Almaty? Apakah itu?
Ia sebenarnya nama sebuah bandar di Kazakhstan. Pernah dengar apa itu Kazakhstan?
Kazakhstan ialah sebuah negara yang terletak di Asia Tengah. Dari segi bahasa, Kazakhstan bermaksud 'tanah Kazakh'. Imbuhan -stan itu berasal dari bahasa Parsi merujuk kepada tanah. Jadi kalau Malayistan, maka ia bermaksud 'tanah orang Melayu' (aku memandai-mandai saja ni.)
Mengapa Kazakhstan? Mengapa Almaty?
Satu sahaja sebabnya. Kerana gunung. Aku berminat dengan pergunungan. Disebabkan itu aku gemar Switzerland dan Jepun. Namun sekarang, aku mahu melihat pergunungan di Asia Tengah pula. Kazakhstan, khususnya Almaty, adalah bandar paling dekat dengan pergunungan Tian Shan dan cabangnya Ili-Alatau, dan paling mudah diakses dengan penerbangan. Pengangkutan awam di dalam Almaty sendiri pun amat boleh diharapkan, kekerapannya tinggi, dan tambangnya pun murah.
Almaty bukanlah ibu negara Kazakhstan, namun ia pernah menjadi ibu negara, dan masih bandar terbesar di negara ini. Disebabkan ia bandar terdekat dengan pergunungan Ili-Alatau, maka aku bercadang untuk ke sana. Untuk tujuan itu, aku mengambil masa sebulan merancang serba-serbi, termasuk tiket penerbangan, tempahan bilik hotel, makan minum, dan pengangkutan dalam bandar dan juga sedikit penyelidikan berkenaan budaya setempat dan bagaimana menggunakan sistem pengangkutan awam mereka.
Untuk penerbangan, aku ambil Qatar Airways. Dengan menggunakan kad kredit, aku boleh berhutang dahulu untuk membeli tiket penerbangan yang berharga RM3,650 itu. Sebenarnya ada sahaja penerbangan yang lebih murah, namun ia memerlukan aku transit di India, yang mana aku cuba untuk elakkan (aku ada alasan tersendiri mengapa aku tidak gemar India, namun aku tidak akan tulis di sini). Juga, pilihan murah seperti penerbangan langsung ke Almaty dari KL pula akan dioperasikan Air Asia bermula March tahun ini. Namun aku tidak mahu menunggu March, kerana pada waktu itu musim dingin di Almaty sudah kurang dingin. Aku mahu melihat pergunungan di Almaty itu kala musim masih sejuk beku dan cuaca begini membolehkan aku berjalan tanpa berpeluh-peluh.
Berdasarkan penyelidikan di internet, Kazakhstan ialah sebuah negara majoriti Muslim, namun sekular. Sekular di sini bermakna, kerajaan atau pemerintah tiada hak mengawal atau memaksa rakyat mengikut sesuatu ajaran aliran agama, termasuklah agama Islam. Jadi, kerajaan di sini tiada kuasa menangkap khalwat pasangan yang berkhalwat di bilik hotel seperti di Malaysia, atau menegah rakyatnya yang Muslim dari meminum arak, atau memaksa rakyat Muslimahnya memakai purdah atau tudung seperti di Arab Saudi, atau menegah Muslimahnya dari bekerja dan belajar seperti di Afghanistan. Muslim boleh meminum arak secara terbuka di sini, sama seperti di Turki yang juga negara sekular. Namun bezanya, Turki di-sekular-kan oleh Mustafa Kemal Ataturk seorang Yahudi, sedangkan Kazakhstan di-sekular-kan oleh penjajah Rusia dan Kesatuan Soviet.
Namun begitu, disebabkan majoriti rakyatnya masih Muslim, mencari makanan halal di sini tidak menjadi masalah. Meskipun hak mengamalkan agama terletak di tangan masing-masing, mereka tidak culas dalam mengamalkan tuntutan memakan makanan halal. Tiada badan kerajaan yang memantau mereka seperti Jakim kerana kerajaan sekular tiada hak memaksa rakyatnya mengikut agama.
Setelah sebulan lebih merancang, maka Februari pun kunjung tiba. Aku cukup teruja kerana ini adalah negara ketiga yang aku lawati sejak bekerja (selepas Jepun dan Indonesia). Aku memang tidak pernah terfikir akan ke negara yang hujung namanya ada '-stan' sebab biasanya kalau ada imbuhan begitu, orang akan cop negara ini bahaya, banyak pengganas, banyak bom-bom... Hei, itu Pakistan dan Afghanistan, ini Kazakhstan! Aku jamin lepas kalian baca diari aku ini, pandangan kalian terhadap Kazakhstan akan berbeza.
1 Feb 2024
Hari ini cuti umum sempena Hari Wilayah Persekutuan. Aku bertolak ke KLIA jam tiga petang menaiki MRT. Sampai di MRT Putrajaya Sentral jam empat petang, aku beli tiket ERL atau KLIA Transit untuk ke Terminal 1 KLIA. Aku ambil KLIA Transit ke KLIA terminal 1 jam empat dua puluh, sampai di KLIA dalam jam empat empat puluh. Aku pun terus cari surau untuk solat Asar.
Disebabkan aku sudah daftar masuk atas talian, maka usai solat Asar aku pun terus ke pintu berlepas jam lima. Pintu berlepas yang ditetapkan ialah pintu C1. Untuk ke pintu itu, seperti biasa aku kena naik bas. Tren Aerotrain masih belum beroperasi setakat ini.
Aku tiba di pintu C1, yang mana ia terletak di hadapan walkalator yang membawa penumpang yang baru tiba dari luar negara. Aku duduk menunggu sambil memandang berbagai-bagai bangsa yang lalu-lintas di hadapanku menggunakan walkalator itu, dan pintu dibuka jam enam empat puluh lima. Aku pun terus masuk.
Penerbangan ke Doha melalui penerbangan Qatar Airways kod QR853 jam lapan dua puluh lima berlangsung dengan lancar. Aku sampai di Doha, Qatar jam sepuluh empat puluh malam waktu Doha (jam tiga empat puluh pagi waktu Malaysia, tapi 2 Feb 2024). Di Doha aku perlu menunggu penerbangan sambungan ke Almaty jam dua dua puluh lima pagi dengan kod QR391. Mengantuk usah ditanyalah. Aku tahan saja mengantuk, kalau tertidur nanti terlepas pula penerbangan itu. Aku tak mahu sejarah pahit di Lapangan Terbang Beijing berulang lagi, cukuplah sekali.
Aku pergi ke surau di lapangan terbang Doha ini. Suraunya sungguh bersih dan cantik. Pili tempat wudhuk automatik dengan pengimbas sesentuh tanpa pemulas. Cuma tandas di sini sungguh rendah, engkau boleh panjat sahaja mangkuk tandas untuk mengintai orang sebelah. Juga di sini ada bekalan air minum percuma. Aku solat jamak taakhir Maghrib dan Isyak. Kemudian aku duduk-duduk di hadapan skrin yang memaparkan status penerbangan. Penerbangan ke Almaty masih belum muncul-muncul memaparkan lokasi pintu berlepasnya.
2 Feb 2024
Lebih kurang jam dua belas tengah malam lebih, skrin akhirnya memaparkan penerbangan QR391 ke Almaty. Pintu berlepasnya ialah C31A. Aku pun bergegas ke pintu berlepas itu. Lokasinya agak jauh. Lapangan terbang Doha ini agak besar dibandingkan dengan KLIA, namun jika KLIA menggabungkan kedua-dua terminal 1 dan 2, ia boleh jadi lebih besar dari lapangan terbang Doha ini. Aku lihat ada lebih kurang sembilan puluh lebih pintu berlepas di bahagian C sahaja (mereka ada pintu bahagian A sehingga E).
Selepas sekian lama berjalan, aku akhirnya tiba di pintu berlepas C31A. Rupanya ada dua bahagian di sini, dan bahagian C31B terletak di sebelah. Aku terlalu mengantuk. Kalau diikutkan sekarang sudah jam lima pagi lebih di Malaysia. Aku merancang untuk tidur sahaja sepanjang penerbangan ke Almaty nanti.
Panggilan berlepas tiba. Aku lihat macam tak ramai penumpang pun beratur untuk ke pesawat. Ada beberapa orang yang aku fikir orang Kazakhstan melihatkan wajah mereka yang iras-iras cina atau Mongolia. Ada wajah Kaukasian juga. Ada yang aku ingat Arab rupanya datang dari Milan, Italy mendengarkan perbualannya dengan pemeriksa pas. Pemeriksa pas berlepas itu berwajah Kazakhstan, dan fasih berbahasa Inggeris dan Rusia.
Ada bas menunggu di luar yang membawa aku dan penumpang lain ke pesawat. Tiba di pesawat, aku orang nombor dua paling awal keluar dari bas dan memanjat tangga masuk ke dalam pesawat. Tempat dudukku di tepi tingkap. Seperti dijangkakan, tidak ramai penumpang dalam penerbangan ini. Begitu banyak kerusi kosong membolehkan ramai penumpang mengubahnya menjadi 'katil' sementara. Penerbangan bermula jam dua dua puluh lima dan memakan masa tiga jam empat puluh minit.
Aku sampai di Almaty jam sembilan empat puluh pagi waktu tempatan. Dari atas, keseluruhan bumi diselaputi salji dan putih sejauh mata memandang. Cuaca di luar cerah namun langit putih dan tanah diselaputi salji merata tempat. Sejuk dari luar mula meresap masuk ke dalam kabin dan aku dapat merasakan perubahan suhu itu. Memang Almaty di tengah musim sejuk seperti dijangkakan, selepas aku menerawang Accuweather akan suhu hariannya yang sering negatif belakangan ini. Aku juga gemar memeriksa julat suhu di Weatherspark bagi mendapatkan gambaran tepat suhunya pada sekitar masa sama dalam tahun-tahun sebelum.
Aku terus ke bahagian pemeriksaan pasport. Proses keluar pesawat agak pantas kerana tidak ramai yang menaiki penerbangan ini. Pegawai imigresen di kaunter menyoal aku dalam bahasa Inggeris yang kurang memuaskan menyebabkan aku meminta dia mengulang dan wajahnya nampak tidak berpuashati. Selepas pasport dicop, maka aku dibenarkan masuk ke negara ini. Selamat datang ke Almaty, selamat datang ke Kazakhstan. Agak teruja aku mahu keluar dari lapangan terbang ini melihat dan merasai Almaty dengan mata kepala sendiri, namun aku perlu bersabar. Aku tiada kenderaan, dan aku perlu menyusun strategi dahulu di sini. Wang tunai pun belum dikeluarkan.
Aku cuba menyusun kembali perkara yang perlu diutamakan dilakukan. Oh ya, aku kena keluarkan sedikit tunai. Aku pun tak pasti negara ini boleh memakai sistem tanpa tunai atau masih bergantung dengan tunai. Maka untuk selamat, aku keluarkan wang tunai KZT30,000 (30,000 tenge, bersamaan RM319 lebih kurang) menggunakan kad kredit Maybank VISA di mesin ATM. Aku tak tahu lagi sebenarnya aku akan dicaj RM18 sekali pengeluaran sehinggalah selepas aku memeriksa kembali beberapa hari kemudian. Kurang asam betul!
Untuk pecahkan duit, aku beli kopi di Gloria Jeans berharga KZT1,600 di tingkat atas.
Aku tukar simkad kepada simkad internet yang aku beli online. Simkad ni nama dia AIS dan dikeluarkan di Thailand. Simkad ini hanya beri kemudahan internet tanpa SMS mahupun panggilan dibenarkan.
Selepas itu aku beli kad ONAY berharga KZT1,000 dari satu kedai cenderamata. Aku rasa semacam aneh juga bagaimana kad ini, seperti kad MyRapid di Malaysia, boleh dijual di kedai-kedai sembarangan. Penjaga kedai itu pula nampak seperti orang Rusia melihatkan rambutnya yang perang namun nampak kebosanan terserlah pada wajahnya kerana aku tidak tahu berbahasa Rusia dan dia terpaksa mengulang atau menggunakan bahasa isyarat demi memahamkanku.
Kad ONAY ini hanya benarkan KZT100 untuk digunakan sebagai tambang bas sekali guna, maka aku tambah nilai KZT5,000. Disebabkan ada seorang mak cik atau babushka sudi tolong aku tambah nilai dekat mesin warna kuning tepi hentian teksi di luar, aku upah dia KZT1,000. Dia nampak seperti gelandangan yang tinggal di sekitar lapangan terbang itu.
Aku pun terus berjalan kaki dari pintu ketibaan lapangan terbang itu ke hentian bas Ogareva Street, hentian paling dekat dengan lapangan terbang, untuk ke hotel, berpandukan GPS dan aplikasi Yandex Map. Google Maps bukan tidak boleh digunakan di sini, namun ia kurang membantu. Hanya di Yandex Map engkau boleh mendapatkan maklumat bas nombor berapa yang menuju ke arah destinasi engkau. Google Maps tidak memaparkan maklumat itu, namun ia memaparkan maklumat itu jika engkau menggunakan peta Malaysia. Aku pun tak faham kenapa peta Kazakhstan tidak seperti itu dalam Google Maps. Dalam Yandex juga, bas di sini dapat dijejak secara real time.
Jarak dari lapangan terbang ke hentian bas Ogareva Street sekitar empat ratus meter sahaja. Salji masih tebal di mana-mana, dan tadi ada turun sedikit. Aku berjalan berhati-hati takut tergelincir.
Aku perasan arah pemanduan di sini ialah sebelah kanan. Maka pastinya hentian Ogareva Street itu menuntut aku melintas jalan kerana di sanalah bas akan menghala ke hotelku. Waktu aku nak lintas jalan, seperti biasalah aku akan menunggu lampu isyarat hijau dahulu. Namun di sini anehnya, lampu isyarat tiada. Jika engkau menunggu di lintasan zebra, kereta yang lalu akan automatik berhenti dan engkau boleh melintas. Ketika aku berdiri di sisi lintasan zebra, kereta berhenti, dan aku terpinga-pinga kerana bahagian sebelah lain jalan itu masih belum berhenti keretanya. Pemandu kereta mengisyaratkan aku agar cepat melintas. Aku bingung, Aku suruh dia terus sahaja berlalu. Dia pun berlalu sambil geleng kepala. Aku tunggu sehingga jalan benar-benar tenang di kedua-dua arah, baru aku melintas. Nampaknya adat melintas jalan di sini seperti Switzerland, tiada lampu isyarat, hanya perlu menunggu kereta berhenti.
Aku ambil bas nombor 41. Aku sentuh saja kad ONAY pada pengimbas dalam bas. Ia hanya perlu dilakukan sekali, dan KZT100 akan dipotong dari baki dalam kad. Mulanya aku tak pasti perlukah ia disentuh dua kali seperti di Malaysia, jadi aku lihat penumpang lain akan cara mereka menggunakannya. Memang perlu disentuh sekali, kerana jika engkau sentuh dua kali, akan ada bunyi buzzer dan tanda pangkah warna merah dipaparkan pada skrin pengimbas.
Bila aku sudah sampai, aku keluar sahaja dan tak perlu lagi imbas kad seperti penumpang lain. Tambang di sini ialah KZT100 sekali guna ke mana-mana; tak kira bas atau pun tren bawah tanah (metro) atau tram. Aku sedar tambangnya sudah naik, sebab ketika aku membuat penyelidikan tempoh hari, tambangnya masih KZT80 (sekitar 80 sen).
Sampai hotel, jam sudah dua belas tengahari. Aku terus ke kaunter, dapatkan kunci dan naik ke bilik dan mandi. Kemudian aku rehat dan lelap sebentar. Di luar sungguh dingin, dalam sekitar negatif entah berapa Celsius. Bahu jalan masih ada salji tebal.
Jam dua setengah petang aku keluar makan. Aku ambil haluan ke jalan besar di kanan hotel. Dalam berjalan-jalan di tepi sepanjang jalan besar itu aku terjumpa deretan kedai pizza, kedai runcit dan kedai burger.
Aku masuk ke satu kedai burger di satu kedai bernama Salam Bro, dan memesan burger berharga KZT1,850 (sekitar RM20). Mahal. Aku cuba bertutur dalam bahasa Inggeris namun malangnya penjaga kaunter tidak faham, lantas aku menggunakan bahasa isyarat dan menunjuk ke arah menu. Aku tidak tahu apa yang aku pesan, asalkan burger maka aku tak kisah. Lagipun tiada yang tidak halal di sini.
Selepas makan aku merayau. Aku masih mahu mencuba kad prabayar ONAY demi memahami di mana lagi ia boleh digunakan selain bas, jadi aku bercadang ke bandar. Aku terhabis KZT200 sewaktu mencuba naik bas ke stesen metro Raymbek Batyr iaitu stesen metro paling dekat dengan kejiranan ini.
Sampai di stesen metro itu, aku dapati kad ONAY masih boleh digunakan. Juga, KZT100 caj sekali guna sepertimana bas. Di sini, beg dan telefon perlu diimbas sebelum memasuki stesen metro.
Aku berhenti di stesen metro Baykonur. Di sini tak perlu lagi imbas kad ONAY, hanya lalu sahaja menerusi pagar tiket. Keluar dari stesen metro itu, aku dihidangkan pemandangan pusat bandar Almaty. Orang ramai lalu-lalang, lebih ramai dari kawasan berhampiran hotelku tadi. Memang benar-benar pusat bandarlah di sini. Aku mengambil masa berjalan di sepanjang jalan besar sehingga ke kawasan stadium dan taman awam. Pergunungan Ili-Alatau di kejauhan di sebelah kiriku nampak tak nampak dek awan putih dan cuaca yang agak bergerimis.
Selepas jalan-jalan dalam kesejukan dan mengamati pergunungan Ili Alatau yang dirasakan amat dekat dengan bandar ini, aku ambil metro pulang ke Raymbek Batyr. Di stesen itu, aku keluar dan menukar kepada bas no 2 untuk ke hotel.
Aku putus untuk ke pasaraya dahulu mencari makan malam. Di sini nampaknya tiada makan malam yang murah. Aku tidak bertemu mi segera dalam pasaraya itu. Aku terpaksa pulang dengan hampa. Aku ada melihat-lihat di sekitar bahagian medan selera di atas, namun harganya mahal-mahal belaka. Di sini, harga makanan segera lebih mahal dalam sepuluh ringgit berbanding harga di Malaysia untuk satu set yang lebih kurang sama kuantitinya. Sebagai contoh, KFC dan Burger King. Kedua-duanya ada di sini. Hanya McDonalds yang sudah keluar dari negara ini dan dibeli orang tempatan dan dijenamakan semula.
Aku ternampak betapa jelasnya banjaran bersalji di kejauhan di belakang pasaraya itu, lebih jelas daripada pemandangan di bandar tadi. Ia masih sebahagian daripada Ili Alatau. Memang benarlah banjaran gunung itu boleh dilihat di mana-mana sahaja di bandar ini dan tidak memerlukan aku memanjat menara atau bangunan tinggi, asalkan cuaca cerah dan tidak berkabus.
Dalam perjalanan aku terserempak dengan kedai jual pastri. Aku beli karipap besar dua biji berharga KZT800 untuk makan malam dan sarapan esok. Nasib baik ada kedai ini, jika tidak entah manalah aku boleh mencari makan malam. Selepas melepasi kedai pastri, aku terserempak dengan kedai doner. Namun aku katakan pada diriku, esok sahajalah. Pastri harus dihabiskan dahulu.
3 Feb 2024
Hari ini aku keluar sekitar sembilan pagi. Suhu di luar negatif dua belas darjah Celsius. Salji sungguh tebal. Meski suhu negatif, dengan baju sejuk yang betul, dan rekabentuk yang tidak membenarkan udara masuk melalui kawasan pinggang dan lengan dan leher, engkau akan selesa. Kepala terutama dahi mesti ditutup dengan pelitup kepala, dan leher mesti ditutup dengan kain muffler dan sarung tangan mesti dipakai atau tangan perlu diseluk ke dalam saku. Jika tidak engkau boleh demam dan tangan engkau boleh sakit atau diserang artritis. Disebabkan udaranya terlalu kering, engkau perlu meminum banyak air agar tidak jatuh demam.
Aku berjalan ke stesen keretapi Almaty-1. Hari ini aku bercadang mengambil bas troli dari stesen ini untuk ke pusat bandar. Stesen Almaty-1 ialah stesen tren dan kad ONAY tidak boleh digunakan untuk tren. Tren di sini adalah tren rentas negara, seperti KTM Komuter, di mana ia hanya melalui Almaty di dua stesen sahaja, iaitu stesen Almaty-1 dan Almaty-2, dan kemudian meneruskan perjalanan ke bandar lain. Oleh itu, tren ini agak tidak berguna untuk pengembaraanku di sini.
Almaty-1 terletak amat dekat dengan hotelku. Ada taman di depan stesen yang perlu aku rentas, salji tebal melitup segenap pelusuknya dan ada patung entah apa didirikan di tengah-tengah taman itu. Aku naik bas troli nombor tujuh untuk ke pusat bandar. Bas troli sama sahaja seperti bas, cuma sumber tenaganya ialah pencawang elektrik atas kepala. Kadangkala batang pemungut arus elektrik itu tertanggal dari pencawang, dan bas troli akan berhenti, di mana pemandunya akan keluar dan menyambungkan kembali batang itu ke pencawang secara manual, kadangkala di tengah-tengah jalanraya. Satu situasi unik yang hanya dapat aku lihat di sini.
Dalam bas aku sentiasa memeriksa lokasi menggunakan aplikasi Yandex Map berbantukan GPS. Aku turun di Abay Street dan berjalan kaki untuk mengamati suasana pagi di tengah bandar ini. Selepas itu aku bertemu stesen metro Baykonur, lalu turun ke bawah. Rancangan aku hari ini ialah melawat stesen metro paling hujung di Almaty (atau paling barat), iaitu stesen Bauyrzhan Momyshuly. Sebelum ke pagar tiket, aku terjumpa kedai kopi. Lalu aku pun beli americano berharga KZT750.
Sampai di Bauyrzhan, aku disambut dengan pemandangan indah banjaran gunung bersalji yang disinar mentari cerah. Salji masih tebal di mana-mana. Aku merakam panorama itu dengan handycam. Agak lama juga aku berlegar-legar di situ cuba mencari lokasi sesuai bagi merakam gunung-ganang di kejauhan. Sedar tak sedar aku sudah jauh meninggalkan stesen, dalam hampir satu kilometer juga. Namun disebabkan cuaca sejuk, aku tidak terasa penat dan berpeluh.
Di satu hentian bas, aku berhenti duduk sebentar. Namun engkau tidak boleh duduk lama-lama kerana akan disengat kesejukan. Aku perasan satu peta bas ditampal pada dinding belakang hentian ini. Di sini, aku dapati setiap hentian ada peta laluan bas. Di Kuala Lumpur, ia pernah dilakukan namun disebabkan pengurusan yang culas, laluan bas ditukar berkali-kali dan peta bas tidak lagi relevan. Maka ada yang telah ditanggalkan. Kadangkala bas yang dinyatakan di hentian di KL tidak tiba di hentian itu pun. Terlalu banyak perkara yang menyusahkan berkenaan menaiki bas di KL. Ya, dan sangkaanku, Almaty punya sistem bas yang lebih teruk berbanding KL, namun di sepanjang pengembaraan ini, pandanganku berubah beransur-ansur terhadap negara bekas Kesatuan Soviet ini. Aku akan simpulkan di akhir diari ini bahawa sebenarnya RapidKL harus belajar dari Almaty bagaimana menguruskan sistem bas mereka.
Dari peta itu, aku dapati ada beberapa bas yang boleh membawaku dari sini ke kawasan yang agak dalam, iaitu kawasan blok-blok kediaman. Aku ingin melihat masyarakat di sini di tempat kediaman mereka, kerana barangkali ia boleh memberikan sedikit gambaran kehidupan berbanding di pusat bandar Almaty yang lebih kepada tempat bekerja dan belajar. Lalu aku pun ambil bas nombor 78, untuk ke kawasan pinggir bandar. Tujuan aku ke sini ialah melihat kawasan pinggir Almaty, bagaimana penduduk yang tinggal di sini melangsungkan rutin mereka.
Di kiri dan kanan sepanjang perjalanan aku dapat lihat blok-blok apartment yang sama tinggi ala zaman Soviet. Nak kata macam flat-flat di Jalan Hang Tuah pun ada juga. Laluannya rata, seolah Almaty ini hanya satu-satu kawasan rata di tengah-tengah banjaran gunung.
Aku terserempak dengan kawasan pusat beli belah ala IOI Mall di tengah kawasan lapang, maka aku pun turun untuk melihat-lihat. Nama pusat beli-belah itu ialah A-port dan kawasannya agak besar juga. Di dalamnya ada banyak kedai-kedai, banyaknya kedai fesyen dan pakaian. Kemudian ada medan selera, yang mana kebanyakan makanannya ialah burger dan doner. Aku nampak Qaganat. Qaganat ini semacam bufet kantin, dan aku putus untuk makan di situ memandangkan sudah lama aku tidak menjamah nasi.
Aku ambil stik hamburg, telur mata, daging dimasak stew merah, kentang tumis dan nasi putih, semua berharga sekitar RM28. Agak mahal fikirku. Di sini agak sukar mendapatkan makanan murah, tidak seperti di Jepun. Di sini juga sukar mendapatkan kedai serbaneka yang menjual makanan murah dan berkhasiat seperti di Jepun, yang banyaknya kedai doner dan burger yang paling kurang harganya dalam belasan ringgit. Dan setahu aku, hanya Qaganat yang menjual makanan lengkap paling murah. Kalau restoran lain di sini, mungkin lagi mahal. Aku bayar dengan kad kredit Visa Maybank demi menjimatkan wang tunai.
Siap makan, aku terus keluar dari pusat beli-belah itu, kerana aku fikir tiada apa yang menariknya di situ. Sewaktu menunggu bas, aku perhatikan jalan besar di hadapanku ini, yang digelar Jalan Raymbek, ada tiga lorong untuk setiap hala namun amat sesak dengan lori dan kereta.
Aku ambil bas nombor 95 balik ke Bauyrzhan, kemudian metro dari Bauyrzhan ke Raymbek Batyr. Perjalanan dengan bas ini ke stesen metro Bauyrzhan, meskipun dekat sahaja, memakan masa hampir sejam dek macet, sehingga aku hampir terlelap. Aku pun tak faham bagaimana kawasan pinggir bandar pun masih boleh macet. Berdasarkan penyelidikan aku kemudiannya, jalan ini adalah jalan utama ke Tashkent, Uzbekistan. Disebabkan itu ada banyak lori besar-besar juga dalam macet itu, demi mengangkut barangan niaga ke sana dan dari sana.
Di stesen metro Raymbek, aku ambil bas nombor 2 ke hotel. Aku berhenti di depan pasaraya untuk beli makanan. Tak sangka kali ini aku temui pula mi segera jenama Rollton dan ada tanda halal. Aku beli dan bayar guna Visa lagi. Oh kalau awal-awal lagi aku tahu kad kredit Visa Maybank boleh digunakan di sini, maka tak perlulah aku keluarkan wang tunai. Pengeluaran wang tunai akan menyebabkan engkau dicaj, di mana dalam kes aku, telah dicaj RM18 untuk pengeluaran KZT30,000 tempoh hari.
4 February 2024
Hari ini aku keluar jam lapan setengah pagi. Hari Ahad, maka aku jangkakan bas tidak sesak dan jalan tidak macet. Suhu pagi ini tujuh darjah Celsius di bawah paras beku. Aku menyusur laluan sama seperti semalam untuk ke stesen Almaty-1. Dari sana aku ambil bas nombor 2 untuk ke pusat bandar.
Aku berhenti berhampiran stesen metro Almaly. Pintu masuknya agak tersorok. Aku cuba untuk tidak menggunakan Yandex Map, dan berlagak mencarinya sendiri. Selepas dua kali lintas jalan, akhirnya aku mengalah. Aku buka Yandex dan terpampanglah laluan ke stesen metro Almaly. Rupanya pintu masuknya terletak di belakang sebuah bangunan. Dari situ, aku ambil metro ke stesen Baykonur.
Di Baykonur aku beli kopi di kedai sama semalam berharga KZT750, namun kali ini entah kenapa pembuat kopi menambah air sejuk ke dalam espresso berbanding air panas. Maka pantaslah aku menghabiskannya kerana ia tidak panas. Kemudian aku naik ke atas untuk ambil bas 211. Aku menyeberang jalan yang lengang dek hari Ahad. Banjaran Ili-Alatau tersergam di kejauhan, aku pun ambil beberapa foto dan video. Gunung itu boleh dikatakan amat dekat seolah seperti dinding kepada bandar ini.
Hari ini aku bercadang ke sanatorium. Tujuan aku ke sana ialah demi mendapatkan gambaran lebih dekat pergunungan Ili-Alatau. Sanatorium itu terletak di tempat yang tinggi dan agak selatan dari bandar Almaty, maka sepatutnya pemandangan gunung itu jadi lebih jelas. Hanya bas 211 yang boleh membawaku dari sini ke sana. Sanatorium ini sebenarnya tempat pesakit diasingkan dari dunia luar agar dapat sembuh sendiri dengan kesegaran udara dan air di dalam pergunungan. Biasanya sanatorium banyak dibangunkan di Switzerland. Namun dengan kemajuan perubatan moden, penggunaan sanatorium makin berkurang, dan hanya tinggal beberapa buah sahaja di seluruh dunia.
Aku ternampak papan tanda bertuliskan masa-masa ketibaan dan bertolak bas 211 pada hentian bas, namun ia ditulis dalam bahasa Rusia. Aku bertanyakan seorang gadis berambut perang (aku fikir Rusia) dan agak muda, barangkali penuntut. Aku bilang bahasa Inggerisnya pasti bagus. Namun malang tak disangka-sangka, bahasa Inggerisnya sungguh teruk! Aku abaikan penerangannya meski dia bersungguh menerangkan dan aku ucapkan terima kasih dan berlalu. Maka aku pun mundar-mandirlah sambil menunggu bas yang entah datang entah tidak. Ini kerana aku kurang yakin, kerana masa yang ditulis pada hentian itu ditulis tangan!
Tunggu punya tunggu, bas 211 tiba jam sepuluh setengah. Bas ini agak aneh kerana ia warna putih, tidak seperti bas biasa di sini yang berwarna hijau, dan saiznya seperti mini van. Aku menayangkan kad ONAY kepada pemandunya. Namun kata pemandunya, kad ONAY tidak boleh digunakan dan perlu membayar tunai sebanyak KZT300. Aku enggan, lantas aku beredar dan berjalan kaki mendaki bukit menuju ke arah Banjaran Ili Alatau yang tersergam jelas. Agak hampa juga namun apa boleh dilakukan. Aku tidak yakin dengan bas yang entah betul entah tidak dan aku tak mahu ambil risiko.
Perancanganku sekarang ialah mahu menuju sehampir mungkin dengan banjaran itu dengan menggunakan caraku sendiri, mungkin bas lain ada yang menghala ke sana. Itu tujuan sebenar aku menaiki bas 211, iaitu menghampiri pergunungan itu. Namun disebabkan aku tidak mahu ditipu pemandu bas itu, aku berjalan kaki sahaja mencari kalau-kalau ada bas lain di atas bukit sana.
Selepas beberapa ketika berjalan mendaki bukit, aku lihat peta laluan bas yang bertampalan pada satu hentian bas, dan mendapati bas nombor 30 boleh menghantar aku ke lokasi paling hampir dengan selatan bandar, di mana banjaran itu terletak. Aku pun naik sehingga ia tiba di stesen terakhir. Dari situ, aku terus berjalan kaki ke selatan, sehingga melalui taman perumahan. Salji masih tebal di kaki lima dan aku perlu berhati-hati bimbang tergelincir. Aku juga perlu berhati-hati dengan kehadiran kenderaan yang mengelirukan, kerana arah pemanduan di sini ialah sebelah kanan.
Aku fikir sudah tiada lagi bas ke selatan, maka aku hanya berjalan ke ceruk yang aku fikir sudah masuk ke perumahan terpencil. Aku terserempak dengan bas nombor 15 lalu di sebelahku. Aku periksa Yandex dan mendapati bas tersebut boleh membawaku ke destinasi lebih selatan.
Aku terjumpa kedai menjual barangan kering. Aku bertanya tuan kedai jika dia ada menjual buah peach. Namun tuan kedai itu langsung tidak tahu berbahasa Inggeris dan Google translate pula amat tidak membantu, aku pun tak tahu kenapa internet tiba-tiba sahaja jadi begitu lembab. Aku ternampak buah apricot kering lantas aku beli sahaja demi mengalas perut. KZT1000 dibayar kepada tuan kedai yang mengakui berbangsa Tajik itu.
Bas nombor 15 tiba, aku pun naik sehingga ia tiba di stesen terakhirnya. Aku pun sambung berjalan kaki. Kawasan di kiri dan kananku berbukit-bukau. Banyak rumah didirikan di atas bukit. Laluan pejalan kaki yang sempit memaksa aku berjalan di tepi jalan dan perlu berhati-hati dengan kereta yang lalu-lalang. Kadangkala aku perlu memijak salji yang tebal di tepi jalan.
Banjaran di hadapan semakin jelas. Tiba-tiba ada tiga orang berkuda di atas jalan raya. Bukit- bukau di sini masih dilitup salji tebal. Aku tak pasti apakah ini kampung melihatkan rumah-rumah yang jarang-jarang. Aku teruskan berjalan sehingga bertemu jalan besar.
Di sana aku dapati rupanya aku boleh ke destinasi yang dituju bas 211 itu menggunakan bas nombor 28 dari hentian berhampiran. Aku cari hentian itu namun tidak kelihatan pun pondoknya. Aku putus asa saja. Terpaksalah aku putuskan untuk menghentikan saja percubaan menjejakkan kaki ke titik paling hampir Ili Alatau dan berpuas hati sahaja dengan imej terdekatnya di situ. Aku ambil gambar-gambar dan beredar.
Aku teruskan berjalan kaki kerana tiada bas dan aku perlu mencari bas yang membawaku kembali ke pusat bandar dan hentian di mana bas ini akan berhenti. Namun semua hentian itu tidak ditemui. Aku susur jalan mengikut peta Yandex untuk mencari stesen bas di mana bas ke pusat bandar akan berhenti.
Dalam perjalanan, aku singgah di sebuah kedai menjual kebab dan memesan kebab kambing berharga KZT1200. Mulanya agak sukar memesan kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris. Namun mujur salah seorang dari mereka tahu bahasa itu. Kami berbual-bual sedikit. Dia bertanyaku dari mana aku datang, aku jawab dari Malaysia. Dia kebingungan. Aku tulis di dalam telefon, barulah dia faham. Rupanya Malaysia disebut dengan sebutan lain dalam bahasa mereka. Aku beritahu aku datang ke sini kerana mahu melihat gunung.
Aku makan kebab itu di tepi jalan sahaja. Selepas makan aku teruskan berjalan sehingga bertemu sebuah masjid. Masjid ini agak kecil dan terdiri dari dua tingkat, tingkat atas dikhaskan untuk jemaah wanita. Aku perlu mengambil air sembahyang di tandas di luar. Seusai solat, aku sempat ambil beberapa foto masjid itu. Aku beredar dan teruskan berjalan mencari stesen bas.
Di hadapan stesen bas yang aku temui, ialah First President Park. Aku mulanya mahu melawat taman itu, namun membatalkan hasrat. Ini kerana taman itu hanya dipenuhi pokok-pokok yang sudah tidak berdaun dan salji tebal di bawahnya. Ia hanya taman awam. Namun saiznya kukira agak besar, mirip Hyde Park di London. Ada beberapa keluarga kulihat bersiar-siar, maklumlah cuaca hari ini cukup cerah dan sedikit baik, sekitar tiga darjah bawah paras beku. Ya, sedikit baik, berbanding hari-hari lain yang lebih negatif dari itu. Nafas dalam suhu begini masih mengeluarkan wasap. Agak lama juga menanti bas ke bandar di sini. Maka dalam kebosanan itu aku memijak-mijak salji yang masih tebal di kaki lima tepi hentian bas. Aku cuba kepalkan salji itu untuk membuat orang salji, namun ia tidak lekat. Ini kerana ia sudah pun mencair pada skala mikro setelah lama berada di situ.
Bas nombor 28 pun tiba, namun agak padat penumpangnya. Aku hairan bagaimana hari cuti begini pun masih ramai penumpang. Menurut Yandex, aku perlu menukar bas 34 di hentian akhir bas 28 ini, untuk ke hotelku. Sebaik bas 28 berhenti, aku turun. Aku mencari kedai menjual air minumam kerana terlalu dahaga, selepas makan tadi aku belum meminum air. Namun malangnya tiada kedai di situ. Aku tiba-tiba rindukan Jepun, yang mana mesin jual air itu ada di mana-mana sahaja.
Bas nombor 34 tiba. Aku naik bas ini sehingga tiba di stesen tren Almaty-1. Turun sahaja dari stesen itu, aku lihat ada banyak kabin menjual doner. Kala aku mendekati salah satu kabin, aku bertanyakan bagaimana membeli doner itu. Katanya KZT1000. Aku tak faham. Dia pun tak faham bahasa Inggeris. Aku sebenarnya mahukan doner daging. Aku mahu bertanyakan adakah dia ada menjual doner daging, kerana aku tidak gemar ayam. Dan aku juga mahukan senarai harga. Namun komunikasi kami gagal. Lalu aku batalkan niat sebab tokey kedai tak ada senarai harga dan dia tak faham pula bila aku minta itu.
Aku pulang ke hotel dan hanya memakan mi segera.
5 February 2024
Hari ini aku bercadang ke kereta kabel. Aku keluar jam sembilan dan terus ambil bas troli nombor tujuh ke pusat bandar. Jalan agak sesak kerana hari bekerja. Aku agak hairan bagaimana bandar yang populasinya suku populasi KL masih boleh macet. Bahkan sistem basnya amat efisien, sepatutnya lebih ramailah yang tertarik untuk menggunakan bas. Dan aku tidak pula mendapati bas tidak mendapat sambutan kerana pengguna basnya agak ramai meskipun bukan waktu puncak dan hari bekerja. Jadi aku tertanya-tanya mengapa masih boleh macet di sini...
Aku berhenti agak jauh dari stesen kereta kabel. Maka aku pun berjalan kaki. Jarak ke stesen ialah satu kilometer lebih kurang. Hari ini aku tak tahulah kenapa sejuk semacam. Aku periksa suhu sebelum keluar ialah negatif lapan Celsius.
Aku singgah di satu kedai kopi di dalam bangunan sebuah universiti dan membeli americano berharga KZT1000. Sebenarnya aku nak lari dari asap rokok dengan masuk ke dalam bangunan. Satu perangai orang di sini yang aku paling tak suka ialah merokok merata-rata. Berbanding Jepun, di sini tabiat ini agak tidak terkawal, pada pendapatku, lebih teruk dari Malaysia.
Aku akhirnya sampai di stesen kereta kabel Kok Tobe selepas beberapa minit berjalan kaki. Ada restoran Burger King dan Starbuck berhampirannya. Aku masuk ke lobi stesen, dan agak terkejut pabila mendapati harga tiket ulang-alik kereta kabel ialah KZT30,000, ditulis pada satu papan kenyataan. Aku rasa tidak berpuas hati lantas keluar dan memeriksa pendapat di internet. Takkan semahal itu? Sedang di Langkawi cuma RM45, dan di Sapporo cuma 2000 yen (RM60). Tak logik.
Ada satu komen di Tripadvisor memberitahu harganya cuma KZT5000 (RM50) untuk dewasa. Maka aku bercadang bertanya di kaunter akan harga sebenar. Bukan aku mengelak dari bertanya dan hanya membaca papan tanda pada awalnya, aku cuma malas nak tanya kerana aku fikir bahasa inggeris mereka sungguh teruk dan komunikasi dengan mereka agak menyakitkan hati. Bahkan percaya atau tidak, perkataan yang mudah-mudah pun mereka tak tahu. Bayangkan, benda begini berlaku di bandar utama dan paling ramai penduduk di negara ini. Biasanya masyarakat di bandar-bandar besar lebih bagus bahasa inggerisnya berbanding kawasan luar bandar, seperti yang aku nampak di Jepun. Tapi di Almaty, ia tidak begitu. Ini kerana aku fikir, bahasa kedua mereka adalah bahasa Rusia. Mereka tak perlu tahu bahasa Inggeris kerana Rusia sudah cukup untuk menyokong ekonomi mereka. Bahkan aku dapat lihat di sini, di mana-mana papan tanda, nama kedai, pengumuman, pasti ada bahasa Rusia mengiringi.
Namun aku terpaksa jua bertanya. Andai dakwaan di Tripadvisor itu benar, maka aku akan dapat naik kereta kabel dan tidak membuang masa di sini. Rupanya benar. Bahkan penjaga kaunter itu amat bagus bahasa Inggerisnya, maka sangkaan aku sama sekali meleset. Aku bayar KZT5000 untuk tiket ulang alik dewasa.
Tujuan aku naik kereta ini sebenarnya bagi mendapatkan pemandangan lebih jelas banjaran Ili-Alatau. Aku agak hampa kerana tidak dapat ke sanatorium semalam, maka aku mengharapkan pemandangan gunung itu lebih jelas dengan menaiki kereta kabel. Kereta kabel di sini agak rendah dan melalui satu kawasan perumahan. Hanya aku seorang dalam gerabak itu, maka aku pun tiada halangan untuk mengambil sebanyak mungkin video.
Tiba di atas puncak Kok Tobe, aku dapati pengunjung tidak terlalu ramai. Ili-Alatau dapat dilihat di kejauhan. Ada teropong semacam di puncak Gunung Moiwa di Sapporo, di mana teropong itu hanya berfungsi jika engkau masukkan wang syiling KZT100. Aku dapat lihat dari sini bagaimana cerun dari puncak dan melandai ke lembah di mana Almaty terbentang. Rumah-rumah didirikan sehingga ke kaki gunung.
Di puncak ini juga ada zoo kecil. Haiwan-haiwan yang diletakkan di sini adalah kambing biri-biri, rusa, ayam dan burung. Aku pusing-pusing dan mendapati ada banyak sebenarnya kemudahan di sini yang boleh dicuba pelancong seperti tempat bertali di atas kepala yang aku tak ingat apa benda. Namun semua ini ditutup. Agak mengecewakan padaku. Aku fikir semua kemudahan di sini disasarkan kepada pelancong luar melihatkan penerangan bahasa Inggeris di merata tempat, termasuk zoo.
Aku ke kawasan menjual cenderamata. Aku bertemu satu topi sejuk yang agak cantik dan rekabentuknya seperti yang biasa dipakai di Rusia dan Siberia, berbentuk seperti songkok dan tebal kainnya. Aku bertanyakan harganya pada seorang wanita Kazakh yang menjaga kedai itu, dan dia memberitahuku harganya hampir RM200! Mahalnya. Aku berat hati terpaksa membatalkan hasrat membeli topi itu.
Aku pun ambil kereta kabel turun kembali ke bawah. Sebenarnya aku mahu berjalan-jalan lagi tapi tak tahu destinasi menarik lain di sini. Maka aku jalan sahaja. Aku temui taman awam yang ada patung didirikan di tengah-tengahnya. Banyak betul taman begini di Almaty, fikirku. Aku ambil beberapa foto. Mungkin aku boleh menyelidik latar belakang dan sejarah persona yang dipatungkan itu kelak.
Selepas taman itu, aku lepasi pula semacam kolam tetapi sedang beku. Maklumlah, suhu negatif sekarang. Aku naik dan turun tangga, dan melintas sebuah hotel pula. Hadapan sedikit dari hotel itu, aku bertemu sebuah hentian bas.
Tekak terasa kering. Seperti selalunya, sukar benar mencari mesin jual air di sini. Mujurlah aku bertemu satu kedai runcit tiba-tiba di tepi jalan, iaitu sebuah kedai Korea. Aku pun beli air tin dari kedai itu berharga KZT600.
Aku nampak peta pada satu hentian bas, dan aku cari bas yang menghala ke hotel aku. Tak ada. Lantas aku cari yang menghala ke kawasan terdekat dengan hotel, iaitu stesen tren Almaty-1. Aku menemuinya, iaitu bas 120. Anehnya, laluan bas ini seperti lebuh raya. Bila aku periksa dalam Yandex, rupanya laluan bas ini mengikut lebuhraya seperti lingkaran luar Almaty, dan ia seolah mengelak dari berhenti kerap. Pendek kata, bas ini seolah menggunakan laluan pintas ke utara Almaty, atau Daerah Turksib, di mana hotel aku terletak.
Dalam perjalanan, aku tertarik dengan gudang besar di tepi jalan, lalu aku turun di situ. Aku singgah di sebuah restoran untuk makan, namun keluar selepas mendapati restoran itu tiada nasi. Aku masuk ke dalam gudang itu. Rupanya ia sebuah pasaraya. Di dalamnya lebih banyak pilihan berbanding yang dekat dengan hotelku, bahkan ramen Korea pun ada dijual, yang Buldak itu.
Aku ke tandas untuk buang air dan tak sangka di sini dikenakan bayaran sebanyak KZT80. Tandasnya amatlah kotor dan berbau, silingnya tercabut, ada kesan hitam pada lantai dan tisu kotor dibuang dalam bakul sampah pejabat. Tiada air dan tisu. Celaka. Begini rupanya tandas di pinggir bandar. Mujur aku ada membawa tisu.
Aku pun balik semula ke hentian bas untuk pulang menaiki bas 120. Tanpa disangka, bas itu terpaksa menurunkan penumpang di satu hentian kerana rosak. Aku ternampak kedai makan di tepi jalan lantas membeli burger berharga KZT1500.
Selesai makan tengahari, aku ke hentian bas lain untuk menaiki bas nombor 1 ke hotel. Hentian itu menurut Yandex, menuntut aku berjalan kaki hampir satu kilometer. Aku redah kaki lima dan satu bulatan. Di sepanjang tepi jalan di tepi bulatan itu aku bertemu banyak kedai makan.
Bas nombor 1 tiba tidak lama kemudian. Laluan bas ini mirip laluan bas sewaktu aku tiba di sini hari pertama dahulu. Namun ia berhenti pada bahagian lain, yang mana ia memudahkan aku ke kedai-kedai runcit. Pada waktu ini aku mulai rasa tidak sedap badan. Tekakku terasa sungguh kering. Lantas sebelum pulang ke hotel, aku beli air mineral berharga KZT290, kerana fikirku aku perlu meminum banyak air dan mengurangkan minuman berkafein. Aku rasa pada ketika itu, aku akan demam.
6 February 2024
Hari ini aku demam pula. Ubat tidak dibawa, maka aku pun terpaksalah redah kesejukan di luar yang sentiasa di tahap negatif darjah Celsius untuk ke farmasi. Mujur pusat beli-belah amat hampir dengan hotel, dan di dalamnya ada farmasi. Aku terangkan pada penjaga farmasi menggunakan Google Translate. Dia pun keluarkan sepapan paracetamol, ada sepuluh biji semua, berharga KZT160. Sangat murah aku fikir. Terus aku bayar guna kad kredit.
Aku masih pening tapi aku terpaksa gagahkan diri. Aku perlu membeli makanan dan minuman. Maka aku singgah ke pasaraya di dalam bangunan sama dan beli dua botol air mineral pada harga KZT479. Makanan pula aku beli di medan selera di tingkat atas. Ada nasi, tapi tak ada tanda harga, di sebuah kedai Turki. Lain-lain kedai hanya menjual burger dan doner. Aku beli dua biji burger daging berharga KZT2400, dalam RM25 lebih, di sebuah kedai. Agak mahal, namun aku tiada pilihan.
Balik sahaja ke hotel, aku sambung rehat. Satu hari telah dibazirkan kerana demam. Aku fikir punca demam ini ialah kerana kurang meminum air dan iklim musim sejuk di sini yang amat kering. Kekeringan udara di sini lebih ketara jika engkau berada di dalam bilik hotel. Aku rasa sakit dalam hidung akibat keringnya udara, dan bila bangun pagi ada kesan darah dalam hidung. Mujur tak meleleh dan hanya sedikit.
7 February 2024
Demam dah reda sedikit selepas berehat sehari. Hari ini hari terakhir aku di sini. Jadi, aku bercadang menyambung perancangan yang tertangguh, iaitu melawat Shymbulak, kawasan berpanorama dalam banjaran Ili-Alatau. Mungkin di sinilah pemandangan paling jelas banjaran itu dapat kuperolehi. Shymbulak jika aku rujuk pada peta, adalah lokasi paling hampir dengan gunung itu. Aku sebenarnya telah menyelidik sebelum ke sini namun terlepas pandang, hanya diingatkan kembali oleh video di Youtube yang aku tonton di hotel pada malamnya. Mungkin Shymbulaklah kemuncak pemburuan Ili-Alatau aku di sini sejak hari pertama tiba.
Dari hotel, aku berjalan kaki ke stesen tren Almaty-1 dan mengambil bas nombor 2 ke stesen metro Raymbek Batyr. Aku terpaksa keluar di pertengahan jalan kerana drebar memasang pemanas yang cukup kuat sehingga aku berasa seolah-olah berada dalam ketuhar. Di pertengahan jalan aku menanggalkan parka dan hanya memakai kemeja sehelai. Badan aku mengeluarkan asap, aku agak terkejut juga. Tak pasal-pasal aku berlagak jadi Titan sekejap. Menurut pengalaman aku yang lepas, jika suhu di sekitar negatif, segala apa yang panas, termasuk air kencing (ini dari kawan aku), akan mengeluarkan wap. Ini bermakna badan aku tengah panaslah jika berwap seperti sekarang.
Aku naik bas nombor 2 lain yang tiba tidak lama kemudian. Sungguh mudah di sini, basnya kerap tak macam di Malaysia. Jika aku buat begini di Malaysia, sejam kemudian barulah bas lain sampai.
Dari Raymbek Batyr aku perlu berjalan kaki ke stesen tren Almaty-2. Aku suka naik bas dari stesen tren dan metro kerana lokasinya lebih mudah dicari dalam peta.
Dari Almaty-2 aku akan naik bas nombor 12 ke Shymbulak. Aku dapati bas ini sungguh ramai yang naik. Adakah hari ini hari cuti umum? Tidak juga. Dan aku dapati mereka ini bukannya turun di Shymbulak pun kerana ketika aku turun di sana, mereka tidak pula turun.
Aku tiba di Shymbulak lebih kurang jam sepuluh lebih. Gunung bersalji yang aku lihat dari kejauhan berhari-hari, kini amat dekat di depan mata dan lebih dekat dari mana-mana lokasi sepanjang hari-hari yang lepas. Kereta kabel mundar-mandir atas kepala. Aku ke kaunter untuk beli tiket. Aku beli tiket ke stesen ski sahaja yang berharga KZT4000. Kalau nak ke stesen puncak, mahal sikitlah. Mujur boleh bayar guna kad kredit, sebab aku dah malas keluarkan tunai, kerana cajnya sungguh mahal. Tetapi aku cadangkan jika kalian ke sini, belilah sehingga ke stesen puncak, kerana bila lagi peluang ke sini kunjung tiba bukan?
Kereta kabel ini rendah sahaja, aku fikir dalam seratus meter lebih dari aras tanah. Tak setinggi di Langkawi. Pabila aku menerawang dari dalam kereta kabel, dapatlah dilihat gunung-ganang yang lebih rendah beralun di bawah kereta, pokok-pokok konifer yang tumbuh jarang-jarang, kawasan lereng yang masih diselaputi salji degil, dan tidak dilupakan, kawasan stadium luncur ais tertinggi di Eropah tak silap aku di mana peluncur ais nampak kecil seperti semut.
Aku tiba di stesen ski Shymbulak lebih kurang dua puluh minit kemudian. Gunung entah apa namanya mencanak dari celah-celah puncak lain, diselaputi salji dan tiada pokok. Kerana tingginya sudah melangkaui garis pokok (tree line) dan aku ada rasa puncak yang ini mirip Gunung Matterhorn yang dilihat dari kakinya di pekan Zermatt. Tiada pokok, hanya batu granit dan salji melitup. Puncak-puncak yang lebih rendah pula masih ada pokok konifer yang tumbuh jarang-jarang. Lereng luas di depan aku yang diselaputi salji dijadikan kawasan ski, dan adalah dalam seratus pengunjung sedang sibuk berski dari atas lereng.
Aku agak dahaga dan menahan diri dari membeli kopi disebabkan aku ada mengambil ubat demam. Maka aku pun beli Sprite yang berharga KZT1100 atau RM12. Agak mahal, dan kuantitinya pun hanya 250ml. Maklumlah, inikan di atas gunung. Harga pastilah premium.
Aku pulang kembali dengan bas nombor 12. Namun aku tak terus ke Almaty-2, aku mahu cari kedai makan Kazakh di tengah bandar.
Selepas setengah jam berjalan kaki, aku berputus asa. Aku ambil metro dari stesen Abay, terus ke Raymbek Batyr. Sempat beli air mineral berharga KZT250 dari mesin air kerana aku nak kurangkan duit syiling. Tekak masih amat kering lagipun, kerana demam aku belum benar-benar pulih.
Di stesen Raymbek, aku dapati bas nombor 2 tidak membawa aku pulang ke hotel dari sini. Sebaliknya aku perlu mengambil bas nombor 73.
Turun dari bas 73, aku lalu di hadapan sebuah kedai doner dan membeli dua doner dengan harga KZT2800, untuk makan tengahari dan malam. Aku tidak mahu keluar lagi kerana masih perlu berehat untuk benar-benar sembuh.
Aku berpuashati dengan hari ini. Aku fikir hari ini telah menamatkan pemburuan Ili-Alatau. Aku bilang pada kali lain aku ke sini, aku akan ambil tiket sehingga ke puncak pula.
8 February 2024
Hari ini hari terakhir aku di sini. Penerbangan ke Doha menggunakan Qatar Airways penerbangan QR392 dijadualkan berlepas pada jam sebelas dua puluh lima pagi. Aku bersiap-siap awal. Seperti biasa, aku turun bersarapan jam tujuh. Kemudian naik semula ke atas dan mengemas beg.
Jam lapan pagi, aku sudah selesai daftar keluar. Cuaca di luar mendung, dan suhu negatif. Salji tipis seolah baru turun malam sudah. Aku berjalan ke hentian bas untuk ke lapangan terbang, bas nombor 33 atau 41 akan dinaiki. Bas nombor 33 tiba dahulu, maka aku naik terus.
Bas tiba di hentian Ogareva Street. Dari hentian itu, aku perlu berjalan sedikit sehingga ke lobi lapangan terbang. Demamku masih belum reda, kali ini aku diserang selesema pula. Sampai di lapangan terbang, aku terus ke tingkat atas di bahagian pelepasan.
Di situ, aku bersiap membungkus kembali baju parka, kerana selepas ini aku tidak lagi perlu memakainya. Barang-barang dalam beg disusun kembali. Aku terus ke bahagian pasport kerana aku sudah daftar masuk penerbangan secara atas talian.
Selepas pasport dicop, aku melalui pemeriksaan keselamatan. Semua lancar, dan aku tiba di ruang menunggu sebelum ke pintu berlepas. Lapangan terbang ini amat kecil, kerana tidak ramai yang datang ke Almaty. Penerbangan aku ke sini dari Doha tempoh hari pun banyak kekosongan, sehingga aku boleh berbaring di tempat-tempat duduk kosong di sebelahku. Mungkin selepas bulan Mac nanti Almaty akan lebih meriah dengan kedatangan pelancong Malaysia yang berbondong-bondong kerana AirAsia katanya akan membuat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke sini bermula bulan itu.
Aku berasa amat kering tekak dan dahaga. Aku mencari kedai menjual air mineral namun semua mahal-mahal belaka. Paling kurang KZT800 untuk satu botol kecil. Aku cuba mencari kalau ada sumber air minum percuma seperti di lapangan terbang Doha dan Beijing, namun tiada. Akhirnya terpaksalah aku menunggu sehingga di dalam kapal terbang nanti untuk mendapatkan air mineral.
Jam sepuluh dua puluh lima, aku dibenarkan masuk pesawat. Agak cuak juga pabila pasportku sangkut di pemeriksaan di pintu berlepas. Selepas pemeriksa mengimbas berkali-kali barulah lepas. Agak aneh juga bagaimana pas berlepas dan pasportku sudah diimbas sebelum itu namun masih sangkut di sini.
Seperti dijangka, tempat duduk di sebelahku kosong. Aku duduk di tepi tingkap. Langit putih dan salji baru melitup dataran. Pekerja menyembur sejenis cecair ke atas sayap dan badan kapal terbang untuk tujuan penyahaisan, sesuatu yang baru pertama kali aku lihat.
Penerbangan ke Doha lancar. Jam satu enam minit waktu Doha, aku selamat mendarat. Aku transit di Doha sehingga jam tujuh lima puluh malam sebelum mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur. Dalam julat masa yang panjang ini, aku berlegar-legar di sekitar pintu-pintu berlepas. Aku agak terkejut melihat harga-harga makanan di sini. Satu set hidangan biasa Burger King yang berharga lebih kurang RM20 di Malaysia, boleh berharga sekitar RM60 di sini. Aku melihat kedai-kedai makanan lain. Ada kedai yang menjual sandwich pada harga sekitar QTR40 (Qatari Riyal), bersamaan lebih kurang RM40 lebih. Padahal sandwich itu jika dilihatkan kuantitinya, sepatutnya hanya berharga RM10 (aku ambil harga di O'brien melihatkan kuantiti dan kualiti sandwich itu). Jika diikutkan aku hanya mahu beli keropok Lays sahaja. Namun aku ada insentif untuk membeli Burger King menggunakan kad kredit, kerana mata ganjaran.
Selepas makan, aku hanya melepak di bangku. Dalam jam empat lebih, pintu berlepas diumumkan. Aku terus ke pintu C24. Dalam perjalanan aku terserempak dengan taman tropika yang didirikan di dalam bangunan. Aku pun turun sebentar ke tingkat bawah untuk melihat taman itu. Ia ditanam dengan pokok-pokok tropika hidup, dan di atas ada jejambat yang boleh dilalui pengunjung yang mahu menikmati pemandangan hutan ini dari atas. Agak menakjubkan bagaimana Qatar boleh membangunkan hutan dalam bangunan seperti ini. Ia hanya ada di kawasan pintu berlepas C sahaja.
Aku naik ke tingkat atas untuk terus ke pintu C24. Sampai di sana, jam sudah pukul empat lebih. Aku solat Maghrib jamak dengan Isyak jam lima setengah waktu Doha. Kemudian aku hanya duduk sambil memandang menerusi tingkap kaca pesawat-pesawat Qatar Airways yang sedang diisi minyak, dicuci dan diselenggara dan dibekalkan makanan. Salah satu dari pesawat-pesawat itu ialah pesawat yang bakal aku naiki.
Dalam jam enam lebih, aku dibenarkan masuk. Aku terlalu mengantuk, kerana kalau diikutkan, pada waktu ini sudah pun jam sebelas malam waktu Malaysia. Maka aku hanya banyak tidur di dalam penerbangan. Jam tujuh lebih keesokan harinya, aku selamat tiba di Malaysia.
Secara umumnya, aku berpuas hati dengan lawatan ke Almaty, kerana hajatku melihat pergunungan bersalji di sana tercapai. Aku bercadang ke sana sekali lagi, dengan penerbangan Air Asia pula. Dan untuk lawatan tersebut, aku ingin melawat gunung yang kulihat di Shymbulak untuk melalui jalan pendakian pula sehingga ke puncak.
Almaty telah menyedarkan aku bahawa pengangkutan awam di sana boleh jadi lebih baik berbanding Malaysia. Aku tidak menyangka akan perkara ini sebab Kazakhstan pada tanggapan pertamaku adalah sebuah negara miskin, mundur kesan penjajahan Kesatuan Soviet. Namun semua tanggapan awal itu meleset. Almaty ialah bandar yang tahap siviknya hampir dengan Jepun. Laluannya boleh dikatakan cukup bersih meski ada sedikit sampah, dan tidak sebersih Jepun. Mereka tidak memerlukan lampu isyarat untuk laluan pejalan kaki, cukup dengan kesedaran para pemandu memberhentikan kenderaan jika ada pejalan kaki mahu melintas.
Buat pengetahuan, aku tidak tahu memandu dan aku hanya ke mana-mana menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Disebabkan itu, aku boleh katakan, pengangkutan awam di KL untuk bas semakin teruk sejak 2015. Sebelum 2015, pengangkutan bas di KL amat boleh diharapkan. Ini kerana kerajaan pada tahun 2015 cuba mengurangkan subsidi kenderaan awam demi mengurangkan defisit kerajaan. Maka laluan bas yang tidak menguntungkan akan dimansuhkan. Ada laluan bas yang diserahkan kepada pengendali swasta. Banyak laluan bas ditukar dan dinomborkan kembali, namun tidak konsisten dengan apa yang dipaparkan pada Google Maps. Ada bas yang tidak berhenti pada hentian mereka. Ada bas yang perlu ditahan barulah berhenti. Kerapkali juga, bas tidak muncul-muncul selepas setengah jam namun selepas ia muncul dan ditahan, ia tidak berhenti dan berlalu begitu sahaja!
Aku jamin, jika kalian ke Almaty, kalian tidak akan menghadapi semua isu remeh-temeh ini. Bas akan berhenti tidak kira ada atau tidak orang naik dan turun dan kalian tidak perlu menahannya. Di sana juga, mesin untuk tambah nilai kad ONAY ada di merata-rata tempat. Jika mesin ini dipasang di Malaysia, alamatnya akan dipecahkanlah mat dadah, sepertimana yang turut berlaku pada telefon-telefon awam di Malaysia. Disebabkan itu, menambahnilai kad MyRapid sungguh menyusahkan. Aku sudah banyak kali lihat di KL, bagaimana penumpang yang kadnya tiada baki mencukupi, tidak dibenarkan naik bas sedangkan dia berada di tengah-tengah lebuhraya dan tiada mesin tambah nilai di situ. Di Almaty, mesin tambah nilai ini ada di mana-mana dan tiada siapa pun yang akan memecahkannya demi mencuri wang di dalamnya. Pendek kata, untuk mengubah sistem bas di Malaysia, rakyat dan kerajaan harus sama-sama main peranan. Almaty tidak memerlukan sistem metro atau tren bawah tanah lebih dari satu jalur seperti Malaysia, kerana sistem basnya pun sudah mencukupi. Aku jamin, dengan bas sahaja, engkau boleh ke mana-mana sahaja di Almaty.
No comments:
Post a Comment