17 November 2023
Hari ini hari terakhir aku boleh berjalan-jalan, kerana esok awal pagi lagi
aku sudah perlu bersiap-siap untuk ke lapangan terbang. Maka aku memutus untuk
ke Nopporo, satu taman hutan di pinggir bandar ini. Dalam Nopporo ini ada dua
buah muzium didirikan, satu dikenali sebagai Perkampungan Bersejarah Hokkaido (Historical
Village of Hokkaido) dan satu lagi muzium yang aku tak ingat namanya.
Seperti biasa, aku tak berminat sangat dengan destinasi-destinasi ini, aku
hanya menjadikannya sasaran sahaja kerana niat utama aku hanya ingin berjalan
kaki dan merasai iklim dan persekitaran negara ini dan memerhati ragam bangsa
asing di sini. Dengan adanya sasaran, perjalanan kita akan ada arah. Perjalanan
tanpa sasaran hanya akan menyesatkan dan tak mendatangkan makna dan kepuasan.
Hari ini aku turun makan sarapan seperti biasa di tingkat dua. Menu sarapan
di hotel ini tak pernah berubah, dan kuantitinya sedikit. Biasanya aku akan
sarapan dahulu dengan makanan yang kubeli awal-awal dari kedai serbaneka kerana
aku selalunya bangun awal pagi sekitar pukul empat. Aku keluar dari hotel dan
menyedari langit tak selalunya cerah, hari ini langit putih pula dan ada
gerimis turun. Aku berfirasat hari ini akan jadi kurang sesuai untuk berjalan-jalan,
tidak seperti dua hari sebelumnya.
Entah kenapa aku teringin benar makan buah peach sejak semalam. Semalam
puas sudah aku mencarinya di pasaraya, namun tidak kedapatan satu pun. Harapnya
hari ini aku bertemu buah itu. Ia ada dijual di Malaysia namun mahal kerana
diimport. Buah ini banyak di negara seperti Jepun, China dan Korea. Aku
berharap dapat bertemu yang murah di sini.
Untuk ke Nopporo, aku perlu mengambil tren bawah tanah hingga ke
Shin-Sapporo. Maka pada jam tujuh setengah pagi aku ke stesen tren bawah tanah
terdekat dengan hotel, iaitu Kitajunijo. Di sana aku membayar 330yen pada mesin
tiket, dan mengambil tren laluan Namboku (bermaksud ‘Selatan-Utara’) dan
berhenti di stesen Odori. Di stesen Odori aku perlu mengambil tren laluan Tozai
(bermaksud ‘Timur-Barat’) dan berhenti di Shin-Sapporo. Dari Shin-Sapporo, aku
akan berjalan kaki sejauh lebih kurang tiga kilometer untuk ke Nopporo. Memang
ada bas dari Shin-Sapporo ke Nopporo, namun aku memilih untuk berjalan kaki.
Orang di sini tidak pernah surut. Ramai, seperti di Puduraya bertahun
dahulu. Aku tidak boleh berhenti di tengah-tengah laluan atau akan dilanggar.
Maka untuk mengambil nafas atau berfikir sejenak, aku akan berhenti rapat
dengan dinding kerana biasanya mereka tidak akan berjalan dekat dengan dinding.
Ketika dalam tren dari Kitajunijo lagi orang ramai memenuhi tren, ada yang
berdiri dan ada yang duduk. Hari ini hari bekerja dan bersekolah maka
sememangnya tren akan sesak, lagi pula sekarang ini waktu puncak. Perjalanan ke
Shin-Sapporo agak lama kukira, dalam setengah jam begitu.
Sampai sahaja di Shin-Sapporo, aku pun keluar. Ini adalah stesen paling
timur untuk sistem tren bawah tanah Sapporo. Kawasan di sekitar stesen ini
ialah kawasan pinggir bandar Sapporo. Pengangkutan awam utama di sini adalah
bas dan tren JR. Aku keluar selepas mencucuk kad tiket pada mesin, dan melalui
sebuah terowong sehingga bertemu pintu keluar. Di sebelah kiri pintu keluar itu
ada AEON. Aku teringat aku mahu membeli buah peach dan pada masa yang sama,
mengurangkan duit syiling satu yen yang amat merimaskan itu. Aku harap aku
boleh membayar harga buah itu dengan duit syiling satu yen sahaja. Duit syiling
ini tidak diterima mesin air, dan tidak diterima kaunter tukaran wang asing.
Maka ia terbiar sahaja sehinggalah engkau menggunakannya.
Aku pun masuklah ke dalam AEON itu. AEON di sini aku perhati sedikit
berbeza berbanding AEON di Malaysia. Makanan-makanan siap dimakan nampak lebih
segar dan kurang makanan bergoreng. Banyak makanan berasaskan ikan mackerel
bakar. Aku mahu membelinya namun memikirkan aku boleh mendapatkan makanan yang
lebih banyak pada harga sama di Family Mart dan 7-Eleven, aku abaikan sahaja.
Lagipun sudah ada banyak makanan yang kubawa dalam beg. Aku berjalan di tempat
sayuran dan buahan segar, namun tidak kedapatan buah peach. Aku berjalan di
tempat makanan tin, dan akhirnya bertemu buah peach, dalam tin. Meski sedikit
kecewa kerana tidak berjaya mendapatkan buah peach segar, aku terpaksa berpuas
hati dengan versi dalam tin. Aku keluarkan semua wang syiling satu yen. Sewaktu
membayar di kaunter, aku bertanyakan penjaga kaunter, seorang wanita
pertengahan umur, akan bolehkah aku membayar dengan wang syiling sahaja. Dia
keluar dari kaunter dan memintaku menggunakan sebuah mesin di tepiku. Aku
nampak kabur dan tidak faham maka dia tunjukkan satu-persatu bagaimana
menggunakannya, dengan penuh semangat sekali, bahkan ada sekali-kala terkeluar
perkataan Inggeris. Nampak sangat dia tahu aku bukan orang Jepun, menyedari
cara percakapanku yang berterabur. Aku masukkan sekeping demi sekeping duit
syiling itu sehingga lengkap harga yang diminta, iaitu 159yen. Sungguh tidak aku
sangka, rupanya ada mesin yang menerima wang syiling satu yen. AEON di tanah
air tidak ada mesin begini. Bahkan di sini, mesin begini ada di setiap kaunter
pembayaran. Sungguh memudahkan. Jika mesin begini ada di AEON di tanah air
sudah pasti berkuranglah duit-duit syiling lima sen yang bertahun sudah aku
kumpul.
Selesai membayar, aku pun keluar dari AEON, terus mencari hala tuju ke
Nopporo. Langit di luar masih putih dan suram, dan gerimis masih turun. Gerimis
sudah jadi hujan pula, makin lebat nampaknya. Hari sudah hari ketiga dan aku
masih menanti salji, tapi yang turun hujan pula. Aku lintas jalan seperti arah
pada GPS, dan tiba di satu barisan kedai. Di sana aku perlu memasuki satu
bangunan dan menggunakan jejambat tanpa bumbung. Berlarilah aku di sepanjang
jejambat itu demi mengurangkan kebasahan. Sampai di seberang jalan, aku
terjumpa satu pasaraya yang menjual barangan segar. Aku masih tidak berputus
asa mahu mencari peach segar, lantas aku masuk ke dalam pasaraya itu. Namun
malangnya, masih belum ketemu sebiji pun. Lantas aku keluar kembali dan
meneruskan perjalanan sehingga sampai di satu simpang yang agak besar. Di
sinilah aku perasan, aku benar-benar di pinggir bandar Sapporo. Di sini tiada
lagi bangunan yang rapat-rapat dan orang yang ramai berjalan kaki. Hanya ada
banyak kereta sahaja, dan jalannya pun lebar. Bangunannya juga bukan lagi
bangunan kecil-kecil dan rapat-rapat, namun besar-besar seperti gudang jualan
kereta, bengkel-bengkel, kedai perabot, kedai barangan borong dan sebagainya.
Ia mirip bandar Temerloh di tempat asalku, atau sebarang bandar-bandar kecil.
Tiada lagi bangunan tinggi-tinggi seperti di pusat bandar Sapporo. Dan di sini
juga lebih banyak bangunan apartmen dan kediaman berbanding pusat bandar
Sapporo, dan kurangnya bangunan hotel. Mungkin di sinilah warga Jepun yang
bekerja dan belajar di pusat bandar itu tinggal. Mereka pastinya akan ke
Shin-Sapporo dengan menaiki bas setiap hari untuk bekerja dan belajar, atau
mungkin menggunakan tren JR jika tinggal berdekatan stesennya. Dan dari
Shin-Sapporo, mereka akan menggunakan tren bawah tanah untuk ke pusat bandar.
Aku menyusur tepi kanan jalanraya yang besar itu. Ia benar-benar seperti
suasana di bandar Temerloh, jalan yang besar, kereta dan lori yang banyak dan
kedai-kedai yang besar-besar. Hujan masih turun, kadangkala sedikit kadangkala
lebat. Angin seolah tiada. Pabila aku sampai di sebuah bangunan di kananku, aku
mengambil kesempatan berteduh dengan harapan hujan akan berhenti dan pakaianku
akan kering segera. Aku baca sedikit-sedikit poster yang bertampalan di luar
lobi bangunan itu dan dari tulisannya yang aku fahami sedikit-sedikit, aku
dapati ia bangunan kerajaan yang menyediakan khidmat-khidmat seperti pungutan
cukai. Cuaca di luar tidaklah terlalu sejuk dek ketiadaan angin, maka aku tidak
bercadang masuk ke dalam lobi dan membasahkan lantai mereka. Hujan di luar
makin lebat pula. Nopporo sudah tidak jauh dari sini. Dari jauh sayup-sayup
kedengaran bunyi tren, rupanya nun jauh di seberang jalan raya yang besar itu
dapat kulihat tren JR melepasi dengan laju di atas landasan yang terlindung dek
hutan kecil dan lalang-lalang hijau yang padat. Aku fikir pastinya ada stesen
tren JR di sini, di kawasan di mana tren bawah tanah Sapporo sudah tidak dapat
diakses. Aku pun buka Google Maps dan mendapati stesen itu ialah Stesen
Shinrinkoen. Ya, amat dekat letaknya dengan Nopporo. Aku bercadang bila pulang
nanti aku akan menggunakan tren JR sahaja untuk kembali ke pusat bandar
Sapporo. Aku sudah tidak larat berjalan kaki.
Hujan tidak juga berhenti. Aku teruskan berjalan bila kurasa hujan sudah
sedikit berkurang. Tiada guruh kedengaran seperti hujan di tanah air. Aku
terdetik mahu membeli ikan makerel saba panggang. Sejak datang ke sini, aku
masih belum membeli ikan kegemaranku itu yang tidak dijual di tanah air. Ia
hanya dijual di 7-Eleven di sini, dan dibungkus dalam bekas plastik berlabel,
berharga sekitar 250yen hingga 300yen. Tempoh hari aku telah membelinya namun
kemudian aku menyedari ia ikan yang salah dan tidak sedap rasanya, iaitu makerel
atka yang rasa hambar, sedang makerel saba itulah yang sedap. Kebetulan aku
terserempak dengan 7-Eleven di seberang kiri jalan raya besar. Aku pun ambil
kesempatan untuk ke sana sebentar.
Di 7-Eleven ini aku berniat mahu membeli payung, dan menemui satu payung
warna putih berharga 600yen. Aku juga menemui ikan makerel panggang itu. Aku
beli sekali kopi americano di mana engkau perlu mendapatkan cawan dari kaunter
dan membayar dahulu. Penjaga kaunter keluar selepas mendapati aku tidak tahu
bagaimana menggunakan mesin kopi itu. Dia menunjukkan satu-persatu kaedahnya
dengan penuh semangat, sepertimana mak cik di AEON tadi. Aku dapati
pekerja-pekerja kaunter di sini kebanyakan mak cik pertengahan umur dan amat
bersemangat dan bersungguh membantu pelanggan mereka. Ketikamana mak cik itu
cuba menekan butang latte, aku perasan aku telah tersilap beli, lantas aku
menegahnya. Kata mak cik itu, dia telah memilih latte kerana menyangka itu yang
kumahukan, lantas aku telah membayar harga latte tadi. Ketika dia bergegas mahu
menukarnya dan memulangkan baki (kerana americano lebih murah), aku kata tidak
mengapa kerana aku tidak mahu menyusahkannya. Namun dia tidak mahu mengalah dan
tetap mahu menukar kepada americano. Aku terima sahajalah, kerana aku fikir ia hanya
satu kesilapan kecil dan aku tidak kisah sangat (dan aku bukan alahan kepada
susu pun dan boleh meminum latte), tapi aku mengalah melihatkan dia bersungguh
dan katanya tidak elok sekiranya aku membeli sesuatu yang lebih mahal
disebabkan kesilapannya. Setelah dia siap menguruskan penukaran dan memulangkan
bakiku, dia keluar semula dari kaunter untuk membantuku mendapatkan americano
dari mesin itu. Selepas semuanya selesai barulah dia kembali ke kaunter. Aku
agak tidak menyangka juga akan layanan yang diberikan. Kalau di tanah air, saat
aku mengalah itulah juga pelayan kaunter akan lepaskan diri, kerana buat apa
bersusah-payah kalau pelanggan sudah letak tepi kesilapan itu? Aku tak tahu
secara perinci budaya apa yang mereka orang Jepun amalkan, namun aku pernah
ternampak dahulu di stesen tren di Morioka bagaimana mereka mencangkung untuk mengelap
mangkuk tandas dengan bersungguh sehingga bahagian bawahnya berkilat dan tiada
kesan kotor sedikitpun tertinggal. Ia hanya perkara kecil namun mereka memberi
tumpuan sepenuhnya. Kalau budaya begini diterapkan di Malaysia, alangkah
senangnya pengguna. Kadangkala aku pun berfikir juga, apakah aku benar-benar
meletakkan sepenuh hati dalam pekerjaanku, seperti mereka ini?
Di luar hari masih hujan. Aku berdiri di luar satu kedai menjual pakaian,
dan ia belum dibuka. Jam baru sembilan setengah pagi. Aku menghabiskan
americano yang berharga 100yen lebih itu. Americano ini sebenarnya hanyalah
kopi biasa, cuma kaedah penghasilannya ialah dengan menggunakan mesin. Tiada
apa yang menariknya, harganya pun murah. Cuaca tidak terlalu sejuk, rasanya
dalam sepuluh darjah. Sebaik menghabiskan kopi, aku memulakan perjalanan ke
Nopporo. Payung dikembangkan. Bunyi air hujan merintik-rintik atas payung.
Selepas menyeberangi jalan raya yang besar itu, aku menelusuri jalan berasphalt
yang dibarisi pohon-pohon tinggi yang sudah tidak berdaun. Di hadapan sana di
belah kanan susur ini ada taman perumahan berpagar. Aku teruskan berjalan
sehingga bertemu semacam pagar kereta dan ada pondok pengawal. Aku mengangkat
tangan menyapa pengawal itu, dia membalasnya. Di tepi kiri laluanku adalah
semak, sementara di belah kanan adalah jalan kereta. Di hadapanku adalah hutan shirakaba
yang tidak berdaun. Daun-daun kering menghiasi lantai. Disebabkan ia tidak
berdaun, maka cahaya matahari dapat mencecah lantai dan keadaan tidak terlalu
gelap. Aku melepasi Jambatan Seratus Tahun. Aku tidak tahu mengapa ia dinamakan
begitu, namun itulah terjemahannya. Selepas jambatan itu, hutan di kiri dan
kananku semakin tebal dan misteri. Ada papan tanda menunjukkan arah ke muzium
dan arah ke Perkampungan Bersejarah Hokkaido. Aku membelok masuk ke simpang
menghala ke perkampungan itu. Makin dalam aku dalam hutan ini nampaknya. Ada
satu dua kereta dan lori melalui jalan ini. Jauh di belakangku aku perasan ada
dua orang lelaki, nampak seperti pelancong, turut berjalan sepertiku. Aku rasa
lega. Sekurang-kurangnya aku tak berseorangan di tengah hutan ini. Aku risau
jika ada beruang di sini, kerana hutan di Hokkaido ini sememangnya banyak
beruang. Aku harap beruang tidak akan muncul di tengah-tengah cuaca hujan
begini.
Aku akhirnya sampai di perkampungan tersebut. Perkara pertama yang aku
lakukan ialah merakam bahagian hadapan dan perkarangan sebuah bangunan yang besar
yang merupakan pintu masuk ke perkampungan itu. Tempias hujan renyai-renyai
membasahi lensa handycam, aku lap sekali-sekala dan betulkan litupan payung.
Bangunan ini letakkan di atas sebuah bukit yang tidak terlalu tinggi. Dari atas
ini juga aku dapat merakam panorama hutan daun luruh yang mengelilingi
perkampungan itu dan juga yang aku lalui tadi.
Dua orang lelaki yang aku fikir pelancong itu tiba kemudiannya, ketikamana
aku sudah duduk di bangku untuk makan sebentar. Aku keluarkan dua keping roti
dan aku letak sos thousand island jenama Kewpie, kapitkan keduanya dan menyuap
ke mulut. Ada sedikit Pringle berbaki aku habiskan juga. Selepas makan, aku
masuk ke dalam kompleks bangunan kayu. Bangunan ini ialah pintu masuk ke
Perkampungan Bersejarah Hokkaido.
Sebelum masuk, aku tutup dahulu payung dan toskan air hujannya. Adab di
sini ialah jangan membasahkan lantai bangunan dengan payung yang basah. Masuk
sahaja bangunan, ada laluan berpapan tanda membawa aku ke kaunter. Di kaunter
seorang pelayan wanita menerangkan tambang masuk. Yuran masuk ialah 800yen
untuk dewasa. Dia ada menerangkan yuran tambahan untuk apa entah (aku tak faham
kerana dia bercakap dalam bahasa Jepun yang agak laju), aku cakap tak mengapa
dan hanya membayar 800yen sahaja. Selepas itu aku pun keluar dari bangunan itu
dan tiba di satu belah lagi, iaitu perkampungan bersejarah itulah.
Dari pintu ini juga aku dapat melihat bangunan-bangunan dalam bandar di
Hokkaido (termasuk Otaru, Sapporo dan lain-lain) yang klasik yang didirikan
ketika era Meiji, terbentang sehingga ke hujung perkampungan. Semua bangunan
diperbuat daripada kayu yang berwarna hitam, seperti di hentian shukuba
Magome dan Naraijuku, atau seperti di perkampungan klasik yang dipulihara di Kurama, Kyoto.
Perkampungan ini bukanlah perkampungan sebenar seperti namanya. Ia sebuah
muzium terbuka. Semua bangunan-bangunan kayu klasik di sini dibawa masuk dari
serata Hokkaido dan didermakan pemilik atau pewaris asalnya. Rata-rata bangunan
di sini didirikan pada era Meiji ketikamana Jepun mengindustri dan mula membawa
masuk dan menyerap idea Barat. Ada kedai gunting rambut, kedai ubat, stesen
keretapi (siap dengan kereta kuda dan kuda hidup lagi, dan engkau boleh
menaikinya), rumah tenun, rumah percetakan akhbar. Juga ada balai polis,
hospital, rumah nelayan. Ada antara bangunan-bangunan ini yang dipulihara
selepas diterima dari pemilik asalnya. Semua disusun agar membentuk sebuah
‘perkampungan’ abad ke-19. Setiap bangunan ini dilengkapi dengan isi-isinya,
contohnya jika kedai ubat, maka akan diisilah dengan ubat-ubat abad ke-19, jika
kedai gunting rambut, akan diisilah dengan kerusi, cermin dan tukang gunting
rambut dalam bentuk patung. Aku agak terkejut pabila membuka pintu kedai
gunting rambut dan ditegur “Irrashaimase!”. Aku mencari-cari dari mana
datangnya suara itu, rupanya ia suara rakaman dan datang dari patung
penggunting rambut yang sedang melayan pelanggannya, juga patung yang berbaring
di atas kerusi.
Secara peribadi, aku tidak gemar muzium. Aku hanya berjalan tanpa hala
tuju. Aku ada berhenti lama di satu bangunan, kerana hujan menjadi lebat pula.
Ketikamana aku kembali meneruskan berjalan di dalam perkampungan itu, hujan
masih turun namun aku redah saja kerana sudah memiliki payung dari 7-Eleven
tadi. Namun angin di sini amat kuat. Ia lebih kuat berbanding pagi tadi. Bunyi
angin yang terlalu kuat menghasilkan bunyi tiupan seakan wisel dan siulan yang
agak menyeramkan. Batang pokok yang sudah tidak berdaun di hutan di kejauhan
menyendeng, petanda angin yang kuat. Payung 7-Eleven warna putih yang kubeli
itu kerapkali terubah bentuk bila ditempuh angin yang kuat, namun ia tidak
patah dan kembali ke bentuk asal dengan mudahnya seperti getah yang kenyal. Aku
agak takjub dengan payung ini. Aku lihat tulangnya diperbuat daripada bahan
poliplastik yang tahan patah dan kenyal, bukan kayu mahupun aluminium yang
mudah bengkok dan sukar dibetulkan. Aku pernah membeli payung murah di 7-Eleven
di tanahair dan pabila dirempuh angin kuat ketika musim monsun, ia langsung
patah atau sekurangnya tercabut dari kain payung. Saat itu aku memutus, aku
mahu simpan payung ini dan membawa pulang ke tanah air.
Habis sudah aku pusing satu kampung itu. Dalam berpusing itu aku dapat
Whatsapp dari tempat kerja, kata penghantar itu dia meminta kebenaran
menggunakan tandatangan digital aku untuk satu kertas. Aku memberikan
kebenaran. Hanya sekali itu sahaja percutianku diganggu. Namun aku tak kisah
sangat. Kerana aku tidaklah terlalu khusyuk bercuti sehingga tidak boleh
diganggu. Sekurang-kurangnya aku tidak di-Whatsapp oleh susuk yang toksik itu,
kerana percutian ini juga adalah usaha sebentar melarikan diri dari susuk itu
dan mengambil semangat baru. Bukan merawat. Merawat untuk orang yang patah
hati. Aku ke sini untuk meleraikan, orang putih panggil ‘unwind’. Bukan healing,
ya.
Setelah tiada apa yang boleh diteroka di situ, aku pun berpatah balik ke
pintu masuk bangunan besar kayu itu. Hari masih hujan dan langit masih putih.
Andai hari ini cerah pasti pemandangan di sini nampak lebih jelas dan
berwarna-warni. Dengan angin yang kuat dan hujan yang merimaskan, cukup untuk mood
aku berjalan-jalan dirosotkan. Aku pusing-pusingkan payung demi membuang air
dan selepas payung ditutup, aku perlu toskan airnya dahulu agar lantai bangunan
tidak dibasahkan. Aku rentas bangunan itu dan ke pintu satu lagi, iaitu pintu
aku masuk tadi. Maka dari sini aku akan berpatah balik ke kawasan laluan
berhutan dan berberuang (mungkin) itu. Aku harap tiada beruang di sini.
Tidak lama selepas berjalan, aku tiba di jalan di tepi hutan daun luruh.
Aku memandang sekeliling dengan mata helang, dan juga menerawang ke atas
kalau-kalau ada beruang. Ada satu dua kereta melepasi jalan di tepiku,
memberikan sedikit kelegaan. Aku pun sampai di pondok pengawal selepas lima
belas minit berjalan. Aku nampak bas JR lalu di tepi namun aku tidak menahannya,
kerana memang ia tak akan berhenti jika ditahan-tahan begitu, sini bukan
Malaysia ya. Ia hanya berhenti di tempat yang bertanda perhentian bas sahaja.
Bas itu menurut tulisan pada luarnya menghala ke Shin-Sapporo, stesen di mana
aku keluar pagi tadi. Ia dikendalikan syarikat sama yang mengendalikan tren
Japan Railways, iaitu syarikat pengendali tren utama di Jepun.
Aku berehat di hentian bas. Di situ ada satu tiang dengan papan kenyataan
bertampalan waktu ketibaan bas JR, iaitu bas yang baru sahaja melepasi aku
tadi. Aku ingin duduk, namun bangku di situ dibasahi hujan pula. Tiada bumbung
disediakan, barangkali sini bukanlah ramai penumpang. Hari masih hujan, aku
masih di bawah payung. Aku menyusur laluan berasphalt yang dinaungi barisan
pokok-pokok tinggi, dan di kiriku ialah taman perumahan berpagar. Aku tiba di
simpang jalan besar tidak lama kemudian, dan melintas jalan besar itu. Selepas
sampai di seberang, aku berehat sebentar di tepi 7-Eleven yang aku kunjungi
sebelum ke Nopporo tadi. Aku lihat bagaimana orang-orang Jepun mengeringkan
dahulu payung mereka setiapkali sebelum memasuki mana-mana premis, kemudian
meletakkan payung mereka di satu tempat payung di luar premis. Di tempat
berteduh ini aku memeriksa jalan ke Stesen JR Shinrinkoen. Jalan itu menuntut
aku berjalan hingga ke belakang pasaraya tempat aku berteduh ini.
Aku pun redahlah hujan yang tidak henti-henti itu dan angin yang kadangkala
kuat hingga hampir merosakkan payungku ini. Namun payung ini dicipta begitu
tahan lasak, sehingga beberapa kali ia ditokak angin sekalipun ia masih boleh
kembali ke bentuk asal. Aku belok kanan di satu simpang, dan jalan terus. Di
sebelah kananku ialah semak samun, sebelah kanannya parit dan sebelah kanan
lagi ialah kawasan kediaman dengan beberapa buah apartmen belasan tingkat. Di
belah kiriku pula ialah lebuhraya yang luas. Jarang aku jumpa landskap begini
di Jepun. Ia mirip Malaysia. Dalam berjalan itu aku melintas bawah landasan JR
yang menghala ke Shinrinkoen di sebelah kanan. Maka fahamlah aku untuk ke
Shinrinkoen, aku perlu melintas satu jambatan merentangi parit di sebelah
kananku itu. Ada dua jambatan di hadapan. Namun entah mengapa, aku melintas
jalan besar di kiriku, menuju ke taman perumahan yang rumahnya sebuah-sebuah. Ketika
itu aku fikir ada laluan pejalan kali di tepi landasan JR itu yang boleh
diakses dari seberang jalan raya besar ini, sepertimana sebahagian laluan
pejalan kaki KTM di tanahair.
Rupanya tidak. Langsung tiada laluan yang aku bayangkan itu. Terpaksalah
aku berpatah balik menyeberangi jalan raya besar itu, dan mencari jambatan
merentangi parit. Disebabkan hujan berterusan, cuaca mulai sejuk dan tanganku
seolah berada dalam peti ais. Selepas merentangi jambatan besi yang agak usang
dan ada conteng-conteng itu, aku tiba di tepi kawasan apartmen. Ada banyak blok
apartmen di sini, seperti di Damansara Damai. Aku tidak boleh redah kerana ia
berpagar, maka aku ikut sahaja jalan kereta yang sempit di tepinya, sehinggalah
aku bertemu kawasan lapang dan kompleks kedai-kedai. Stesen Shinrinkoen dapat
dilihat dari tempat aku berdiri. Ia sebuah stesen dengan senibina lama, banyak
bahagian depannya diperbuat daripada kayu. Aku membuka parka, badanku terasa
panas pula kerana jauh berjalan. Hujan yang tidak henti-henti telah membasahkan
sedikit parka dan seluar. Aku pusing-pusingkan payung demi membuang air hujan.
Aku terlihat seorang lelaki Jepun memusing-musingkan payungnya jauh dari lantai
kaki lima, iaitu di tepi longkang. Aku berasa agak janggal. Aku fikir lantai
kaki lima sini boleh dibasahi, disebabkan itu aku keringkan sahaja payungku di
sini. Ada beberapa orang tempatan juga yang turut melakukan perkara sama
sebelum memasuki bangunan stesen.
Usai menyejukkan badan di luar, aku pun masuk ke dalam stesen, dan mencari
mesin tiket. Tiket berharga 340yen menuju ke stesen Sapporo dibeli. Aku terus
naik ke platform. Dalam menunggu itu aku perhati dari atas platform yang tinggi
ini, bahawa stesen ini sebenarnya lebih dekat dengan pasaraya tempat aku
berteduh itu. Aku tidak menyedari kewujudan laluan singkat ke sini dan ia tidak
pula diberitahu Google Maps, sehinggalah aku menyedarinya dengan memerhati dari
atas platform. Sebenarnya jika diikutkan, sudah banyak kali juga Google Maps
tidak memberitahu jalan yang lebih singkat ketika aku menggunakannya di
tanahair. Itu antara kelemahan Google Maps yang aku fikir hanya boleh
diselesaikan dengan pergi sendiri ke tempat tersebut, dan teroka sendiri.
Keadaan platform di sini yang agak usang mengingatkan aku dengan platform
stesen KTM Komuter di tanahair. Tiada bangku disediakan melainkan dalam ruangan
menunggu sahaja. Platform ini terbuka dan ketika musim sejuk, engkau akan
kesejukan kerana tiada ruang menunggu yang tertutup disediakan. Aku pernah ke
Aomori, Morioka dan Sendai dan di sana ada ruang menunggu tertutup dengan
pemanas. Mungkin juga kerana stesen ini bukan stesen utama, ia hanya sebuah
stesen singgahan untuk mengambil penduduk dari sini ke pusat bandar Sapporo.
Memang jika dilihatkan pun, kawasan sekitar stesen ini sebahagian besarnya
hanyalah kawasan kediaman dan bukan pusat perniagaan.
Tren pun tiba. Aku tidak menyangka ada begitu ramai penumpang. Aku hanya
berdiri di dalam tren di tepi tingkap. Jam sudah melepasi dua belas tengahari.
Aku fikir untuk terus ke hotel. Andai hari ini tidak hujan mungkin aku sudah
merancang untuk meneruskan perjalanan ke tempat lain, namun hari yang hujan dan
angin yang agak kuat membantutkan keinginan untuk terus berjalan-jalan.
Tidak lama kemudian dalam lima belas minit, aku tiba di stesen Sapporo. Aku
duduk dahulu di sebuah bangku di platform untuk membiarkan orang ramai beredar
terlebih dahulu. Stesen Sapporo ini sentiasa dipenuhi orang ramai, tren
berhenti hampir setiap lima minit, memuntahkan dan menyedut penumpang. Aku
turun ketika orang ramai berkurang, dan mengambil lif keluar ke jalan raya. Di
sana, hujan masih belum berhenti, dan aku bercadang berjalan kaki sahaja ke
hotel. Angin makin kuat dan merosakkan payungku. Angin di sini boleh jadi kuat
dan bertiup tiba-tiba, bukannya bertiup perlahan dan beransur-ansur menjadi
kuat seperti di tanahair. Oleh itu, engkau tidak akan menyedarinya sehinggalah
payungmu dirosakkan tiba-tiba dan engkau berkejaran mencari tempat berteduh
demi membetulkan kembali payungmu.
Aku singgah sebentar di Seicomart untuk membeli barang. Kemudian langsung
ke hotel. Sampai di hotel, tuala dan lapik kaki bersih beserta baucer sarapan
sudah pun disangkut pada pemegang pintu. Ia adalah bekal terakhir sebelum aku
meninggalkan hotel ini esoknya. Pabila sampai di bilik, jam sudah pukul satu
setengah tengahari. Aku tidak keluar lagi sehinggalah esok pagi.
18 November 2023
Maka tibalah hari terakhir aku di sini. Penerbangan ke Beijing dijangka
pada pukul satu lima puluh petang nanti. Aku bercadang untuk keluar lewat
sedikit, dalam pukul sembilan pagi. Seperti biasa aku akan bangun seawal empat
pagi (memang ini tabiatku sejak dua tahun lepas) dan minum kopi dalam tin
dahulu dan sarapan awal dahulu, kemudian aku akan sarapan lagi di tingkat dua
pada jam tujuh. Pada hari ini, aku hanya terlewat lima minit sahaja, dan
makanan sudah lesap, yang tinggal hanya roti mayat dan sos. Cepat dan awal
betul penginap di sini, yang rata-rata orang Jepun, makan. Aku pun jamah roti
dan sos sahaja, dan minum kopi. Tidak mengapalah, aku akan makan onigiri sahaja
jika lapar lagi. Sarapan di hotel ini sentiasa sedikit dan minimalis sejak hari
pertama aku menginap, meskipun harga yang aku bayar di sini, jika dibayar di
hotel di Malaysia, aku boleh mendapat sarapan yang agak mewah. Hotel ini padaku
boleh dikatakan setaraf hotel bajet dua bintang dengan sarapan di Malaysia
namun dengan harga hotel empat bintang Malaysia.
Aku mengemas bilik selepas sarapan. Tuala dan lapik kaki gantian yang
diberi sejak tiga hari lepas tidak disentuh, dan aku letakkan nota bahawa ia
semua masih bersih, ditulis dalam bahasa Jepun dan juga Inggeris (ada perkataan
Jepun aku terpaksa catit dari kamus). Aku tidak mahu membazirkan tuala. Tidak
salah dan bukanlah sikap pengotor pun memakai tuala yang sama berulang kali,
kecualilah jika engkau berkongsi tuala dengan orang lain. Aku pastikan bilik
air tiada habuk termasuk tab mandi. Cadar aku tegangkan. Meja aku bersihkan
dari kesan makanan. Semua barangan sudah dimasukkan ke dalam beg. Aku mencerap
segenap bilik buat kali terakhir, entah bila lagi aku akan ke sini fikirku.
Jam sudah sembilan pagi. Aku turun ke lobi dan menyerahkan satu beg berisi
tuala dan lapik kaki, kerana tuala dan lapik kaki terpakai harus diserahkan di
kaunter semasa daftar keluar. Kemudian aku serahkan kad kunci. Aku mengucapkan
terima kasih kepada penjaga kaunter dan melangkah keluar dari lobi. Hari ini cerah
pula. Alangkah baiknya jika aku berada di sini lebih lama, dapatlah aku gunakan
hari yang cerah ini untuk berjalan-jalan lagi.
Aku singgah sebentar di Seicomart untuk membeli telur rebus dan onigiri
untuk dimakan sementara menunggu penerbangan pulang. Usai membeli-belah, aku
teruskan perjalanan ke stesen Sapporo. Payung berkualiti tidak aku lupakan,
masih dibawa untuk digunakan di Malaysia kelak. Untuk ke lapangan terbang
Chitose, aku akan membeli tiket di mesin tiket JR. Ia berharga 1150yen.
Tren ke lapangan terbang tiba. Tren ini tidak seperti tren lain di sini,
kerana penumpangnya sungguh ramai dan menyesakkan. Meskipun kekerapannya setiap
sepuluh minit, penumpangnya boleh menjadi ramai sehingga memenuhi segenap ruang
gerabak. Ini kerana tren ini menghantar dan mengambil penumpang ke dan dari
lapangan terbang. Aku lihat ramai penumpang antarabangsa dalam tren ini
berbanding tren lain. Jika engkau ada berfikiran mahu menunggu tren lain kerana
tidak mahu menaiki tren yang penuh sesak dan merimaskan ini, abaikan, kerana
tren seterusnya yang akan tiba juga begitu sesaknya.
Aku pun naik salah sebuah tren yang tiba. Pabila ia berhenti di
stesen-stesen berikutnya, penumpang makin bertambah dan menyesakkan. Aku yang
memakai parka terpaksa membuka sedikit butangnya demi melepaskan haba. Tren
yang sesak dan pemanasnya yang diset pada suhu tinggi cukup memanaskan badan
dalam cuaca yang dingin. Aku tidak tahan panas sehingga keluar di salah satu
stesen yang tidak aku ingat namanya ketika di pertengahan perjalanan. Di stesen
itu aku duduk di platform dan menanggalkan parka. Peluh cepat mengering. Hari
ini tidak terlalu sejuk, langit cerah kuning. Angin perlahan bertiup. Aku duduk
dalam sepuluh minit demi menyejukkan badan dan lari dari kesesakan dalam tren
itu. Tidak lama kemudian sebuah lagi tren ke lapangan terbang tiba dalam jam
sepuluh lima belas, aku pun naik.
Selepas hampir setengah jam di dalam tren, aku tiba di lapangan terbang
Chitose. Aku keluar sahaja dari tren, terus mencari di mana papan tanda menghala
ke penerbangan antarabangsa. Lapangan terbang ini agak besar, aku melepasi
banyak kedai bebas cukai sebelum tiba di bahagian penerbangan antarabangsa.
Maka dalam lima belas minit berjalan kaki, barulah aku tiba di Pintu C dan D,
di mana aku akan daftar masuk penerbangan Air China CA170.
Jam menunjukkan pukul sebelas pagi, dan kaunter hanya akan dibuka dua jam
sebelum berlepas, iaitu sebelas lima puluh. Aku duduk di bangku dan melihat ke
luar. Hari ini sungguh cerah. Alangkah baiknya jika semalam cerah begini. Dapat
kulihat menerusi dinding kaca, suasana di luar yang cerah dan hutan daun luruh
di kejauhan. Tiada perumahan kelihatan sejauh mata memandang.
Aku pandang susur menuju kaunter, dan mendapati sudah ada orang beratur.
Maka aku pun turut beratur. Ia tidak mengambil masa lama, sebelum aku hampir
tiba di hadapan. Seorang pegawai Air China memeriksa pasport kami. Semua
diperiksa sehingga tiba giliranku. Aku memberikan pasport. Aku disoal, apakah
aku akan transit di Beijing, aku mengiyakan. Pegawai itu meminta aku
menunjukkan itinerari tiket, aku tunjukkan pada telefon pintar. Kemudian dia
meminta pasportku untuk diperiksa di kaunter.
Selepas beberapa ketika dia berbincang dengan rakan sekerjanya, dia kembali
kepadaku dan memberitahu bahawa aku tidak boleh lagi menggunakan tiket
penerbanganku. Aku berasa amat terkejut. Dia memberitahu tiket penerbanganku
sudah dibatalkan kerana aku terlepaskan penerbangan dari Beijing ke sini pada
14 November lalu. Dia menjelaskan disebabkan aku terlepas salah satu dari
penerbangan dalam itinerari itu maka keseluruhan tiket akan terbatal sendiri.
Aku menegaskan kepadanya aku tidak sengaja, dan pelbagai alasan lagi demi
menyokong hujahku. Ini pertama kali aku berhadapan dengan dasar begini, yang
mana padaku amatlah tidak logik. Aku telah membayar tiket itu, maka secara
logiknya jika aku terlepas salah satu penerbangan, penerbangan lain dalam tiket
tersebut tidak sepatutnya dibatalkan kerana aku sudah membayarnya. Itulah yang
aku cuba terangkan kepada pegawai Air China itu.
Pegawai itu masih bertegas bahawa dia tidak boleh membenarkan aku daftar
masuk kerana tiket itu sudah tidak lagi sah.
Aku mula tertekan dan geram. Sepatutnya hari ini lancar sahaja, aku sanggup
keluar awal agar tidak lagi terlepas penerbangan, namun perkara begini yang
sungguh mengganggu ketenteraman kunjung tiba dan memusnahkan perancanganku. Aku
merayu agar dilepaskan masuk, namun mereka tetap bertegas bahawa tiket aku
sudah tidak sah lagi. Mereka mencadangkan kepadaku agar membeli tiket baru, namun
aku memberitahu aku sudah tiada wang dan hanya ini sahaja tiket yang aku ada.
Aku menegaskan yang aku perlu pulang, dan meluahkan rasa pelik akan
ketidaklogikan pembatalan tiketku hanya disebabkan penerbangan dari Beijing ke
sini yang aku terlepaskan tempoh hari. Mereka mencadangkan aku menggunakan kad
kredit atau meminjam dari sesiapa sahaja. Aku tiada kad kredit, dan meskipun
aku boleh meminjam, aku tidak mahu kerugian. Selagi boleh aku cuba merayu
kalau-kalau dia boleh melonggarkan sedikit ‘dasar’nya. Andai berjaya, aku tidak
akan rugi lebih teruk. Ini kerana aku sudah banyak rugi gara-gara perlu
menempah tiket baru ke Sapporo tempoh hari.
Namun aku tidak berjaya merayu mereka. Wangku dalam bank hanya ada sekitar
tiga ratus ringgit lebih sahaja. Mana mungkin aku mampu membeli tiket baru yang
sekurangnya berharga seribu lima ratus ringgit itu. Aku tiada kad kredit dan
tidak pernah terfikir menggunakannya. Aku selagi boleh tidak mahu meminjam.
Namun disebabkan tiada ikhtiar lain lagi, terpaksalah aku menelefon ibu. Mujur
dia tidak keberatan membantu. Aku segan sebenarnya, bagaimana pelancongan kali
ini menuntut aku meminjam sana sini. Andai aku ada kad kredit, sudah pasti
masalah ini telah diselesaikan tanpa perlu meminjam. Strategiku jika ibu tiada wang,
aku akan meminjam sedikit-sedikit dari rakan-rakan. Seratus, dua ratus ringgit
seorang cukuplah, dapat gaji aku akan bayar mereka. Namun tidak mengapalah, ibu
sudah sudi membantu.
Aku terus membeli tiket baru tanpa berfikir panjang lagi, sebaik wang dari
ibu masuk. Mujur ada yang murah dalam seribu lima ratus ringgit lebih. Aku pun
terus membelinya tanpa berfikir panjang, kerana dalam kepalaku aku hanya fikir
mahu pulang cepat ke tanahair. Aku benar-benar tidak menyangka tiketku akan
terbatal hanya kerana terlepaskan satu penerbangan. Aku masih tidak dapat
menerimanya dan duduk lama termenung di bangku.
Penerbangan ganti yang aku beli ialah dari sini ke Narita di Tokyo dengan
menaiki pesawat tambang murah Peach Aviation (syarikat penerbangan domestik).
Kemudian dari Narita aku akan mengambil Batik Air ke KLIA. Disebabkan
penerbangan itu jam lapan dua puluh malam, maka aku ada banyak masa di sini.
Namun aku tidak bersemangat dan bermaya untuk bersiar-siar. Aku telah rugi
terlalu banyak. Rugi kerana terpaksa membeli tiket penerbangan baru tempoh
hari, dan juga hari ini. Jumlah keseluruhan kerugian ialah lebih kurang tiga
ribu ringgit, iaitu tiga ribu ringgit lebih tambahan pada bajet asal percutian.
Semua gara-gara transit yang singkat di Beijing itulah, transit yang
menyebabkan aku terlepas penerbangan dan membatalkan keseluruhan tiket
penerbangan termasuk penerbangan pulang. Satu pengajaran yang amat besar buat
aku yang jarang mengembara secara transit ini. Lain kali aku harus menempah
penerbangan yang transitnya sekurang-kurangnya dua jam, kerana jika lapangan terbang
transit itu sama seperti Beijing, aku tidak akan terlepas penerbanganku lagi.
No comments:
Post a Comment