Dulu ketika aku belajar di UK, aku ada mengembara ke banyak negara namun tidak mencatit sebarang travelog kecuali satu sahaja, iaitu berkenaan kelana ke Turki. Namun itu dicatit dalam blog satu lagi. Aku fikir ada baiknya merakam kelana yang akan datang ke dalam satu blog khas, iaitu blog ini. Aku ingat aku mahu ke banyak negara lain pula sebelum umur aku mencecah empat puluh. Jadi ada baiknya jika semua pengalaman itu dikumpulkan ke dalam satu blog khas.
Untuk entri pertama blog travelog ini, aku akan menulis berkenaan
pengembaraan ke Sapporo tempoh hari, dengan gaya penulisan diari. Moga
bermanfaat apa yang akan aku kongsikan.
Mengapa Sapporo? Aku pun tak tahu kenapa mulanya. Aku fikir hanya nak
keluar sekejap dari Malaysia, selepas dekat empat tahun tak dibenarkan keluar. Macam-macam
perkara yang kurang menyenangkan berlaku di tempat kerja tahun ini membuatkan
aku rasa nak keluar sekejap. Bukan bermakna jika aku mampu ke luar negara, aku
ni kaya. Aku boleh cakap, dengan gaji RM2000 sebulan pun engkau boleh ke luar
negara asalkan ada keinginan dan ilmu. Bila ada keinginan, engkau akan usahakan
sebagai contoh, dengan kumpul wang, kurangkan pembaziran dan lain-lain cara.
Bila ada ilmu, engkau tak perlu bazirkan wang bayar pemandu pelancong sebab
engkau sudah pun selidik dahulu macam mana nak mengembara di bumi asing. Dengan
ilmu juga engkau boleh jimatkan tambang penerbangan sebagai contoh, guna kad
kredit untuk kumpulkan mata ganjaran. Untuk kelana ini, aku sudah merancang
berbulan-bulan, maka sepatutnya tidak menjadi masalah. Namun ada masalah yang
tak disangka-sangka juga yang memberi pengajaran besar dengan harga besar
dibayar, yang mana akan aku huraikan dalam ‘diari’ di bawah.
Bila dah nak tulis entri ni barulah aku terfikir apa sebab aku memilih
Jepun. Jepun selalunya negara pertama akan jadi pilihanku kerana satu,
kemudahan pengangkutan awam yang amat memudahkan, sesuai untuk pengembara solo
macam aku. Kedua, kadar tukaran yang sekarang dah jatuh. Kalau empat tahun dulu,
seratus yen (macam ‘seringgit’ mereka) bersamaan empat ringgit Malaysia,
sekarang dah jadi tiga ringgit Malaysia saja. Ketiga, sebab aku nak rasa musim
sejuk. Sapporo ini letaknya di Pulau Hokkaido, dan kalau November biasanya dah
ada salji. Bila sejuk dan kering, engkau boleh berjalan jauh tanpa berpeluh,
atau peluhmu cepat tersejat dan menyejukkan badan dan sangat bersesuaian dengan
hobi aku yang suka berjalan kaki. Kalau di Malaysia, berjalan kaki amat
melesukan kerana suhu dan kelembapan yang tinggi. Keempat, sebab aku adalah
faham sedikit bahasa Jepun, jadi bolehlah kalau nak bertahan di sana. Tapi
kalau orang Jepun ajak berborak memang aku tak bolehlah, sebab bahasa Jepun aku
tak sampai JLPT Level 5 pun. Masih banyak tulisan mereka yang aku tak boleh
lagi baca. Tapi kalau nak tanya dekat mana tandas, dekat mana nak pergi
satu-satu tempat, berapa harga barang itu ini, bolehlah.
Maka disebabkan itu aku pilih Jepun selalunya. Kalau nak pergi negara lain,
aku tak akan pergi solo sebab macam-macam masalah termasuk pengangkutan awam.
13 November 2023
Hujan lebat tengahari tadi. Jam menunjukkan pukul empat petang. Langit
masih mendung dan putih. Aku dah kena bersiap-siap sekarang, bimbang hujan
semula. Penerbangan ke Sapporo dengan transit di Beijing dijadualkan pukul 12
malam nanti. Jadi aku kena sampai di KLIA Terminal 1 tiga jam awal untuk daftar
masuk (check in). Aku bercadang ke stesen MRT pukul lima petang, makan malam
dan solat jamak Maghrib dan Isyak di lapangan terbang saja. Lapangan terbang
ini tak adalah sampai dua marhalah pun dari rumah aku, namun aku pernah
mendengar engkau dibolehkan jamak bilamana engkau sudah berniat akan bermusafir
(kalau salah tolong betulkan aku).
Beg aku periksa. Pasport baru dah ada, pasport lama pun dah ada. Aku bawa
siap-siap pasport lama takut imigresen Jepun minta pula. Aku tahu pelancong
Malaysia yang kena halau balik tu sebab tak bawa pasport lama ketika masuk
Korea, tapi aku bimbang perkara sama akan berlaku pada pelancong ke Jepun. Ubat
gigi, berus gigi, kompas kiblat, seluar long john, baju sejuk semua dihenyak ke
dasar beg sandang. Salinan muka depan pasport ada, salinan tempahan hotel,
salinan itinerari semua sudah dicetak. Kasut baru saja beli, kasut biasa saja,
asalkan tak bocor dimasuki air salji. Stokin panjang sudah dibawa tiga pasang. Topi
salji, sarung tangan, baju leher bulat, kemeja lengan panjang, seluar jeans,
sudah dilipat. Makanan berupa biskut lima bungkus kecil ditekan masuk bahagian
atas beg.
Barang-barang dalam poket, kad-kad, wang tunai, telefon bimbit, kunci
rumah, topeng muka semua sudah lengkap. Peranti kuasa untuk telefon bimbit
sudah ada, handycam Sony yang paling murah berharga RM800 lebih sudah dibungkus
siap-siap dalam beg sandang. Aku memang sangat tidak gemar bawa handycam, namun
disebabkan telefon aku sangat cikai dan kameranya pun cikai, maka handycam
sangat diperlukan sekarang.
Dengan doa dan tawakkal mengiringi, aku kunci semua pintu-pintu, laptop
disimpan dalam bilik dan dikunci, pili air utama ditutup, dan peti ais dibiarkan
dipasang namun semua barang basah telah dikosongkan seminggu awal. Tujuannya,
jika bekalan elektrik terputus akibat petir, peti tidak akan busuk jika ada barang
basah di dalamnya.
Aku berjalan ke stesen MRT terdekat untuk ke stesen Putrajaya Sentral. Perjalanan
ini akan memakan masa sejam. Memang kalau ikutkan, aku nak ambil KLIA Express
dari KL Sentral, tapi menggunakan MRT lebih menjimatkan meski memakan masa yang
agak lama. Dalam perjalanan, aku ada sekali-sekala hidupkan handycam merakamkan
detik-detik perjalanan yang agak normal sebab aku banyak kali juga guna laluan
ini nak tengok sekitar Serdang. Putrajaya pun pernah aku singgah suka-suka
namun tak boleh pergi jauh sebab pengangkutan awam dari stesen tu macam tak ada
fungsi saja, drebar banyak duduk dalam bas main telefon. Lagipun Putrajaya
bukan ada tempat menarik pun melainkan pejabat-pejabat kerajaan dengan blok
kediaman saja.
Sejam berlalu, sampailah aku di stesen MRT Putrajaya Sentral. Selepas mengimbas
kad pengenalan yang dibekalkan My50 pada pagar tiket, aku keluar dan turun
eskalator untuk ke stesen Putrajaya KLIA Transit. Di sana, aku membeli tiket
berharga RM9.40 untuk ke Stesen KLIA Terminal 1, di mana pesawat Air China
untuk penerbangan CA872 akan membawaku ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.
Di Beijing nanti aku akan mengambil satu lagi pesawat Air China penerbangan
CA169 ke Lapangan Terbang Baru Chitose, Hokkaido, Jepun. Aku tak gemar
transit-transit ni, tapi disebabkan AirAsia (yang selalu jadi pilihan kerana
tambang murah mereka) sudah tidak membuat penerbangan terus ke Sapporo
(seingatku masih belum disambung selepas pandemik), maka aku tiada pilihan.
Lagipun, ini tiket paling murah (tetapi masih lebih mahal dari AirAsia) yang
aku dapat dari internet.
Aku pun masuk tren KLIA Transit yang datang setiap setengah jam itu. Waktu
tu sudah pukul enam setengah petang. Dalam lima belas minit aku pun sampai di
KLIA. Jam sudah pukul tujuh selepas aku berjalan-jalan melihat sekitar
terminal. Aku terus solat Maghrib. Sewaktu berjalan nak cari kaunter daftar
masuk Air China, aku terjumpa McDonald. Lantas aku bercadang makan malam di
situ. Sewaktu beratur menunggu pesanan, aku nampak ada robot yang aku tak pasti
apa fungsinya, mungkin membersihkan lantai agaknya. Nampaknya KLIA sudah pun
maju fikirku. Tapi tren Aerotrain ke bangunan pintu berlepas masih diselenggara,
itulah ironinya.
Aku ambil pesanan dan makan di tempat tersorok yang tak berapa tersorok,
kerana tiba-tiba ada keluarga dari India beramai-ramai melintas di hadapanku
yang sedang menjamah nasi lemak ayam goreng McD. Aku teruskan makan tanpa
mempedulikan mereka dan membuang bungkusan ke dalam tong terdekat. Sambil lalu
lalang, aku ternampak mesin Coffeebot yang menggugat iman. Aku memang tak tahan
kalau ada penjual kopi seperti robot ini. Aku memandang ke tempat lain. Namun
Coffeebot bermain-main di kepala menggoda aku untuk membeli kopinya. Aku ternampak
kedai pengurup wang, bayangan Coffeebot menghilang dan aku baru teringat aku
terlupa menukar wang kepada Renminbi Yuan (matawang China). Aku tanya penjaga
kedai berapa ringgit diperlukan untuk membeli seratus Yuan. Katanya RM74. Aku
pun setuju. Jika diikutkan kadar tukaran di internet aku boleh dapat lebih dari
seratus Yuan, namun biasanya pengurup wang di lapangan terbang akan kaut banyak
masuk poket mereka, sebab mereka tahu yang tukar duit di lapangan terbang ini
jenis terdesak dan last minute punya maka sudah pasti mereka jadikan
peluang. Aku tak risau pasal Yen sebab aku sudah tukar awal-awal sebelum ke
KLIA.
Tukar wang sudah, solat sudah, makan pun sudah. Check-in saja belum.
Aku ke kaunter H, pegawai mereka masih belum masuk. Jam sudah pukul lapan
lebih. Aku tengok sudah ada penumpang beratur di salah satu kaunter H. Maka aku
pun turut sama beratur. Pukul sembilan tiba sudah, aku mendaftar masuk. Proses
pendaftaran lancar, dan aku terus ke pintu berlepas. Untuk ke sana, aku akan
imbas pas berlepas dan turun satu eskalator. Kemudian kena berjalan ke pintu
pasport, di mana pasport Malaysia yang canggih ini aku imbas ke mesin dan tap!
Pintu terbuka. Dua baris kedai-kedai bebas cukai memenuhi bahu laluan namun aku
tidak peduli kerana aku di sini bukan untuk membeli-belah. Di hadapan, ada
pemeriksaan keselamatan pula. Melihatkan tiada pegawai di situ dan para
penumpang lain dengan selamba melepasinya tanpa sekatan, aku pun turut sama
mengikut mereka.
Ada bas GoKL yang sudah menanti kami menggantikan Aerotrain yang sedang
diselenggara. Dengan bas GoKL itu aku sampai di pintu berlepas. Namun pintu
belum dibuka melainkan jam sebelas setengah malam nanti. Melihatkan jam masih
di pukul sembilan setengah, ada dua jam untuk dibunuh. Aku berjalan-jalan di
sekitar luar pintu berlepas. Aku lihat kedai-kedai di sini sudah berkurang
berbanding empat tahun lepas, ada satu dua kedai barangan mewah masih bertahan.
Mungkin kesan pandemik itu. Aku terjumpa lagi Coffeebot. Imanku digugat lagi.
Lagi mewajarkan hati untuk membeli ialah aku masih belum meminum air selepas
makan nasi lemak McD tadi. Maka aku pun mengalah dengan Coffeebot dan membeli
dengan mengimbas Touch ’N Go e-wallet pada mesin itu.
Sambil duduk-duduk menanti jam sebelas setengah, aku menghabiskan kopi dan
melihat orang lalu-lalang berkejaran ke destinasi masing-masing. Ada yang
berseorangan, ada yang berpasangan, ada yang beranak-pinak, ada yang berkerusi
roda, ada yang bertongkat, ada yang menunggang bagasi beroda dengan tangkai
bagasi itu dipegang seperti kepala basikal, satu teknologi baru yang aku
perhati makin berleluasa pula di sini. Kemudian ada kereta senyap yang dibawa
pekerja lapangan terbang ini, di mana kereta ini sudah lama beroperasi dan pada
aku agak berbahaya kerana ia senyap dan selalu dipandu laju. Aku fikir
barangkali sudah ada penumpang yang dilanggarnya. Muzik yang dimainkan telefon
bimbit salah seorang pengunjung yang duduk-duduk di restoran berdekatan mengisi
suasana, bersama hingar dan pengumuman yang dengar tak dengar berkumandang
dengan bahasa Manglish mereka yang ketara.
Pabila jam sebelas setengah tiba, aku bergegas ke pintu berlepas. Di sini
ada pengimbas keselamatan lagi. Mujur aku hanya bawa satu beg, amat memudahkan.
Lepas imbas aku ambil tempat duduk. Tidak lama kemudian, para penumpang dari
kelas pertama dan perniagaan dipanggil masuk ke pesawat dahulu, kemudian
menyusul kelas ekonomi. Aku mengenakan hoodie warna biru murah yang dibeli di
pasaraya AEON, agar tidak kesejukan semasa dalam pesawat.
Aku tidak boleh tidur seperti perancangan, disebabkan kopi Coffeebot tadi.
Maka aku pun hanya berangan-angan akan perancangan di Sapporo nanti, bagaimana
rupanya Gunung Moiwa seperti dalam gambar di internet itu, atau apakah aku akan
dapat melihat gunung berapi Hakkoda dari tingkap kapal terbang. Aku mendapat
tempat duduk di tepi susur lalu-lalang, dan dua tempat duduk di sebelahku
kosong. Maka aku beralih ke tepi tingkap. Namun pemandangan di luar tingkap
kosong sekosongnya kerana hari malam.
Ada troli makanan tiba. Aku tidak tahu pula penerbangan ini termasuk
makanan sekali, kerana aku memang tidak dimaklumkan ketika menempah. Aku risau ia
tidak halal, namun melihatkan ia dibekalkan dari Malaysia, aku yakin ia halal. Ada
telur dadar dengan sayur distim, dan sosej. Aku meminta jus epal sebagai
minuman.
14 November 2023
Aku akhirnya tersedar ketika hampir pukul empat pagi. Aku bangun ke tandas,
mengambil wuduk dan sembahyang subuh di tempat duduk. Satu perkara yang aku
senang di sini ialah dengan ketiadaan penumpang lain di sebelahku, urusan solat
menjadi mudah kerana tidak perlu risau tersentuh penumpang di sebelah seraya
membatalkan air sembahyang. Untuk Subuh, aku ikut waktu di Beijing yang aku
telah muat turun dan simpan dalam telefon untuk rujukan. Aku mengikut waktu
Beijing melihatkan jarak masa perjalanan sudah hampir ke destinasi. Subuh di
Beijing bermula jam lima lebih sedang anggaran masa ketibaan ialah enam
setengah pagi.
Aku sampai di Beijing jam enam setengah waktu Beijing, iaitu sama dengan
waktu Malaysia. Pada fikiranku kala itu, penerbangan ke Sapporo akan
berlangsung jam lapan pagi, maka aku masih ada satu jam setengah iaitu masa
yang cukup di sana untuk berjalan ke pintu berlepas. Di sinilah silapku yang
hanya aku sedari kemudian, di mana kesilapan ini telah menyebabkan bermulanya
satu kisah yang panjang yang akan aku karang di bawah. Satu lagi kesilapanku
ialah menyangkakan transit di Beijing lancar sebagaimana transit terdahulu,
ketikamana aku berlepas ke UK untuk memulakan pengajian yang mana aku telah
transit di Amsterdam, dan juga ketika aku pulang dan transit di Dubai. Aku
tidak sekali-kali menyangka, bahawa transit di Beijing ini akan jadi sungguh
menyusahkan. Transit di sini amat berlainan, mengapa ya? Kerana transit di sini
memerlukan engkau melepasi pagar IMIGRESEN. Diulang, pagar IMIGRESEN! Ini
bermakna, transit di sini akan memakan masa, dan engkau akan melalui proses
seolah-olah engkau mahu melawat dan memasuki negara itu! Dan dengan itu, engkau
hanya boleh ke pintu penerbangan sambungan selepas engkau melalui pintu
ketibaan (arrival) dan kemudian masuk kembali ke pintu pelepasan
antarabangsa. Menyusahkan bukan? Ya, inilah Lapangan Terbang Beijing tuan-tuan
dan puan-puan. Selamat datang ke Beijing. Dan semua ini tidak diberitahu pada
itinerari tiket aku yang dibeli di Agoda. Tiada. Aku tidak ada jumpa amaran ‘self-transfer’
atau keperluan visa transit dan sebagainya. Sungguh aneh.
Memikirkan masa sejam setengah itu mencukupi kerana tidak aku pernah
terfikir transit di sini akan jadi begitu menyusahkan, aku tidak bergegas dan memutus
untuk menunggu sahaja sehingga semua penumpang keluar dahulu barulah aku
bergerak bangun dari tempat duduk. Tidak pula aku sangka, ketika berjalan
keluar menuju ke penerbangan seterusnya, ada lebih kurang empat ke lima buah
walkalator yang amat panjang yang perlu aku redah sebelum bertemu stesen
periksa pasport. Di sini sahaja sudah cukup membuang masa. Lapangan terbang ini
sudah membentuk pandangan pertama yang sungguh menyusahkan.
Kemudian selepas stesen periksa pasport dilepasi, aku terkejut kerana
diunjuk oleh seorang pegawai ke pagar imigresen. Aku mencari-cari papan tanda
di mana arah penumpang transit antarabangsa. Tiada. Hanya ada pegawai-pegawai
yang mengunjuk semua penumpang yang baru tiba agar berjalan ke pagar imigresen.
Di sini aku mula rasa sungguh aneh. Pagar imigresen? Mengapa tiada laluan khas
untuk penumpang yang ada penerbangan sambungan? Mengapa perlu lalu imigresen?
Aku bukan mahu melawat negara ini pun.
Di sinilah aku mulai rasa risau, kerana tanpa dijangka, ada barisan yang
amat panjang sehingga ke hadapan kaunter imigresen. Entah dari mana datangnya
mereka ini tidaklah aku pasti, barangkali dari penerbangan lain yang tiba
hampir dengan waktu ketibaanku. Melihatkan barisan yang panjang itu, aku
gelabah. Sempatkah aku tiba di pintu berlepas sebelum jam tujuh lima puluh,
waktu di mana pintu akan ditutup?
Tunggu punya tunggu, akhirnya tibalah giliran aku. Waktu itu jam sudah
tujuh pagi. Mujur pegawai imigresen tidak mengambil masa yang lama. Aku
bergegas mencari-cari di mana arah untuk pintu berlepas, iaitu sepatutnya yang
bertandakan ‘pindahan antarabangsa’ (international transfer). Pada waktu
ini aku masih belum sedar bahawa pabila engkau melepasi pagar imigresen, engkau
secara rasmi sudah dikira berada dalam negara itu dan visa engkau (jika negara
itu memerlukannya) telah pun digunapakai dan dipalang. Aku kurang sedar perkara
ini kerana mungkin sedang kalut dan kurangnya mengembara secara transit (dulu
ada AirAsia, banyak penerbangan terus). Maka secara logiknya, jika engkau sudah
dikira berada dalam negara itu, engkau harus ke pintu ketibaan dahulu, masuk
kembali ke pintu pelepasan antarabangsa. Namun aku tidak terfikirkan semua ini.
Aku bertanyakan pegawai yang bertugas di situ dengan menunjukkan pas
berlepas, bahawa aku perlu ke penerbangan antarabangsa sambungan. Pegawai itu
menunjukkan papan tanda ‘pindahan tempatan’ (domestic transfer). Aku
tiada masa menyoal lanjut memandangkan jam sudah tujuh suku pagi dan terus
mengambil tren ke pindahan tempatan. Ya, aku tidak pernah bertemu lapangan
terbang yang mana proses pindahan penerbangannya perlu ada tren. Dan tren ini
sungguh lembab seolah-olah aku ada kemewahan masa.
Tiba di sana, aku berjalan laju bahkan berlari sedikit. Namun aku menemui kawasan
di mana bagasi diserahkan dan bukannya laluan terus ke penerbangan seterusnya,
atau papan tanda yang menunjukkan penerbangan antarabangsa. Di sinilah baru aku
perasan aku sememangnya sudah hampir dengan pintu ketibaan melihatkan rel
bagasi. Aku berkejaran, dan aku bertanya pegawai rawak di situ. Dengan bahasa
Inggeris mereka yang sungguh teruk, aku terpaksa menjelaskan berkali-kali di
mana bahagian pindahan antarabangsa. Mereka menjelaskan aku perlu keluar ke
pintu ketibaan dan masuk kembali ke bahagian penerbangan antarabangsa. Aku
berasa aneh kerana fakta yang aku sedang berada di pintu ketibaan masih kabur
dan hanya anggapan, namun aku abaikan sementara rasa itu dan bergegas sahaja ke
sana dengan berlari.
Ketika keanehan mengasak-asak benak inilah aku mula memikirkan pengalaman
transit dahulu. Aku pernah transit beberapa kali dahulu, di Amsterdam, di
Dubai. Namun prosesnya tidak begini. Prosesnya sungguh lancar, di mana jika
engkau ada penerbangan sambungan antarabangsa, engkau hanya perlu berjalan kaki
keluar dari pesawat terus ke pintu berlepas penerbangan sambungan itu mengikut
laluan khas siap berpetunjukkan dengan papan tanda yang banyak agar penumpang
tidak tersesat. Tiada tren lembab, tiada pemeriksaan imigresen bahkan papan
tanda bertuliskan ‘international transfer’ dan ‘domestic transfer’ ada di
mana-mana dan tidak mengelirukan. Tidak seperti di lapangan terbang Beijing ini
yang hanya bertuliskan ‘domestic transfer’ bahkan aku perlu ke pintu ketibaan
pula! Bukankah itu sungguh membuang masa? Sudahlah bahasa Inggeris mereka yang
teruk dari segi sebutan yang tidak jelas (namun aku masih berterimakasih usaha
mereka menunjuk jalan) telah tambah melambatkan aku.
Jam sudah tujuh dua puluh. Aku masih di pemeriksaan keselamatan di pintu
penerbangan antarabangsa. Di sini, pemeriksaan sungguh ketat. Bahkan, begku
diselongkar hanya kerana ada duit syiling dan bank kuasa (powerbank).
Memasukkannya kembali ke dalam beg sudah memakan masa, ditambah pula aku perlu
menunggu satu lagi tren untuk ke pintu berlepas, iaitu destinasi yang sedang
aku kejar sejak tadi dan objektif tunggal aku di sini (jika penerbangan dari KL
terus ke Sapporo ada, tiada maknanya aku berada di lapangan terbang Beijing
yang cukup menyusahkan ini). Jam sudah tujuh setengah waktu tren tiba.
Seperti sebelumnya, tren mereka sungguh lembab. Pagi itu sejuk dalam
sekitar satu darjah Celsius (aku rujuk suhu itu pada skrin dalam tren seingat
aku), namun aku berpeluh-peluh. Aku rasa seolah tekanan darahku naik mendadak.
Aku dah lama tak rasa begini, di mana air liur rasa pahit dan kepala sedikit
pening. Aku akan rasa begini bila terlalu gelabah dan tertekan. Aku cuba
menenangkan diri. Dalam tren, para penumpang memandang-mandang, mungkin kerana
melihat wajahku yang pucat dan tubuh bergetar dan jari menekan-nekan tiang tren
seolah cacing kepanasan namun aku tidak peduli. Dalam hati aku
menyumpah-nyumpah tren memaksa ia lebih cepat, seolah-olah dengan cara itu tren
akan bergerak lebih laju, namun tiada maknanya. Bahkan ia boleh berhenti pula
di pertengahan mengambil penumpang lain. Pada waktu itu aku fikir aku hanya
mahu menjerit dan menendang pintu tren. Jam sudah tujuh empat puluh lima. Aku
hanya ada lima minit saja sebelum pintu ditutup dan aku akan terlepaskan
penerbangan ke Sapporo.
Maka sampailah jua akhirnya di pintu berlepas. Waktu itu aku perasan, pintu
E2 untuk penerbangan ke Sapporo ialah jauh di belakang, sedangkan pintu pertama
yang kutemui ialah E9! Lagi aku menyumpah. Sudahlah tiada walkalator, maka
dengan bagasi berat sekitar 5kg digalas aku berlari pecut menuju E2 di hujung
bangunan besar itu, dengan mata-mata para penumpang lain kehairanan melihatku.
Sampai di pintu E2, aku terduduk dan terkesima, tercungap-cungap, tekak jadi
kering kerana udara pagi yang sejuk beku dan kering berulang-alik menghiris
tekak dengan derasnya. Pintu sudah pun ditutup. Aku melihat jam menunjukkan
pukul tujuh lima puluh. Aku menghempas beg dan baju sejuk.
Aku ternampak pegawai penjaga pintu keluar. Aku merayu meminta dia lepaskan
aku masuk, namun katanya pintu sudah pun ditutup dan dia bertegas tidak membenarkan.
Dia dengan selambanya mengemas beg untuk ke bahagian lain. Aku terkedu. Semua
perancangan rapi sejak tiga bulan lepas hancur berkecai sekelip mata, gara-gara
silap sendiri dan juga proses di lapangan terbang ini yang amat berlainan dari
lapangan terbang lain sepanjang pengalaman bertransit. Silap aku sendiri juga
yang memandang enteng masa yang ada, silap aku sendiri yang tidak menyangka
akan ada barisan panjang di pintu imigresen, maka aku tidak bergegas dan duduk
dalam pesawat sehingga semua penumpang keluar.
Waktu itu, perancangan segera yang terbit di benak ialah mencari
penerbangan lain. Aku tidak boleh membiarkan perancangan ke Sapporo berkubur
begitu sahaja. Cuti ada dua minggu. Jika aku pulang ke KL semula, bagaimana aku
akan habiskan cuti dua minggu ini? Pada waktu itu, aku amat memerlukan
internet. Kad SIM internet yang kubeli itu hanya boleh digunapakai di Jepun. Aku
tidak bercadang untuk roaming. Maka aku mencuba wifi lapangan terbang. Tiada
isyarat.
Aku berjalan kembali ke pintu E9 tempat aku masuk tadi. Ketika berjalan,
aku sempat melihat pesawat yang sepatutnya sudah aku naiki menerusi tingkap
kaca. Jejambat yang menghubungkan pintu berlepas dengan pintu pesawat itu sudah
pun ditanggalkan, dan pintu pesawat sudah pun ditutup. Hari sungguh cerah dan
menyilaukan mata. Aku rasa sedih dan kecewa. Namun aku tidak boleh berlengah.
Aku perlu mencari wifi.
Disebabkan larian tadi, tekakku sungguh kering dan dahaga. Aku berjalan ke
satu mesin jual air, namun ia memerlukan duit syiling Yuan. Aku tidak ada duit
syiling itu. Aku hanya ada wang kertas 100 yuan yang ditukar di KLIA sebelumnya.
Di situ juga tiada kedai menjual minuman. Perut lapar dan dahaga. Aku
meletakkan beg di satu sisi dinding. Di depanku ada kedai menjual kad SIM China,
namun kadnya mahal-mahal belaka dan tidak berbaloi kerana aku bukannya mahu
melancong ke negara ini. Aku bertanyakan penjaga kaunter bagaimana mendapatkan
wifi. Dia memberitahu aku perlu mengimbas pasport pada satu kiosk warna putih
di tepi kaunter itu. Aku pun buat apa yang dinasihatkan, imbas pasport dan klik
apa yang patut pada skrinnya. Kemudian keluar resit di bahagian bawah kiosk
bertuliskan kata laluan untuk wifi. Aku masukkan kata laluan pada wifi. Tiada
isyarat. Berkali-kali aku cuba, masih tiada isyarat. Tanpa wifi, aku tidak
boleh menempah penerbangan baru. Menempah di kaunter tidak berbaloi, mahal. Bagaimana
wifi mereka sungguh begini teruk? Aku pernah ke lapangan terbang lain dan
sambungan ke wifi begitu mudah, namun di sini aku perlu mengimbas pasport
dahulu, dan tidak semestinya akan mendapat sambungan. Aku tidak pernah terfikir
lapangan terbang yang berstatus ‘antarabangsa’ ini boleh jadi begitu
menyusahkan.
Waktu aku duduk kekecewaan di tepi dinding kaca itulah baru aku perasan ada
kaunter pertanyaan. Aku terfikir, buat apa tempah penerbangan baru jika aku
boleh meminta Air China menukar untukku waktu penerbangan lain? Jika boleh
demikian, aku sudah boleh menjimatkan wangku. Aku bercadang untuk ke kaunter
Air China. Kaunter tersebut mengikut logik – aku terpaksa mengikut logik kerana
tanpa wifi, aku tidak boleh bertanya Google di mana kaunter Air China - sepatutnya
berada di pintu pelepasan atau di pintu ketibaan, di mana aku telah lalui
sekitar sejam lalu untuk ke sini. Maka aku bertanya pada pengurus kaunter
pertanyaan bagaimana untuk berpatah balik ke pintu ketibaan. Aku memberitahu
aku telah terlepas penerbangan. Katanya aku perlu ke tingkat atas menaiki lif.
Aku mengikut apa yang dinasihatkannya. Namun setibanya aku di tingkat atas, aku
diminta turun ke bawah oleh pegawai di situ. Aku bertanya kembali pada penjaga
kaunter. Dia bertegas, yang aku perlu ke tingkat atas. Tiga kali aku begitu
turun naik. Aku semakin penat dan dahaga. Akhirnya penjaga kaunter itu
menelefon seseorang (dah tiga kali aku turun naik baru dia serius buat kerja).
Dia memberitahu aku perlu berjalan terus ke pemeriksaan keselamatan yang hanya
berada di belakangku, sejak tadi! Dalam hati aku menepuk-nepuk kepala. Siapa
yang mereka letakkan untuk menjaga kaunter pertanyaan di sini sebenarnya?
Mengapa mereka sungguh tidak cekap?
Akhirnya aku berjaya masuk kembali untuk mendapatkan tren ke pintu
ketibaan. Waktu itu, pas berlepas aku ke Sapporo diperiksa dan aku dibenarkan
masuk ke tempat tunggu tren oleh seorang pegawai, menggunakan kadnya. Ini
kerana selepas engkau masuk ke kawasan bangunan pintu-pintu berlepas, engkau
tidak boleh berpatah balik sesuka hati kecuali dalam keadaan di mana engkau
terlepas penerbangan seperti keadaanku sekarang. Tren lembab tiba tidak lama
kemudian. Sasaranku hanya satu: kaunter Air China.
Aku tiba di pintu ketibaan seperti seolah-olah aku datang untuk melancong
ke China pula, dengan pemandangan orang-orang beserta sepanduk demi menarik
perhatian orang yang ditunggunya. Aku sungguh tidak ingin melancong ke negara
ini melihatkan kualiti lapangan terbangnya dan perkhidmatan mereka. Ada lagi
alasan lain yang akan aku ceritakan.
Aku bertanyakan seseorang di tingkat dua akan di manakah kaunter Air China.
Katanya, kaunter Air China di tingkat empat. Aku ambil lif dan meluru ke
kaunter Air China di baris H. Mujur tiada orang di situ, harap urusanku pantas.
Aku memberitahu masalahku bahawa aku telah terlepaskan penerbangan ke Sapporo
jam lapan tadi. Penjaga kaunter memberitahu mereka boleh menggantikan
penerbanganku dengan penerbangan lain, namun penerbangan baru ke Sapporo yang
dicadangkannya ialah pada 18 November, empat hari kemudian. Air China, katanya
lagi tidak akan membuat penerbangan lain ke Sapporo di antara hari ini dengan
tarikh itu. Aku hampir menumbuk meja kaunter. Jika aku bersetuju sekalipun, aku
perlu menginap di sini empat hari tanpa buat apa-apa! Dan 18 November itu ialah
tarikh aku sepatutnya pulang dari Sapporo (mengikut jadual asal tempahan
penerbanganku), bukannya pergi ke sana!
Aku duduk kepenatan dan buntu. Perlukah aku pulang saja ke Malaysia? Rugi
jika aku pulang. Hotel telah pun aku bayar. Lagipun, cuti ada dua minggu. Jika
aku pulang, aku tidak tahu bila lagi aku boleh bercuti panjang. Dua minggu cuti
ini akan jadi sia-sia. Aku perlu mencari penerbangan lain juga. Air China tidak
lagi boleh diharapkan. Aku tidak boleh meminta mereka menggantirugi kerana
semua ini salahku. Bahkan insurans juga tidak akan membayar gantirugi.
Aku sempat membeli keropok Lays dan air Pocari Sweat di satu kedai di tepi
pintu ketibaan tadi bernama Lawson. Lantas aku membuka keropok dan memakan
untuk sarapan di kala jam sudah lapan setengah. Kedai serbaneka Lawson itu pada
aku sungguh membosankan, tidak seperti kedai serbaneka Lawson di Jepun (yang
aku lihat sewaktu lawatan dahulu ke Osaka), ada onigiri (nasi yang
disegitigakan), ada telur rebus, ada buahan dan sayuran, ada ikan makerel
panggang, bahkan ada nasi lagi. Aku sungguh bimbang dengan makanan yang tidak
halal di Lawson di sini terutama roti-roti dan kuih muffin mereka yang memang
berkebarangkalian tinggi ada bahan dari babi, lantas aku hanya membeli Lays dan
Pocari Sweat sahaja, dengan itu not 100 yuan dipecahkan. Aku mengeluh, alangkah
bagusnya jika mereka ada onigiri seperti Lawson di Jepun. Aku harap dapat
keluar segera dari lapangan terbang ini. Aku nampak Burger King namun entah
halal entah tidak. Mujur juga aku membawa biskut oat jika perut kelaparan lagi.
Aku tidak gemar biskut ini namun kandungan oat itu boleh mengurangkan lapar
meskipun tak ada kalori sangat, disebabkan itu aku membawanya setiap kali
mengembara untuk kecemasan.
Aku masih mencuba kata laluan wifi yang kuperoleh dari kiosk di bangunan
pintu berlepas tadi, namun hampa, wifi masih belum dapat dicapai. Aku melilau
mencari kalau-kalau ada sumber internet lain seperti kad SIM China. Aku
bertanya pada kaunter pertanyaan, mujur bahasa Inggeris penjaga kaunter ini
lebih baik dari sebelumnya. Dia mencadangkan aku pergi membeli kad SIM di
tingkat dua di kedai bernama Holiday Reservation. Aku turun dan bertemu penjaga
kedai itu. Harga kad SIM ialah seratus Yuan. Aku tidak membawa Yuan tambahan
maka naiklah aku semula ke tingkat empat kerana di situ ada pengurup wang. Aku
bertanya berapa ringgit diperlukan untuk membeli 100 yuan? Kata kedai itu RM121.
Aku menyumpah dalam hati. Mahalnya! Rugi aku tak tukar dekat KLIA, di sana
hanya perlu RM74. Beza hampir RM50. Mahu tak mahu terpaksa aku tukar juga sebab
perlu beli kad SIM.
Pabila aku kembali ke kedai SIM tadi, pekedai bertanyakanku telefon jenis
apa aku pakai. Kataku, Nokia dengan Android OS. Dia tanya lagi ada pakai VPN
tak? Aku kata tak ada. Lepas tu dia beritahu aku, internet di sini tak akan
boleh guna Google (dan semua servis Google termasuk Google Maps, Google
Translate, etc), Facebook, Whatsapp dan Microsoft dan semua perisian dari
Amerika. Tak boleh. Juga katanya kad SIM itu perlukan VPN dan hanya sesuai
dengan telefon Iphone. Aku beredar dalam hampa dan kembali ke tingkat empat.
Buang masa, dan buang duit! Kalau tak boleh akses semua aplikasi Google
serupalah seperti tiada sambungan Internet.
Aku menggodek wifi lagi. Sambil melilau, aku bertemu kiosk pemberi kata
laluan wifi sekali lagi. Aku imbas pasport dan mencuba kata laluan baru. Masih,
wifi tidak dapat dicapai. Tiga ke empat kali juga aku imbas pasport pada kiosk namun
semua kata laluan yang diberikan gagal menyambungkan aku ke wifi.
Jam sudah pukul sepuluh. Aku duduk bersandar pada kerusi di tingkat empat
itu sambil melihat orang lalu-lalang. Apakah aku harus pulang sahaja ke
Malaysia? Sedangkan aku sudah sangat hampir dengan Jepun? Di mana internet?
Siapa boleh berikan aku internet? Aku cuba wifi-wifi lain kalau ada yang
percuma, namun semuanya disulitkan dengan kata laluan.
Aku mula terfikirkan sesuatu. Dalam akaun bank aku tiada wang yang cukup
untuk membeli tiket penerbangan baru. Jika ada internet sekalipun, bagaimana
mungkin aku boleh membeli tiket baru? Di sini aku tidak boleh menggunakan
Whatsapp untuk menghubungi rakan-rakan, kerana satu, aku tiada internet. Kedua,
jika aku ada internet sekalipun, Whatsapp tidak boleh digunakan langsung di
negara ini.
Aku jadi kecewa dengan negara ini. Lapangan terbang adalah pintu masuk ke
sesebuah negara. Andai kualiti yang dipamerkan di pintu masuk pun sudah begini
teruk, aku cuba membayangkan kualiti perkhidmatan dalam negara tersebut
pastinya lebih teruk. Sumpah aku memang tidak akan langsung jejakkan kaki ke
sini lagi. Memang silap besarlah aku terkandas di sini. Aku sepatutnya kejar
penerbangan pukul lapan itu namun kerana kebodohan sendiri aku terkandas di
sini dan terpaksa menghadapi sumpahan mereka. Jelas negara ini cukup takut dan
paranoid dengan Amerika. Aku memang ada terdengar mereka mengharamkan Google
sebelum ini, namun implikasinya tidak jelas sehinggalah aku berada di sini. Di
sini Google memang langsung tak boleh digunakan. Mereka ada Google sendiri
bernama Baidu. Namun Baidu dalam bahasa Cina. Jika mahu menggunakan Baidu, mesti
perlukan Google Translate. Macam mana nak guna Google Translate kalau dah
diharamkan? Tak perlu pun fikirkan Google Translate, memuatturun Baidu
memerlukan Google Play. Bagaimana mungkin aku muatturun sedangkan Google Play
pun diharamkan juga? Pening... apakah aku perlu membeli telefon baru seperti
telefon Huawei dan Redmi keluaran mereka?
Aku turun ke tingkat dua kembali, manalah tahu kalau ada kedai yang sudi
berkongsikan wifi. Aku ada lintas Starbuck namun tiada wifi pun yang tertera
dalam senarai wifi pada telefonku. Apakah Starbuck di sini tidak menyediakan
wifi?
Perancanganku sekarang, jika aku tidak dapat ke Sapporo hari ini, aku akan
menunggu di sini (baca: tidur airport) sehingga 18 November, di mana aku akan
keluar ke hotel di sini yang telah kutempah awal-awal, dengan visa transit.
Kemudian barulah aku masuk kembali ke sini pada 19 November untuk ke KL. Namun
pabila aku memeriksa visa transitku dalam pasport, ia sudah dipalang! Aku
terkesima. Ini bererti pabila aku keluar dari imigresen pagi tadi, visaku itu
sudah dikira sudah digunakan! Asalnya aku mengambil visa itu untuk bermalam di
hotel di sini ketika pulang 18 November tadi (kerana untuk penerbangan pulang
Sapporo – KL 18 November nanti, aku masih perlu transit di sini), namun ia
sudah dikira sudah digunakan pula? Aku hanya ada tiga hari di sini nampaknya,
kerana visa itu membenarkan aku berada di sini selama tiga hari maksimum. Ini
bermakna jika aku bercadang tinggal di lapangan terbang ini, aku harus kembali
ke Malaysia pada 17 November! Hotel di Beijing itu yang kutempah untuk 18
November terpaksa dibatalkan, dan tambahlah lagi kerugianku!
Pelan aku musnah dalam kepala seperti dihentam asteroid. Mahu tak mahu, aku
kena juga cari penerbangan ke Sapporo hari ini juga. Sapporo-kah, KL-kah
lantaklah. Yang penting aku harus keluar dari sini sebelum 17 November. Yang
penting aku harus keluar dari lapangan terbang entah apa-apa yang wifi pun tak
ada ini. Yang penting aku mesti keluar dari negara yang paranoid dengan Amerika
yang tak benarkan langsung aku guna Whatsapp dan Google ini. Aku perlu hubungi
kawan atau keluarga demi mendapatkan wang, kerana wang dalam akaunku tidak
mencukupi. Lagi mengharukan, aku tiada kad kredit kerana selama ini aku merasakan
ia tak perlu, kerana aku pun bukan kaki melancong dan kaki joli, aku hanya
melancong sekali-sekala. Aku ingat perancangan ke Sapporo lancar, tidak
tersangka jadi begini. Aku tidak boleh hubungi mereka melalui Whatsapp, maka
aku pun melilau lagi mencari telefon awam. Dahulu, ketika aku melawat Jepun,
telefon awam ada di mana-mana, dan mudah dikesan dengan kotak telefon berwarna
hijau. Namun di sini...
Telefon awam pun tak ada!
(Bersambung di Bahagian 2)
No comments:
Post a Comment