Saturday, January 13, 2024

Cerita Sapporo (Bahagian 5 - akhir)

Aku masih terkandas di Lapangan Terbang Chitose. Aku menghabiskan masa melayari internet dan termenung dan menerawang melihat-lihat manusia lalu-lalang sambil bersandar pada bangku. Aku letih psikologi. Sebenarnya aku bukanlah tiada wang, namun aku telah sumbatkan semuanya ke dalam ASB. Aku tidak mahu mengeluarkannya, itu sahaja. Jika keadaan terlalu menekan aku akan keluarkan juga, namun aku tak pasti sama ada aku akan berjaya mengeluarkannya secara atas talian, kerana meski pengeluaran atas talian dibenarkan, aku tidak pernah melakukannya, lagi-lagi dari luar negara. Satu lagi alternatif lain yang aku terfikirkan ialah aku boleh duduk di lapangan terbang ini sehingga Jumaat depan (24 November), kerana pada hari itu gaji akan masuk. Lagipun, aku sebenarnya belum puas berjalan-jalan di bandar Sapporo itu, bahkan aku masih belum berkesempatan melihat salji turun di sini.

 

Aku tepuk kepala. Tiket sudah dibeli! Mengapa aku tak terfikirkan perancangan ini awal-awal?

 

Jika diikutkan, wang tiga ratus ringgit lebih digabungkan dengan wang tunai yang aku ada, cukup untuk bermalam di hotel kapsul di bandar Sapporo, atau dorm sekurang-kurangnya. Satu malam di hotel kapsul ialah dalam sekitar 3000yen. Jika ditukarkan kepada ringgit, adalah dalam RM90. Katakanlah aku bermalam di lapangan terbang ini dua malam, maka jika aku mula bermalam di hotel kapsul atau dormitori selama empat malam sehingga Jumaat depan, aku habis dalam RM360. Masih cukup untuk aku sambung berjalan-jalan di bandar Sapporo sementara menanti hari gaji. Pada hari gaji itu nanti, aku akan membeli tiket pulang. Lagi pula, aku sememangnya dibenarkan berada di negara ini sehingga sembilan puluh hari dari tarikh aku dibenarkan masuk.

 

Aku menyoal diriku, buat apa pulang awal-awal? Namun yang silapnya sekarang, aku sudah membeli tiket pulang dan ia tidak boleh dipulangkan kembali.

 

Saat itu aku berasa agak menyesal kerana terburu-buru membeli tiket pulang. Namun nasi sudah menjadi bubur. Aku belajar sesuatu dari sini, iaitu keperluan untuk belajar bertenang ketika sedang dilanda masalah. Bila kita bertenang, akan ada idea lain datang. Aku dapat idea baru itu pun selepas aku duduk-duduk dan bertenang. Andai aku bertenang dan tidak gelabah membeli tiket baru tadi, sudah pasti aku boleh tinggal di sini lebih lama. Lagi pula, wang dari ibu berjumlah RM2600 itu dari cukup untuk membolehkan aku duduk di hotel yang lebih baik dari hotel kapsul atau dormitori. Cuti aku pun sehingga Ahad depan, maka tiada keperluan pun untuk pulang awal.

 

Tiga hari di sini sebenarnya tidak mencukupi. Dahulu ketika aku merancang lawatan ini, aku mulanya bercadang memperuntukkan tujuh hari. Namun aku fikir, tujuh hari akan membuatkan aku jelak. Ia pernah berlaku dahulu, ketika aku ke Switzerland. Pada hari kelapan aku di sana, aku tidak melakukan apa-apa lagi kerana naik jelak. Mungkin juga kerana pengembaraan aku di sana tidak dirancang (aku main redah sahaja), maka mungkin juga disebabkan itu aku kehabisan perancangan dan naik jelak. Berdasarkan pengalaman itu, aku pendekkan masa lawatan di Sapporo ini kepada empat hari sahaja. Namun peristiwa terlepaskan penerbangan ke Sapporo itu telah memendekkan masa lawatan di sini kepada tiga hari sahaja.

 

Aku hanya bersandar di bangku sambil mendengar lagu dari telefon bimbit, dan memerhati orang awam lalu-lalang. Tidak jauh di hadapanku ialah kedai serbaneka Lawson dan ada surau di hadapannya. Aku solat jamak Zohor dan Asar di sana. Selepas solat aku kembali duduk di bangku yang sama. Di belakangku ada deretan ruang mengecas telefon, di mana engkau boleh duduk sambil menunggu telefon dicas. Di depan kiriku ada kaunter menukar wang. Pada jam lima petang aku keluarkan onigiri dan makan malam. Waktu itu hari sudah pun gelap. Aku jamak Maghrib dan Isyak terus.

 

Pada jam lima dua puluh, aku mencari arah ke penerbangan domestik. Aku tidak menemuinya, lantas aku naik ke tingkat pelepasan. Di situ ada kaunter pertanyaan. Mujur penjaga kaunter bagus bahasa Inggerisnya, aku diberitahu untuk penerbangan Peach Aviation, aku perlu ke bahagian penerbangan domestik yang terletak di satu hujung bangunan. Maka aku bergegas ke sana sehingga menemui satu lapangan yang luas dan ramai orang. Kaunter daftar masuk Peach terletak di sayap kiri lapangan ini. Pabila aku masuk sahaja ke bahagian kiri, ada banyak kaunter seperti terminal bas TBS pula. Rupanya kaunter Peach terletak di bahagian paling hujung.

 

Melihatkan kaunter hanya dibuka jam enam dua puluh, aku pun turun ke bawah dahulu. Di bahagian bawah rupanya ialah terminal ketibaan domestik. Ya, di sinilah aku tiba tiga hari lepas, dari Osaka. Aku duduk di sini kerana di sini tidak terlalu ramai orang. Aku keluar sebentar kerana kepanasan, entah berapa suhu pemanas mereka tetapkan. Di luar cuaca sudah sejuk, hari sudah pun malam meski masih pukul lima lebih. Aku nampak mesin air lantas membeli sebotol minuman, kerana sejak aku makan malam tadi aku masih belum minum air. Selepas beberapa lama melepak di situ, aku kembali ke atas. Jika engkau menempah tiket Peach melalui aplikasinya, engkau boleh daftar masuk lebih awal dan ada lorong khas untuk tujuan itu. Namun disebabkan aku menempah melalui Agoda dan ia disekalikan dalam satu itinerari bersama Batik Air, maka aku perlu mendaftar masuk di kaunter. Proses daftar masuk berjalan lancar. Lebih kurang pukul tujuh lebih aku sudah dibenarkan masuk ke pesawat.

 

Penerbangan ke Narita hanya berlangsung selama sejam lebih sahaja. Disebabkan penerbangan ini penerbangan domestik, maka ramailah orang Jepun yang menaikinya. Sebaik tiba di Narita, aku perlu menaiki sebuah bas untuk ke pintu ketibaan. Dalam pukul sepuluh lebih malam waktu tempatan, aku tiba di pintu ketibaan tanpa perlu melalui kastam dan imigresen (kerana ia penerbangan domestik, sama seperti penerbangan dari Osaka ke Sapporo tempoh hari). Dari itinerari aku tahu tempat ketibaan ini ialah Terminal 1. Untuk mengambil penerbangan Batik Air ke KLIA, aku perlu bertukar ke Terminal 2. Ini adalah salah satu ciri penerbangan transit yang amat penting, di mana tempat ketibaan transit dan tempat berlepas transit berbeza. Ini juga pertama kali aku bertransit dengan cara ini, kerana aku tiada pilihan lain dan tiket ini adalah yang termurah yang aku perolehi. Mujur aku tiada bagasi, kerana jika tidak, aku perlu menuntutnya dahulu di tempat ambil bagasi dan padaku ini amatlah membuang masa dan melecehkan. Aku pun tak faham kenapa pelancong lain gemar membawa bagasi yang berat-berat seolah-olah mereka mahu membawa kehidupan dan rumah mereka sekali ketika melancong. Ia padaku tidak praktikal dan aku agak meluat dengan makhluk begini, yang juga melambatkan proses masuk pesawat. Jika melancong, maka lumrahlah kehidupan dalam pelancongan itu tidak sama dengan kehidupan sehari-hari, di mana engkau mungkin perlu memakai pakaian yang sama selama lima hari, tidak mandi, dan sebagainya.

 

Sampai di tingkat empat iaitu tingkat berlepas, hampir semua kaunter daftar masuk lengang. Aku melihat satu papan kenyataan yang dipenuhi logo-logo syarikat penerbangan, tiada logo Batik Air. Sudah pastilah, kerana aku di Terminal 1. Aku dapati tanda arah untuk ke hentian bas untuk ke Terminal 2 pada peta yang disediakan. Maka aku pun bergerak ke sana. Aku tidak bergegas kerana penerbangan Batik Air itu ialah pada jam lapan pagi esok.

 

Hentian bas itu dikatakan berada di tingkat LG. Aku pun turun beberapa tangga bergerak sehingga ke LG. Di LG, aku dapat ia terminal keretapi. Di mana hentian bas? Aku cuba tahan rasa gelabah. Aku tidak menyangka di Jepun pun boleh menghadapi kesulitan begini. Ya, papan tanda yang membawa engkau ke hentian bas untuk ke Terminal 2 kurang jelas di sini. Aku tadi ada meng-Google dan mendapati aku perlu mengambil bas ulang-alik untuk ke sana, namun di mana hentiannya?

 

Saat inilah aku perlu menggunakan logik. Bas biasanya tidak akan berhenti di bawah tanah, maka aku pun keluarlah dari lapangan terbang itu dan berjalan-jalan di kaki limanya, di sebelah kaki lima itu adalah jalan raya di mana kereta lalu-lalang. Di sinilah baru dapat aku lihat logo bas, dan jadual dan peta laluannya. Bahkan ada skrin menunjukkan lokasi semasa bas. Dari peta dan jadual itulah baru aku tahu di sini adalah tempat menunggu bas untuk ke Terminal 1. Aku menghembus nafas lega.

 

Bas pun sampai dan aku naik. Tak ramai di dalamnya, dalam empat orang sahaja termasuk aku. Jarak ke Terminal 2 agak jauh juga, dan perjalanan memakan masa hampir setengah jam. Bas itu berhenti di Terminal 3 dahulu sebelum tiba di Terminal 2.

 

Aku pun sampai di Terminal 2. Suasana sungguh lengang di sini. Aku hanya mahu mencari tempat tidur. Di mana aku boleh tidur? Maka aku merayau-rayau di sepanjang ruang legar. Banyak kedai sudah ditutup. Seperti biasa, ada banyak mesin-mesin jual barang, jual minuman, jual kopi, jual simkad. Selepas itu ada suara-suara terakam yang dimainkan berulang-ulang kali, seperti suara meminta engkau berhati-hati ketika menggunakan eskalator, suara iklan berulang-ulang dengan skrin pada satu mesin air memaparkan Nakajo Ayami melaram sebagai kaum bangsawan demi mempromosi minuman yang aku tak ingat apa. Aku boleh jamin sesiapapun boleh gila jika tinggal di lapangan terbang di Jepun, satu kerana tidak boleh tidur dek bunyi-bunyi ini, dan yang kedua, disebabkan bunyi-bunyi ini berulang, engkau akan jelak dan rasa mahu memusnahkan punca bunyi itu namun disebabkan mustahil ia dapat dilakukan (terutama bunyi di eskalator), maka engkau memusnahkan objek lain seperti bangku contohnya, dan ditangkap polis di sini.

 

Disebabkan aku hanya memakan onigiri dan jam sudah lewat sebelas malam, aku mulai lapar kembali. Aku menahan diri dari membeli kopi kerana aku ingin tidur dan juga demi mengurangkan rasa lapar. Aku tidak bertemu sebarang kedai makan di sini, kecuali yang tidak halal sahaja. Mujur, aku menemui 7-Eleven di tingkat bawah. Ia dibuka dua puluh empat jam. Aku hanya beli telur rebus. Selepas makan, aku fikir aku mahu mencari hotel transit. Aku bertemu hotel Nine Hours Narita, sebuah hotel kapsul. Di kaunter aku ditanya apakah aku ada membuat tempahan. Aku jawab tiada. Maka penjaga kaunter memberitahuku yang hotel sudah penuh. Aku beredar dalam hampa. Nampaknya terpaksalah aku tidur di sini.

 

Aku tidak akan tidur di bangku meskipun ada ramai yang melakukannya. Padaku bangku ialah tempat duduk. Aku membawa nama negaraku di sini, maka tidak eloklah jika perangai begitu dibawa dan ditunjukkan kepada Jepun. Oleh itu, aku hanya tidur secara duduk di bangku. Namun disebabkan ketidakselesaan, aku pun mengambil keputusan berbaring di atas lantai di belakang barisan bangku. Hanya di kawasan ini sahaja tidak terlalu ramai orang. Aku jadikan beg sandang sebagai bantal. Masih ada sekali-sekala bunyi yang mengganggu, seperti bunyi orang lalu-lalang, bunyi telefon, bunyi kereta vakum lantai, dan juga bunyi iklan berulang-ulang pada mesin air berhampiran. Namun bila sudah mengantuk, bunyi-bunyi itu mampu aku abaikan. Namun ada satu bunyi yang amat mengganggu yang akhirnya membuatkan aku terjaga dan tidak dapat meneruskan tidur, iaitu bunyi dari seorang lelaki yang sedang mengemas barang-barang di dalam begnya. Aku lihat lelaki itu bukan lelaki tempatan, dia seolah dari negara Arab atau India. Aku pun tak faham kenapa dia mengemas di sini. Sedari awal dia tiba di sini pun (sebelum aku mula tidur) dia nampak tak tentu hala dan gelisah, jenis tak duduk diam macam cacing kepanasan, sekejap duduk cara itu, sekejap duduk cara ini, maka kriuk-kreklah bunyi bangku. Aku fikir, macam seseorang yang sedang diaktifkan dadah. Sungguh merimaskan. Aku tidak tahu kawasan mana lagi aku boleh tidur, kerana semua kawasan lain di sini sudah penuh. Bila lelaki itu sudah reda sedikit, aku pun sambung tidur.

 

Aku hanya dapat tidur tiga jam sahaja. Masuk jam empat lebih, aku ke surau untuk solat subuh. Barulah aku nampak ada ramai dari warga yang tak silap aku dari sebarang negara Arab atau Pakistan atau Bangladesh, dalam dua ke tiga orang begitu, sedang enak tidur di sini. Padaku, aku tidak akan tidur di surau. Surau ialah tempat bersolat bukan untuk tidur. Ini kerana jika orang Islam boleh tidur di surau, maka bagaimana dengan penumpang lain yang bukan Islam? Bukankah tidak adil namanya begitu, hanya kerana engkau Islam dan dibolehkan masuk surau, maka engkau memanfaatkan kebenaran itu untuk tidur di surau... sungguh tidak elok dipandang. Budaya beginilah yang memburukkan pelancong dari negara Islam di mata masyarakat Jepun. Aku nampak seorang polis yang masuk memeriksa surau itu, dan mendapati mereka semua ini sedang tidur, hanya menggeleng-geleng kepala. Hendak ditegur serba salah dia. Sungguh memalukan. Aku tekad dalam diri aku tidak akan memalukan negara dan agama di sini.

 

Usai solat subuh, aku ada empat jam lagi sebelum berlepas. Tingkat berlepas ialah tingkat tiga. Laluannya sudah pun dibuka. Aku pergi membeli kopi di mesin kopi dahulu. Pada waktu itu baru aku perasan ada sekumpulan budak lelaki macam Melayu. Aku memandang mereka, namun mengalih pandang ke lain. Rupa mereka sungguh Melayu. Biasanya kalau aku bertemu orang yang aku syaki rakyat Malaysia di luar negara, aku akan cuba untuk tidak menegur mereka. Bukan kerana aku anti-sosial, tapi kerana aku sememangnya tak gemar berborak. Ia akan melarat, percayalah. Mula berborak, lepas itu ke mana-mana pun sama-sama, dan itu sangat merimaskan. Aku gemar berseorangan dan melayan dunia dalam kepala dan aku tidak suka berdampingan, disebabkan itu aku gemar melancong seorang diri. Melancong seorang diri juga menajamkan pemerhatian dan membolehkan aku merakam pemerhatian. Kalau melancong dengan orang lain, aku selalunya akan terlepaskan banyak pemerhatian.

 

Mendengarkan mereka berborak, dari intonasi percakapan mereka tahulah aku mereka dari Malaysia. Intonasi Indonesia lain sedikit. Aku buat-buat tidak nampak dan terus ke tingkat berlepas. Kaunter dibuka jam lima lima puluh pagi. Bila beratur sahaja aku, barisan mulai jadi semakin panjang. Proses daftar masuk berjalan lancar, dan aku fikir aku hanya mahu tidur. Bila aku amati barisan itu, rupanya kumpulan budak Melayu tadi juga akan menaiki pesawat sama. Aku harap aku tidak duduk berhampiran mereka.

 

Usai daftar masuk, aku duduk di bangku menanti pintu imigresen dan kastam dibuka jam tujuh pagi. Untuk mengelakkan kopi dalam botol yang aku beli tadi dirampas (walaupun aku fikir mereka tak akan rampas air engkau seperti di China, namun aku fikir risiko dirampas masih ada dan aku tak mahu bazirkan 150yen yang aku laburkan untuk kopi ini), maka aku habiskan isinya. Beg diimbas dan wajah dan pasport diimbas. Aku rasa aneh juga, kerana selalunya pasport aku akan dicop.

 

Tibalah aku di bangunan pintu berlepas. Aku terus ke pintu berlepas. Di sana aku duduk-duduk dan tidak berhajat membeli apa-apa lagi. Aku hanya mahu pulang. Jika diikutkan, aku sepatutnya bermalam di Beijing dan pagi ini aku sepatutnya masih tidur di hotel di Beijing atau mungkin, sedang berjalan-jalan di sekitar Beijing melawat Kota Larangan, jika aku menepati rancangan asal. Pada petangnya barulah aku akan mengambil pesawat Air China dari Beijing ke KL dan melengkapkan itinerari. Namun apakan daya, kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Hanya kerana terlepaskan satu penerbangan, habis semua penerbangan lain dalam itinerari sama terbatal. Satu peraturan dan polisi penerbangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. Satu kesilapan yang mahal harganya. Perancangan aku melawat China musnah dek kesilapan sendiri.

 

Orang Malaysia tidaklah terlalu ramai yang menaiki Batik Air ini. Mujur aku tidak duduk berhampiran budak Melayu itu. Aku tidak pasti siapa yang duduk di sebelahku, namun yang pastinya, dia seorang wanita India. Di sebelahku ialah pintu kecemasan. Di sepanjang perjalanan, aku hanya tidur. Tiada makanan diberi percuma, semua harus dibeli. Aku tidak selera makan, kerana aku terlalu mengantuk. Perjalanan selama hampir lapan jam itu sungguh membosankan. Lumrah penerbangan tambang murah beginilah, tiada paparan skrin, tiada aktiviti, tiada makanan. Aku memainkan lagu pada telefon bimbit berulang kali. Kadangkala aku buka tingkap sedikit untuk melihat awan, namun dek terlalu cerah cahaya matahari aku tutup sepanjang masa, agar silaunya tidak mengganggu penumpang lain. Aku tidur sehingga hilang segala kantuk yang tidak dilangsaikan sejak semalam.

 

Selepas lapan jam penerbangan yang membosankan dan meletihkan itu, aku tiba jua dengan selamat di KLIA pada jam lima petang lebih, 19 November 2023. Dengan ini, aku tamatkan diari travelog aku di sini. Secara umumnya, pengembaraan aku kali ini ada perasaan yang bercampur-baur. Ia sepatutnya perjalanan yang paling murah, namun bertukar menjadi perjalanan paling mahal dan paling menyusahkan. Namun pada masa yang sama, aku tak akan lupakan masa-masa di Jepun adalah yang paling menggembirakan dan menenangkan. Aku mendapat gambaran sebenar betapa menyusahkan lapangan terbang di Beijing, dan pengurusan dan stafnya. Namun tidak semua begitu, aku tidak lupakan pegawai yang bersimpati dengan nasibku dan menawarkan bantuan hotspot mereka. Mereka bersungguh dalam membantu, namun ada banyak yang boleh diperbaiki, seperti pemahaman mereka tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka dan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Boleh aku katakan, China ada rakyat yang baik namun kerajaan yang kurang memuaskan, rakyat menjadi mangsa paranoia kerajaan terhadap Amerika dan segala produknya terutama Google. Dari kelana ini juga aku tahu betapa pentingnya penggunaan proksi untuk mengakses Google dan semua produk Google ketika di China. Juga kelana ini mengubah tanggapan aku terhadap kad kredit. Aku selalu ada tanggapan buruk terhadap kad kredit, yang padaku akan menggalakkan orang berhutang dan menjerat penggunanya dalam perangkap hutang. Namun sebenarnya kad kredit amat membantu di kala engkau perlu berhutang namun tiada sesiapa yang sudi memberikan engkau hutang, di kala engkau memerlukan wang tunai namun wang tunai dalam akaun engkau tidak mencukupi. Aku fikir aku perlu membawa kad kredit ketika mengembara ke mana-mana selepas ini. Namun pada masa yang sama, aku perlu belajar mendisiplinkan diri agar tidak terjerat ke dalam perangkap hutang pula.

No comments:

Post a Comment

Cerita Kofu

Aku sudah lama merancang kelana kali ini, iaitu sejak November tahun 2024. Ketika merancangnya, aku hanya ingin menjadikan kelana kali ini s...