidak terjerat ke dalam perangkap hutang pula.

Cerita Sapporo (Bahagian 4)

17 November 2023

 

Hari ini hari terakhir aku boleh berjalan-jalan, kerana esok awal pagi lagi aku sudah perlu bersiap-siap untuk ke lapangan terbang. Maka aku memutus untuk ke Nopporo, satu taman hutan di pinggir bandar ini. Dalam Nopporo ini ada dua buah muzium didirikan, satu dikenali sebagai Perkampungan Bersejarah Hokkaido (Historical Village of Hokkaido) dan satu lagi muzium yang aku tak ingat namanya. Seperti biasa, aku tak berminat sangat dengan destinasi-destinasi ini, aku hanya menjadikannya sasaran sahaja kerana niat utama aku hanya ingin berjalan kaki dan merasai iklim dan persekitaran negara ini dan memerhati ragam bangsa asing di sini. Dengan adanya sasaran, perjalanan kita akan ada arah. Perjalanan tanpa sasaran hanya akan menyesatkan dan tak mendatangkan makna dan kepuasan.

 

Hari ini aku turun makan sarapan seperti biasa di tingkat dua. Menu sarapan di hotel ini tak pernah berubah, dan kuantitinya sedikit. Biasanya aku akan sarapan dahulu dengan makanan yang kubeli awal-awal dari kedai serbaneka kerana aku selalunya bangun awal pagi sekitar pukul empat. Aku keluar dari hotel dan menyedari langit tak selalunya cerah, hari ini langit putih pula dan ada gerimis turun. Aku berfirasat hari ini akan jadi kurang sesuai untuk berjalan-jalan, tidak seperti dua hari sebelumnya.

 

Entah kenapa aku teringin benar makan buah peach sejak semalam. Semalam puas sudah aku mencarinya di pasaraya, namun tidak kedapatan satu pun. Harapnya hari ini aku bertemu buah itu. Ia ada dijual di Malaysia namun mahal kerana diimport. Buah ini banyak di negara seperti Jepun, China dan Korea. Aku berharap dapat bertemu yang murah di sini.

 

Untuk ke Nopporo, aku perlu mengambil tren bawah tanah hingga ke Shin-Sapporo. Maka pada jam tujuh setengah pagi aku ke stesen tren bawah tanah terdekat dengan hotel, iaitu Kitajunijo. Di sana aku membayar 330yen pada mesin tiket, dan mengambil tren laluan Namboku (bermaksud ‘Selatan-Utara’) dan berhenti di stesen Odori. Di stesen Odori aku perlu mengambil tren laluan Tozai (bermaksud ‘Timur-Barat’) dan berhenti di Shin-Sapporo. Dari Shin-Sapporo, aku akan berjalan kaki sejauh lebih kurang tiga kilometer untuk ke Nopporo. Memang ada bas dari Shin-Sapporo ke Nopporo, namun aku memilih untuk berjalan kaki.

 

Orang di sini tidak pernah surut. Ramai, seperti di Puduraya bertahun dahulu. Aku tidak boleh berhenti di tengah-tengah laluan atau akan dilanggar. Maka untuk mengambil nafas atau berfikir sejenak, aku akan berhenti rapat dengan dinding kerana biasanya mereka tidak akan berjalan dekat dengan dinding. Ketika dalam tren dari Kitajunijo lagi orang ramai memenuhi tren, ada yang berdiri dan ada yang duduk. Hari ini hari bekerja dan bersekolah maka sememangnya tren akan sesak, lagi pula sekarang ini waktu puncak. Perjalanan ke Shin-Sapporo agak lama kukira, dalam setengah jam begitu.

 

Sampai sahaja di Shin-Sapporo, aku pun keluar. Ini adalah stesen paling timur untuk sistem tren bawah tanah Sapporo. Kawasan di sekitar stesen ini ialah kawasan pinggir bandar Sapporo. Pengangkutan awam utama di sini adalah bas dan tren JR. Aku keluar selepas mencucuk kad tiket pada mesin, dan melalui sebuah terowong sehingga bertemu pintu keluar. Di sebelah kiri pintu keluar itu ada AEON. Aku teringat aku mahu membeli buah peach dan pada masa yang sama, mengurangkan duit syiling satu yen yang amat merimaskan itu. Aku harap aku boleh membayar harga buah itu dengan duit syiling satu yen sahaja. Duit syiling ini tidak diterima mesin air, dan tidak diterima kaunter tukaran wang asing. Maka ia terbiar sahaja sehinggalah engkau menggunakannya.

 

Aku pun masuklah ke dalam AEON itu. AEON di sini aku perhati sedikit berbeza berbanding AEON di Malaysia. Makanan-makanan siap dimakan nampak lebih segar dan kurang makanan bergoreng. Banyak makanan berasaskan ikan mackerel bakar. Aku mahu membelinya namun memikirkan aku boleh mendapatkan makanan yang lebih banyak pada harga sama di Family Mart dan 7-Eleven, aku abaikan sahaja. Lagipun sudah ada banyak makanan yang kubawa dalam beg. Aku berjalan di tempat sayuran dan buahan segar, namun tidak kedapatan buah peach. Aku berjalan di tempat makanan tin, dan akhirnya bertemu buah peach, dalam tin. Meski sedikit kecewa kerana tidak berjaya mendapatkan buah peach segar, aku terpaksa berpuas hati dengan versi dalam tin. Aku keluarkan semua wang syiling satu yen. Sewaktu membayar di kaunter, aku bertanyakan penjaga kaunter, seorang wanita pertengahan umur, akan bolehkah aku membayar dengan wang syiling sahaja. Dia keluar dari kaunter dan memintaku menggunakan sebuah mesin di tepiku. Aku nampak kabur dan tidak faham maka dia tunjukkan satu-persatu bagaimana menggunakannya, dengan penuh semangat sekali, bahkan ada sekali-kala terkeluar perkataan Inggeris. Nampak sangat dia tahu aku bukan orang Jepun, menyedari cara percakapanku yang berterabur. Aku masukkan sekeping demi sekeping duit syiling itu sehingga lengkap harga yang diminta, iaitu 159yen. Sungguh tidak aku sangka, rupanya ada mesin yang menerima wang syiling satu yen. AEON di tanah air tidak ada mesin begini. Bahkan di sini, mesin begini ada di setiap kaunter pembayaran. Sungguh memudahkan. Jika mesin begini ada di AEON di tanah air sudah pasti berkuranglah duit-duit syiling lima sen yang bertahun sudah aku kumpul.

 

Selesai membayar, aku pun keluar dari AEON, terus mencari hala tuju ke Nopporo. Langit di luar masih putih dan suram, dan gerimis masih turun. Gerimis sudah jadi hujan pula, makin lebat nampaknya. Hari sudah hari ketiga dan aku masih menanti salji, tapi yang turun hujan pula. Aku lintas jalan seperti arah pada GPS, dan tiba di satu barisan kedai. Di sana aku perlu memasuki satu bangunan dan menggunakan jejambat tanpa bumbung. Berlarilah aku di sepanjang jejambat itu demi mengurangkan kebasahan. Sampai di seberang jalan, aku terjumpa satu pasaraya yang menjual barangan segar. Aku masih tidak berputus asa mahu mencari peach segar, lantas aku masuk ke dalam pasaraya itu. Namun malangnya, masih belum ketemu sebiji pun. Lantas aku keluar kembali dan meneruskan perjalanan sehingga sampai di satu simpang yang agak besar. Di sinilah aku perasan, aku benar-benar di pinggir bandar Sapporo. Di sini tiada lagi bangunan yang rapat-rapat dan orang yang ramai berjalan kaki. Hanya ada banyak kereta sahaja, dan jalannya pun lebar. Bangunannya juga bukan lagi bangunan kecil-kecil dan rapat-rapat, namun besar-besar seperti gudang jualan kereta, bengkel-bengkel, kedai perabot, kedai barangan borong dan sebagainya. Ia mirip bandar Temerloh di tempat asalku, atau sebarang bandar-bandar kecil. Tiada lagi bangunan tinggi-tinggi seperti di pusat bandar Sapporo. Dan di sini juga lebih banyak bangunan apartmen dan kediaman berbanding pusat bandar Sapporo, dan kurangnya bangunan hotel. Mungkin di sinilah warga Jepun yang bekerja dan belajar di pusat bandar itu tinggal. Mereka pastinya akan ke Shin-Sapporo dengan menaiki bas setiap hari untuk bekerja dan belajar, atau mungkin menggunakan tren JR jika tinggal berdekatan stesennya. Dan dari Shin-Sapporo, mereka akan menggunakan tren bawah tanah untuk ke pusat bandar.

 

Aku menyusur tepi kanan jalanraya yang besar itu. Ia benar-benar seperti suasana di bandar Temerloh, jalan yang besar, kereta dan lori yang banyak dan kedai-kedai yang besar-besar. Hujan masih turun, kadangkala sedikit kadangkala lebat. Angin seolah tiada. Pabila aku sampai di sebuah bangunan di kananku, aku mengambil kesempatan berteduh dengan harapan hujan akan berhenti dan pakaianku akan kering segera. Aku baca sedikit-sedikit poster yang bertampalan di luar lobi bangunan itu dan dari tulisannya yang aku fahami sedikit-sedikit, aku dapati ia bangunan kerajaan yang menyediakan khidmat-khidmat seperti pungutan cukai. Cuaca di luar tidaklah terlalu sejuk dek ketiadaan angin, maka aku tidak bercadang masuk ke dalam lobi dan membasahkan lantai mereka. Hujan di luar makin lebat pula. Nopporo sudah tidak jauh dari sini. Dari jauh sayup-sayup kedengaran bunyi tren, rupanya nun jauh di seberang jalan raya yang besar itu dapat kulihat tren JR melepasi dengan laju di atas landasan yang terlindung dek hutan kecil dan lalang-lalang hijau yang padat. Aku fikir pastinya ada stesen tren JR di sini, di kawasan di mana tren bawah tanah Sapporo sudah tidak dapat diakses. Aku pun buka Google Maps dan mendapati stesen itu ialah Stesen Shinrinkoen. Ya, amat dekat letaknya dengan Nopporo. Aku bercadang bila pulang nanti aku akan menggunakan tren JR sahaja untuk kembali ke pusat bandar Sapporo. Aku sudah tidak larat berjalan kaki.

 

Hujan tidak juga berhenti. Aku teruskan berjalan bila kurasa hujan sudah sedikit berkurang. Tiada guruh kedengaran seperti hujan di tanah air. Aku terdetik mahu membeli ikan makerel saba panggang. Sejak datang ke sini, aku masih belum membeli ikan kegemaranku itu yang tidak dijual di tanah air. Ia hanya dijual di 7-Eleven di sini, dan dibungkus dalam bekas plastik berlabel, berharga sekitar 250yen hingga 300yen. Tempoh hari aku telah membelinya namun kemudian aku menyedari ia ikan yang salah dan tidak sedap rasanya, iaitu makerel atka yang rasa hambar, sedang makerel saba itulah yang sedap. Kebetulan aku terserempak dengan 7-Eleven di seberang kiri jalan raya besar. Aku pun ambil kesempatan untuk ke sana sebentar.

 

Di 7-Eleven ini aku berniat mahu membeli payung, dan menemui satu payung warna putih berharga 600yen. Aku juga menemui ikan makerel panggang itu. Aku beli sekali kopi americano di mana engkau perlu mendapatkan cawan dari kaunter dan membayar dahulu. Penjaga kaunter keluar selepas mendapati aku tidak tahu bagaimana menggunakan mesin kopi itu. Dia menunjukkan satu-persatu kaedahnya dengan penuh semangat, sepertimana mak cik di AEON tadi. Aku dapati pekerja-pekerja kaunter di sini kebanyakan mak cik pertengahan umur dan amat bersemangat dan bersungguh membantu pelanggan mereka. Ketikamana mak cik itu cuba menekan butang latte, aku perasan aku telah tersilap beli, lantas aku menegahnya. Kata mak cik itu, dia telah memilih latte kerana menyangka itu yang kumahukan, lantas aku telah membayar harga latte tadi. Ketika dia bergegas mahu menukarnya dan memulangkan baki (kerana americano lebih murah), aku kata tidak mengapa kerana aku tidak mahu menyusahkannya. Namun dia tidak mahu mengalah dan tetap mahu menukar kepada americano. Aku terima sahajalah, kerana aku fikir ia hanya satu kesilapan kecil dan aku tidak kisah sangat (dan aku bukan alahan kepada susu pun dan boleh meminum latte), tapi aku mengalah melihatkan dia bersungguh dan katanya tidak elok sekiranya aku membeli sesuatu yang lebih mahal disebabkan kesilapannya. Setelah dia siap menguruskan penukaran dan memulangkan bakiku, dia keluar semula dari kaunter untuk membantuku mendapatkan americano dari mesin itu. Selepas semuanya selesai barulah dia kembali ke kaunter. Aku agak tidak menyangka juga akan layanan yang diberikan. Kalau di tanah air, saat aku mengalah itulah juga pelayan kaunter akan lepaskan diri, kerana buat apa bersusah-payah kalau pelanggan sudah letak tepi kesilapan itu? Aku tak tahu secara perinci budaya apa yang mereka orang Jepun amalkan, namun aku pernah ternampak dahulu di stesen tren di Morioka bagaimana mereka mencangkung untuk mengelap mangkuk tandas dengan bersungguh sehingga bahagian bawahnya berkilat dan tiada kesan kotor sedikitpun tertinggal. Ia hanya perkara kecil namun mereka memberi tumpuan sepenuhnya. Kalau budaya begini diterapkan di Malaysia, alangkah senangnya pengguna. Kadangkala aku pun berfikir juga, apakah aku benar-benar meletakkan sepenuh hati dalam pekerjaanku, seperti mereka ini?

 

Di luar hari masih hujan. Aku berdiri di luar satu kedai menjual pakaian, dan ia belum dibuka. Jam baru sembilan setengah pagi. Aku menghabiskan americano yang berharga 100yen lebih itu. Americano ini sebenarnya hanyalah kopi biasa, cuma kaedah penghasilannya ialah dengan menggunakan mesin. Tiada apa yang menariknya, harganya pun murah. Cuaca tidak terlalu sejuk, rasanya dalam sepuluh darjah. Sebaik menghabiskan kopi, aku memulakan perjalanan ke Nopporo. Payung dikembangkan. Bunyi air hujan merintik-rintik atas payung. Selepas menyeberangi jalan raya yang besar itu, aku menelusuri jalan berasphalt yang dibarisi pohon-pohon tinggi yang sudah tidak berdaun. Di hadapan sana di belah kanan susur ini ada taman perumahan berpagar. Aku teruskan berjalan sehingga bertemu semacam pagar kereta dan ada pondok pengawal. Aku mengangkat tangan menyapa pengawal itu, dia membalasnya. Di tepi kiri laluanku adalah semak, sementara di belah kanan adalah jalan kereta. Di hadapanku adalah hutan shirakaba yang tidak berdaun. Daun-daun kering menghiasi lantai. Disebabkan ia tidak berdaun, maka cahaya matahari dapat mencecah lantai dan keadaan tidak terlalu gelap. Aku melepasi Jambatan Seratus Tahun. Aku tidak tahu mengapa ia dinamakan begitu, namun itulah terjemahannya. Selepas jambatan itu, hutan di kiri dan kananku semakin tebal dan misteri. Ada papan tanda menunjukkan arah ke muzium dan arah ke Perkampungan Bersejarah Hokkaido. Aku membelok masuk ke simpang menghala ke perkampungan itu. Makin dalam aku dalam hutan ini nampaknya. Ada satu dua kereta dan lori melalui jalan ini. Jauh di belakangku aku perasan ada dua orang lelaki, nampak seperti pelancong, turut berjalan sepertiku. Aku rasa lega. Sekurang-kurangnya aku tak berseorangan di tengah hutan ini. Aku risau jika ada beruang di sini, kerana hutan di Hokkaido ini sememangnya banyak beruang. Aku harap beruang tidak akan muncul di tengah-tengah cuaca hujan begini.

 

Aku akhirnya sampai di perkampungan tersebut. Perkara pertama yang aku lakukan ialah merakam bahagian hadapan dan perkarangan sebuah bangunan yang besar yang merupakan pintu masuk ke perkampungan itu. Tempias hujan renyai-renyai membasahi lensa handycam, aku lap sekali-sekala dan betulkan litupan payung. Bangunan ini letakkan di atas sebuah bukit yang tidak terlalu tinggi. Dari atas ini juga aku dapat merakam panorama hutan daun luruh yang mengelilingi perkampungan itu dan juga yang aku lalui tadi.

 

Dua orang lelaki yang aku fikir pelancong itu tiba kemudiannya, ketikamana aku sudah duduk di bangku untuk makan sebentar. Aku keluarkan dua keping roti dan aku letak sos thousand island jenama Kewpie, kapitkan keduanya dan menyuap ke mulut. Ada sedikit Pringle berbaki aku habiskan juga. Selepas makan, aku masuk ke dalam kompleks bangunan kayu. Bangunan ini ialah pintu masuk ke Perkampungan Bersejarah Hokkaido.

 

Sebelum masuk, aku tutup dahulu payung dan toskan air hujannya. Adab di sini ialah jangan membasahkan lantai bangunan dengan payung yang basah. Masuk sahaja bangunan, ada laluan berpapan tanda membawa aku ke kaunter. Di kaunter seorang pelayan wanita menerangkan tambang masuk. Yuran masuk ialah 800yen untuk dewasa. Dia ada menerangkan yuran tambahan untuk apa entah (aku tak faham kerana dia bercakap dalam bahasa Jepun yang agak laju), aku cakap tak mengapa dan hanya membayar 800yen sahaja. Selepas itu aku pun keluar dari bangunan itu dan tiba di satu belah lagi, iaitu perkampungan bersejarah itulah.

 

Dari pintu ini juga aku dapat melihat bangunan-bangunan dalam bandar di Hokkaido (termasuk Otaru, Sapporo dan lain-lain) yang klasik yang didirikan ketika era Meiji, terbentang sehingga ke hujung perkampungan. Semua bangunan diperbuat daripada kayu yang berwarna hitam, seperti di hentian shukuba Magome dan Naraijuku, atau seperti di perkampungan klasik yang dipulihara di Kurama, Kyoto.

 

Perkampungan ini bukanlah perkampungan sebenar seperti namanya. Ia sebuah muzium terbuka. Semua bangunan-bangunan kayu klasik di sini dibawa masuk dari serata Hokkaido dan didermakan pemilik atau pewaris asalnya. Rata-rata bangunan di sini didirikan pada era Meiji ketikamana Jepun mengindustri dan mula membawa masuk dan menyerap idea Barat. Ada kedai gunting rambut, kedai ubat, stesen keretapi (siap dengan kereta kuda dan kuda hidup lagi, dan engkau boleh menaikinya), rumah tenun, rumah percetakan akhbar. Juga ada balai polis, hospital, rumah nelayan. Ada antara bangunan-bangunan ini yang dipulihara selepas diterima dari pemilik asalnya. Semua disusun agar membentuk sebuah ‘perkampungan’ abad ke-19. Setiap bangunan ini dilengkapi dengan isi-isinya, contohnya jika kedai ubat, maka akan diisilah dengan ubat-ubat abad ke-19, jika kedai gunting rambut, akan diisilah dengan kerusi, cermin dan tukang gunting rambut dalam bentuk patung. Aku agak terkejut pabila membuka pintu kedai gunting rambut dan ditegur “Irrashaimase!”. Aku mencari-cari dari mana datangnya suara itu, rupanya ia suara rakaman dan datang dari patung penggunting rambut yang sedang melayan pelanggannya, juga patung yang berbaring di atas kerusi.

 

Secara peribadi, aku tidak gemar muzium. Aku hanya berjalan tanpa hala tuju. Aku ada berhenti lama di satu bangunan, kerana hujan menjadi lebat pula. Ketikamana aku kembali meneruskan berjalan di dalam perkampungan itu, hujan masih turun namun aku redah saja kerana sudah memiliki payung dari 7-Eleven tadi. Namun angin di sini amat kuat. Ia lebih kuat berbanding pagi tadi. Bunyi angin yang terlalu kuat menghasilkan bunyi tiupan seakan wisel dan siulan yang agak menyeramkan. Batang pokok yang sudah tidak berdaun di hutan di kejauhan menyendeng, petanda angin yang kuat. Payung 7-Eleven warna putih yang kubeli itu kerapkali terubah bentuk bila ditempuh angin yang kuat, namun ia tidak patah dan kembali ke bentuk asal dengan mudahnya seperti getah yang kenyal. Aku agak takjub dengan payung ini. Aku lihat tulangnya diperbuat daripada bahan poliplastik yang tahan patah dan kenyal, bukan kayu mahupun aluminium yang mudah bengkok dan sukar dibetulkan. Aku pernah membeli payung murah di 7-Eleven di tanahair dan pabila dirempuh angin kuat ketika musim monsun, ia langsung patah atau sekurangnya tercabut dari kain payung. Saat itu aku memutus, aku mahu simpan payung ini dan membawa pulang ke tanah air.

 

Habis sudah aku pusing satu kampung itu. Dalam berpusing itu aku dapat Whatsapp dari tempat kerja, kata penghantar itu dia meminta kebenaran menggunakan tandatangan digital aku untuk satu kertas. Aku memberikan kebenaran. Hanya sekali itu sahaja percutianku diganggu. Namun aku tak kisah sangat. Kerana aku tidaklah terlalu khusyuk bercuti sehingga tidak boleh diganggu. Sekurang-kurangnya aku tidak di-Whatsapp oleh susuk yang toksik itu, kerana percutian ini juga adalah usaha sebentar melarikan diri dari susuk itu dan mengambil semangat baru. Bukan merawat. Merawat untuk orang yang patah hati. Aku ke sini untuk meleraikan, orang putih panggil ‘unwind’. Bukan healing, ya.

 

Setelah tiada apa yang boleh diteroka di situ, aku pun berpatah balik ke pintu masuk bangunan besar kayu itu. Hari masih hujan dan langit masih putih. Andai hari ini cerah pasti pemandangan di sini nampak lebih jelas dan berwarna-warni. Dengan angin yang kuat dan hujan yang merimaskan, cukup untuk mood aku berjalan-jalan dirosotkan. Aku pusing-pusingkan payung demi membuang air dan selepas payung ditutup, aku perlu toskan airnya dahulu agar lantai bangunan tidak dibasahkan. Aku rentas bangunan itu dan ke pintu satu lagi, iaitu pintu aku masuk tadi. Maka dari sini aku akan berpatah balik ke kawasan laluan berhutan dan berberuang (mungkin) itu. Aku harap tiada beruang di sini.

 

Tidak lama selepas berjalan, aku tiba di jalan di tepi hutan daun luruh. Aku memandang sekeliling dengan mata helang, dan juga menerawang ke atas kalau-kalau ada beruang. Ada satu dua kereta melepasi jalan di tepiku, memberikan sedikit kelegaan. Aku pun sampai di pondok pengawal selepas lima belas minit berjalan. Aku nampak bas JR lalu di tepi namun aku tidak menahannya, kerana memang ia tak akan berhenti jika ditahan-tahan begitu, sini bukan Malaysia ya. Ia hanya berhenti di tempat yang bertanda perhentian bas sahaja. Bas itu menurut tulisan pada luarnya menghala ke Shin-Sapporo, stesen di mana aku keluar pagi tadi. Ia dikendalikan syarikat sama yang mengendalikan tren Japan Railways, iaitu syarikat pengendali tren utama di Jepun.

 

Aku berehat di hentian bas. Di situ ada satu tiang dengan papan kenyataan bertampalan waktu ketibaan bas JR, iaitu bas yang baru sahaja melepasi aku tadi. Aku ingin duduk, namun bangku di situ dibasahi hujan pula. Tiada bumbung disediakan, barangkali sini bukanlah ramai penumpang. Hari masih hujan, aku masih di bawah payung. Aku menyusur laluan berasphalt yang dinaungi barisan pokok-pokok tinggi, dan di kiriku ialah taman perumahan berpagar. Aku tiba di simpang jalan besar tidak lama kemudian, dan melintas jalan besar itu. Selepas sampai di seberang, aku berehat sebentar di tepi 7-Eleven yang aku kunjungi sebelum ke Nopporo tadi. Aku lihat bagaimana orang-orang Jepun mengeringkan dahulu payung mereka setiapkali sebelum memasuki mana-mana premis, kemudian meletakkan payung mereka di satu tempat payung di luar premis. Di tempat berteduh ini aku memeriksa jalan ke Stesen JR Shinrinkoen. Jalan itu menuntut aku berjalan hingga ke belakang pasaraya tempat aku berteduh ini.

 

Aku pun redahlah hujan yang tidak henti-henti itu dan angin yang kadangkala kuat hingga hampir merosakkan payungku ini. Namun payung ini dicipta begitu tahan lasak, sehingga beberapa kali ia ditokak angin sekalipun ia masih boleh kembali ke bentuk asal. Aku belok kanan di satu simpang, dan jalan terus. Di sebelah kananku ialah semak samun, sebelah kanannya parit dan sebelah kanan lagi ialah kawasan kediaman dengan beberapa buah apartmen belasan tingkat. Di belah kiriku pula ialah lebuhraya yang luas. Jarang aku jumpa landskap begini di Jepun. Ia mirip Malaysia. Dalam berjalan itu aku melintas bawah landasan JR yang menghala ke Shinrinkoen di sebelah kanan. Maka fahamlah aku untuk ke Shinrinkoen, aku perlu melintas satu jambatan merentangi parit di sebelah kananku itu. Ada dua jambatan di hadapan. Namun entah mengapa, aku melintas jalan besar di kiriku, menuju ke taman perumahan yang rumahnya sebuah-sebuah. Ketika itu aku fikir ada laluan pejalan kali di tepi landasan JR itu yang boleh diakses dari seberang jalan raya besar ini, sepertimana sebahagian laluan pejalan kaki KTM di tanahair.

 

Rupanya tidak. Langsung tiada laluan yang aku bayangkan itu. Terpaksalah aku berpatah balik menyeberangi jalan raya besar itu, dan mencari jambatan merentangi parit. Disebabkan hujan berterusan, cuaca mulai sejuk dan tanganku seolah berada dalam peti ais. Selepas merentangi jambatan besi yang agak usang dan ada conteng-conteng itu, aku tiba di tepi kawasan apartmen. Ada banyak blok apartmen di sini, seperti di Damansara Damai. Aku tidak boleh redah kerana ia berpagar, maka aku ikut sahaja jalan kereta yang sempit di tepinya, sehinggalah aku bertemu kawasan lapang dan kompleks kedai-kedai. Stesen Shinrinkoen dapat dilihat dari tempat aku berdiri. Ia sebuah stesen dengan senibina lama, banyak bahagian depannya diperbuat daripada kayu. Aku membuka parka, badanku terasa panas pula kerana jauh berjalan. Hujan yang tidak henti-henti telah membasahkan sedikit parka dan seluar. Aku pusing-pusingkan payung demi membuang air hujan. Aku terlihat seorang lelaki Jepun memusing-musingkan payungnya jauh dari lantai kaki lima, iaitu di tepi longkang. Aku berasa agak janggal. Aku fikir lantai kaki lima sini boleh dibasahi, disebabkan itu aku keringkan sahaja payungku di sini. Ada beberapa orang tempatan juga yang turut melakukan perkara sama sebelum memasuki bangunan stesen.

 

Usai menyejukkan badan di luar, aku pun masuk ke dalam stesen, dan mencari mesin tiket. Tiket berharga 340yen menuju ke stesen Sapporo dibeli. Aku terus naik ke platform. Dalam menunggu itu aku perhati dari atas platform yang tinggi ini, bahawa stesen ini sebenarnya lebih dekat dengan pasaraya tempat aku berteduh itu. Aku tidak menyedari kewujudan laluan singkat ke sini dan ia tidak pula diberitahu Google Maps, sehinggalah aku menyedarinya dengan memerhati dari atas platform. Sebenarnya jika diikutkan, sudah banyak kali juga Google Maps tidak memberitahu jalan yang lebih singkat ketika aku menggunakannya di tanahair. Itu antara kelemahan Google Maps yang aku fikir hanya boleh diselesaikan dengan pergi sendiri ke tempat tersebut, dan teroka sendiri.

 

Keadaan platform di sini yang agak usang mengingatkan aku dengan platform stesen KTM Komuter di tanahair. Tiada bangku disediakan melainkan dalam ruangan menunggu sahaja. Platform ini terbuka dan ketika musim sejuk, engkau akan kesejukan kerana tiada ruang menunggu yang tertutup disediakan. Aku pernah ke Aomori, Morioka dan Sendai dan di sana ada ruang menunggu tertutup dengan pemanas. Mungkin juga kerana stesen ini bukan stesen utama, ia hanya sebuah stesen singgahan untuk mengambil penduduk dari sini ke pusat bandar Sapporo. Memang jika dilihatkan pun, kawasan sekitar stesen ini sebahagian besarnya hanyalah kawasan kediaman dan bukan pusat perniagaan.

 

Tren pun tiba. Aku tidak menyangka ada begitu ramai penumpang. Aku hanya berdiri di dalam tren di tepi tingkap. Jam sudah melepasi dua belas tengahari. Aku fikir untuk terus ke hotel. Andai hari ini tidak hujan mungkin aku sudah merancang untuk meneruskan perjalanan ke tempat lain, namun hari yang hujan dan angin yang agak kuat membantutkan keinginan untuk terus berjalan-jalan.

 

Tidak lama kemudian dalam lima belas minit, aku tiba di stesen Sapporo. Aku duduk dahulu di sebuah bangku di platform untuk membiarkan orang ramai beredar terlebih dahulu. Stesen Sapporo ini sentiasa dipenuhi orang ramai, tren berhenti hampir setiap lima minit, memuntahkan dan menyedut penumpang. Aku turun ketika orang ramai berkurang, dan mengambil lif keluar ke jalan raya. Di sana, hujan masih belum berhenti, dan aku bercadang berjalan kaki sahaja ke hotel. Angin makin kuat dan merosakkan payungku. Angin di sini boleh jadi kuat dan bertiup tiba-tiba, bukannya bertiup perlahan dan beransur-ansur menjadi kuat seperti di tanahair. Oleh itu, engkau tidak akan menyedarinya sehinggalah payungmu dirosakkan tiba-tiba dan engkau berkejaran mencari tempat berteduh demi membetulkan kembali payungmu.

 

Aku singgah sebentar di Seicomart untuk membeli barang. Kemudian langsung ke hotel. Sampai di hotel, tuala dan lapik kaki bersih beserta baucer sarapan sudah pun disangkut pada pemegang pintu. Ia adalah bekal terakhir sebelum aku meninggalkan hotel ini esoknya. Pabila sampai di bilik, jam sudah pukul satu setengah tengahari. Aku tidak keluar lagi sehinggalah esok pagi.

 

18 November 2023

 

Maka tibalah hari terakhir aku di sini. Penerbangan ke Beijing dijangka pada pukul satu lima puluh petang nanti. Aku bercadang untuk keluar lewat sedikit, dalam pukul sembilan pagi. Seperti biasa aku akan bangun seawal empat pagi (memang ini tabiatku sejak dua tahun lepas) dan minum kopi dalam tin dahulu dan sarapan awal dahulu, kemudian aku akan sarapan lagi di tingkat dua pada jam tujuh. Pada hari ini, aku hanya terlewat lima minit sahaja, dan makanan sudah lesap, yang tinggal hanya roti mayat dan sos. Cepat dan awal betul penginap di sini, yang rata-rata orang Jepun, makan. Aku pun jamah roti dan sos sahaja, dan minum kopi. Tidak mengapalah, aku akan makan onigiri sahaja jika lapar lagi. Sarapan di hotel ini sentiasa sedikit dan minimalis sejak hari pertama aku menginap, meskipun harga yang aku bayar di sini, jika dibayar di hotel di Malaysia, aku boleh mendapat sarapan yang agak mewah. Hotel ini padaku boleh dikatakan setaraf hotel bajet dua bintang dengan sarapan di Malaysia namun dengan harga hotel empat bintang Malaysia.

 

Aku mengemas bilik selepas sarapan. Tuala dan lapik kaki gantian yang diberi sejak tiga hari lepas tidak disentuh, dan aku letakkan nota bahawa ia semua masih bersih, ditulis dalam bahasa Jepun dan juga Inggeris (ada perkataan Jepun aku terpaksa catit dari kamus). Aku tidak mahu membazirkan tuala. Tidak salah dan bukanlah sikap pengotor pun memakai tuala yang sama berulang kali, kecualilah jika engkau berkongsi tuala dengan orang lain. Aku pastikan bilik air tiada habuk termasuk tab mandi. Cadar aku tegangkan. Meja aku bersihkan dari kesan makanan. Semua barangan sudah dimasukkan ke dalam beg. Aku mencerap segenap bilik buat kali terakhir, entah bila lagi aku akan ke sini fikirku.

 

Jam sudah sembilan pagi. Aku turun ke lobi dan menyerahkan satu beg berisi tuala dan lapik kaki, kerana tuala dan lapik kaki terpakai harus diserahkan di kaunter semasa daftar keluar. Kemudian aku serahkan kad kunci. Aku mengucapkan terima kasih kepada penjaga kaunter dan melangkah keluar dari lobi. Hari ini cerah pula. Alangkah baiknya jika aku berada di sini lebih lama, dapatlah aku gunakan hari yang cerah ini untuk berjalan-jalan lagi.

 

Aku singgah sebentar di Seicomart untuk membeli telur rebus dan onigiri untuk dimakan sementara menunggu penerbangan pulang. Usai membeli-belah, aku teruskan perjalanan ke stesen Sapporo. Payung berkualiti tidak aku lupakan, masih dibawa untuk digunakan di Malaysia kelak. Untuk ke lapangan terbang Chitose, aku akan membeli tiket di mesin tiket JR. Ia berharga 1150yen.

 

Tren ke lapangan terbang tiba. Tren ini tidak seperti tren lain di sini, kerana penumpangnya sungguh ramai dan menyesakkan. Meskipun kekerapannya setiap sepuluh minit, penumpangnya boleh menjadi ramai sehingga memenuhi segenap ruang gerabak. Ini kerana tren ini menghantar dan mengambil penumpang ke dan dari lapangan terbang. Aku lihat ramai penumpang antarabangsa dalam tren ini berbanding tren lain. Jika engkau ada berfikiran mahu menunggu tren lain kerana tidak mahu menaiki tren yang penuh sesak dan merimaskan ini, abaikan, kerana tren seterusnya yang akan tiba juga begitu sesaknya.

 

Aku pun naik salah sebuah tren yang tiba. Pabila ia berhenti di stesen-stesen berikutnya, penumpang makin bertambah dan menyesakkan. Aku yang memakai parka terpaksa membuka sedikit butangnya demi melepaskan haba. Tren yang sesak dan pemanasnya yang diset pada suhu tinggi cukup memanaskan badan dalam cuaca yang dingin. Aku tidak tahan panas sehingga keluar di salah satu stesen yang tidak aku ingat namanya ketika di pertengahan perjalanan. Di stesen itu aku duduk di platform dan menanggalkan parka. Peluh cepat mengering. Hari ini tidak terlalu sejuk, langit cerah kuning. Angin perlahan bertiup. Aku duduk dalam sepuluh minit demi menyejukkan badan dan lari dari kesesakan dalam tren itu. Tidak lama kemudian sebuah lagi tren ke lapangan terbang tiba dalam jam sepuluh lima belas, aku pun naik.

 

Selepas hampir setengah jam di dalam tren, aku tiba di lapangan terbang Chitose. Aku keluar sahaja dari tren, terus mencari di mana papan tanda menghala ke penerbangan antarabangsa. Lapangan terbang ini agak besar, aku melepasi banyak kedai bebas cukai sebelum tiba di bahagian penerbangan antarabangsa. Maka dalam lima belas minit berjalan kaki, barulah aku tiba di Pintu C dan D, di mana aku akan daftar masuk penerbangan Air China CA170.

 

Jam menunjukkan pukul sebelas pagi, dan kaunter hanya akan dibuka dua jam sebelum berlepas, iaitu sebelas lima puluh. Aku duduk di bangku dan melihat ke luar. Hari ini sungguh cerah. Alangkah baiknya jika semalam cerah begini. Dapat kulihat menerusi dinding kaca, suasana di luar yang cerah dan hutan daun luruh di kejauhan. Tiada perumahan kelihatan sejauh mata memandang.

 

Aku pandang susur menuju kaunter, dan mendapati sudah ada orang beratur. Maka aku pun turut beratur. Ia tidak mengambil masa lama, sebelum aku hampir tiba di hadapan. Seorang pegawai Air China memeriksa pasport kami. Semua diperiksa sehingga tiba giliranku. Aku memberikan pasport. Aku disoal, apakah aku akan transit di Beijing, aku mengiyakan. Pegawai itu meminta aku menunjukkan itinerari tiket, aku tunjukkan pada telefon pintar. Kemudian dia meminta pasportku untuk diperiksa di kaunter.

 

Selepas beberapa ketika dia berbincang dengan rakan sekerjanya, dia kembali kepadaku dan memberitahu bahawa aku tidak boleh lagi menggunakan tiket penerbanganku. Aku berasa amat terkejut. Dia memberitahu tiket penerbanganku sudah dibatalkan kerana aku terlepaskan penerbangan dari Beijing ke sini pada 14 November lalu. Dia menjelaskan disebabkan aku terlepas salah satu dari penerbangan dalam itinerari itu maka keseluruhan tiket akan terbatal sendiri. Aku menegaskan kepadanya aku tidak sengaja, dan pelbagai alasan lagi demi menyokong hujahku. Ini pertama kali aku berhadapan dengan dasar begini, yang mana padaku amatlah tidak logik. Aku telah membayar tiket itu, maka secara logiknya jika aku terlepas salah satu penerbangan, penerbangan lain dalam tiket tersebut tidak sepatutnya dibatalkan kerana aku sudah membayarnya. Itulah yang aku cuba terangkan kepada pegawai Air China itu.

 

Pegawai itu masih bertegas bahawa dia tidak boleh membenarkan aku daftar masuk kerana tiket itu sudah tidak lagi sah.

 

Aku mula tertekan dan geram. Sepatutnya hari ini lancar sahaja, aku sanggup keluar awal agar tidak lagi terlepas penerbangan, namun perkara begini yang sungguh mengganggu ketenteraman kunjung tiba dan memusnahkan perancanganku. Aku merayu agar dilepaskan masuk, namun mereka tetap bertegas bahawa tiket aku sudah tidak sah lagi. Mereka mencadangkan kepadaku agar membeli tiket baru, namun aku memberitahu aku sudah tiada wang dan hanya ini sahaja tiket yang aku ada. Aku menegaskan yang aku perlu pulang, dan meluahkan rasa pelik akan ketidaklogikan pembatalan tiketku hanya disebabkan penerbangan dari Beijing ke sini yang aku terlepaskan tempoh hari. Mereka mencadangkan aku menggunakan kad kredit atau meminjam dari sesiapa sahaja. Aku tiada kad kredit, dan meskipun aku boleh meminjam, aku tidak mahu kerugian. Selagi boleh aku cuba merayu kalau-kalau dia boleh melonggarkan sedikit ‘dasar’nya. Andai berjaya, aku tidak akan rugi lebih teruk. Ini kerana aku sudah banyak rugi gara-gara perlu menempah tiket baru ke Sapporo tempoh hari.

 

Namun aku tidak berjaya merayu mereka. Wangku dalam bank hanya ada sekitar tiga ratus ringgit lebih sahaja. Mana mungkin aku mampu membeli tiket baru yang sekurangnya berharga seribu lima ratus ringgit itu. Aku tiada kad kredit dan tidak pernah terfikir menggunakannya. Aku selagi boleh tidak mahu meminjam. Namun disebabkan tiada ikhtiar lain lagi, terpaksalah aku menelefon ibu. Mujur dia tidak keberatan membantu. Aku segan sebenarnya, bagaimana pelancongan kali ini menuntut aku meminjam sana sini. Andai aku ada kad kredit, sudah pasti masalah ini telah diselesaikan tanpa perlu meminjam. Strategiku jika ibu tiada wang, aku akan meminjam sedikit-sedikit dari rakan-rakan. Seratus, dua ratus ringgit seorang cukuplah, dapat gaji aku akan bayar mereka. Namun tidak mengapalah, ibu sudah sudi membantu.

 

Aku terus membeli tiket baru tanpa berfikir panjang lagi, sebaik wang dari ibu masuk. Mujur ada yang murah dalam seribu lima ratus ringgit lebih. Aku pun terus membelinya tanpa berfikir panjang, kerana dalam kepalaku aku hanya fikir mahu pulang cepat ke tanahair. Aku benar-benar tidak menyangka tiketku akan terbatal hanya kerana terlepaskan satu penerbangan. Aku masih tidak dapat menerimanya dan duduk lama termenung di bangku.

 

Penerbangan ganti yang aku beli ialah dari sini ke Narita di Tokyo dengan menaiki pesawat tambang murah Peach Aviation (syarikat penerbangan domestik). Kemudian dari Narita aku akan mengambil Batik Air ke KLIA. Disebabkan penerbangan itu jam lapan dua puluh malam, maka aku ada banyak masa di sini. Namun aku tidak bersemangat dan bermaya untuk bersiar-siar. Aku telah rugi terlalu banyak. Rugi kerana terpaksa membeli tiket penerbangan baru tempoh hari, dan juga hari ini. Jumlah keseluruhan kerugian ialah lebih kurang tiga ribu ringgit, iaitu tiga ribu ringgit lebih tambahan pada bajet asal percutian. Semua gara-gara transit yang singkat di Beijing itulah, transit yang menyebabkan aku terlepas penerbangan dan membatalkan keseluruhan tiket penerbangan termasuk penerbangan pulang. Satu pengajaran yang amat besar buat aku yang jarang mengembara secara transit ini. Lain kali aku harus menempah penerbangan yang transitnya sekurang-kurangnya dua jam, kerana jika lapangan terbang transit itu sama seperti Beijing, aku tidak akan terlepas penerbanganku lagi.

Cerita Sapporo (Bahagian 3)

Pabila aku keluar dari Zoo Maruyama, hari semakin gelap dan sejuk. Suhu jatuh ke lima darjah Celsius seperti ditunjukkan satu papan tanda elektronik di luar zoo itu. Aku menyarung parka warna hitam yang kutanggalkan sewaktu dalam zoo tadi. Tangan diseluk ke dalam saku parka, jika dibiarkan di luar maka merasalah tanganku seperti diletak dalam peti sejuk. Aku berjalan laju menuju ke stesen tren Maruyama Koen, dengan menelusur lorong-lorong merentas hutan daun luruh yang aku lalui sejam lalu, untuk kembali ke hotel di stesen Kitajunijo. Jarak ke hotelku dari Kitajunijo amat dekat, iaitu sekitar tiga ratus meter sahaja. Pabila sampai di hotel, hari sudah pun Maghrib. Ketika mahu mendaftar masuk inilah aku sedikit gementar, takut-takut tempahan hotelku dibatalkan gara-gara kegagalan untuk hadir pada hari semalam. Namun aku bersyukur, penjaga kaunter itu, seorang lelaki tua, amat baik hati. Dia tidak membatalkan tempahan dan membenarkan aku menghabiskan baki tiga malam di situ tanpa bayaran tambahan. Dia juga bertanya dengan begitu sopan andai dia terpaksa mengambil bayaran malam hari pertama yang telah aku terlepaskan, dan aku mengatakan tidak mengapa kerana itu memang salahku. Ya, kerana kecuaian sendiri aku terlepaskan penerbangan ke sini sehingga terkesan pada tempahan ini dan terlepaskan penginapan satu malam di sini. Namun aku sudah cukup berpuas hati dia tidak membatalkan tempahanku di sini, dan dengan budi bicaranya itu aku telah terselamat dari kerugian yang besar.

 

Aku diberikan satu beg berisi tuala, dan lapik kaki. Dia juga memberitahu akan menyerahkan tuala dan lapik kaki gantian dengan menyangkutnya pada pintu pada setiap pagi, beserta baucer sarapan. Aku terus ke lif, dalam fikiran hanya mahu melelapkan mata. Bilik hotel terletak di tingkat empat. Sarapan esok di tingkat dua dan aku nampak simbol restoran pada butang tingkat dua dalam lif itu. Juga, ada mesin basuh dan mesin jual air di tingkat lima.

 

Aku imbas kad hotel pada pengimbas di pintu bilik dan masuk. Biliknya tidaklah terlalu besar cukup-cukup untuk seorang penghuni, namun amat bersih. Ada televisyen, peti ais, cerek dan wifi. Tingkapnya dua lapis untuk menebat sejuk. Bilik airnya agak kecil, namun dilengkapi tandas duduk automatik dan tab mandi dan bekalan air panas. Aku perasan keseluruhan bahagian dalam bilik air ini seperti satu modul. Maksudku, ia seolah ketika mereka membina bilik ini, mereka dibekalkan satu modul bilik air yang hanya perlu dipasangkan ke dalam bilik ini dan boleh ditanggalkan jika sudah tidak boleh digunakan, namun ini semua hanya telahanku. Bahagian dalam ‘modul’ bilik air ini pula seolah satu lapisan plastik tunggal yang melitup semua termasuk permukaan dalam tab mandi. Ada air panas dan air sejuk dibekalkan, di mana kuantiti air panas dan air sejuk boleh dikawal menggunakan pemulas masing-masing. Di negara sejuk memang biasanya akan dibekalkan dua bekalan air berlainan suhu. Mangkuk tandasnya pula adalah mangkuk tandas Jepun yang biasa di mata orang Jepun namun agak mengelirukan buat pengunjung dari negara lain. Ia automatik, dan engkau perlu menekan satu butang dengan simbol pancuran untuk mendapatkan pancuran air. Tiada hos getah membekalkan air. Namun itu lebih baik dari tandas di UK yang langsung tidak dibekalkan air, hanya tisu.

 

Aku sudah membeli makanan dari kedai serbaneka maka tidak perlu lagi keluar malam ini. Aku hanya mahu berehat. Harapnya keletihan dua hari ini dihilangkan sepenuhnya semalaman agar aku bertenaga untuk mengembara esok. Mengikut perancangan, esok aku akan ke Gunung Moiwa di pinggir bandar ini. Namun aku tidak mahu mengambil tram yang dipanggil Sapporo Streetcar itu. Aku mahu berjalan kaki sejauh lebih kurang enam kilometer. Ini peluang, kerana berjalan kaki di sini tidak memenatkan dek sejuknya dan juga udaranya yang kering menyejatkan peluh dengan pantas dan membantu menyejukkan badan. Di tanahair sendiri, usahkan enam kilometer, lima ratus meter pun sudah membuatkan engkau lencun berpeluh.

 

16 November 2023

 

Aku terbangun jam tiga pagi. Oleh kerana Isyak di sini jam lima setengah petang, maka aku boleh tidur seawal jam tujuh malam. Rasanya sudah hilang penat semalam dek tidur tujuh jam itu. Aku ingin meminum kopi, namun serbuk kopi tidak dibawa ke sini, bimbang dirampas di lapangan terbang. Maka aku teringat sesuatu, yang mana ketika dalam lif semalam, aku nampak simbol mesin jual air dan mesin basuh pada butang tingkat lima. Lantas, aku keluar sekejap ke tingkat lima untuk beli kopi.

 

Jepun memang terkenal dengan kopi dalam tin. Kopi dalam tin memang berleluasa di sini, dan rasanya amat mirip dengan kopi yang diseduh sendiri. Ada macam-macam jenama, UCC, Georgia, Kirin... Wonda. Wonda pula banyak dijual di Malaysia. Aku bertemu satu bilik yang agak sempit, di mana di dalam bilik itulah ditempatkan sebuah mesin jual air dan mesin basuh layan diri. Di dalam itu juga ada mesin tukar wang kertas kepada wang syiling. Di mesin jual air, aku tidak nampak tanda-tanda mesin itu boleh menerima bayaran tanpa tunai. Aku sudah bersedia membayar dengan wang syiling. Aku masukkan satu persatu syiling dan kutekan butang air kopi berharga 140 yen. Gedegung! Kedengaran bunyi air tin terhempas ke ruang pengambilan. Aku membuka pintu ruang pengambilan dan mengambil tin air itu keluar. Ia jenama UCC Black.

 

Aku minum dan bersarapan telur rebus dan onigiri yang dibeli siap-siap semalam dari AEON di belakang hotel ini. Selepas makan, aku menonton video-video tidak bermanfaat di Youtube. Kemudian Subuh pun masuk jam empat lebih. Selepas Subuh, aku membuat sedikit kira-kira berkenaan kerugian yang kualami, beserta perbelanjaan semalam. Wang tunaiku masih ada sekitar 18000 yen, dari baki awal 21000 yen. Selebihnya ialah wang tunai dalam ringgit dan Yuan. Aku membuka TV, dan ia hanya memaparkan rancangan berbahasa Jepun. Ada yang aku faham, ada yang tidak. Kemahiran mendengar bahasa Jepunku masih di tahap yang rendah. Namun rancangan Jepun punya satu kebiasaan yang amat aku gemari; mereka sering meletakkan sarikata dalam bahasa mereka untuk dialog yang juga dalam bahasa mereka. Ini kerana bahasa Jepun banyak perkataan yang sama bunyi (homophonic) namun berlainan dari segi makna, dan hanya boleh diasingkan maknanya dengan memahami konteks ayat atau dengan membaca tulisan cina-nya yang dipanggil kanji itu. Disebabkan itu bahasa Jepun amat mengelirukan, hanya mereka yang gigih sahaja yang mampu menguasainya. Aku fikir aku belum cukup gigih lagi.

 

Aku sudah bersiap-siap untuk keluar. Pakaian lebih aku keluarkan dari beg. Hanya makanan yang kubawa, beserta sarung tangan dan kain lilit leher dan topi sejuk jika bersalji kelak. Long john juga dibawa. Beg tidak perlulah terlalu berat kerana aku ingin berjalan jauh hari ini. Sebelum keluar, aku bersarapan dahulu. Sarapan disediakan di tingkat dua bermula jam tujuh. Aku hanya perlu meletakkan kupon sarapan di atas satu kaunter dan berjalan mengambil pada bufet. Sarapan berupa roti mayat, sos, salad, sosej, telur hancur dan kopi. Aku sempat menyoal tukang masak apakah sosej itu ada daging babi, katanya ya selepas meminta memeriksa dahulu. Maka aku menahan diri dari mengambil sosej dan hanya mengambil telur hancur dan roti dan salad. Kemudian aku tuang air kopi ke dalam cawan kosong, dan bergerak ke tempat duduk. Semua pengunjung yang kulihat rata-rata duduk berseorangan. Tiada keluarga dan budak kecil di sini. Aku pun ambil sudu dan sapu telur hancur pada roti dan mula makan. Selepas itu aku bilas tekak dengan kopi, iaitu kopi kedua hari ini. Sarapan yang ringkas, dan pantas. Saat keluar, aku perasan ada bilik khas untuk merokok di tepi pintu keluar, dan ada seorang perempuan pertengahan umur sedang merokok di dalam, rasanya perempuan Jepun. Aku pun keluar, kembali ke bilik untuk mengambil beg, dan memulakan kembara.

 

Saat keluar dari hotel, cuaca tidaklah sesejuk mana, sekitar sepuluh darjah Celsius. Langit sungguh cerah, jam menginjak tujuh setengah pagi. Aku mengambil haluan ke kanan sehingga bertemu simpang. Di sana aku toleh ke kanan lagi, berjalan terus ke arah stesen JR Sapporo. Orang ramai mulai memenuhi kawasan kaki lima-kaki lima untuk ke tempat kerja dan sekolah. Aku berjalan berpandukan GPS sehingga melintas tepi Taman Odori dan bangunan lama kerajaan Hokkaido.

 

Selepas sejam berjalan, aku tiba di kawasan di mana tram atau Sapporo Streetcar mula memunculkan diri. Tram ini hanya beroperasi di satu kawasan di barat daya Sapporo dan membuat laluan bulatan, seperti Circle Line di London (namun Circle Line ialah tren bawah tanah). Aku fikir waktu itu aku sudah tersesat juga. Sasaranku ialah stesen Ropeway Iriguchi, di mana jika aku mengambil streetcar untuk ke kereta kabel Gunung Moiwa, maka aku perlu turun di sini. Disebabkan aku berjalan kaki, maka stesen itu tetap adalah destinasi utama kerana dari situlah pintu masuk ke kereta kabel Gunung Moiwa dapat dicari dengan mudah.

 

Maka aku pun buka GPS kembali demi menentukan arah yang tepat ke Ropeway Iriguchi. Berjalan lagi aku sehingga bertemu satu simpang empat. Dari GPS, aku perlu melalui satu lorong di belakang kumpulan apartmen yang berketinggian lima tingkat tak silap aku. Akhirnya menjelang sembilan setengah pagi, aku pun sampai di Ropeway Iriguchi. Sejuk tidak terasa seperti jangkaanku. Parka aku buka dan hanya berkemeja sehelai. Peluh di belakang badan yang tidak lencun mengering dengan pantas dek udara kering dan sejuk. Cuaca masih cerah, tiada tanda akan bersalji hari ini. Gunung Moiwa yang ditumbuhi pokok-pokok birch putih (shirakaba) dari kaki ke puncak yang sudah kuning dan perang daun-daunnya tersergam dari Ropeway Iriguchi. Aku berdiri di sebelah tanah kosong terbiar dan mengambil foto Gunung Moiwa. Jaket parka aku tanggal dan pegang dan aku biarkan peluh pada kemeja mengering oleh cuaca yang sejuk dan kering ini. Kemudian aku ikut susur kaki lima yang di kanannya stesen Ropeway Iriguchi, aku belok ke kiri dan berjalan terus sehingga bertemu simpang empat. Aku lintas simpang itu dan terus menyusur kaki lima sehingga bertemu satu bukit, yang mana aku perlu belok ke kiri sambil mendaki bukit itu. Di kananku adalah laluan berkereta. Jika pengunjung tidak mahu berjalan kaki, mereka boleh menunggu bas di Ropeway Iriguchi dan bas akan membawa mereka mendaki bukit ini melalui jalan di kananku ini sehingga ke pintu masuk kereta kabel. Jika aku belok ke kanan di bukit itu, aku akan ke Asahiyama Memorial Park, salah satu taman awam di bandar ini. Sapporo memiliki banyak taman awam, dan salah satu taman tersebut ialah taman hutan di Nopporo di pinggir bandar ini, yang mana aku rancang untuk mengunjunginya pada hari esok.

 

Dek berjalan dan mendaki, aku tidak terasa langsung sejuk sepuluh darjah Celsius. Cuaca pagi ini sangat cerah dan tiada angin kuat seperti kebiasaan musim luruh. Lazimnya Sapporo sudah bersalji pada sekitar November, namun aku tidak pasti atas sebab apa, Sapporo sekarang masih di kemuncak musim luruh. Aku ada terbaca kemudiannya, musim panas di keseluruhan Jepun tahun ini agak panjang akibat pemanasan global. Mungkin itulah sebabnya.

 

Akhirnya aku sampai di puncak bukit selepas mendaki lebih kurang sepuluh minit. Jika diukur jarak dari hotel ke sini dengan berjalan kaki, aku sudah melepasi lebih enam kilometer dalam masa hampir dua jam. Satu pencapaian yang boleh dibanggakan. Aku puas hati kerana sememangnya tujuan utama aku datang ke sini ialah untuk berjalan kaki kerana dengan cuaca yang sejuk, berjalan tidak memenatkan seperti di tanahair.

 

Bangunan pintu masuk kereta kabel yang serba putih masih ditutup. Ia hanya akan dibuka jam sepuluh. Aku lihat jam menunjukkan pukul sembilan setengah pagi. Masih ada masa untuk dibuang sementara menanti bangunan itu dibuka, maka aku pun mendaki satu susur merentas semak yang sudah kuning, menuju ke atas bukit di bahagian kanan bangunan itu. Pokok-pokok shirakaba yang kurus-kurus dan berbatang putih dan tumbuh berjarak-jarak antara satu sama lain, memenuhi bahagian atas bukit. Pokok ini memang berleluasa di Sapporo. Aku teruskan berjalan di atas bukit berhutan perang itu sehingga bertemu satu pagar dengan pintunya dirantai dan bertuliskan ‘tidak dibenarkan masuk’. Sebenarnya pintu itu ialah pintu masuk ke satu muzium berkenaan pengairan. Aku tak faham sangat. Aku pun bawa keluar handycam dan rakam sekeliling. Dari celah-celah pokok hutan pada lereng bukit aku dapat lihat bangunan-bangunan di bandar Sapporo yang mengecil. Kala merakam sekeliling aku terperasan ada papan tanda memberi amaran kedapatan beruang di dalam hutan itu! Seriau aku. Baru aku teringat, utara Jepun memang banyak beruang. Beruang-beruang ini yang dipanggil kuma, selalunya tewas kepada orang asli Ainu. Orang Ainu, iaitu penduduk asal pulau Hokkaido ini sebelum Jepun mengambilnya sebagai koloni, menjadikan beruang itu sumber pakaian dan makanan mereka. Beruang-beruang ini biasanya tidak akan engkau sedari kehadiran mereka kerana mereka boleh memanjat pokok. Jadi jangan haraplah engkau boleh menyelamatkan diri dengan memanjat pokok jika dikejarnya. Aku terbayang-bayang andai beruang ini terjun dari atas pokok tiba-tiba dan menerkamku sedang aku tak sedar pun akan kehadirannya...

 

Abaikan pemikiran hitam itu. Aku pun turun kembali ke bawah. Aku nampak ada seorang perempuan Jepun berjalan-jalan membawa anjingnya ke sini dan seolah terkejut dengan kehadiranku. Melihatkan perempuan itu ke sini, aku fikir kawasan ini adalah kawasan bersiar-siar yang biasa untuk penduduk sekitar sini, maka ia bukanlah kawasan berbahaya meskipun ada amaran penampakan beruang itu. Aku tiba di bawah tepat jam sepuluh. Namun melihatkan pintu bangunan putih itu seakan belum dibuka, aku pun berjalan-jalan dahulu. Di belah kiri jalan ada pusat latihan pengakap dan bermain ski. Aku beli air minuman dari satu mesin jual air. Ketika menunggu air diturunkan, aku ternampak pasangan tua Jepun dengan kayu pendaki, barangkali mereka mahu mendaki Gunung Moiwa sehingga ke puncak, iaitu alternatif selain dengan menaiki kereta kabel. Kemudian aku melintas satu barisan pili air. Pada barisan itu ada tertulis ‘Dilarang meminum air dari pili air ini.’ Tiada terjemahan bahasa Inggeris disertakan. Aku fikir andai aku tidak memahami bahasa Jepun, mungkin aku telah meminum air pili itu di kala dahaga. Air dari pili itu hanya untuk tujuan membasuh dan menyiram tanaman sahaja.

 

Aku jumpa pokok renek dengan beri berwarna merah seakan buah kopi yang ditanam di bahu jalan dengan dibenteng menggunakan bata, namun aku tidak tahu pokok apakah itu. Di tanahair, buah merah seperti ini selalunya pokok ceri, atau buah teh yang sudah terlalu masak. Kadangkala, buah gatal itu, yang airnya merengsakan kulit. Mungkin buah merah ini adalah makanan utama beruang? Aku tak tahu. Mungkin. Kerana jika tiada buah, apa yang menjadi makanan mereka? Di hutan di sini, aku tak nampak binatang yang banyak untuk melengkapkan rantai makanan. Aku bimbang andai beruang-beruang ini tiada makanan, maka mereka akan mula memakan manusia. Namun itu tidak akan berlaku sekiranya orang Ainu dibenarkan memburu mereka. Baru-baru ini aku terbaca, kerajaan Jepun membenarkan pemburuan beruang ini berikutan kedapatan banyak kes serangan beruang. Mungkin beruang-beruang ini bolehlah kemas barang dan berpindah agaknya selepas mendengarkan ‘galakan’ kerajaan Jepun itu.

 

Sedang duduk-duduk di tepi pokok beri merah itu, aku perhati jalan raya di depan. Di hujung belah kiri jalan menuju ke bawah cerun adalah simpang bermulanya pendakianku pagi tadi dari Ropeway Iriguchi, dan di hujung simpang itu ialah bermulanya jalanraya ke Asahiyama Memorial Park. Pengunjung masih tidak ramai di sini, hanya beberapa orang yang datang untuk mendaki. Aku berharap mereka tidak diserang beruang.

 

Akhirnya pintu dibuka. Aku pun masuk dan meluru ke lif, naik ke tingkat dua. Di sana aku ke kaunter pembelian tiket untuk menaiki kereta kabel. Tiket dewasa berharga 2100 yen (sekitar RM63). Di sini ada dua stesen. Kereta kabel akan membawaku ke stesen tengah, dan dari stesen tengah aku akan menaiki satu lagi kereta kabel hingga ke puncak, di mana terletaknya balai cerap. Kedua-dua kereta kabel ini ada nama masing-masing. Kereta kabel yang pertama digelar Ropeway atau kereta gantung. Kereta gantung ini adalah sebenar-benar kereta kabel dan berupa seperti kereta kabel di Langkawi yang membawa penumpang ke Skydeck, juga kereta kabel di Arosa, Switzerland yang membawa penumpang ke puncak Aroser Weisshorn. Kereta kabel kedua dari stesen tengah ke balai cerap dinamakan kereta kabel mini atau Morris Car, dan bergerak di atas landasan seperti kereta funicular di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Meski bergerak di atas landasan, ia dipanggil kereta kabel juga kerana ada kabel di sisi kanan dan kiri landasan yang ‘memegang’ kereta ini sepanjang perjalanannya.

 

Menjelang jam sepuluh empat puluh lima, semua pengunjung dibenarkan masuk. Ada seorang lelaki Jepun, dan pasangan Kaukasian yang aku fikir dari Australian mendengarkan loghat bahasa Inggeris mereka, dan seorang perempuan tua Jepun dan aku pada waktu itu. Kami berbaris dan penjaga pintu menebuk tiket-tiket masuk kami. Kemudian kami berjalan menerusi satu terowong dan sampai di dek, di mana kereta gantung berwarna hijau menanti.

 

Ketika berada di dalam kereta gantung, aku dapat melihat panorama keseluruhan bandar Sapporo jauh di belakang, dan hutan shirakaba yang perang-perang daunnya di bawah. Ketinggian kereta gantung ini tidaklah terlalu menggayatkan, aku fikir sekitar tiga ratus meter sahaja dari aras tanah. Aku mengeluarkan handycam dan merakam sekeliling panorama. Mujur hari itu tidak hujan dan cerah. Jika hujan, pemandangan akan dikaburi kabus dan titisan hujan yang membasahi dinding kaca. Di sepanjang perjalanan ada suara rakaman berkumandang dan menjelaskan tentang kereta kabel itu, daya tarikan sekitar Sapporo yang boleh dilihat dari dinding kereta itu beserta sejarahnya. Tak ada terjemahan dalam bahasa Inggeris. Namun aku faham sedikit-sedikitlah. Aku mencerap balik tingkap dan lantai kaca kereta gantung ini kalau-kalau ada beruang sedang duduk memeluk batang pokok-pokok shirakaba di puncaknya, namun tiada. Di kejauhan aku boleh nampak kawasan kincir angin. Tak sangka Jepun pun ada ladang kincir angin. Ia terletak kira-kira sepuluh kilometer dari kawasan gunung ini. Ada menara putih di satu lereng pada gunung ini namun aku tak tahu apa fungsinya. Dalam lima belas ke dua puluh minit tergantung, aku pun sampai di stesen tengah.

 

Di sini, aku perlu beratur menunggu kereta kabel mini yang akan membawaku ke stesen puncak. Disebabkan hari ini hari bekerja dan masih di awal pagi, maka pengunjung tidak terlalu ramai. Di belakangku ada penumpang dari kereta gantung susulan pula. Cahaya matahari menerobos dari tingkap-tingkap kaca, hari yang cerah dan amat sesuai untuk bersiar-siar. Di stesen tengah ini juga engkau boleh keluar dan bersiar-siar menelusur laluan hutan di lereng gunung, namun itu akan aku lakukan kemudian sewaktu turun nanti.

 

Selepas penjaga pintu menebuk tiketku, aku dibenarkan memasuki kereta kabel mini. Kereta kabel mini ini berwarna hijau muda dan ada dua kereta yang digabungkan; satu gerabak di tingkat atas dan satu lagi gerabak di tingkat bawah. Aku memilih tingkat bawah. Perjalanan pun dimulakan selepas semua penumpang masuk. Kali ini kereta kabel bergerak di atas landasan. Dalam sekitar lima minit, aku pun sampai di stesen puncak. Di stesen ini ada dua tingkat. Entah mengapa aku pilih menaiki tangga ke tingkat atas dahulu. Tingkat atas berdinding kaca dan dapatlah aku mencerap panorama sekeliling puncak Gunung Moiwa ini. Ada kedai cenderamata yang menjual barangan berupa rantai kunci, makanan ringan, beg. Banyak corak pada barangan cenderamata ini diinspirasikan dari sejenis haiwan yang berupa seakan arnab bercampur musang, bertelinga panjang, ekor gebu dan berdiri atas dua kaki. Macam tupai pun ada, macam arnab pun ada, namun aku tak tahu binatang apa. Logo binatang ini ada di mana-mana, ada yang dijadikan patung kecil, ada yang dijadikan patung besar dan diletakkan di tepi dinding dengan poster dipegangnya menerangkan perkara berkaitan kawasan menarik di sekitar Sapporo, seperti patung di stesen tengah. 

 

Selepas masuk sekejap ke dalam kedai cenderamata, aku keluar dan turun ke bawah. Tiada cenderamata dibeli kerana aku sememangnya tidak berminat dengan cenderamata. Aku fikir membeli cenderamata menandakan engkau mungkin tidak akan kembali lagi ke sini, dan aku tidak gemar pemikiran begitu. Aku sampai di tingkat bawah dan keluar ke laman. Dari laman ini dapat dilihat nun jauh berdirinya gunung entah apa, dan bangunan-bangunan di bandar Sapporo, dan juga banjaran gunung yang diselaputi salji jauh di utara Sapporo. Ladang kincir angin dapat dilihat jelas dari sini, terletak di arah barat laut. Aku menyedari balai cerap di bumbung bangunan ini boleh dicapai melalui tangga yang hanya dapat dikesan dari luar bangunan ini. Aku pun naik ke balai cerap.

 

Rupanya sudah ada agak ramai pengunjung di balai cerap. Di sini ada teleskop yang akan berfungsi jika engkau masukkan 100yen. Aku sangat berminat dengan banjaran gunung bersalji yang berbalam-balam di kejauhan di utara itu. Demi mendapatkan imej yang lebih jelas, aku pun masukkan syiling 100yen ke dalam teleskop dan mengamati banjaran itu. Di sebelah teleskop ada papan kenyataan menerangkan nama-nama gunung pada banjaran itu. Juga, aku turut meneropong ke bandar Sapporo yang terbentang dari barat ke timur berlatarkan banjaran bersalji. Boleh dikatakan keseluruhan bandar Sapporo dapat dicerap dari sini. Mujur tiada salji lagi, jika tidak, sudah pasti pemandangan dari sini agak membosankan kerana segalanya putih belaka. Mujur juga aku datang pada siang hari, kerana di waktu malam, hanya lampu-lampu bangunan sahaja yang kelihatan. Mujur juga kerana hari ini cerah, jika tidak, sudah pasti banjaran gunung yang diselaputi salji itu tidak dapat dilihat juga dek awan-gemawan yang menyemak di ufuk.

 

Aku berlegar di sekitar dataran ini dan mendapati ada menara diletakkan di tengahnya, barangkali untuk tujuan komunikasi. Pengunjung ramai sibuk merakam suasana, ada yang mengambil gambar masing-masing. Ada yang merakam dengan kamera mahal dengan lensa sebesar botol air, membuatkan aku sedikit cemburu. Kurang-kurang harganya mungkin sekitar RM10k, mungkin aku perlu membuat pinjaman bank jika mahu membelinya. Kemudian aku bergerak ke satu tempat di mana pengunjung boleh menggantungkan mangga tanda mengabadikan cinta terhadap pasangan mereka. Mangga ini boleh dibeli dari satu mesin jual barang di situ. Aku mendapat tahu kawasan balai cerap ini menjadi tumpuan pasangan-pasangan, terutama pada hari Krismas, hari cuti dan sebagainya.

 

Aku kembali ke tangga dan turun. Aku perhati ada sisa salji pada tanah. Barangkali sudah ada salji turun beberapa hari lepas di sini. Selepas memikirkan tiada apa lagi perkara menarik yang boleh dilakukan, aku bercadang turun ke stesen tengah. Masuk sahaja aku ke dalam bangunan, kereta kabel mini sudah pun menunggu. Aku pun apa lagi, teruslah masuk. Nampaknya hanya aku seorang sahaja yang berada dalam kereta kabel ini. Aku tidak bercadang merakam dengan handycam lagi, kerana sudah merakamnya sewaktu naik tadi.

 

Ketika tiba di stesen tengah, aku nampak tulisan pada papan tanda memberitahu, kereta gantung seterusnya akan berlepas jam sebelas setengah untuk kembali ke stesen di bangunan putih tadi. Maka aku pun keluar ke laman di stesen tengah ini dan merayau-rayau di sekitarnya. Stesen tengah ini juga masih agak tinggi dari aras laut dan aku dapat melihat bandar Sapporo berbalam-balam di kaki gunung. Aku nampak ada tangga batu yang agak curam menuruni lereng berhutan daun luruh, barangkali pokok shirakaba. Aku hanya turun sedikit sahaja untuk mengamati hutan itu. Aku tidak perasan ada satu papan tanda pada awal laluan turun, sehinggalah bila aku memeriksa rakaman handycam kemudiannya. Papan tanda itu hanya bertulis dalam bahasa Jepun dan sebenarnya menegah pengunjung akan penampakan beruang! Mujur aku tidak bertemu dengan seekor pun ketika turun pada hari itu. Namun aku masih ingat sewaktu aku naik kembali, ada seorang lelaki tua dengan kayu pendakian, turun melalui tangga itu. Aku harap dia selamat kembali.

 

Perut mula berbunyi. Aku keluarkan onigiri yang dibeli siap-siap, dan memakannya. Aku membilas tekak dengan baki air yang dibeli dari mesin air di kaki gunung ini tadi. Kemudian aku makan telur dadar yang dibeli dari Lawson seingat aku. Telur dadar itu dilipat membentuk segiempat lonjong dan dipek dalam satu bekas plastik dan diperap dalam kicap. Sekali-sekala aku memandang ke atas pokok, takut-takut ada beruang sedang memerhati dari atas dan menanti peluang menerkam makanan dari tangan atau begku.

 

Jam baru pukul sebelas usai makan. Aku berjalan di sepanjang jalan yang membawa pengunjung berkereta ke laman stesen tengah. Aku susur jalan itu menuruni cerun. Di bahu jalan, kiri dan kanan dipenuhi hutan shirakaba. Hutan di sini tidak menyeramkan seperti hutan di tanahair yang berserabut, contohnya di Langkawi dan Cameron Highlands. Pokoknya tumbuh menegak dan tersusun, tidak bercabang-cabang, dan di lantainya tidak banyak tumbuhan renek, hanya rumpai yang sudah keperangan dan daun pokok yang sudah perang dan mati. Cahaya matahari masih dapat menembus sehingga ke permukaan tanah. Lantai hutan penuh dengan daun-daun kering. Suhu tidak terlalu sejuk, sekitar sepuluh darjah sahaja. Hari ini masih cerah tiada tanda-tanda akan hujan.

 

Aku masuk kembali ke dalam stesen tengah. Di kiri dan kanan pintu masuk ada mesin jual air. Aku menahan diri dari membeli. Mesin-mesin ini ada di mana-mana dan berupaya menjeratmu menjadi pembeli impulsif. Jika aku tidak menahan diri, barangkali akan banyaklah wangku terbuang ke mesin-mesin ini. Yang amat menggoda ialah harga airnya sekitar 100yen lebih sahaja dan ditambah pula dengan wang Jepun yang jatuh berbanding ringgit, ia menggandakan kuasa godaan itu.

 

Kereta gantung tiba dan aku pun naik. Masih tiada pengunjung lain yang naik bersamaku. Aku agak cuak juga kerana jika terjadi perkara tak diingini sebagai contoh, kereta itu terkandas di tengah-tengah kabel, habislah aku. Namun aku abaikan pemikiran itu dan mengambil peluang mencerap segenap dinding kaca, sesuatu yang sukar dilakukan jika ada penumpang lain.

 

Akhirnya aku tiba kembali di bangunan pintu masuk. Aku ambil lif turun, keluar dari lobi dan berjalan menelusuri jalanraya menuruni bukit menuju ke Ropeway Iriguchi. Pengunjung masih belum ramai di sini.

 

Sesampai di Ropeway Iriguchi, jam sudah pukul dua belas tengahari. Aku fikir masih banyak masa untuk diisi, maka aku bercadang ke Taman Nakajima. Aku bercadang ke sana menggunakan Sapporo Shiden atau kereta tram. Sapporo Shiden ini seakan LRT namun hanya ada satu gerabak dan bergerak atas rel atas tanah yang turut berkongsi jalan dengan kereta. Aku teringat kenderaan ini dahulu pernah aku naiki sewaktu mengembara ke Istanbul, Turki dan juga Oslo, Norway. Kenderaan begini fikirku hanya boleh dikendalikan di negara berdisiplin kerana jika tidak, banyaklah kemalangan dengan kereta berlaku. Sedang Sapporo sendiri pun mengalami kemalangan yang tidak kurang antara tram ini dengan kenderaan jalan, lagilah kalau ia dibangunkan dan dikendalikan di Malaysia di mana pemandunya ‘amatlah berdisiplin’...

 

Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana menaiki tram ini. Mulanya aku menunggu di bawah bumbung stesen Ropeway Iriguchi yang hanya satu platform sempit dan kecil didirikan di tengah-tengah jalanraya. Mujur aku kurus, kerana platform ini sungguh sempit dan hanya memuatkan seorang sahaja (penumpang boleh berdiri di sepanjang platform tetapi tidak boleh membuat barisan memanjang ke belakang). Tram tiba dan berhenti amat rapat dengan platform. Pintu masuknya ialah pada bahagian tengah sementara pintu depan untuk penumpang keluar dari tram. Aku mulanya tidak faham mengapa ketika aku masuk, tiada tempat sentuh kad tanpa tunai mahupun mesin yang akan mengeluarkan kertas penanda stesen di pintu belakang. Aku keluar dari tram itu kebingungan. Aku tunggu tram lain tiba untuk memerhati bagaimana penumpang tempatan membayarnya. Kemudian baru aku perasan, tiada seorang pun yang menyentuh kad semasa menaikinya di pintu belakang. Mereka hanya menyentuh kad di pintu depan. Yang membayar dengan tunai, hanya memasukkan duit syiling dalam kotak dan keluar. Kemudian aku baca arahan pada dinding belakang platform. Ada perkataan yang tidak aku fahami, aku cari dalam kamus pada telefon. Baru kufaham, rupanya tambangnya dibayar sebanyak 200yen sekali guna. 200yen untuk ke mana-mana, sekali guna sahaja. Maka aku pun naiklah tram seterusnya yang tiba tidak lama kemudian.

 

Pabila duduk dalam tram, aku pandang dinding atas yang bertampalan poster-poster memberitahu tambang tram ini. Betullah, 200yen sekali naik. Aku kerap memerhati peta dan mendengar pengumuman demi memastikan aku turun di stesen yang betul, iaitu Nakajima-Koen. Tram ini bergerak dalam laluan membulat, dan aku mengambil arah lawan jam. Ia tidak bersambung dengan sistem tren bawah tanah Sapporo, namun jika engkau menggunakan kad Kitaca (kad tanpa tunai) mereka, engkau boleh menggunakannya dalam kedua-dua sistem pengangkutan. Namun engkau harus keluar berjalan untuk menukar stesen iaitu di stesen Susukino.

 

Penumpang pengangkutan awam di Sapporo ini, termasuk tram ini, tidak pernah berkurang. Kebergantungan mereka terhadap pengangkutan awam sememangnya kuat, tidak seperti di Malaysia yang amat bergantung kepada pengangkutan sendiri terutama motosikal. Di sini juga aku kurang melihat penunggang basikal seperti di Osaka. Ramai menggunakan kereta namun kereta mereka tidaklah sebanyak kereta di Malaysia. Pengguna motosikal juga ada sekali-sekala namun aku perhati hanya motosikal kuasa tinggi sahaja yang banyak di sini.

 

Dalam tram itu, ada orang-orang tua yang memandangku aneh, mungkin kerana wajahku agaknya yang ketara berlainan daripada mereka, atau perlakuanku yang semacam gelabah (aku gelabah kerana aku tidak biasa menaiki kenderaan ini), atau mungkin kerana aku nampak seperti pengebom berani mati kerana parka hitam yang kupakai dengan beg sandang yang kugalas? Harapnya bukan begitu.

 

Tatkala tram berhenti di Nakajima Koen, aku berdiri di tepi konduktor. Namun konduktor tidak membuka pintu. Aku pun menekan satu butang merah bertanda ‘berhenti’. Barulah konduktor itu bertanyakanku ‘mahu keluarkah?’, aku pun jawab ‘ya’. Sebelum keluar aku masukkan dua keping syiling 100yen ke dalam kotak, dan turun aku keluar ke stesen Nakajima Koen. Di sana, aku perlu melintas jalan untuk ke Taman Nakajima yang terletak di belakang satu lorong di tengah-tengah barisan kedai dan rumah.

 

Langit masih cerah namun aku fikir hari sudah pun beransur petang meski baru jam satu tengahari. Aku menelusuri satu jambatan merentas saliran seperti sungai buatan dan menyusur laluan tebing sungai itu untuk memasuki taman tersebut. Ia taman biasa di Sapporo dengan pokok-pokok berdaun kuning dan perang ditanam di serata tempat.

 

Aku nampak ada ramai budak sekolah berhimpun di hadapan sebuah bangunan yang aku fahami sebuah dewan konsert. Aku tak tahu apa agenda mereka. Aku teruskan berjalan menikmati keindahan taman ini. Meski hari cerah, tak ramai yang keluar bersiar-siar, mungkin kerana cuaca sejuk. Aku tak kisah sebab aku tak adalah rasa sejuk sangat kerana telah banyak berjalan kaki. Aku rasa agak malas mengeluarkan handycam mahupun telefon bimbit bagi merakam gambar-gambar di sini, namun apa yang boleh aku rumuskan, taman ini lebih cantik berbanding Maruyama yang aku kunjungi semalam. Aku amat meminati pokok momiji yang berwarna merah itu. Aku tak sangka pokok ini boleh tumbuh lebih dari dua meter tinggi kerana biasanya pokok ini hanya bersaiz renek. Daunnya berbentuk seperti daun maple namun berwarna merah.

 

Aku berjalan sehingga ke hujung satu lagi taman. Di sana aku nampak banyak basikal terkumpul dalam satu kawasan berpagar. Ada papan tanda di situ bertuliskan sesuatu, yang mana sebahagian besarnya tidak aku fahami. Ketika tiba di sini, aku menyusur sebatang jalan raya di sepanjang bahu kanannya. Bersetentang denganku di seberang jalan ini ialah bangunan yang aku tak ingat apa fungsinya. Mulai dari sinilah aku mengambil keputusan berjalan tanpa hala tuju. Aku tidak perlu risau kerana ada akses GPS, Google Maps dan juga pengangkutan awamnya yang ada di mana-mana sahaja. Katakan capaian internet engkau mati atau bateri telefon mati, engkau pergi sahaja ke mana-mana sehingga bertemu landasan streetcar. Susuri landasan itu sehingga engkau bertemu stesennya dan tunggulah mana-mana tram untuk kau naiki sehingga tiba di stesen Susukino. Mudah bukan? Atau tunggu sahaja di mana-mana hentian bas untuk menaiki bas.

 

Sepanjang berjalan-jalan itu aku ada melalui kompleks rumah-rumah dan kedai-kedai, adakala sehingga aku termasuk ke dalam kawasan taman perumahan. Aku bertemu pasaraya yang berleluasa di sini bernama Seicomart. Boleh dikatakan kewujudannya di Sapporo membayangi pasaraya lain yang lebih terkenal seperti 7-Eleven, FamilyMart dan Lawson. Aku singgah di sebuah 7-Eleven untuk membeli ikan makerel panggang dan kudapan dan sedikit makan malam. Aku juga mahu mencari buah peach namun tidak kelihatan langsung dalam pasaraya itu. Mungkin aku harus cuba lagi esok di tempat lain.

 

Menjelang jam dua setengah petang aku mula merasakan laluanku berpusing pada kawasan yang sama. Aku mula merasakan perbuatanku merugikan, lantas aku memutus menaiki tram. Aku temui satu stesen di tengah-tengah jalan raya. Ketika tram tiba, ia hampir berlanggar dengan sebuah kereta, lantas hon tram itu dibunyikan, agak kuat sehingga aku terkejut beruk. Aku naik tram yang sampai, dan melalui tingkap dapat kulihat tram itu bergerak pada laluan yang sudah aku lalui tadi, bahkan berundur kembali ke Nakajima Koen. Aku mengeluh dalam hati. Namun aku tidak kisah sangat kerana hajat mahu meneroka seluruh Sapporo tercapai, sekurang-kurangnya sebahagian besar kawasan barat daya bandar ini.

 

Aku tiba di stesen Susukino, iaitu terletak di tengah-tengah jalan raya dan bangunan tinggi-tinggi di tengah bandar Sapporo ini. Aku keluar dan menuju ke stesen bawah tanah untuk kembali ke hotel. Jam sudah hampir pukul tiga. Jam empat seluruh bandar akan mula bergelap. Menurut pembacaan sebelum ke sini, di sekitar Susukino ini banyak kedai ramen. Namun kebiasaan resepi ramen mereka ada babi, dan aku bukanlah penggemar ramen yang tegar jadi tiada masalah sangat untuk aku lepaskan sahaja peluang makan-makan di sini.

 

Dari stesen Susukino, aku mengambil jalur Namboku menuju Asabu, di mana aku akan keluar ke Kitajunijo. Dari situ, aku hanya berjalan kaki ke hotel.

Cerita Kofu

Aku sudah lama merancang kelana kali ini, iaitu sejak November tahun 2024. Ketika merancangnya, aku hanya ingin menjadikan kelana kali ini s...