Pabila aku keluar dari Zoo Maruyama, hari semakin gelap dan sejuk. Suhu jatuh ke lima darjah Celsius seperti ditunjukkan satu papan tanda elektronik di luar zoo itu. Aku menyarung parka warna hitam yang kutanggalkan sewaktu dalam zoo tadi. Tangan diseluk ke dalam saku parka, jika dibiarkan di luar maka merasalah tanganku seperti diletak dalam peti sejuk. Aku berjalan laju menuju ke stesen tren Maruyama Koen, dengan menelusur lorong-lorong merentas hutan daun luruh yang aku lalui sejam lalu, untuk kembali ke hotel di stesen Kitajunijo. Jarak ke hotelku dari Kitajunijo amat dekat, iaitu sekitar tiga ratus meter sahaja. Pabila sampai di hotel, hari sudah pun Maghrib. Ketika mahu mendaftar masuk inilah aku sedikit gementar, takut-takut tempahan hotelku dibatalkan gara-gara kegagalan untuk hadir pada hari semalam. Namun aku bersyukur, penjaga kaunter itu, seorang lelaki tua, amat baik hati. Dia tidak membatalkan tempahan dan membenarkan aku menghabiskan baki tiga malam di situ tanpa bayaran tambahan. Dia juga bertanya dengan begitu sopan andai dia terpaksa mengambil bayaran malam hari pertama yang telah aku terlepaskan, dan aku mengatakan tidak mengapa kerana itu memang salahku. Ya, kerana kecuaian sendiri aku terlepaskan penerbangan ke sini sehingga terkesan pada tempahan ini dan terlepaskan penginapan satu malam di sini. Namun aku sudah cukup berpuas hati dia tidak membatalkan tempahanku di sini, dan dengan budi bicaranya itu aku telah terselamat dari kerugian yang besar.
Aku diberikan satu beg berisi tuala, dan lapik kaki. Dia juga memberitahu
akan menyerahkan tuala dan lapik kaki gantian dengan menyangkutnya pada pintu
pada setiap pagi, beserta baucer sarapan. Aku terus ke lif, dalam fikiran hanya
mahu melelapkan mata. Bilik hotel terletak di tingkat empat. Sarapan esok di
tingkat dua dan aku nampak simbol restoran pada butang tingkat dua dalam lif
itu. Juga, ada mesin basuh dan mesin jual air di tingkat lima.
Aku imbas kad hotel pada pengimbas di pintu bilik dan masuk. Biliknya
tidaklah terlalu besar cukup-cukup untuk seorang penghuni, namun amat bersih.
Ada televisyen, peti ais, cerek dan wifi. Tingkapnya dua lapis untuk menebat
sejuk. Bilik airnya agak kecil, namun dilengkapi tandas duduk automatik dan tab
mandi dan bekalan air panas. Aku perasan keseluruhan bahagian dalam bilik air
ini seperti satu modul. Maksudku, ia seolah ketika mereka membina bilik ini,
mereka dibekalkan satu modul bilik air yang hanya perlu dipasangkan ke dalam
bilik ini dan boleh ditanggalkan jika sudah tidak boleh digunakan, namun ini
semua hanya telahanku. Bahagian dalam ‘modul’ bilik air ini pula seolah satu
lapisan plastik tunggal yang melitup semua termasuk permukaan dalam tab mandi.
Ada air panas dan air sejuk dibekalkan, di mana kuantiti air panas dan air sejuk
boleh dikawal menggunakan pemulas masing-masing. Di negara sejuk memang
biasanya akan dibekalkan dua bekalan air berlainan suhu. Mangkuk tandasnya pula
adalah mangkuk tandas Jepun yang biasa di mata orang Jepun namun agak mengelirukan
buat pengunjung dari negara lain. Ia automatik, dan engkau perlu menekan satu
butang dengan simbol pancuran untuk mendapatkan pancuran air. Tiada hos getah
membekalkan air. Namun itu lebih baik dari tandas di UK yang langsung tidak
dibekalkan air, hanya tisu.
Aku sudah membeli makanan dari kedai serbaneka maka tidak perlu lagi keluar
malam ini. Aku hanya mahu berehat. Harapnya keletihan dua hari ini dihilangkan
sepenuhnya semalaman agar aku bertenaga untuk mengembara esok. Mengikut
perancangan, esok aku akan ke Gunung Moiwa di pinggir bandar ini. Namun aku
tidak mahu mengambil tram yang dipanggil Sapporo Streetcar itu. Aku mahu
berjalan kaki sejauh lebih kurang enam kilometer. Ini peluang, kerana berjalan
kaki di sini tidak memenatkan dek sejuknya dan juga udaranya yang kering
menyejatkan peluh dengan pantas dan membantu menyejukkan badan. Di tanahair
sendiri, usahkan enam kilometer, lima ratus meter pun sudah membuatkan engkau
lencun berpeluh.
16 November 2023
Aku terbangun jam tiga pagi. Oleh kerana Isyak di sini jam lima setengah
petang, maka aku boleh tidur seawal jam tujuh malam. Rasanya sudah hilang penat
semalam dek tidur tujuh jam itu. Aku ingin meminum kopi, namun serbuk kopi
tidak dibawa ke sini, bimbang dirampas di lapangan terbang. Maka aku teringat
sesuatu, yang mana ketika dalam lif semalam, aku nampak simbol mesin jual air
dan mesin basuh pada butang tingkat lima. Lantas, aku keluar sekejap ke tingkat
lima untuk beli kopi.
Jepun memang terkenal dengan kopi dalam tin. Kopi dalam tin memang
berleluasa di sini, dan rasanya amat mirip dengan kopi yang diseduh sendiri.
Ada macam-macam jenama, UCC, Georgia, Kirin... Wonda. Wonda pula banyak dijual
di Malaysia. Aku bertemu satu bilik yang agak sempit, di mana di dalam bilik
itulah ditempatkan sebuah mesin jual air dan mesin basuh layan diri. Di dalam
itu juga ada mesin tukar wang kertas kepada wang syiling. Di mesin jual air,
aku tidak nampak tanda-tanda mesin itu boleh menerima bayaran tanpa tunai. Aku
sudah bersedia membayar dengan wang syiling. Aku masukkan satu persatu syiling
dan kutekan butang air kopi berharga 140 yen. Gedegung! Kedengaran bunyi air
tin terhempas ke ruang pengambilan. Aku membuka pintu ruang pengambilan dan
mengambil tin air itu keluar. Ia jenama UCC Black.
Aku minum dan bersarapan telur rebus dan onigiri yang dibeli siap-siap
semalam dari AEON di belakang hotel ini. Selepas makan, aku menonton
video-video tidak bermanfaat di Youtube. Kemudian Subuh pun masuk jam empat
lebih. Selepas Subuh, aku membuat sedikit kira-kira berkenaan kerugian yang
kualami, beserta perbelanjaan semalam. Wang tunaiku masih ada sekitar 18000
yen, dari baki awal 21000 yen. Selebihnya ialah wang tunai dalam ringgit dan
Yuan. Aku membuka TV, dan ia hanya memaparkan rancangan berbahasa Jepun. Ada
yang aku faham, ada yang tidak. Kemahiran mendengar bahasa Jepunku masih di
tahap yang rendah. Namun rancangan Jepun punya satu kebiasaan yang amat aku
gemari; mereka sering meletakkan sarikata dalam bahasa mereka untuk dialog yang
juga dalam bahasa mereka. Ini kerana bahasa Jepun banyak perkataan yang sama
bunyi (homophonic) namun berlainan dari segi makna, dan hanya boleh
diasingkan maknanya dengan memahami konteks ayat atau dengan membaca tulisan
cina-nya yang dipanggil kanji itu. Disebabkan itu bahasa Jepun amat
mengelirukan, hanya mereka yang gigih sahaja yang mampu menguasainya. Aku fikir
aku belum cukup gigih lagi.
Aku sudah bersiap-siap untuk keluar. Pakaian lebih aku keluarkan dari beg.
Hanya makanan yang kubawa, beserta sarung tangan dan kain lilit leher dan topi
sejuk jika bersalji kelak. Long john juga dibawa. Beg tidak perlulah terlalu
berat kerana aku ingin berjalan jauh hari ini. Sebelum keluar, aku bersarapan
dahulu. Sarapan disediakan di tingkat dua bermula jam tujuh. Aku hanya perlu
meletakkan kupon sarapan di atas satu kaunter dan berjalan mengambil pada
bufet. Sarapan berupa roti mayat, sos, salad, sosej, telur hancur dan kopi. Aku
sempat menyoal tukang masak apakah sosej itu ada daging babi, katanya ya
selepas meminta memeriksa dahulu. Maka aku menahan diri dari mengambil sosej
dan hanya mengambil telur hancur dan roti dan salad. Kemudian aku tuang air
kopi ke dalam cawan kosong, dan bergerak ke tempat duduk. Semua pengunjung yang
kulihat rata-rata duduk berseorangan. Tiada keluarga dan budak kecil di sini. Aku
pun ambil sudu dan sapu telur hancur pada roti dan mula makan. Selepas itu aku
bilas tekak dengan kopi, iaitu kopi kedua hari ini. Sarapan yang ringkas, dan
pantas. Saat keluar, aku perasan ada bilik khas untuk merokok di tepi pintu
keluar, dan ada seorang perempuan pertengahan umur sedang merokok di dalam,
rasanya perempuan Jepun. Aku pun keluar, kembali ke bilik untuk mengambil beg,
dan memulakan kembara.
Saat keluar dari hotel, cuaca tidaklah sesejuk mana, sekitar sepuluh darjah
Celsius. Langit sungguh cerah, jam menginjak tujuh setengah pagi. Aku mengambil
haluan ke kanan sehingga bertemu simpang. Di sana aku toleh ke kanan lagi,
berjalan terus ke arah stesen JR Sapporo. Orang ramai mulai memenuhi kawasan
kaki lima-kaki lima untuk ke tempat kerja dan sekolah. Aku berjalan berpandukan
GPS sehingga melintas tepi Taman Odori dan bangunan lama kerajaan Hokkaido.
Selepas sejam berjalan, aku tiba di kawasan di mana tram atau Sapporo
Streetcar mula memunculkan diri. Tram ini hanya beroperasi di satu kawasan di
barat daya Sapporo dan membuat laluan bulatan, seperti Circle Line di London
(namun Circle Line ialah tren bawah tanah). Aku fikir waktu itu aku sudah
tersesat juga. Sasaranku ialah stesen Ropeway Iriguchi, di mana jika aku
mengambil streetcar untuk ke kereta kabel Gunung Moiwa, maka aku perlu
turun di sini. Disebabkan aku berjalan kaki, maka stesen itu tetap adalah
destinasi utama kerana dari situlah pintu masuk ke kereta kabel Gunung Moiwa
dapat dicari dengan mudah.
Maka aku pun buka GPS kembali demi menentukan arah yang tepat ke Ropeway
Iriguchi. Berjalan lagi aku sehingga bertemu satu simpang empat. Dari GPS, aku
perlu melalui satu lorong di belakang kumpulan apartmen yang berketinggian lima
tingkat tak silap aku. Akhirnya menjelang sembilan setengah pagi, aku pun
sampai di Ropeway Iriguchi. Sejuk tidak terasa seperti jangkaanku. Parka aku
buka dan hanya berkemeja sehelai. Peluh di belakang badan yang tidak lencun
mengering dengan pantas dek udara kering dan sejuk. Cuaca masih cerah, tiada tanda
akan bersalji hari ini. Gunung Moiwa yang ditumbuhi pokok-pokok birch putih (shirakaba)
dari kaki ke puncak yang sudah kuning dan perang daun-daunnya tersergam dari
Ropeway Iriguchi. Aku berdiri di sebelah tanah kosong terbiar dan mengambil
foto Gunung Moiwa. Jaket parka aku tanggal dan pegang dan aku biarkan peluh
pada kemeja mengering oleh cuaca yang sejuk dan kering ini. Kemudian aku ikut
susur kaki lima yang di kanannya stesen Ropeway Iriguchi, aku belok ke kiri dan
berjalan terus sehingga bertemu simpang empat. Aku lintas simpang itu dan terus
menyusur kaki lima sehingga bertemu satu bukit, yang mana aku perlu belok ke kiri
sambil mendaki bukit itu. Di kananku adalah laluan berkereta. Jika pengunjung
tidak mahu berjalan kaki, mereka boleh menunggu bas di Ropeway Iriguchi dan bas
akan membawa mereka mendaki bukit ini melalui jalan di kananku ini sehingga ke
pintu masuk kereta kabel. Jika aku belok ke kanan di bukit itu, aku akan ke
Asahiyama Memorial Park, salah satu taman awam di bandar ini. Sapporo memiliki
banyak taman awam, dan salah satu taman tersebut ialah taman hutan di Nopporo
di pinggir bandar ini, yang mana aku rancang untuk mengunjunginya pada hari
esok.
Dek berjalan dan mendaki, aku tidak terasa langsung sejuk sepuluh darjah
Celsius. Cuaca pagi ini sangat cerah dan tiada angin kuat seperti kebiasaan
musim luruh. Lazimnya Sapporo sudah bersalji pada sekitar November, namun aku
tidak pasti atas sebab apa, Sapporo sekarang masih di kemuncak musim luruh. Aku
ada terbaca kemudiannya, musim panas di keseluruhan Jepun tahun ini agak
panjang akibat pemanasan global. Mungkin itulah sebabnya.
Akhirnya aku sampai di puncak bukit selepas mendaki lebih kurang sepuluh
minit. Jika diukur jarak dari hotel ke sini dengan berjalan kaki, aku sudah
melepasi lebih enam kilometer dalam masa hampir dua jam. Satu pencapaian yang
boleh dibanggakan. Aku puas hati kerana sememangnya tujuan utama aku datang ke
sini ialah untuk berjalan kaki kerana dengan cuaca yang sejuk, berjalan tidak
memenatkan seperti di tanahair.
Bangunan pintu masuk kereta kabel yang serba putih masih ditutup. Ia hanya
akan dibuka jam sepuluh. Aku lihat jam menunjukkan pukul sembilan setengah
pagi. Masih ada masa untuk dibuang sementara menanti bangunan itu dibuka, maka
aku pun mendaki satu susur merentas semak yang sudah kuning, menuju ke atas
bukit di bahagian kanan bangunan itu. Pokok-pokok shirakaba yang
kurus-kurus dan berbatang putih dan tumbuh berjarak-jarak antara satu sama
lain, memenuhi bahagian atas bukit. Pokok ini memang berleluasa di Sapporo. Aku
teruskan berjalan di atas bukit berhutan perang itu sehingga bertemu satu pagar
dengan pintunya dirantai dan bertuliskan ‘tidak dibenarkan masuk’. Sebenarnya
pintu itu ialah pintu masuk ke satu muzium berkenaan pengairan. Aku tak faham
sangat. Aku pun bawa keluar handycam dan rakam sekeliling. Dari celah-celah
pokok hutan pada lereng bukit aku dapat lihat bangunan-bangunan di bandar
Sapporo yang mengecil. Kala merakam sekeliling aku terperasan ada papan tanda
memberi amaran kedapatan beruang di dalam hutan itu! Seriau aku. Baru aku
teringat, utara Jepun memang banyak beruang. Beruang-beruang ini yang dipanggil
kuma, selalunya tewas kepada orang asli Ainu. Orang Ainu, iaitu penduduk
asal pulau Hokkaido ini sebelum Jepun mengambilnya sebagai koloni, menjadikan
beruang itu sumber pakaian dan makanan mereka. Beruang-beruang ini biasanya
tidak akan engkau sedari kehadiran mereka kerana mereka boleh memanjat pokok.
Jadi jangan haraplah engkau boleh menyelamatkan diri dengan memanjat pokok jika
dikejarnya. Aku terbayang-bayang andai beruang ini terjun dari atas pokok tiba-tiba
dan menerkamku sedang aku tak sedar pun akan kehadirannya...
Abaikan pemikiran hitam itu. Aku pun turun kembali ke bawah. Aku nampak ada
seorang perempuan Jepun berjalan-jalan membawa anjingnya ke sini dan seolah
terkejut dengan kehadiranku. Melihatkan perempuan itu ke sini, aku fikir
kawasan ini adalah kawasan bersiar-siar yang biasa untuk penduduk sekitar sini,
maka ia bukanlah kawasan berbahaya meskipun ada amaran penampakan beruang itu.
Aku tiba di bawah tepat jam sepuluh. Namun melihatkan pintu bangunan putih itu
seakan belum dibuka, aku pun berjalan-jalan dahulu. Di belah kiri jalan ada
pusat latihan pengakap dan bermain ski. Aku beli air minuman dari satu mesin
jual air. Ketika menunggu air diturunkan, aku ternampak pasangan tua Jepun
dengan kayu pendaki, barangkali mereka mahu mendaki Gunung Moiwa sehingga ke
puncak, iaitu alternatif selain dengan menaiki kereta kabel. Kemudian aku
melintas satu barisan pili air. Pada barisan itu ada tertulis ‘Dilarang meminum
air dari pili air ini.’ Tiada terjemahan bahasa Inggeris disertakan. Aku fikir
andai aku tidak memahami bahasa Jepun, mungkin aku telah meminum air pili itu
di kala dahaga. Air dari pili itu hanya untuk tujuan membasuh dan menyiram
tanaman sahaja.
Aku jumpa pokok renek dengan beri berwarna merah seakan buah kopi yang ditanam
di bahu jalan dengan dibenteng menggunakan bata, namun aku tidak tahu pokok
apakah itu. Di tanahair, buah merah seperti ini selalunya pokok ceri, atau buah
teh yang sudah terlalu masak. Kadangkala, buah gatal itu, yang airnya
merengsakan kulit. Mungkin buah merah ini adalah makanan utama beruang? Aku tak
tahu. Mungkin. Kerana jika tiada buah, apa yang menjadi makanan mereka? Di
hutan di sini, aku tak nampak binatang yang banyak untuk melengkapkan rantai
makanan. Aku bimbang andai beruang-beruang ini tiada makanan, maka mereka akan
mula memakan manusia. Namun itu tidak akan berlaku sekiranya orang Ainu
dibenarkan memburu mereka. Baru-baru ini aku terbaca, kerajaan Jepun
membenarkan pemburuan beruang ini berikutan kedapatan banyak kes serangan
beruang. Mungkin beruang-beruang ini bolehlah kemas barang dan berpindah
agaknya selepas mendengarkan ‘galakan’ kerajaan Jepun itu.
Sedang duduk-duduk di tepi pokok beri merah itu, aku perhati jalan raya di
depan. Di hujung belah kiri jalan menuju ke bawah cerun adalah simpang
bermulanya pendakianku pagi tadi dari Ropeway Iriguchi, dan di hujung simpang
itu ialah bermulanya jalanraya ke Asahiyama Memorial Park. Pengunjung masih tidak
ramai di sini, hanya beberapa orang yang datang untuk mendaki. Aku berharap
mereka tidak diserang beruang.
Akhirnya pintu dibuka. Aku pun masuk dan meluru ke lif, naik ke tingkat
dua. Di sana aku ke kaunter pembelian tiket untuk menaiki kereta kabel. Tiket
dewasa berharga 2100 yen (sekitar RM63). Di sini ada dua stesen. Kereta kabel akan
membawaku ke stesen tengah, dan dari stesen tengah aku akan menaiki satu lagi
kereta kabel hingga ke puncak, di mana terletaknya balai cerap. Kedua-dua
kereta kabel ini ada nama masing-masing. Kereta kabel yang pertama digelar
Ropeway atau kereta gantung. Kereta gantung ini adalah sebenar-benar kereta
kabel dan berupa seperti kereta kabel di Langkawi yang membawa penumpang ke
Skydeck, juga kereta kabel di Arosa, Switzerland yang membawa penumpang ke
puncak Aroser Weisshorn. Kereta kabel kedua dari stesen tengah ke balai cerap
dinamakan kereta kabel mini atau Morris Car, dan bergerak di atas landasan
seperti kereta funicular di Bukit Bendera, Pulau Pinang. Meski bergerak
di atas landasan, ia dipanggil kereta kabel juga kerana ada kabel di sisi kanan
dan kiri landasan yang ‘memegang’ kereta ini sepanjang perjalanannya.
Menjelang jam sepuluh empat puluh lima, semua pengunjung dibenarkan masuk.
Ada seorang lelaki Jepun, dan pasangan Kaukasian yang aku fikir dari Australian
mendengarkan loghat bahasa Inggeris mereka, dan seorang perempuan tua Jepun dan
aku pada waktu itu. Kami berbaris dan penjaga pintu menebuk tiket-tiket masuk
kami. Kemudian kami berjalan menerusi satu terowong dan sampai di dek, di mana
kereta gantung berwarna hijau menanti.
Ketika berada di dalam kereta gantung, aku dapat melihat panorama
keseluruhan bandar Sapporo jauh di belakang, dan hutan shirakaba yang
perang-perang daunnya di bawah. Ketinggian kereta gantung ini tidaklah terlalu
menggayatkan, aku fikir sekitar tiga ratus meter sahaja dari aras tanah. Aku
mengeluarkan handycam dan merakam sekeliling panorama. Mujur hari itu tidak
hujan dan cerah. Jika hujan, pemandangan akan dikaburi kabus dan titisan hujan
yang membasahi dinding kaca. Di sepanjang perjalanan ada suara rakaman
berkumandang dan menjelaskan tentang kereta kabel itu, daya tarikan sekitar
Sapporo yang boleh dilihat dari dinding kereta itu beserta sejarahnya. Tak ada
terjemahan dalam bahasa Inggeris. Namun aku faham sedikit-sedikitlah. Aku
mencerap balik tingkap dan lantai kaca kereta gantung ini kalau-kalau ada
beruang sedang duduk memeluk batang pokok-pokok shirakaba di puncaknya,
namun tiada. Di kejauhan aku boleh nampak kawasan kincir angin. Tak sangka
Jepun pun ada ladang kincir angin. Ia terletak kira-kira sepuluh kilometer dari
kawasan gunung ini. Ada menara putih di satu lereng pada gunung ini namun aku
tak tahu apa fungsinya. Dalam lima belas ke dua puluh minit tergantung, aku pun
sampai di stesen tengah.
Di sini, aku perlu beratur menunggu kereta kabel mini yang akan membawaku
ke stesen puncak. Disebabkan hari ini hari bekerja dan masih di awal pagi, maka
pengunjung tidak terlalu ramai. Di belakangku ada penumpang dari kereta gantung
susulan pula. Cahaya matahari menerobos dari tingkap-tingkap kaca, hari yang
cerah dan amat sesuai untuk bersiar-siar. Di stesen tengah ini juga engkau
boleh keluar dan bersiar-siar menelusur laluan hutan di lereng gunung, namun
itu akan aku lakukan kemudian sewaktu turun nanti.
Selepas penjaga pintu menebuk tiketku, aku dibenarkan memasuki kereta kabel
mini. Kereta kabel mini ini berwarna hijau muda dan ada dua kereta yang
digabungkan; satu gerabak di tingkat atas dan satu lagi gerabak di tingkat
bawah. Aku memilih tingkat bawah. Perjalanan pun dimulakan selepas semua
penumpang masuk. Kali ini kereta kabel bergerak di atas landasan. Dalam sekitar
lima minit, aku pun sampai di stesen puncak. Di stesen ini ada dua tingkat.
Entah mengapa aku pilih menaiki tangga ke tingkat atas dahulu. Tingkat atas
berdinding kaca dan dapatlah aku mencerap panorama sekeliling puncak Gunung
Moiwa ini. Ada kedai cenderamata yang menjual barangan berupa rantai kunci,
makanan ringan, beg. Banyak corak pada barangan cenderamata ini diinspirasikan
dari sejenis haiwan yang berupa seakan arnab bercampur musang, bertelinga
panjang, ekor gebu dan berdiri atas dua kaki. Macam tupai pun ada, macam arnab
pun ada, namun aku tak tahu binatang apa. Logo binatang ini ada di mana-mana,
ada yang dijadikan patung kecil, ada yang dijadikan patung besar dan diletakkan
di tepi dinding dengan poster dipegangnya menerangkan perkara berkaitan kawasan
menarik di sekitar Sapporo, seperti patung di stesen tengah.
Selepas masuk sekejap ke dalam kedai cenderamata, aku keluar dan turun ke
bawah. Tiada cenderamata dibeli kerana aku sememangnya tidak berminat dengan
cenderamata. Aku fikir membeli cenderamata menandakan engkau mungkin tidak akan
kembali lagi ke sini, dan aku tidak gemar pemikiran begitu. Aku sampai di
tingkat bawah dan keluar ke laman. Dari laman ini dapat dilihat nun jauh
berdirinya gunung entah apa, dan bangunan-bangunan di bandar Sapporo, dan juga
banjaran gunung yang diselaputi salji jauh di utara Sapporo. Ladang kincir
angin dapat dilihat jelas dari sini, terletak di arah barat laut. Aku menyedari
balai cerap di bumbung bangunan ini boleh dicapai melalui tangga yang hanya
dapat dikesan dari luar bangunan ini. Aku pun naik ke balai cerap.
Rupanya sudah ada agak ramai pengunjung di balai cerap. Di sini ada
teleskop yang akan berfungsi jika engkau masukkan 100yen. Aku sangat berminat
dengan banjaran gunung bersalji yang berbalam-balam di kejauhan di utara itu.
Demi mendapatkan imej yang lebih jelas, aku pun masukkan syiling 100yen ke
dalam teleskop dan mengamati banjaran itu. Di sebelah teleskop ada papan
kenyataan menerangkan nama-nama gunung pada banjaran itu. Juga, aku turut
meneropong ke bandar Sapporo yang terbentang dari barat ke timur berlatarkan
banjaran bersalji. Boleh dikatakan keseluruhan bandar Sapporo dapat dicerap
dari sini. Mujur tiada salji lagi, jika tidak, sudah pasti pemandangan dari
sini agak membosankan kerana segalanya putih belaka. Mujur juga aku datang pada
siang hari, kerana di waktu malam, hanya lampu-lampu bangunan sahaja yang
kelihatan. Mujur juga kerana hari ini cerah, jika tidak, sudah pasti banjaran
gunung yang diselaputi salji itu tidak dapat dilihat juga dek awan-gemawan yang
menyemak di ufuk.
Aku berlegar di sekitar dataran ini dan mendapati ada menara diletakkan di
tengahnya, barangkali untuk tujuan komunikasi. Pengunjung ramai sibuk merakam
suasana, ada yang mengambil gambar masing-masing. Ada yang merakam dengan
kamera mahal dengan lensa sebesar botol air, membuatkan aku sedikit cemburu.
Kurang-kurang harganya mungkin sekitar RM10k, mungkin aku perlu membuat
pinjaman bank jika mahu membelinya. Kemudian aku bergerak ke satu tempat di
mana pengunjung boleh menggantungkan mangga tanda mengabadikan cinta terhadap
pasangan mereka. Mangga ini boleh dibeli dari satu mesin jual barang di situ.
Aku mendapat tahu kawasan balai cerap ini menjadi tumpuan pasangan-pasangan,
terutama pada hari Krismas, hari cuti dan sebagainya.
Aku kembali ke tangga dan turun. Aku perhati ada sisa salji pada tanah.
Barangkali sudah ada salji turun beberapa hari lepas di sini. Selepas
memikirkan tiada apa lagi perkara menarik yang boleh dilakukan, aku bercadang
turun ke stesen tengah. Masuk sahaja aku ke dalam bangunan, kereta kabel mini
sudah pun menunggu. Aku pun apa lagi, teruslah masuk. Nampaknya hanya aku
seorang sahaja yang berada dalam kereta kabel ini. Aku tidak bercadang merakam
dengan handycam lagi, kerana sudah merakamnya sewaktu naik tadi.
Ketika tiba di stesen tengah, aku nampak tulisan pada papan tanda
memberitahu, kereta gantung seterusnya akan berlepas jam sebelas setengah untuk
kembali ke stesen di bangunan putih tadi. Maka aku pun keluar ke laman di
stesen tengah ini dan merayau-rayau di sekitarnya. Stesen tengah ini juga masih
agak tinggi dari aras laut dan aku dapat melihat bandar Sapporo berbalam-balam
di kaki gunung. Aku nampak ada tangga batu yang agak curam menuruni lereng
berhutan daun luruh, barangkali pokok shirakaba. Aku hanya turun sedikit
sahaja untuk mengamati hutan itu. Aku tidak perasan ada satu papan tanda pada
awal laluan turun, sehinggalah bila aku memeriksa rakaman handycam kemudiannya.
Papan tanda itu hanya bertulis dalam bahasa Jepun dan sebenarnya menegah
pengunjung akan penampakan beruang! Mujur aku tidak bertemu dengan seekor pun
ketika turun pada hari itu. Namun aku masih ingat sewaktu aku naik kembali, ada
seorang lelaki tua dengan kayu pendakian, turun melalui tangga itu. Aku harap
dia selamat kembali.
Perut mula berbunyi. Aku keluarkan onigiri yang dibeli siap-siap, dan
memakannya. Aku membilas tekak dengan baki air yang dibeli dari mesin air di
kaki gunung ini tadi. Kemudian aku makan telur dadar yang dibeli dari Lawson
seingat aku. Telur dadar itu dilipat membentuk segiempat lonjong dan dipek
dalam satu bekas plastik dan diperap dalam kicap. Sekali-sekala aku memandang
ke atas pokok, takut-takut ada beruang sedang memerhati dari atas dan menanti
peluang menerkam makanan dari tangan atau begku.
Jam baru pukul sebelas usai makan. Aku berjalan di sepanjang jalan yang
membawa pengunjung berkereta ke laman stesen tengah. Aku susur jalan itu
menuruni cerun. Di bahu jalan, kiri dan kanan dipenuhi hutan shirakaba.
Hutan di sini tidak menyeramkan seperti hutan di tanahair yang berserabut,
contohnya di Langkawi dan Cameron Highlands. Pokoknya tumbuh menegak dan
tersusun, tidak bercabang-cabang, dan di lantainya tidak banyak tumbuhan renek,
hanya rumpai yang sudah keperangan dan daun pokok yang sudah perang dan mati.
Cahaya matahari masih dapat menembus sehingga ke permukaan tanah. Lantai hutan
penuh dengan daun-daun kering. Suhu tidak terlalu sejuk, sekitar sepuluh darjah
sahaja. Hari ini masih cerah tiada tanda-tanda akan hujan.
Aku masuk kembali ke dalam stesen tengah. Di kiri dan kanan pintu masuk ada
mesin jual air. Aku menahan diri dari membeli. Mesin-mesin ini ada di mana-mana
dan berupaya menjeratmu menjadi pembeli impulsif. Jika aku tidak menahan diri,
barangkali akan banyaklah wangku terbuang ke mesin-mesin ini. Yang amat
menggoda ialah harga airnya sekitar 100yen lebih sahaja dan ditambah pula
dengan wang Jepun yang jatuh berbanding ringgit, ia menggandakan kuasa godaan
itu.
Kereta gantung tiba dan aku pun naik. Masih tiada pengunjung lain yang naik
bersamaku. Aku agak cuak juga kerana jika terjadi perkara tak diingini sebagai
contoh, kereta itu terkandas di tengah-tengah kabel, habislah aku. Namun aku
abaikan pemikiran itu dan mengambil peluang mencerap segenap dinding kaca,
sesuatu yang sukar dilakukan jika ada penumpang lain.
Akhirnya aku tiba kembali di bangunan pintu masuk. Aku ambil lif turun,
keluar dari lobi dan berjalan menelusuri jalanraya menuruni bukit menuju ke Ropeway
Iriguchi. Pengunjung masih belum ramai di sini.
Sesampai di Ropeway Iriguchi, jam sudah pukul dua belas tengahari. Aku
fikir masih banyak masa untuk diisi, maka aku bercadang ke Taman Nakajima. Aku
bercadang ke sana menggunakan Sapporo Shiden atau kereta tram. Sapporo Shiden
ini seakan LRT namun hanya ada satu gerabak dan bergerak atas rel atas tanah
yang turut berkongsi jalan dengan kereta. Aku teringat kenderaan ini dahulu
pernah aku naiki sewaktu mengembara ke Istanbul, Turki dan juga Oslo, Norway.
Kenderaan begini fikirku hanya boleh dikendalikan di negara berdisiplin kerana
jika tidak, banyaklah kemalangan dengan kereta berlaku. Sedang Sapporo sendiri
pun mengalami kemalangan yang tidak kurang antara tram ini dengan kenderaan
jalan, lagilah kalau ia dibangunkan dan dikendalikan di Malaysia di mana
pemandunya ‘amatlah berdisiplin’...
Aku sebenarnya tidak tahu bagaimana menaiki tram ini. Mulanya aku menunggu
di bawah bumbung stesen Ropeway Iriguchi yang hanya satu platform sempit dan
kecil didirikan di tengah-tengah jalanraya. Mujur aku kurus, kerana platform
ini sungguh sempit dan hanya memuatkan seorang sahaja (penumpang boleh berdiri
di sepanjang platform tetapi tidak boleh membuat barisan memanjang ke
belakang). Tram tiba dan berhenti amat rapat dengan platform. Pintu masuknya
ialah pada bahagian tengah sementara pintu depan untuk penumpang keluar dari
tram. Aku mulanya tidak faham mengapa ketika aku masuk, tiada tempat sentuh kad
tanpa tunai mahupun mesin yang akan mengeluarkan kertas penanda stesen di pintu
belakang. Aku keluar dari tram itu kebingungan. Aku tunggu tram lain tiba untuk
memerhati bagaimana penumpang tempatan membayarnya. Kemudian baru aku perasan,
tiada seorang pun yang menyentuh kad semasa menaikinya di pintu belakang. Mereka
hanya menyentuh kad di pintu depan. Yang membayar dengan tunai, hanya
memasukkan duit syiling dalam kotak dan keluar. Kemudian aku baca arahan pada
dinding belakang platform. Ada perkataan yang tidak aku fahami, aku cari dalam
kamus pada telefon. Baru kufaham, rupanya tambangnya dibayar sebanyak 200yen
sekali guna. 200yen untuk ke mana-mana, sekali guna sahaja. Maka aku pun
naiklah tram seterusnya yang tiba tidak lama kemudian.
Pabila duduk dalam tram, aku pandang dinding atas yang bertampalan
poster-poster memberitahu tambang tram ini. Betullah, 200yen sekali naik. Aku
kerap memerhati peta dan mendengar pengumuman demi memastikan aku turun di
stesen yang betul, iaitu Nakajima-Koen. Tram ini bergerak dalam laluan
membulat, dan aku mengambil arah lawan jam. Ia tidak bersambung dengan sistem
tren bawah tanah Sapporo, namun jika engkau menggunakan kad Kitaca (kad tanpa
tunai) mereka, engkau boleh menggunakannya dalam kedua-dua sistem pengangkutan.
Namun engkau harus keluar berjalan untuk menukar stesen iaitu di stesen
Susukino.
Penumpang pengangkutan awam di Sapporo ini, termasuk tram ini, tidak pernah
berkurang. Kebergantungan mereka terhadap pengangkutan awam sememangnya kuat,
tidak seperti di Malaysia yang amat bergantung kepada pengangkutan sendiri
terutama motosikal. Di sini juga aku kurang melihat penunggang basikal seperti
di Osaka. Ramai menggunakan kereta namun kereta mereka tidaklah sebanyak kereta
di Malaysia. Pengguna motosikal juga ada sekali-sekala namun aku perhati hanya
motosikal kuasa tinggi sahaja yang banyak di sini.
Dalam tram itu, ada orang-orang tua yang memandangku aneh, mungkin kerana
wajahku agaknya yang ketara berlainan daripada mereka, atau perlakuanku yang
semacam gelabah (aku gelabah kerana aku tidak biasa menaiki kenderaan ini), atau
mungkin kerana aku nampak seperti pengebom berani mati kerana parka hitam yang
kupakai dengan beg sandang yang kugalas? Harapnya bukan begitu.
Tatkala tram berhenti di Nakajima Koen, aku berdiri di tepi konduktor.
Namun konduktor tidak membuka pintu. Aku pun menekan satu butang merah bertanda
‘berhenti’. Barulah konduktor itu bertanyakanku ‘mahu keluarkah?’, aku pun
jawab ‘ya’. Sebelum keluar aku masukkan dua keping syiling 100yen ke dalam
kotak, dan turun aku keluar ke stesen Nakajima Koen. Di sana, aku perlu
melintas jalan untuk ke Taman Nakajima yang terletak di belakang satu lorong di
tengah-tengah barisan kedai dan rumah.
Langit masih cerah namun aku fikir hari sudah pun beransur petang meski
baru jam satu tengahari. Aku menelusuri satu jambatan merentas saliran seperti
sungai buatan dan menyusur laluan tebing sungai itu untuk memasuki taman
tersebut. Ia taman biasa di Sapporo dengan pokok-pokok berdaun kuning dan
perang ditanam di serata tempat.
Aku nampak ada ramai budak sekolah berhimpun di hadapan sebuah bangunan
yang aku fahami sebuah dewan konsert. Aku tak tahu apa agenda mereka. Aku
teruskan berjalan menikmati keindahan taman ini. Meski hari cerah, tak ramai
yang keluar bersiar-siar, mungkin kerana cuaca sejuk. Aku tak kisah sebab aku
tak adalah rasa sejuk sangat kerana telah banyak berjalan kaki. Aku rasa agak
malas mengeluarkan handycam mahupun telefon bimbit bagi merakam gambar-gambar
di sini, namun apa yang boleh aku rumuskan, taman ini lebih cantik berbanding
Maruyama yang aku kunjungi semalam. Aku amat meminati pokok momiji yang
berwarna merah itu. Aku tak sangka pokok ini boleh tumbuh lebih dari dua meter
tinggi kerana biasanya pokok ini hanya bersaiz renek. Daunnya berbentuk seperti
daun maple namun berwarna merah.
Aku berjalan sehingga ke hujung satu lagi taman. Di sana aku nampak banyak
basikal terkumpul dalam satu kawasan berpagar. Ada papan tanda di situ
bertuliskan sesuatu, yang mana sebahagian besarnya tidak aku fahami. Ketika
tiba di sini, aku menyusur sebatang jalan raya di sepanjang bahu kanannya.
Bersetentang denganku di seberang jalan ini ialah bangunan yang aku tak ingat
apa fungsinya. Mulai dari sinilah aku mengambil keputusan berjalan tanpa hala
tuju. Aku tidak perlu risau kerana ada akses GPS, Google Maps dan juga
pengangkutan awamnya yang ada di mana-mana sahaja. Katakan capaian internet
engkau mati atau bateri telefon mati, engkau pergi sahaja ke mana-mana sehingga
bertemu landasan streetcar. Susuri landasan itu sehingga engkau bertemu
stesennya dan tunggulah mana-mana tram untuk kau naiki sehingga tiba di stesen
Susukino. Mudah bukan? Atau tunggu sahaja di mana-mana hentian bas untuk
menaiki bas.
Sepanjang berjalan-jalan itu aku ada melalui kompleks rumah-rumah dan
kedai-kedai, adakala sehingga aku termasuk ke dalam kawasan taman perumahan.
Aku bertemu pasaraya yang berleluasa di sini bernama Seicomart. Boleh dikatakan
kewujudannya di Sapporo membayangi pasaraya lain yang lebih terkenal seperti
7-Eleven, FamilyMart dan Lawson. Aku singgah di sebuah 7-Eleven untuk membeli
ikan makerel panggang dan kudapan dan sedikit makan malam. Aku juga mahu
mencari buah peach namun tidak kelihatan langsung dalam pasaraya itu. Mungkin
aku harus cuba lagi esok di tempat lain.
Menjelang jam dua setengah petang aku mula merasakan laluanku berpusing
pada kawasan yang sama. Aku mula merasakan perbuatanku merugikan, lantas aku
memutus menaiki tram. Aku temui satu stesen di tengah-tengah jalan raya. Ketika
tram tiba, ia hampir berlanggar dengan sebuah kereta, lantas hon tram itu
dibunyikan, agak kuat sehingga aku terkejut beruk. Aku naik tram yang sampai,
dan melalui tingkap dapat kulihat tram itu bergerak pada laluan yang sudah aku
lalui tadi, bahkan berundur kembali ke Nakajima Koen. Aku mengeluh dalam hati.
Namun aku tidak kisah sangat kerana hajat mahu meneroka seluruh Sapporo
tercapai, sekurang-kurangnya sebahagian besar kawasan barat daya bandar ini.
Aku tiba di stesen Susukino, iaitu terletak di tengah-tengah jalan raya dan
bangunan tinggi-tinggi di tengah bandar Sapporo ini. Aku keluar dan menuju ke
stesen bawah tanah untuk kembali ke hotel. Jam sudah hampir pukul tiga. Jam
empat seluruh bandar akan mula bergelap. Menurut pembacaan sebelum ke sini, di
sekitar Susukino ini banyak kedai ramen. Namun kebiasaan resepi ramen mereka
ada babi, dan aku bukanlah penggemar ramen yang tegar jadi tiada masalah sangat
untuk aku lepaskan sahaja peluang makan-makan di sini.
Dari stesen Susukino, aku mengambil jalur Namboku menuju Asabu, di mana aku
akan keluar ke Kitajunijo. Dari situ, aku hanya berjalan kaki ke hotel.
No comments:
Post a Comment