Aku masih di Lapangan Terbang Beijing dan aku benar-benar letih. Lapangan terbang apa tak ada telefon awam? Sedang KLIA pun ada telefon awam? Aku terpaksa menyerah kalah dan menggunakan juga roaming. Untuk menjimatkan kos roaming, aku hanya SMS. Aku SMS rakan yang pernah berhutang dengan aku tapi tak bayar-bayar. Mungkin takdir Allah, dia setuju dengan lajunya dan sudi membayar hutangku berjumlah RM1000. Aku cuba hubungi ibu, namun ibu semacam skeptik, dia ingatkan aku scammer dan cuba pula hubungi melalui Whatsapp meski aku sudah cakap awal-awal yang aku tak boleh Whatsapp. Adoi... Dan pada kala itulah juga roaming tiba-tiba sahaja tidak lagi boleh digunakan kerana baki sudah habis, hanya selepas aku menghantar beberapa baris mesej pada ibu dan rakan yang berhutang itu. Mahu topup memang tak boleh melainkan jika ada internet. Aku berharap ibu akan pindahkan wang sedikit pun jadilah. Aku harap rakan yang berhutang itu cepat-cepat pindahkan wang...
Maka dapatlah aku wang yang cukup harapnya, berdasarkan mesej SMS dari
rakan itu. Mungkin masalah ini tak akan timbul kalau aku ada kad kredit. Sekarang
aku perlukan internet. Disebabkan aku dah berputus asa dengan wifi, aku pun
melilaulah dekat tingkat dua untuk cari mana-mana kedai yang boleh pinjamkan
wifi dia. Ternyata tak ada langsung. Entah macam mana dalam merayau-rayau itu aku
terjumpa satu kedai yang serba putih dalamnya yang ada logo BCIA (Beijing
Capital International Airport). Dalam kedai tu ada kaunter pertanyaan dan dua tiga
orang pegawai beruniform macam di kaunter pertanyaan. Aku meminta tolong mereka
untuk akses wifi di sini dan menjelaskan keadaanku, di mana wifi tidak boleh
diakses sedangkan aku perlu keluar dari lapangan terbang ini. Jam pada waktu
itu sudah pukul sebelas setengah pagi.
Mereka mencuba-cuba telefonku. Namun masih wifi tidak boleh dicapai. Aku
geram-segeramnya, dan sedikit mendesak agar mereka usahakan sesuatu. Mujur
bahasa Inggeris salah seorang daripada mereka agak baik. Aku jelaskan
berkali-kali yang aku perlu keluar dari lapangan terbang ini dan aku perlukan
internet untuk menempah tiket penerbangan baru. Mereka akhirnya setuju untuk
berkongsi hotspot mereka. Selepas dapat hotspot, aku cari tiket
di Skyscanner. Aku cuba cari tiket yang kurang transit, yang tak perlu transit
visa. Ada dan jumpa. Harga RM1300. Namun perlu transit di Hong Kong dan Osaka.
Aku perlu terbang ke Hong Kong dahulu, kemudian dari Hong Kong ke Osaka dan
dari Osaka mengambil penerbangan Japan Airlines ke Sapporo, di mana aku akan
tiba pada hari esok 15 November. Aku terus tempah dan mujur wang dari rakan
sudah masuk. Aku hembus nafas lega dan berterima kasih dengan kakitangan BCIA
itu yang berkongsi hotspot itu. Namun satu perkara yang memaksa aku menggunakan
Google ialah persoalan sama ada transit di Hong Kong memerlukan visa. Ketika
menempah tadi aku hanya menganggap tidak perlu, kerana Hong Kong lebih selari
dengan Barat dari segi geopolitik berbanding tanah besar China. Aku cuba
membuka Google namun seperti biasa, ia disekat. Aku cuba Baidu, namun dapatan
carian dalam bahasa Cina tidak boleh diterjemah oleh Google Translate. Aku
putuskan hotspot dan kembali ke tingkat empat menunggu penerbangan ke Hong Kong
jam enam setengah petang nanti...
Tiket digital dihantar ke emel Google, maka sudah pastilah aku tidak akan
dapat memperolehinya. Aku sudah tidak mahu memaki dalam hati lagi. Namun
anehnya aku masih boleh menggunakan Google Chrome untuk menempah tiket ini.
Tetapi, di sini, screenshot tidak boleh dilakukan, kerana dihalang secara
automatik oleh sambungan internet hotspot ini yang menggunakan data dari
telefon pegawai BCIA itu. Maka, sudahlah aku tidak dapat tiket digital dari
emel, aku tidak boleh pula merakam melalui screenshot butir-butir penting
penerbangan pada tiket itu!
Nasib baik aku bawa handycam, maka dengan gigihnya aku pun rakam maklumat
itu pada skrin telefon menggunakan handycam. Maklumat nombor dan masa
penerbangan adalah yang paling penting. Aku tahu kaunter daftar masuk nanti
hanya memerlukan pasport untuk keluarkan pas berlepas maka aku tidak risau
sekiranya aku tidak membawa salinan tiket digital. Namun masa dan nombor
penerbangan amat penting agar aku tidak terkeliru dan tertukar penerbangan.
Sebuah hari yang panjang, yang dimulakan oleh kecuaian sendiri dan sekarang
aku makin sedar pentingnya kad kredit, dan Google. Sebut berkenaan sekatan ke
atas Google, Google Maps pun tak boleh digunakan di sini. Jadi, jika mahu
berjalan-jalan di bandar, bagaimana mahu menggunakan GPS? Aku tak tahu dan
malas untuk ambil tahu kerana aku sudah hilang minat dengan China atas apa yang
telah berlaku. Tapi aku tak akan lupakan jasa baik staf BCIA itu yang berusaha
membantu aku meskipun bahasa Inggeris mereka kurang memuaskan. Negara ini ada
rakyat yang baik, namun kerajaan yang kurang baik. Kerajaan yang paranoid
dengan Amerika dan rakyatnya terpaksa akur.
Jam sudah dua belas tengahari. Aku ingat Zohor sudah masuk. Aku cuba
periksa jadual sembahyang yang telah disimpan dalam OneDrive, dan aku tepuk
kepala. Mana mungkin aku boleh capai OneDrive tanpa wifi! Maka aku hanya boleh
mengagak, Zohor sudah pun masuk kerana Beijing sedang musim sejuk dan
latitudnya lebih kurang sama dengan Sapporo (di mana waktu solatnya sudah aku
ingat). Aku tidak boleh menggunakan kompas digital pada telefon, juga kerana
tiada wifi, maka aku keluarkan kompas analog untuk mendapatkan arah kiblat.
Mujur aku membawanya. Aku duduk pada bangku di hadapan satu baris kaunter
daftar masuk dan mendapatkan arah kiblat. Kemudian aku ke tandas mengambil
wudhu. Dengan niat khuf, aku tidak perlu membasuh kaki, hanya sapu air pada
atas stokin sahaja. Namun masih tindakanku mengambil wudhu di sinki mengundang
rasa kurang senang pekerja pembersihan di situ kerana percikannya telah
membasahkan lantai yang baru dikeringkannya. Aku hanya tunduk meminta maaf
kepadanya meski aku mendengar dia mengomel sesuatu, barangkali memakiku dalam
bahasanya. Aku sedaya-upaya cuba untuk tidak membasahkan lantai namun masih ada
juga yang terpercik. Maaf, aku terpaksa, kerana di dalam kubikel tandas tiada
pili air, aku harus menggunakan sinki juga.
Sekarang masa untuk mencari tempat solat. Aku berlegar-legar di tingkat
empat itu, mencari tempat tersorok, namun tiada, semua tempat boleh dilihat dan
dalam lingkungan CCTV. Aku memutus ke tingkat dua. Di sana aku berjalan
sehingga ke bahagian hujung tingkat itu, di bahagian di mana tiada kedai. Ada
dinding terlindung dari dataran luas orang keluar-masuk melalui pintu ketibaan.
Aku fikir boleh solat di sini. Namun kala aku berdiri, aku terpandang CCTV.
Lantaklah, fikirku. Aku teruskan juga solat jamak Zohor dan Asar. Mujur tiada
sesiapa lalu-lalang di sini.
Selepas solat, aku ke tingkat empat kembali, di mana aku bercadang berehat
di bangku sehingga kaunter daftar masuk dibuka pukul tiga petang nanti. Aku
masih risau dua perkara: satu, disebabkan aku tidak akan dapat tiba di Sapporo
hari ini, adakah hotel di Sapporo yang aku tempah itu akan dibatalkan
tempahannya? Itu boleh berlaku, kerana tempahan untuk empat malam itu dikira
sebagai satu tempahan dan sekiranya aku gagal hadir, keseluruhan tempahan itu
boleh jadi akan dibatalkan. Aku fikir aku perlu hubungi hotel itu namun
bagaimana dengan tiada sambungan wifi? Kedua, keperluan visa untuk transit di
Hong Kong. Hong Kong meskipun wilayah tadbiran khas China (special
administrative region), ia masih dikawal China tanah besar yang komunis
ini. Aku cuba sedapkan hati, transit tidak memerlukan visa kerana engkau hanya
lalu sahaja. Harapnyalah, kerana kebiasaannya begitu. Namun aku amat memerlukan
Google dan internet sekarang. Ketidaktentuan hanya menggusarkan jiwa sahaja.
Sambil duduk-duduk aku mencuba nasib, kalau-kalau sambungan ke wifi
lapangan terbang ini masih ada sinar harapan. Aku menahan mengantuk, malam tadi
aku tidak cukup tidur dan letih berkejaran pagi tadi masih belum hilang. Aku
pergi sekali lagi ke kiosk putih dan imbas pasport, kata laluan baru diambil
dan dicuba. Masih, wifi tidak mahu menyambung. Aku rasa kurang lapar,
barangkali kerana aku tidak mengambil kopi hari ini. Aku menahan diri dari mengambil
kopi agar tidak lapar. Jika perut berbunyi lagi, aku akan makan biskut oat
sahaja. Biskut oat ini strategi yang amat penting, aku boleh katakan biskut oat
ialah makanan yang paling sesuai di medan perang kerana kesan mengenyangkannya
yang lebih dari makanan lain. Aku tidak akan makan biskut ini jika berada di
rumah, kerana rasanya yang kurang sedap. Aku patut syorkan agar catuan makanan
tentera menggunakan oat sahaja, barulah jimat bajet kerajaan. Walaubagaimanapun
oat hanya mengenyangkan namun kurang kalori, ia hanya menahan perut dari
mengerang namun pemakannya tidak akan bertenaga. Bagaimana tentera mampu
mengangkat senjata jika kurang tenaga? Jadi aku tarik balik pengesyoran tadi.
Itulah contoh karutan yang bermain dalam benak tatkala aku sedang penat dan
gusar akan apa yang akan berlaku.
Demi membunuh masa, aku berjalan-jalan di sekitar tingkat empat ini. Aku
ternampak skrin memaparkan kod penerbangan ke Hong Kong nanti, iaitu CX393
dikendalikan Cathay Pacific. Namun aku sedikit keliru kerana ia bertukar dengan
kod lain tiba-tiba pada skrin itu. Aku meminta penjelasan seorang pegawai China
yang memakai seragam Cathay Pacific. Dia menjelaskan dalam bahasa Inggeris
bahawa penerbangan itu berkongsi kod dengan syarikat lain, “Joint code, joint
code” katanya bersekali dengan isyarat tangan.
Aku berlegar-legar, mendapati ada satu mesin penjual kad SIM bermacam
negara. Namun semuanya mahal-mahal belaka, dalam sekitar 50 yuan (sekitar RM40)
ke atas. Aku fikir yang patut beli kad-kad ini ialah pelancong dari negara ini
yang mahu ke luar, bukannya pelancong luar yang mahu melawat negara ini.
Kemudian aku hanya duduk kembali di bangku mengadap baris kaunter daftar masuk,
dan meratap dalam hati kerugian yang telah dan dan juga yang mungkin akan aku
alami di Jepun nanti jika hotel membatalkan tempahanku gara-gara gagal tiba
pada hari ini. Jika tempahan hotel dibatalkan, aku hanya perlu gunakan baki
dalam bank untuk tempah hotel kapsul sahaja, ia masih cukup. Sedar tak sedar
dalam mengelamun, jam sudah hampir pukul tiga. Aku bergegas ke kaunter daftar
masuk. Mujur proses amat lancar. Aku diberikan tiga pas berlepas, satu ke Hong
Kong, satu untuk ke Osaka dan satu lagi untuk ke Sapporo. Aku terus ke
pemeriksaan keselamatan. Aku kini sudah masak dengan karenah pemeriksaan keselamatan
mereka yang menjadi salah satu faktor mengapa aku terlepas penerbangan pagi
tadi. Aku diperiksa sungguh teliti, air minum yang baru kuambil dari mesin air
percuma menggunakan botol Pocari Sweat itu disuruh buang. Kali ini aku lebih
bersedia, aku tidak akan terlambat ke pintu berlepas lagi.
Selepas melalui pemeriksaan keselamatan, aku menunggu tren ke pintu
berlepas, lokasi sama pagi tadi di mana aku cemas seribu kali cemas, sehingga
tidak terasa suhu satu darjah Celsius pagi yang sejuk itu. Tren lembab tiba dan
aku masuk dengan tenang, tidak lagi terburu-buru seperti pagi tadi. Namun
keletihan menyebabkan aku rasa semacam patung, segala apa yang berlaku di depan
mata seolah tak mampu menarik perhatianku langsung. Akhirnya aku kembali ke
bangunan pintu-pintu berlepas. Aku bertemu kembali lokasi di mana aku memulakan
larian, iaitu pintu E9. Namun aku tidak perlu ke situ, pintu berlepas yang baru
ialah E12. Aku akan ke Hong Kong, dan ini kali pertama aku ke Hong Kong. Dari
Hong Kong aku akan menyambung terbang ke Osaka, lapangan terbang Jepun yang
pernah aku jejaki empat tahun lepas. Kemudian, dari Osaka aku akan terbang ke
Sapporo, penerbangan Jepun domestik pertama seumur hidup, kerana selalunya aku
hanya guna tren untuk bergerak dari satu bandar ke bandar dalam Jepun.
Di bahagian pintu berlepas ini, aku bertemu banyak mesin jual air minuman.
Aku memeriksa kalau-kalau Touch ‘n Go ewallet boleh digunakan seperti yang
telah diwar-warkan di Malaysia. Namun hampa, ia tidak boleh dilakukan. Mungkin
masih terlalu awal, fikirku. Aku masih tidak berputus asa mencari wifi, dan
tiba-tiba aku mendapat mesej dari Whatsapp. Aku hairan seribu kali hairan.
Mesej Whatsapp? Aku periksa roaming dihidupkankah, tiada pula. Hanya wifi
sahaja yang dihidupkan. Aku lihat ia wifi lapangan terbang ini. Aih? Bukankah
Whatsapp diharamkan di sini? Pada skrin telefon, aku memang terhubung ke wifi
lapangan terbang, namun statusnya berbunyi ‘Connected, no internet.’ Aneh bin
Ajaib. Aku tidak pasti bagaimana aku boleh mendapat mesej Whatsapp, namun aku
malas berfikir panjang dan membalas sahaja mesej itu. Aku dapat menjelaskan
pada ibu situasi sebenarku, bahawa aku terperangkap di sini, bahawa aku bercuti
tanpa memberitahunya, bahawa aku bukan scammer. Tambah ajaib, adik boleh
menelefonku melalui Whatsapp! Maka secara rasminya, aku dinobatkan bukan scammer
oleh keluarga sendiri, dengan ajaibnya, oleh wifi yang aku pun tak pasti apakah
aku terhubung sebenar-benarnya atau terhubung sedikit-sedikit. Aku sedikit
lega, kerana selepas ini mereka tidak akan mengabaikan aku jika aku minta wang
lagi, selesai satu masalah. Namun yang pasti, semua servis Google masih dibekukan.
Aku tidak dapat menghubungi hotel di Jepun demi memaklumkan situasiku, dan aku
tidak tahu sama ada Hong Kong memerlukan visa transit. Semua itu masih kekal bertandasoal
yang besar.
Dalam pukul empat petang, langit pun gelap dan Maghrib, jelas dari tingkap
kaca di bangunan ini yang besar-besar belaka. Benarlah sangkaanku yang waktu
solat di Beijing seharusnya mengikut waktu di Sapporo. Isyak mereka dalam
sekitar lima setengah petang. Aku bercadang untuk solat jamak ta’akhir sahaja
di Hong Kong nanti. Pandai-pandailah aku cari tempat tersorok di sana. Aku
kelaparan dan mengharapkan makanan dalam kapal terbang nanti. Dalam pukul enam
petang, kami dipanggil masuk ke pesawat Cathay Pacific penerbangan CX393. Aku
ikut sahaja prosesnya. Aku mendapat tempat duduk tengah dan tiada orang di
kanan dan kiriku. Lebih kurang pukul tujuh malam makanan sampai, aku memilih
menu ikan dari menu ayam.
Dalam pukul sepuluh setengah malam waktu Hong Kong, aku pun sampai. Kepala
masih sasau selepas tidur dan kekenyangan. Di Hong Kong, aku sedikit teruja.
Proses pindahan amat lancar, di mana ada laluan khas untuk penumpang yang ada
penerbangan sambungan. Ada papan tanda jelas untuk sambungan antarabangsa dan
sambungan tempatan. Tiada tren lembab, hanya perlu berjalan kaki. Bukankah ini
mirip proses pindahan penerbangan yang aku pernah lalui tika di Amsterdam dan
Dubai dahulu? Bukankah ini sungguh memudahkan?
Aku melepasi bahagian pengecaman dan imbasan wajah. Kemudian ada bahagian
pemeriksaan keselamatan. Sungguh pantas dan ringkas, tidak seperti di lapangan
terbang Beijing. Tidak sampai lima belas minit, aku sudah tiba di pintu
berlepas untuk ke Osaka! Dan yang paling mengujakan, aku dapat menyambung ke
wifi tanpa perlu mengimbas pasport!
Saat itu aku rasa seperti baru keluar dari penjara. Semua emel-emel Google,
dan mesej-mesej Whatsapp bertalu-talu menerjah kotak masuk. Aku rasa seolah
terhubung kembali ke dunia luar, selepas terperuk lama dalam penjara paranoid
komunis China. Aku sedar Hong Kong masih sebahagian dari China, namun aku tidak
menyangka statusnya sebagai wilayah tadbiran khas dibenarkan sebebas ini. Aku
bersyukur tidak terhingga. Dapatlah aku memesej tuan hotel di Sapporo akan
keadaanku, bahawa aku masih terkandas di sini dan hanya boleh tiba esoknya.
Dapatlah aku memuatturun pelbagai dokumen dari OneDrive. Oh ya, dapatlah juga
aku mencari sama ada Hong Kong memerlukan visa transit, namun itu tidak penting
lagi. Aku sudah di pintu berlepas dan jam satu dua puluh pagi nanti, aku akan
terus terbang ke Osaka.
Demi meraikan kemerdekaan dari penjara komunis China, aku mencari ruang
untuk bersolat. Aku Google ruang solat di lapangan terbang Hong Kong, namun
lokasinya tidak jelas. Maka aku cari satu kawasan tersorok di bahagian belakang
sebuah kedai, dan aku solat jamak ta’akhir Isyak dan Maghrib di situ selepas
menentusah arah kiblat menggunakan kompas digital. Sudah ada wifi, tak perlu
lagi kompas analog.
Perut masih kekenyangan dek hidangan dalam kapal terbang tadi, maka aku
hanya menunggu di tempat pintu berlepas. Ada simbol gerbang emas, McDonalds di
tingkat bawah. Aku tegarkan hati, aku mahu tidur dan tidak mahu makan. Aku mahu
sambung tidur dalam penerbangan ke Osaka.
15 November 2023
Jam satu pagi, penumpang dipersilakan masuk. Kelas pertama dan perniagaan
diminta masuk dahulu, diikut kelas ekonomi. Proses lancar sehingga aku tiba ke
dalam perut kapal terbang, sekali lagi tempatku di tengah, dan tiada sesiapa di
kiri dan kananku. Tidak banyak yang boleh kuceritakan kerana aku lebih banyak
tidur dari berjaga. Ada makanan diberikan, namun bukan makanan berat, sekadar
roti, mentega dan sandwich tuna dan air mineral. Aku makan roti sahaja,
sandwich aku simpan untuk makan di Osaka nanti. Selepas makan aku sambung tidur
sehingga tiba di Osaka. Seperti empat tahun lepas, proses di Osaka berjalan
sungguh lancar, juga sama lancar dengan proses di Hong Kong. Di sini, aku perlu
keluar ke pintu ketibaan kerana perlu mengambil penerbangan domestik ke
Sapporo, yang dikendali Japan Airlines. Pemeriksaan kastam juga lancar, tidak
perlu membuka beg, dan botol air tidak dirampas, hanya diimbas. Sungguh
memudahkan. Imigresen pun tak panjang cerita, lekatkan sticker pada pasport
sebagai kebenaran lawatan 90 hari dan selesailah, aku dibenarkan mengembara
dalam negara ini.
Aku naik ke tingkat atas dan mencerap sekeliling, cuba mencari kembali
pemandangan empat tahun lepas di mana aku pertama kali menjejakkan kaki ke
Jepun melalui lapangan terbang ini, tiba di sini jam sembilan malam dan bermalam
di bangku yang masih dapat kulihat berada di tempat sama. Di seberang jejambat
ada stesen keretapi JR Kansai Airport. Empat tahun lepas aku mengambil tren
dari stesen itu ke tanah besar Osaka (lapangan terbang ini keseluruhannya di
atas pulau buatan). Dan dari Osaka, aku naik ke Nara, turun ke Kyoto dan dari
Kyoto ke Kanazawa dan Toyama di utara menggunakan keretapi peluru (shinkansen).
Namun dalam kelana kali ini, aku tidak akan menggunakan keretapi peluru. Bahkan
aku tidak lagi membeli pas rel JR.
Aku habiskan sandwich tuna sebelum mendaftar masuk penerbangan domestik.
Selepas mengimbas pas berlepas yang diberikan ketika aku di Beijing, aku
melalui pemeriksaan keselamatan yang sungguh lancar. Tidak perlu membuka beg,
bank kuasa lepas begitu sahaja. Botol airku tidak dibuang, hanya diimbas dan
diserahkan kembali. Aku berjalan sehingga bertemu laluan ke pintu berlepas
penerbangan domestik. Masih terlalu awal, kerana penerbangan jam sembilan pagi
sedang jarum jam masih di jam tujuh. Baru kuingat, kad SIM internet sudah boleh
digunakan. Lantas aku mengambil tempat duduk dan memasang kad SIM internet ke
dalam telefon. Kad SIM ini memberikan sambungan internet tanpa had selama tujuh
hari aku berada di Jepun, berharga RM49 dan dibeli atas talian. Tiada panggilan
dan SMS dibolehkan kad ini. Jepun, selaku negara yang berbaik dengan Barat,
tidak mengharamkan Google dan apa sahaja servis dari Barat seperti Facebook dan
Whatsapp. Maka aku pun mesejlah ibu memberitahu aku sudah di Jepun. Aku tahu
dia risau sejak aku terkandas di Beijing. Aku hanya duduk termenung, kejap
pandang kiri, kejap pandang kanan. Cuaca cerah di luar, namun aku tak pasti
sejuk atau panas. Aku menahan diri dari membeli kopi meski teruja dengan
mesin-mesin jual air yang ada di mana-mana di sini, kerana bimbang sakit perut
dan terlepas penerbangan lagi. Lagipun aku tiada wang syiling untuk tujuan itu.
Aku berjalan-jalan di sekitar kedai-kedai yang memenuhi ruang pintu-pintu
berlepas ini. Ada kedai menjual bento (bekal). Di dalamnya ada nasi dan
limpahan makanan laut, berharga 1000 yen. Kebanyakan bento-bento ini berharga
di antara 1000 hingga 2000 yen (seumpama sepuluh, dua puluh ringgit mereka).
Aku memang teruja membeli kerana jika ditukar, ia hanya sekitar RM30-60 sahaja
(lebih murah dari dahulu, RM40-80) namun aku fikir buat apa beli sedangkan
dengan 1000 yen aku boleh dapat lebih banyak makanan dari kedai serbaneka
mereka seperti Lawson, 7-Eleven dan Family Mart? Memang aku kedekut, memikirkan
yang makanan Jepun ini tak adalah sedap sangat berbanding makanan Melayu kerana
mereka tidak menggunakan rempah selain kicap dan ajinomoto. Promosi dan hiasan
sahaja lebih-lebih.
Di sebelah kanan tempat duduk aku ada pengecas USB. Aku menyedari telefon
dan bank kuasa sudah surut cas, maka aku menyambungkan pada pengecas itu. Di
sebelah kiri pula ada kerusi urut. Lagi kiri, dinding besar membentangkan
pemandangan kapal-kapal terbang yang akan menyedut penumpang dari salur terhubung
ke pintu-pintu. Langit biru dan berawan pagi ini pabila masa menginjak lapan
pagi. Jauh di sebelah kanan ada walkalator, sekali-sekala ada riuh-rendah
pelajar sekolah menengah beramai-ramai melaluinya, mungkin rombongan kelas.
Boleh dikatakan hampir sembilan puluh peratus manusia di sini berwajah Jepun
dan bertutur dalam bahasa Jepun kerana sini pintu domestik.
Menjelang jam lapan lebih, aku dipanggil ke pintu masuk. Aku sedikit
terkejut ditahan ketika mengimbas pas berlepas, rupanya penjaga pintu ingin
memberitahuku bahawa aku harus bersedia membantu penumpang lain di kala
kecemasan memandangkan aku akan duduk di sebelah pintu kecemasan. Aku faham.
Aku tidak akan membuka pintu kecemasan itu seperti penumpang penerbangan Korea
itu, namun aku akan membukanya jika kecemasan.
Aku rasa sungguh mengantuk. Meski telah tidur beberapa kali dalam
penerbangan dari Beijing, namun kitaran bangun-tidur-bangun cukup meletihkan.
Penerbangan ini hanya memakan masa satu jam setengah. Aku dihidangkan gula-gula
dan air mineral sahaja. Itu sudah cukup baik. Penerbangan singkat selalunya
tiada makanan diberikan. Tidak ramai penumpang dalam penerbangan ini dan rata-rata
mereka orang Jepun.
Aku tiba di Lapangan Terbang Baru Chitose jam sebelas dua puluh pagi.
Proses ketibaan sungguh mudah, tiada apa yang perlu diimbas (kerana penerbangan
domestik). Tibalah aku di pintu ketibaan. Cuaca cerah di luar, namun tidak
terlalu sejuk. Aku teruja. Akhirnya aku tiba di sini selepas dua hari
perjalanan!
Aku memeriksa telefon kalau-kalau tuan hotel itu sudah membalas mesejku dan
memberitahu tidak mengapa, tempahan diteruskan tanpa kos tambahan. Itu sudah
cukup melegakan. Namun, masih tiada balasan di kotak masuk. Aku hanya ada
beberapa ratus ringgit dalam akaun untuk digunakan jika tempahan hotel itu
dibatalkan. Untuk makan dan pengangkutan dalam bandar, aku hanya menggunakan
wang tunai berjumlah 21000 yen dalam tangan. Aku mencari arah ke stesen
keretapi JR Rapid Airport Chitose. Disebabkan aku tidak menggunakan pas rel JR,
maka aku perlu membeli tiket tren di mesin tiket. Sungguh mudah, kerana arahan
pada skrin boleh ditukarkan kepada bahasa Inggeris. Aku klik butang ‘Sapporo’
pada skrin sesentuh, dan membayar 1150 yen. Aku masukkan sahaja dua keping 1000
yen. Dengan pantasnya, mesin itu memuntahkan bersyiling-syiling wang baki
beserta tiket berupa sekeping kertas yang amat kecil. Aku mencucuk kertas itu
pada pagar tiket, ia keluar di satu hujung dengan dilubangkan dan aku tarik ia
keluar, dan aku melepasi pagar tiket menuju ke platform. Aku pernah cuba
melepasi pagar tiket ini tanpa mencucuk token dan tiket dan pantas sahaja pintu
ini keluar menghadang, sungguh mengejutkan. Aku berundur dengan malunya dan
kembali mencucuk token. Usah main-main dengan pagar tiket Jepun, atau engkau
akan di’seppuku’ mereka.
Papan tanda berselang-seli dengan bahasa Inggeris, memudahkan pelancong
luar sepertiku. Petunjuk arah ada di mana-mana, seolah-olah benar-benar mahu
membawa engkau ke destinasi tanpa perlu penunjuk arah berada di situ secara
fizikal. Di lantai, di dinding, petunjuk arah dapat dikesan. Ia sedikit semak
padaku, namun semak yang tersusun. Setiap orang mengikut susur yang betul
ditanda pada lantai dan beratur di tepi pintu.
Platform bawah tanah ini ialah dari jenis terbuka, maka udara luar yang
sejuk mula menjalar dan mencucuk kulit, menyebabkan aku kesejukan dan mula
menyarung baju parka dan mengzipnya penuh. Chitose terletak di belah Lautan
Pasifik maka ia sedikit panas berbanding Sapporo namun masih sejuknya
mencengkam dan boleh mendemamkan pengunjung dari negara panas.
Tren dengan jalur-jalur hijau pada kulit luarnya tiba dan aku pun masuk.
Aku yakin bahawa tren ini menuju ke destinasi yang betul mendengarkan
pengumumannya. Rasa bangga sedikit kerana tidak sia-sia aku berlatih mendengar
pertuturan bahasa Jepun di Youtube, aku kini dapat memahami pengumuman dalam
tren. Bahkan usahaku meningkatkan bilangan tulisan kanji dalam hafalan
membolehkan aku membaca poster-poster yang dilekatkan pada dinding dalam tren.
Masih ada satu dua tulisan yang tidak boleh kubaca dan sungguh merengsakan. Tak
apa, usaha lebih lagi. Mudah-mudahan aku akan dapat melepasi tahap JLPT Level 1
satu hari nanti.
Tren yang kunaiki ini ialah tren yang digelar kaisoku atau rapid.
Ia lebih cepat dari tren normal, dan berhenti di stesen-stesen tertentu sahaja.
Untuk lebih laju, aku boleh menggunakan tren tokkyu atau limited
express. Tren ini berhenti pada sebilangan stesen sahaja. Untuk lebih laju
lagi, gunakan tren shinkansen atau super express. Namun di
Sapporo tiada shinkansen kecuali yang berhenti di Hakodate di selatan
sahaja.
Lebih kurang sejam di dalam tren, aku tiba di Sapporo. Selepas mencucuk
tiket berupa kertas kecil itu, aku melepasi pagar tiket dan mencari arah keluar.
Stesen Sapporo ini amat besar, dan merupakan stesen bersepadu sistem transit
mereka dan juga bas. Aku boleh sesat di dalam stesen ini tanpa bantuan Google
Maps. Panduanku kepada mereka yang tersesat di stesen ini, tetapkan haluan pada
satu arah saja, kemudian selepas keluar dari stesen, barulah guna Google Maps
dan maju ke destinasi. Itu yang aku lakukan. Papan tanda mereka sungguh banyak
dan kadang mengelirukan. Maka aku tetapkan arahku: aku akan ke pintu utara. Aku
abaikan papan-papan tanda yang tidak berkaitan dan terus mengikut papan tanda
yang mengarah ke pintu utara. Pintu utara ditemui dan aku keluar. Di luar, aku
membuka Google Maps dan GPS dan mula mencari arah ke hotel. Mulanya aku
tersesat. Aku berjalan sehingga masuk ke satu simpang menuju kawasan meletak
kereta. Aku periksa kembali arah menggunakan Google Maps dan keluar ke jalan
sebelum masuk simpang tadi. Di pertengahan jalan aku terbau rokok, dan mencari
puncanya. Rupanya bau itu datang dari seorang wanita muda yang merokok di kaki
lima depan sebuah restoran. Satu pemandangan yang agak janggal kerana rata-rata
perokok di Malaysia ialah kaum lelaki, namun di sini, aku ada beberapa kali
juga terserempak dengan perokok wanita. Dan antara peraturan di sini yang agak
selalu dilanggar juga ialah merokok di kaki lima. Jika di Jepun sendiri pun
peraturan begini dilanggar, bagaimanalah agaknya kempen ‘KL Bebas Asap Rokok’
yang cuba dijayakan di tanah air itu bakal dijayakan.
Dalam perjalanan itu ketika semakin hampir dengan hotel, aku dapat melihat
Universiti Hokkaido di seberang jalan. Jam sudah pukul satu petang dan
sepatutnya sudah Asar. Aku tidak menyangka pemandangan di sini masih musim
luruh dengan pokok-pokok daun perang menghiasi sisi jalan, paling banyak di
perkarangan Universiti Hokkaido. Ada yang kuning, ada yang perang, ada yang
merah, ada pokok yang sudah gondol semua daun. Cuaca sungguh cerah sesuai untuk
bersiar-siar. Suhu tidak terlalu sejuk, sekitar sepuluh darjah Celsius dan
tanganku seperti berada dalam peti ais jika tidak diseluk ke dalam saku parka.
Angin tidak terlalu kuat. Di sini sore yang berlangit kuning menguasai alam.
Aku temui hotel selepas tersesat sekejap. Rupanya hotel itu amat dekat
dengan stesen dalam lapan ratus meter dan bersebelahan Universiti Hokkaido.
Disebabkan masih terlalu awal untuk check-in, maka aku memutus untuk bersolat
dahulu. Apakah ada masjid di sini? Aku hanya mencari di Google Maps dan tidak
sangka masjid benar-benar ada di sini!
Ia bukanlah masjid yang besar, ia bersaiz seperti surau sahaja. Aku solat
jamak di situ, dan keluar. Sempat bertemu warga Arab yang sedang keluar dari
surau itu ketika aku masuk. Petang masih panjang. Mengikut perkiraanku dari
waktu Maghrib di sini yang aku dapatkan dari internet, langit akan bergelap jam
empat petang. Aku merancang mahu ke Maruyama Koen dahulu. Aku terpaksa
memanfaatkan hari ini. Aku hanya ada dua hari penuh di sini bermula esok. Andai
aku tidak terlepas penerbangan dari Beijing itu, pasti aku tiba di sini semalam
lagi.
Untuk ke Maruyama Koen lebih pantas, aku perlu menaiki tren bawah tanah.
Tren ini berbeza dengan tren dari lapangan terbang tadi. Tren dari lapangan
terbang itu dikendalikan syarikat Japan Railway atau JR, dan merupakan syarikat
pengendali utama tren-tren di Jepun. Sedang tren bawah tanah ini dikendalikan
syarikat tempatan di Sapporo. Jika engkau menggunakan pas rel JR, ia hanya
boleh digunakan untuk tren dari lapangan terbang ke sini, namun tidak boleh
digunakan untuk sistem tren bawah tanah.
Maka aku turun ke stesen Kitajunijo dan belilah tiket dari mesin tiket.
Cara membelinya agak berlainan sedikit, di mana engkau tidak perlu mengklik
destinasi, sebaliknya menentukan harga tiket menggunakan peta yang bertampalan
pada dinding. Aku lihat aku perlu membayar 250 yen untuk ke sana. Maka aku klik
butang 250 yen pada skrin sesentuh, dan membayar wang syiling. Tiketnya juga
berupa kertas kecil keluar dengan lajunya. Stesen yang aku tujui ialah stesen
bawah tanah Maruyama Koen. Aku perlu mengambil jalur Namboku ke Makomanai,
berhenti di stesen Odori dan tukar ke jalur Tozai menghala ke Miyanozawa.
Kemudian berhentilah aku di stesen Maruyama Koen. Di stesen Maruyama Koen aku
memanjat tangga naik ke permukaan. Di sepanjang terowong menuju ke tangga, ada
banyak mural bercontengan pada dinding, kebanyakan bentuk-bentuk binatang
dilukis dengan gaya mesra kanak-kanak dan berwarna-warni. Ini kerana Maruyama
Koen ada zoo. Zoo sudah pasti menjadi tarikan utama untuk kanak-kanak.
Bila hari kian petang, suhu pun kian sejuk. Mungkin pada ketika aku keluar
dari stesen ini, suhu sudah pun jatuh ke enam darjah Celsius. Aku tiba di
permukaan, sejuk kian mencengkam dan nafasku mula berkabus. Bangunan pertama
yang aku temui ialah KFC. Aku melintas depan KFC dan membuka Google Maps,
mencari arah ke Maruyama Koen. Maruyama Koen ialah salah satu dari taman-taman
awam yang banyak di Sapporo ini. Mengapa aku mahu ke sini? Aku pun tak pasti.
Sapporo tidak banyak tempat menarik, namun ia banyak taman awam dengan pokok
daun luruh. Aku datang ke sini hanya untuk berjalan-jalan melihat alam dan aku
tidak kisah ke mana pun destinasi yang aku tujui.
Selepas melalui kaki lima beberapa bangunan, aku tiba di kawasan yang ada
palang menghalang kereta dari masuk. Inilah Maruyama Koen. Ia taman sesuai
untuk berjoging. Seperti biasa, pokok-pokok berdaun kuning, merah dan perang
memenuhi serata pelusuk taman. Ia hanya taman biasa pada aku.
Aku telusuri laluan berasphalt mengikut papan tanda menuju ke zoo. Aku pun
tak rasa zoo ini menarik sangat, kerana di Malaysia pun ada zoo. Namun bila ada
destinasi, perjalanan jadi bermakna bukan? Kalau tak ada destinasi, bayangkan,
aku berjalan untuk ke mana? Boleh dirumuskan zoo ini bukanlah aku mahu datang
sangat tetapi sekadar ‘check point’ perjalanan saja. Namun bila aku dah tiba di
sana nanti, alang-alang dah sampai ada baiklah kiranya aku masuk terus dan
melihat dalamnya, kerana bila lagi aku boleh ke sini?
Habis laluan berasphalt, aku bertemu kaki lima di tepi jalan yang tak
banyak kereta. Aku telusur laluan kaki lima itu. Sedang di sebelah kiri adalah
jalan raya itu, di sebelah kanan masih Taman Maruyama, dan kemudian ada bukit
yang tinggi dan beralun di sebelah kanan tidak jauh di hadapan, ia ditumbuhi
pokok-pokok daun luruh entah apa. Di atas bukit itu ada semacam
bangunan-bangunan. Adakah itu zoo? Tak nampak macam zoo. Aku jumpa satu lagi
laluan masuk kereta di hadapan di sebelah kanan namun dipalang. Rupanya semua
tidak dibenarkan masuk termasuk pejalan kaki. Aku semakin hampir dengan bangunan
di atas bukit tapi aku masih tak pasti bangunan apa. Aku fikir kalau aku
berjalan dengan pemandu pelancong mungkin aku akan tahu apa fungsi bangunan
itu.
Aku teruskan berjalan mendaki cerun yang agak curam sehingga bertemu laluan
rata yang bertanah lembap. Mujur tak becak, hanya tanahnya hitam dan lembik. Di
depanku itulah zoo yang dicari-cari. Aku perlu melintas jalan di kiri dan
mengikut susur bertar ke pondok tiket. Di sana, aku dimaklumkan yuran masuk
untuk dewasa berharga 800 yen. Aku membayarnya juga meskipun hati agak berat,
kerana merasakan jumlah itu tidak berbaloi. Jangan tukar kepada ringgit, jangan
tukar kepada ringgit, aku berbisik dalam hati. Kalau tukar kepada ringgit, ia
sekitar RM24. Bolehlah.
Aku pun menyerahkan tiket masuk kepada penjaga pintu untuk dikoyakkan.
Selepas itu aku pun masuk ke dalam. Ia seperti zoo biasa sahaja, tiada apa yang
menariknya. Namun sekurang-kurangnya aku mencapai sasaran pada hari ini, iaitu
berjalan lebih dari satu kilometer (diukur dari stesen tren Maruyama Koen
tadi). Di dalam ‘penjara’ binatang terbesar di Hokkaido ini, aku dapati kawasan
kurungan dibahagi-bahagikan. Ada kawasan aviari untuk burung pungguk (fukurou),
ada kawasan kurungan terbuka untuk beruang (kuma), dan ada kawasan
berbumbung untuk monyet-monyet (saru). Agak ramai juga pelancong
tempatan mengunjungi zoo ini, dan aku berasa sedikit janggal pula berada dalam
kalangan mereka. Aneh juga fikirku, mengapa begitu ramai pelancong sedangkan hari
ini hari bekerja. Selepas aku menyempurnakan satu pusingan dalam lebih kurang
setengah jam begitu (demi mewajarkan harga tiket yang sekitar RM24 itu), aku
kembali ke pintu masuk. Aku bercadang untuk kembali sebelum pukul empat petang,
di mana langit dijangka mula bergelap. Aku mahu terus daftar masuk hotel, solat
jamak Maghrib dan Isyak dan tidur. Aku masih mengantuk oleh tidak cukup tidur
sejak semalam setelah dilambung dari KL, Beijing, Hong Kong, dan Osaka selama
dua hari!
No comments:
Post a Comment