9 Mei 2024, Khamis
Aku keluar dari rumah jam 10:30 pagi. Aku tahu memang awal sangat, dan penerbangan ke Singapura adalah jam 9:45 malam nanti, namun aku sengaja keluar awal kerana tak mahu redah hujan lebat. Ikut ramalan cuaca, hari ini akan hujan lebat jam 12 tengahari. Lagipun aku boleh lepak dulu di lounge sebab aku ada kad kredit yang melayakkan duduk di sana.
Seperti biasa, aku guna My50 saja ke Putrajaya Sentral dan dari sana, aku beli tiket RM9.40 ke KLIA1. Sebelum ke pintu berlepas, aku beli makanan dan air berharga RM25.40 dulu di 7-eleven. Adalah dalam empat ketul onigiri dan sandwich telur, sebab itulah harganya macam itu.
Mulanya bila aku imbas pas berlepas pada mesin pengimbas, ia ditolak kerana aku terlalu awal. Namun penjaga pintu mengatakan tidak mengapa dan aku dibenarkan masuk. Aku tak sangka pula ia dibenarkan. Aku imbas pasport dan terus ke pintu G, di mana di sana ada Plaza Premium Lounge, yang mana aku bercadang melepak di sana.
Namun orang yang terlalu ramai sungguh merimaskan. Aku rasa lounge di Indonesia jauh lebih selesa, lebih luas dan orangnya pun tidak seramai ini. Aku makan apa yang ada, dan terus keluar. Di luar, aku bebas mencari tempat yang kurang orang ramai, berbanding terperap dalam lounge itu. Nampaknya 'keselesaan' yang dijanjikan dan ditawarkan kepada pengguna kad kredit dengan kelayakan menggunakan lounge tidaklah seperti yang diharapkan.
Aku terus ambil bas ke bangunan pintu C dan bercadang melepak di sana. Di sana, berdasarkan pengalaman lepas, kurang orang ramai dan banyak tempat duduk dan tempat baring. Nampaknya berehat dengan cara sendiri jauh lebih selesa berbanding duduk di dalam lounge yang katanya eksklusif dan selesa itu.
Aku terbang dari KLIA terminal 1 pada jam 9:45 malam dengan penerbangan Singapore Airlines SQ127 ke Singapura.
Dalam sejam lebih, aku sudah sampai di Lapangan Terbang Changi, Singapura di Terminal 2 di bahagian E. Aku terus ke pintu berlepas di bahagian F untuk penerbangan sambungan ke Nagoya, Jepun, juga dengan Singapore Airlines penerbangan SQ672 yang dijadualkan pada 1:20 pagi nanti. Transit di Singapura amat mudah sebagaimana transit di negara lain, tidak seperti transit di China yang menyusahkan itu.
Aku sempat berjalan-jalan di sekitar terminal ini, dan melihat kawasan taman rimba kecil di tengahnya, dan juga kedapatan ruang solat Muslim di tingkat atas.
10 Mei 2024, Jumaat
Pada jam 1230 malam, aku sudah berada di pintu berlepas F40. Dalam sepuluh minit kemudian, aku dibenarkan memasuki pesawat.
Aku tiba di Lapangan Terbang Chubu Centrair, Nagoya pada jam 8:30 pagi (7:30 pagi waktu Malaysia). Selepas beratur agak lama untuk pemeriksaan imigresen dan kastam, pada jam 9:00 pagi aku akhirnya berjaya keluar ke pintu ketibaan. Aku ikut anak panah pada papan tanda untuk ke stesen tren Meitetsu Nagoya. Berbanding kebanyakan tren pindahan lapangan terbang seperti di Osaka, Narita, Haneda dan Chitose, tren demikian di Nagoya ini tidak dikendalikan JR, sebaliknya syarikat sektor ketiga iaitu Meitetsu, yang berpangkalan di Nagoya. Jadi, jika kalian ada JR Pass, pas ini tidak boleh digunakan untuk tren ini di Nagoya.
Aku mulanya agak kabur bagaimana mahu ke stesen Nagoya dari stesen lapangan terbang ini. Ini kerana peta laluan trennya sungguh rumit dan bercangkaliwang. Mujur aku ada sikit-sikit buat kajian, maka fahamlah aku bahawa satu-satu tren kadang-kadang ada dua servis; ada yang hanya tiba di Tokoname (Airport Line) dan ada yang akan melalui bandar Nagoya.
Disebabkan aku nak cepat, maka aku guna Google saja. Aku taip cara menggunakan tren dari stesen lapangan terbang ini ke bandar Nagoya. Google kata tambangnya 980 yen. Maka aku pun ke mesin tiket. Di mesin ini kalian boleh beli berdasarkan harga tiket ataupun berdasarkan destinasi. Aku pun guna harga yang Google cadangkan tadi, tekan 980 yen, masukkan not 10,000 yen dan tiket dan baki pun keluar dengan pantasnya.
Mulanya aku tersilap platform, mujur penjaga stesen menegurku dan akhirnya aku ke platform yang betul. Kalau tidak, lagi lambatlah aku sampai ke Hakuba nanti.
Hari sungguh cerah dan cuaca seperti sudah berada di musim panas, meski angin sejuk kadang-kadang bertiup. Tren sampai jam 9:45 pagi. Tren ini akan ke Gifu dan berhenti di Nagoya.
Sampai di Nagoya jam 10:30 pagi, beli tiket Limited Express Shinano ke Matsumoto yang berharga 5,610 yen (dalam RM170). Tak sangka di sini aku boleh guna kad kredit Visa Maybank di mesin tiket, maka dapatlah aku jimatkan duit tunai. Tren ke Matsumoto berlepas jam 11 pagi.
Sampai Matsumoto pada jam 1 tengahari, aku keluar sekejap untuk beli makanan di Family Mart depan stesen. Habislah 763 yen untuk itu semua, dan kali itu jugalah kali pertama aku guna Touch n Go ewallet untuk beli barang di sini.
Aku pun balik semula ke stesen Matsumoto untuk beli tiket tren ke Hakuba. Aku tengok tambangnya berharga 1,170 yen (dalam RM35). Aku pun masukkan not 10,000 yen dan keluarlah tiket, dan baki dengan lajunya. Selepas itu aku pun ke mesin tiket, dan merujuk pada papan tanda, aku harus terus ke platform 6.
Tren ke Hakuba ini adalah tren seorang pemandu dan ada dalam dua gerabak panjang sahaja. Mulanya agak padat dengan penumpang, namun semakin aku dekat dengan Hakuba semakin ramai yang turun. Ia berlepas dari Matsumoto jam 2:09 petang.
Di belah tingkap kiri tren dapatlah aku lihat gunung-ganang yang banyak di kawasan Jepun tengah ini, sesuatu yang sebenarnya menarik aku ke sini. Puncak-puncak tertinggi dalam banjaran ini masih diselaputi salji dan tiada pokok. Aku nampak Gunung Yari dan Gunung Hotaka dalam perjalanan tren ke stesen Toyoshina. Ada dalam banyak-banyak gunung itu, satu mengingatkan aku pada Kamikochi, iaitu lembah yang aku pernah lawati tahun 2019 dahulu dan hanya terletak di sebelah barat laluan tren aku sekarang. Aku yakin itu Gunung Hotaka melihatkan bentuknya yang aku lihat dari Kamikochi dahulu.
Menjelang hampirnya dengan Hakuba, aku dapat melihat puncak-puncak Hakuba Sanzan yang masih diselaputi salji di kejauhan, selepas puncak Hotaka dan pergunungan Hida kian melenyap. Ya, selepas satu banjaran gunung hilang, banjaran gunung lain akan menggantinya, pendek kata, kawasan di Jepun Tengah ini tidak pernah lari dari gunung.
Aku tiba di Hakuba jam 3:55 petang. Berpandukan Google Maps, aku perlu berjalan kaki dari stesen selama 30 minit meredah laluan celah sawah padi, rumah-rumah kampung dan padang bunga liar sejauh 2km sambil menimati cuaca cerah dan berangin, sehinggalah tiba di sebuah rumah peranginan yang dipanggil 'pension'. Aku tempah melalui booking.com pada bulan November tahun lepas. Bas tidak melalui kawasan ini, maka aku perlu menyewa teksi atau berjalan kaki. Rumah 'pension' ini terletak di atas bukit berhampiran kaki Gunung Shirouma, dan aku dapat melihat dengan jelas gunung tersebut dari tingkap bilikku. Ia masih diselaputi salji.
Aku sudah terlalu penat setelah seharian memgembara dari Malaysia hingga ke ceruk Jepun ini. Maka sesampainya aku di rumah ini jam 4:30 petang, aku terus masuk ke bilik dan berbaring. Jam 6:30 petang, hari mula gelap, aku makan malam dan tidur. Esok aku akan mulakan penerokaan Hakuba.
11 Mei 2024 (Sabtu)
Hotel yang aku duduki ini bukanlah hotel sebenar, ia sebenarnya rumah penginapan dan dijaga oleh seorang landlord. Beliau, seorang lelaki Jepun pertengahan umur, menjadikan tingkat dua rumah tersebut sebagai rumah penginapan untuk disewakan. Tandasnya di luar bilik, dan antara kemudahan yang disediakan di dalam bilik adalah pemanas (yang menggunakan petrol, pertama kali aku temui pemanas begini). Ada penapis air dan juga bekalan air panas untuk tujuan minuman dan membuat mi segera. Rumah penginapan begini selalunya dinamakan 'pension' jika kalian melihat iklannya dalam Booking.com atau mana-mana aplikasi tempahan hotel. Aku pun tak tahu apa asal-usul dan kenapa ia dinamakan 'pension'.
Aku agak kurang senang dengan bunyi-bunyi krek yang dihasilkan lantai kayu rumah ini bilamana aku berjalan. Aku tak mahu mengganggu tuan rumah ini yang menginap di tingkat bawah. Maka aku sedikit menjengket demi memperlahankan langkah. Masalah ini berlaku disebabkan rumah ini dibina sepenuhnya daripada kayu-kayu. Kalau dilihat dari luar, ia mengikut senibina kabin kayu di celah-celah gunung di Eropah, khususnya Switzerland. Namun ada sahaja rumah penginapan di sini yang mengikut senibina rumah tradisional Jepun iaitu yang digelar ryoukan.
Malam semalam agak nyaman suhunya. Hakuba Sanzan (Tiga Puncak Hakuba, merujuk kepada tiga puncak gunung yang saling berhubung bernama Shirouma, Hakuba-Yarigatake dan Shakushi) yang bersalji boleh dilihat dari tingkap bilikku. Di Hakuba pada waktu begini, suhu tidak terlalu panas sekitar 10 darjah Celsius di waktu malam dan 20 darjah di waktu siang. Bila aku sejuk, aku akan hidupkan pemanas yang menggunakan petrol atau gasolin itu. Agak khuatir dan gusar juga bilamana aku hidupkan, ada api semacam api pada dapur gas menyala di dalamnya. Namun ia sebenarnya operasi normal peranti ini. Ia memanaskan bilik, namun akan ada bau gasolin sedikit yang keluar menyebabkan aku menutup peranti ini selepas bilik cukup panas kerana kurang selesa akan baunya.
Aku keluar dari hotel jam 8:30 pagi selepas sarapan ala kadar. Mulanya aku tersesat, aku cuba keluar dari tingkat paling bawah, yang aku dapati adalah setor. Rupanya tingkat lobi ialah tingkat satu. Ya, aku baru teringat, kerana aku perlu memanjat tangga semalam untuk masuk ke lobi. Rumah ini didirikan tinggi dari aras tanah. Aku letak sahaja kunci bilik di atas meja penyambut tetamu dan keluar dari rumah itu, menuju ke stesen bas Hakuba Happo.
Pagi ini cerah dan nyaman suhunya, angin agak kerap bertiup dan memberikan kelegaan, bukan dingin yang mencengkam seperti musim sejuk di Kazakhstan dulu. Bunga-bunga liar banyak di tepi-tepi jalan. Banyak petak-petak yang terbiar tanpa padi dan dipenuhi bunga liar dan lalang hijau dan kuning. Aku tak pasti sama ada mereka akan menanam padi lagi atau mahu membangunkan rumah di atasnya atau kebun sayur.
Dalam perjalanan, aku dapat melihat jelas Hakuba Sanzan dan berhenti ambil gambar dan video gunung-ganang itu. Kebanyakan rumah-rumah di sini ialah rumah penginapan. Namun disebabkan aku datang pada musim bukan puncak, maka suasana di sini tidaklah terlalu sibuk dan hiruk-pikuk. Banyak rumah direnovasi. Ada hotel besar dan mungkin mahal sedang dinaikkan di tepi jalan. Aku menduga akan lakukah hotel itu? Ini kerana yang datang ke sini kebanyakannya pemain ski atau pendaki gunung. Mereka mungkin tidak akan menghabiskan banyak masa di hotel dan akan cuba menjimatkan wang dari membelanjakan pada hotel-hotel yang mahal.
Dalam perjalanan, aku sedar aku belum meminum kopi dan aku belum lagi membeli dari mesin air Jepun yang sungguh dirindui itu. Aku terserempak dengan satu mesin air di tepi jalan (tiba-tiba sahaja ada mesin kopi di tengah-tengah perumahan percutian di sini) lalu aku pun beli kopi berharga 150 yen.
Pemandangan yang berulang-ulang di sini ialah rumah-rumah kayu yang didirikan jarang-jarang di tepi jalan beserta petak-petak belukar yang aku syak bekas tanah sawah padi. Ada petak yang ditumbuhi lalang dan bunga liar dan ada yang digenangi air. Banjaran berselaput salji sentiasa dalam pandangan dan seolah mengekori. Sekian lama berjalan, aku dapati rumah-rumah di situ kini didirikan rapat dan menyerupai bandar di Eropah, dengan jalannya berasphalt. Stesen bas Hakuba Happo terletak di kawasan ini.
Aku membelek betul-betul Google Maps demi memastikan bahawa ini stesennya. Aku masuk dan pintu terbuka sendiri. Aku nampak kiosk dan menekan butang English. Rupanya di mesin ini tiket ke Tsugaike Kogen boleh dibeli. Aku lihat stafnya masih sedang mencuci-cuci. Maka aku fikir baik aku beli dari kiosk ini. Tiket bas ke Tsugaike Kogen berharga 530 yen.
Merujuk kepada Google Maps, bas ke Tsugaike Kogen akan tiba jam 11:15 pagi. Disebabkan masih jam 9:00 pagi, aku keluar sekejap ke Lawson untuk membeli makanan dan minuman. Aku habis dalam 1,899 yen. Makanan-makanan ini adalah bekalan untuk dua hari lebih kerana aku dapati tiada kedai serbaneka di Tsugaike Kogen. Ada roti, bubur jagung dan cendawan, onigiri, kopi dan telur dadar dan telur rebus. Sejak aku datang ke sini, aku harus menjadi seorang vegetarian. Memang membosankan, namun aku ambil positif sebagai pengorbanan. Tempat ini cantik dan berbaloi dilawati berbanding memikirkan masalah makanan.
Aku duduk-duduk di hadapan stesen bas. Disebabkan kebosanan, aku keluar dahulu sementara tunggu bas sampai pada jam 11:15 pagi. Ketika aku berjalan keluar, jam sudah 10 pagi.
Aku tak tahu ke mana arah harus dituju. Namun yang penting, aku mahu mengambil foto gunung Sanzan itu lagi. Aku redah kawasan batas bendang yang belum ditanam padi namun sudah digenangi air, dan bila aku ternampak tuan rumahnya aku tunduk dan dia membalas. Hari sungguh cerah namun nyaman suhunya. Angin kerap bertiup di waktu begini.
Aku melihat jalan semacam lebuhraya, maka aku susurinya. Jalan raya itu mengikut Google Maps, akan membawa aku ke alur masuk Sarukura, iaitu salah satu dari alur-alur masuk (trailheads) untuk mendaki Hakuba Sanzan. Selain Sarukura, alur masuk lain terletak di Tsugaike Kogen yang akan aku lawati hari ini.
Dalam perjalanan itu aku terserempak dengan banyak perumahan penginapan di kiri dan kanan jalan yang didirikan berserakan dan berjarak antara satu sama lain, dan diselangi dengan hutan pokok-pokok daun tirus. Jalanraya yang semacam lebuhraya ini amat lurus dan menghilang ke kaki Hakuba Sanzan. Aku sempat ambil beberapa foto demi merakam perspektif melenyap ini.
Dalam setengah jam juga aku berjalan. Selepas itu, aku berpatah balik ke stesen Happo. Waktu itu jam sudah 11 pagi. Ada bas yang tiba jam 11:10, namun selepas aku bertanya, aku dapati ia tidak ke Tsugaike. Aku menunggu sehingga 11:15 di mana bas yang betul tiba. Aku tayang tiket yang dibeli di kiosk tadi dan pemandu membenarkan aku masuk. Ia bas berwarna putih dan dikendalikan syarikat Alpico. Perjalanan ke Tsugaike memakan masa setengah jam. Tapi aku tiba 15 minit kemudian kerana tidak ramai yang menaiki bas ini, menyebabkan pemandu bas melangkau banyak hentian.
Aku tiba di stesen Tsugaike Kogen jam 11:30 pagi. Mujur di stesen ini ada pondok kayu berbumbung, maka dapatlah aku berlindung dari matahari yang amat cerah hari ini. Aku pun ke rumah penginapan untuk melihat sama ada aku boleh daftar masuk awal. Namun rumah penginapan masih ditutup. Maka aku pun merayau-rayau. Aku bertemu kedai cenderamata yang ada menjual makanan-makanan juga. Aku nampak banyak ramen cawan dan cip kentang. Aku beli Pringles berharga 178 yen. Antara cenderamata yang dijual di situ ialah gula-gula, dan manisan yang diisi kemas dalam kotak yang berhias cantik di luarnya. Selain makanan sedia dimakan, ada jeruk-jeruk sayur yang biasa kulihat di kedai-kedai cina di Malaysia.
Hari ini agak panas sedikit, dan aku rasa sedikit haus selepas banyak berjalan kaki. Lantas aku pun beli air mineral di sebuah mesin berharga 140 yen. Aku terfikir alangkah mudahnya jika mesin begini ada di mana-mana di Malaysia, mudah untuk aku berjalan-jalan di bawah cuaca panas. Namun mesin begini di Malaysia banyak masalah, kadangkala duit kau akan ditelan, kadangkala mesin ini akan dipecahkan dan duitnya dicuri, kadangkala tiada wang baki disediakan.
Aku ke stesen gondola pula, namun malangnya stesen ini ditutup sehingga Jun, di mana musim pendakian bermula dan ia akan dibuka semula. Selepas penyelidikan di internet, baru kutahu gondola ini yang digelar Eve akan membawa pendaki ke alur masuk pendakian di Tsugaike ini untuk mendaki Hakuba Sanzan. Aku fikir andai stesen ini dibuka hari ini, sudah pasti aku akan menaikinya dan tiba di alur masuk, dan boleh terus mendaki Hakuba Sanzan. Boleh dikatakan gondola ini adalah 'cheat' atau jalan pintas untuk mereka yang ingin mendaki Hakuba Sanzan tanpa perlu menghabiskan tiga jam mendaki sehingga ke stesen atas gondola.
Aku melepak di stesen itu untuk beberapa ketika sambil menikmati angin sejuk yang bertiup, kemudian beralih kepada berteduh di pondok di hentian bas Tsugaike Kogen. Tepat jam 2 petang, aku bergerak ke rumah penginapan yang diberi nama Tsugaike Ski House.
Mulanya aku masih ragu-ragu kerana pintunya masih bertutup. Namun papan tandanya yang bertulis dalam katakana menunjukkan itulah rumahnya. Aku menolak buka pintu gelangsar hadapan mendapati ia tidak berkunci dan mendapati lobinya gelap dan kosong. Ada bangku tersedia di lobi, maka aku pun duduk tanpa segan silu. Apakah aku telah ditipu?
Aku kedengaran suara orang bercakap-cakap di luar. Aku keluar dan mendapati seorang lelaki Jepun dan seorang perempuan tua sedang bercakap-cakap. Perempuan tua itu berhenti sebaik nampak aku keluar. Aku fikir perempuan tua itu pemilik rumah dan aku cakap 'booking', terus dia faham dan kata 'hai' '. Dia membawa aku masuk dan memberikan aku selipar untuk dipakai di dalam rumah. Nampaknya dia mungkin tuan rumah ini.
Dia bertanya dari mana aku datang, dalam bahasa Inggeris. Aku menjawab Malaysia. Katanya padaku aku adalah orang Malaysia pertama yang menginap di rumahnya, dan yang paling rapat dengan negaraku katanya ialah pelawat dari Singapura. Tak sangka aku dia agak fasih berbahasa Inggeris. Aku nampak wanita tua ini seorang yang peramah dan gemar berbual, namun disebabkan jurang bahasa, perbualan kami agak terbatas. Aku cuba menggunakan mana-mana ruang yang ada untuk bertutur dalam bahasa Jepun meskipun aku tahu bahasa Jepunku tidaklah sampai ke tahap yang fasih dan mudah dia fahami. Aku lega sedikit sebab dia faham bahasa Jepunku yang tahap rojak dan tatabahasa tunggang-terbalik itu. Dia bertanya namaku, dan mujurlah aku tahu menulis dalam katakana, maka dia pun bolehlah menyebut namaku dengan hampir tepat selepas membacanya. Dia memberitahu namanya Yoriko.
Aku membayar tunai 11,600 yen untuk dua malam. Rumah penginapan ini satu-satunya yang meminta tunai dalam pengembaraan kali ini, maka aku persiapkan awal-awal tunai agar tidak kelam-kabut. Aku dibawa ke tingkat atas untuk ke bilik. Bila aku pijak tangga kayu, kedengaran bunyi krek krek. Ah, satu lagi rumah kayu, getusku. Pijak lantai atas pun bunyi krek-krek juga kerana diperbuat daripada kayu. Wanita tua yang bernama Yoriko itu membuka bilik dan menerangkan serba-serbi cara menggunakannya, termasuk satu lagi pemanas gasolin yang aku temui sepanjang berada di negara ini. Aku sedar dia tidak memberikan kunci, lantas aku minta satu.
Yoriko juga bertanya bila aku mahu menggunakan bilik mandi. Aku memberitahunya jam 6 petang adalah yang paling sesuai untukku. Dia pun berlalu pergi. Selepas itu aku hanya berbaring dalam bilik kerana keletihan, dan tidak ada banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini. Jam 6 petang aku turun untuk mandi. Yoriko di bawah menyedari aku turun kerana bunyi krek-krek itu, dan dia bertanya sama ada aku ada membawa tuala. Aku kata tiada. Lantas dia menyerahkan dua helai tuala. Bilik mandi Jepun biasanya akan ada tab mandi yang mana engkau boleh berendam dalam air panas selepas mandi air pancur. Namun aku tidak minat berendam, aku hanya mandi dengan air pancur sahaja. Cuaca di luar kian sejuk dan gelap. Air yang keluar dari pancuran seperti air dari peti ais jika pemanas tidak dihidupkan.
Di Tsugaike ini hanyalah himpunan rumah-rumah penginapan dan kedai cenderamata. Tarikan sebenar terletak di pusat ski dan puncak Hakuba Sanzan di atas sana yang hanya boleh diakses dengan gondola atau jika engkau gigih, dengan mendaki laluan landai yang dibina untuk kereta. Namun dengan pusat ski yang sudah tiada saljinya dan sistem gondola yang ditutup, tarikan ini semacam jauh. Aku dapat lihat bandar kecil Tsugaike ini agak suram, agak sunyi bilamana musim pendakian dan musim main ski berlalu seperti sekarang. Kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang di sini kebanyakannya trak-trak kecil warna putih yang menghantar barang-barang untuk renovasi pondok-pondok ski, rumah penginapan dan tempat ski dan barang makanan ke kabin pergunungan. Mungkin jika aku ke sini pada musim yang betul seperti musim main ski (Nov hingga Mac) dan musim pendakian (Jun hingga Oktober), akan lebih ramai dan meriahlah suasana di sini. Namun pada musim itu jugalah, rumah-rumah penginapan akan penuh dan merimaskan. Pada ketika itu, bilik yang aku tempah ini mungkin sudah ditempah penuh, atau jika ada kosong sekalipun, pasti harganya akan meningkat berkali ganda.
12 Mei 2024 (Ahad)
Aku bangun jam 3 pagi. Aku selak langsir, dan mendapati langit di luar sudah biru terang macam subuh. Aku semak waktu solat yang aku muat turun sebelum ke sini, sah, memang dah subuh. Lepas solat subuh, aku tidur semula, dan bangun jam 5:30 pagi.
Jam 5:40 pagi, selepas makan makanan yang aku beli di Hakuba Happo semalam, aku sudah di luar rumah tumpangan ini. Di luar sudah cerah seperti 8 pagi di Malaysia. Hari ini mendung, dan diramalkan hujan petangnya. Aku bercadang untuk jungle trek hingga ke Tsugaike Natural Park yang jaraknya dari hotel sekitar 14km. Menurut perkiraanku, ia akan memakan masa empat jam, dan jika dimasukkan sekali perjalanan pulang, lapan jamlah jadinya. Maka jika aku bersiar-siar di sana selama sejam, keseluruhan akan jadi sembilan jam dan aku akan sampai semula di rumah ini jam 2:40 petang atau tiga petang. Untuk mengurangkan penat akibat perjalanan yang panjang itu, beg aku ringankan dengan mengeluarkan baju-baju tambahan, barang makanan lebihan dan peralatan tidak perlu.
Cuaca pagi ini agak mendung dan sejuk. Aku melalui hentian bas Tsugaike Kogen dan mendaki sebatang jalanraya. Aku melalui hotel-hotel ala Eropah di sepanjang jalanraya yang agak curam ini. Tidak lama selepas itu, rumah-rumah penginapan semakin berkurang dan hanya hutan memenuhi kedua-dua belah bahu jalan. Jalanraya yang aku telusuri masih curam, dan aku rasa seolah-olah sedang mendaki. Aku terus berjalan meredah kabus. Kabus menjadi semakin tebal semakin tinggi aku memanjat jalanraya ini. Aku tiba di satu hujung yang mana ada bangunan kayu dan bukit berumput. Aku nampak logo Burger King pada bangunan kayu itu namun ia ditutup. Ada kabel gondola melaluinya. Ini pastinya salah satu tempat bermain ski.
Jalanraya yang aku lalui kini dipalang dan kereta tidak dibenarkan masuk. Namun aku redah sahaja, kerana hanya kereta yang tidak dibenarkan masuk. Jalanraya ini akan membawa aku memasuki sebuah hutan daun tirus dan ia bengkang-bengkok dan curam. Aku rasa aku tidak pernah bertemu jalan landai lagi sejak stesen bas Tsugaike tadi. Aku rasa aku sedang mendaki, sesuatu yang tidak aku jangka.
Ya, selepas berpuluh minit menelusuri jalanraya yang bengkang-bengkok, curam dan merentas hutan konifer yang curam, aku yakin aku sedang mendaki. Silapnya aku tak periksa dahulu peta kontur sebelum ke sini. Aku sekadar guna Google maps maka seingatku laluannya rata.
Disebabkan aku tak mahu lagi rentas hutan dan jalan bengkang-bengkok itu kerana khuatir binatang buas seperti beruang, aku amati Google Maps semula, dan merancang mengikut laluan pintas, iaitu dengan mengikut tiang-tiang kabel yang dipasang pada cerun sebuah bukit yang agak curam dan hanya ditumbuhi rumput-rumput. Mujur tanahnya lembut dan tidak terlalu curam dan kurang berbatu, maka aku panjat bukit itu dengan selamat. Aku agak kerap berhenti kerana kepenatan. Memanjat bukit curam sebenarnya lebih memenatkan dari menelusuri jalan bengkang-bengkok itu, namun hanya dengan memanjat ini sahaja aku dapat menjimatkan masa dan mengelak dari memasuki hutan. Aku panjat sehingga hujung atas bukit di mana tiang-tiang berkabel berhenti.
Selepas hampir dua jam mendaki sejak dari stesen bas Tsugaike Kogen, aku tiba di sebuah stesen gondola yang dibina daripada kayu-kayu, di tengah-tengah tanah beralun dan berumput. Langit masih putih. Aku pun panjat stesen gondola itu dan berdiri di atas pelantar kayunya. Di dalam sebuah bilik kayu yang kecil aku lihat ada rotor untuk mengoperasi kabel gondola, namun semuanya terbiar kerana sistem gondola sedang ditutup. Ada baju keselamatan, dan alat-alat pertukangan, dan juga buku log. Aku berjalan di atas dek stesen gondola dan mengamati panorama sekeliling. Puncak Hakuba Sanzan yang bersalji dapat dilihat dari sini di hadapanku. Di belah kiriku, gunung-ganang di seberang landasan tren nun jauh di bawah, yang lebat pokok-pokok pada lerengnya, membarisi kaki langit seperti tembok hijau yang panjang. Gunung-gunung yang hijau itu seolah searas dengan tempat aku berdiri. Tempat ini sememangnya tinggi, dan pabila aku amati peta kontur kemudiannya, aku mendapat tahu ia berada sekitar 1,200 meter di atas aras laut. Dari belah kanan aku pula di kejauhan aku dengar bunyi sungai mengalir. Ada laluan berpapan yang mengajur dari jalan bertar yang sepatutnya aku lalui jika tidak mendaki bukit sebagai jalan pintas tadi. Bunyi sungai itu datang dari bawah laluan berpapan itu.
Aku amati Google Maps dan laluan berpapan itu tidak menghala ke destinasi akhir aku, iaitu Tsugaike Natural Park. Maka aku mencuba menyelidik jika laluan bertar itu menghala ke sana, namun hampa. GPS pula tidak berfungsi. Aku pun tak tahu apa puncanya. Maka aku bercadang mengikut sahaja tiang-tiang gondola yang membarisi hingga ke atas sebuah bukit berumput dan berbatu, yang mana laluan ini juga adalah jalan pintas (sambungan dari jalan pintas tadi) dan menuntut aku mendaki.
Aku pun cubalah mendaki. Ia lebih curam dari bukit sebelumnya. Sudahlah curam, tanahnya pula lembut disebabkan ada air mengalir dari atas yang tidak aku tahu dari mana puncanya, barangkali anak sungai glasier. Maka, melekatlah tanah-tanah lembut itu pada kasut dan tapaknya, menjadikan licin dan berbahaya. Lagi pula, ada banyak batu-batu pada lereng ini. Aku mula menyedari aku tidak sepatutnya mendaki, dan mendaki tiada dalam perancangan hari ini. Aku hanya mahu trekking, dan dari jangkaan awalku aku mengandaikan laluanku landai. Aku juga tidak bersedia untuk sebarang pendakian pun, baik dari segi bekalan makanan, perkhemahan mahupun kelengkapan pendakian seperti kasut berduri (spike), crampon, baju kalis air, topi keselamatan dan tongkat pendakian. Semua itu diperlukan untuk tujuan keselamatan.
Aku fikir tidak perlulah mengambil risiko dari aktiviti yang tiada dalam perancangan. Tambahan, insurans tidak akan menanggung risiko yang datang dari aktiviti pendakian. Maka, aku batalkan perancangan dan berpatah balik, kerana aku fikir tidak berbaloi mendaki tanpa persediaan. Cerun di atas curam dan berbatu, sedang aku tak bawa kelengkapan pendakian seperti helmet, crampon, baju kalis hujan... Tentang macam mana boleh terlajak sampai dua jam baru berfikir nak patah balik, itulah dia namanya semangat. Melihat Gunung Shirouma dalam banjaran Hakuba Sanzan yang sungguh cantik membuatkan aku tidak berfikir panjang risiko mendaki di sini. Namun aku tetap berpuas hati kerana aku berjaya merakam pemandangan yang indah di aras 1,200 meter atas paras laut.
Maka aku pun pulanglah ke hotel semula, dalam perjalanan sempat beli air coca cola yang berharga 180 yen dari mesin air, kerana aku fikir aku kurang gula. Aku melepak di stesen bas dulu untuk minum. Jam 9:30 pagi aku dah sampai rumah tumpangan Tsugaike Ski House. Tuan rumah pun pelik tengok aku balik awal.
Selepas tu aku pun duduk rumah itu seharian, kerana tak banyak aktiviti boleh dilakukan di sini. Tambahan aku keletihan dek berjalan berjam-jam tadi. Petang, hujan turun tanpa henti seperti ramalan cuaca, lagilah buat aku malas nak keluar.
Bila aku check internet, baru aku perasan Shirouma boleh didaki terus (bukan sekadar dilihat sahaja, iaitu apa yang aku rancang mahu buat) dari Tsugaike Natural Park. Aku memang ada nampak sejak semalam juga yang gondola dan ropeway ditutup sehingga Jun, yang mana dengan menaiki dua kenderaan ini, kau macam guna 'cheat code', tak payah penat-penat mendaki dari bawah. Kau naik sahaja dua kenderaan ni ke Tsugaike Natural Park dan daki dari sana. Tapi itulah, kemudahan ini ditutup. Andai dibuka, sudah pasti aku dah sampai di natural park tu dan dapat ambil foto Shirouma dengan lebih dekat. Tapi aku masih takkan dapat mendaki dengan persediaan yang kurang mencukupi.
13 Mei 2024 (Isnin)
Hari hujan sejak pagi tadi. Aku bangun jam 3 pagi untuk solat subuh, kemudian tidur kembali. Jam 5 pagi, matahari sudah meninggi, aku selak langsir dan dapati hari hujan. Aku sarapan ala kadar, iaitu telur rebus dan onigiri yang aku beli di Hakuba Happo tempoh hari, dan minum air kopi dalam tin. Aku menunggu di balik gebar dengan harapan hujan akan berhenti.
Jam 8:30 pagi aku mahu check-out, namun hujan masih belum berhenti. Yoriko-san keluar sebaik mendengar bunyi derapan kaki aku pada lantai kayu. Aku cakap aku mahu check-out. Dia faham dan aku pun serahkan kunci. Dia menduga sekiranya aku ok keluar dalam hujan begini. Aku pun tanya kalau-kalau dia ada payung yang boleh aku beli.
Dia kata tunggu sebentar, dan mengeluarkan payung lipat. Katanya hadiah, tak perlu bayar. Aku rasa agak segan dan bertanya berapa harganya. Dia kata dalam 1,000 hingga 2,000 yen. Aku terus tak jadi nak bayar, hehe. Mahal juga fikirku, sedang payung biasanya dalam 600 ke 700 yen di 7-eleven. Aku pun sarung kasut dan ucapkan selamat tinggal kepada Yoriko-san, dan meneruskan perjalanan dalam hujan yang tidaklah terlalu lebat namun agak merimaskan.
Perjalanan ke Stesen Hakubaoike menuntut aku meredah jalanraya bertar yang agak kecil saiznya, dan jika ada kereta lalu, aku agak bimbang lalu gesit ansur ke bahu jalan. Sebahagian besar perjalanan ini ialah menuruni cerun, Pemandangan di kiri dan kanan jalan ialah lereng-lereng yang ditumbuhi hutan pokok konifer yang lurus-lurus menegak tumbuhnya. Di kiri jalan ialah longkang yang sungguh jernih airnya, yang aku fikir air dari sungai glasier yang diatur dengan sengaja oleh longkang agar menuruni ke sungai di bawah tanpa mengganggu pembangunan. Kejernihan air longkang itu hingga aku mampu melihat dasarnya yang dilapik semacam batu-batu kerikil. Rumah-rumah didirikan berselang-selang, sekejap hutan sekejap rumah aku temui. Aku redah hujan selama 40 minit hingga sampai di Hakubaoike. Selepas selama itu aku asyik menuruni cerun, barulah bertemu kawasan yang landai. Aku harus menyeberangi sebatang sungai yang agak besar untuk ke stesen tersebut. Hujan masih turun sebagai gerimis.
Tekak terasa haus pula, mujur ada mesin jual air di stesen tersebut. Aku pun beli air tin Mountain Dew dari mesin tersebut yang berharga 140 yen. Kafein pagi tadi sudah habis, aku memerlukan kafein tambahan dari Mountain Dew. Tapi Mountain Dew di sini rasa agak lain sedikit, gasnya lebih banyak aku rasa, dan airnya rasa manis macam jus anggur, sedangkan Mountain Dew di Malaysia lebih kepada rasa sitrus. Bila aku baca ramuan yang ditulis pada tin, ia ada tulis budou, yang bermaksud anggur.
Aku mulanya keliru akan bagaimana aku boleh memasuki stesen, kerana bangunan ini tidak langsung nampak seperti stesen, luarannya nampak seperti sebuah balai raya dengan binaannya daripada papan dan kayu. Hanya papan tanda di luar sahaja dengan logo JR menunjukkan bahawa ia benar sebuah stesen tren. Aku pun redah satu pintu yang aku fikir dibenarkan dimasuki, dan mendapati di dalamnya ada bangku menunggu. Di dalamnya, aku tolak satu pintu gelangsar dan mendapati platform dengan papan tanda dan rel. Benarlah ini stesennya. Di sini tiada penjaga stesen. Sebuah tren menghala ke Matsumoto akan berhenti, dan engkau harus naik pada pintu yang bertanda pada lantai platform yang menunjukkan engkau harus masuk pada pintu itu. Tiket akan dibeli dari pemandu tren langsung.
Aku kembali masuk ke ruang menunggu dan membaca papan kenyataan. Pada papan kenyataan ditunjukkan peta laluan tren, iaitu laluan Oito, dari Itoigawa menghala ke Matsumoto. Dari peta tersebut, aku dapati aku perlu membayar 240 yen dari stesen Hakubaoike ini ke stesen Kamishiro. Mengikut jadual pada papan kenyataan itu juga, tren akan sampai jam 10:13 pagi.
Di luar masih hujan renyai-renyai. Kasutku yang bocor telah menyebabkan air hujan meresap masuk dan membasahkan stokin, lantas aku tanggal dan perah stokin itu. Mujur tiada sesiapa dalam ruang menunggu ini, namun aku tidaklah terlalu bersalah membasahkan lantai ruang ini kerana angin kering akan mengeringkannya juga. Agak bagus aku fikir Jepun membina ruang menunggu yang tertutup ini, kerana dapat aku berlindung dari tempias hujan dan juga anginnya yang kadang-kadang agak kuat. Stesen ini keseluruhannya nampak agak usang seperti stesen tren era 80-an yang dibina daripada kayu. Landasan keretapinya dan platformnya hanya satu. Di seberang platform adalah lereng bukit yang ditumbuhi hutan daun luruh yang menghijau.
Tren tiba tepat jam 10:13 pagi. Aku berdiri pada lantai platform yang bertanda maksudnya 'penumpang perlu naik dari sini', dan bila tren sampai, aku masuk ke pintu tren yang berhenti di hadapanku, dan di dalamnya akan ada satu mesin yang mengeluarkan sekeping kertas putih kecil bertuliskan nama stesen tempat aku naik tren itu. Aku perlu mengambilnya, dan bila aku keluar dari tren nanti di pintu hadapan belakang pemandu, aku harus membayar dengan memasukkan duit ke dalam satu slot beserta kertas putih ini.
Dalam 16 minit kemudian aku sampai di stesen Kamishiro. Aku pun masukkan kertas putih kecil tadi beserta wang syiling 240 yen ke dalam satu kotak lutsinar berslot di belakang pemandu di gerabak paling hadapan. Selepas pemeriksa tiket yang berdiri di sebelah pemandu memeriksa jumlah yang aku bayar beserta kertas putih itu, barulah aku dibenarkan keluar.
Di stesen Kamishiro, aku hanya perlu lalu sahaja pagar tiket kerana aku sudah membayar tiket dalam tren tadi. Rasa rimas di kaki kerana stokinku masih belum kering. Di luar hujan masih renyai-renyai turun. Aku redah sahaja hujan itu, dan bercadang untuk ke 7-Eleven untuk membeli makanan. Aku bayar 3,144 yen menggunakan Touch 'n Go e-wallet sahaja.
Hari masih hujan. Aku lupa membeli payung. Namun hujannya sedikit berkurang. Aku pun berjalan-jalan tanpa hala tuju. Di sebelah kiri jalan raya ini ialah kawasan bendang. Di sebelah satu lagi jalan ini ialah bukit-bukau dengan pokok-pokok menghijau. Nun jauh di belakang bukit-bukau ini ialah gunung-ganang, termasuk Gunung Karamatsu, Gunung Goryu dan Hakuba Sanzan yang kini lebih jauh berbanding semasa aku di Hakuba dan Tsugaike dua tiga hari lepas.
Aku sampai di satu bangunan di atas bukit. Aku hanya mahu tumpang berteduh sebentar di sini sambil makan dan minum. Ruang aku berhenti itu semacam garaj, dengan di belakangku semacam gimnasium. Di tepiku padang bola sepak. Apakah ini sekolah? Aku periksa Google Maps dan benarlah ia sekolah. Nampaknya aku telah menceroboh sekolah. Seorang lelaki tiba-tiba keluar dari gimnasium dan memandang aku kehairanan. Aku memberitahunya 'ame' (hujan), disebabkan itu aku tak boleh keluar dan mahu tumpang berteduh. Dia menganggukkan kepala. Aku beredar tidak lama kemudian meredah hujan, terus ke penginapan pada hari ini.
Pemandangan di Kamishiro berhutan sikit di bahagian yang berbukit-bukau, iaitu sekarang di kiri jalan yang aku lalui. Jalan di sini lurus dan agak banyak kereta, tak macam di Hakuba, dan bunyi lori dan kereta yang bersilih ganti agak mengganggu ketenangan. Kawasan lapang yang kini di sebelah kanan jalan yang aku lalui banyak baruh padi dan dipenuhi bunga liar. Tak ada padi pun lagi. Seberang barat bandar ada gunung dan bukit2 hijau dengan pokok pine. Kamishiro bandar kecil. Tak ada banyak tempat menarik untuk dilawati selain pemandangannya yang cantik.
Aku jalan sehingga melepasi 7-eleven yang aku singgahi sebentar tadi. Aku teruskan perjalanan sehingga tiba di hotel yang diberi nama Goryu Drive Station. Seingatku sewaktu aku membuat tempahan, ia bukanlah hotel sebaliknya sebuah asrama atau dormitori, yang mana aku hanya akan diberi sebuah katil.
Hari masih hujan, jadi aku pun menunggu di luar, di kaki lima bangunan dormitori itu yang berbumbung. Namun hujan tiba-tiba jadi makin lebat pula sehingga tempiasnya merimaskan, maka aku pun cuba-cuba menyelidik kalau-kalau aku boleh melepak di lobinya seperti kebanyakan hotel lain. Aku dapati pintu tidak berkunci, lalu aku masuk dan bertemu ruang airlock, di mana ada mesin jual air sebuah diletakkan di situ. Aku buka satu lagi pintu yang tidak berkunci, lalu terus ke sebuah sofa. Ruang lobinya agak luas, lengkap dengan meja-meja makan dan kerusi seakan ruang restoran, juga ada rak buku dan televisyen dan tandas. Aku memilih untuk duduk di sofa di bahagian belakang. Jam sudah 11:40 pagi namun langit masih mendung dan hujan masih turun. Lobi ini sengaja dibiarkan gelap kerana pelayan tetamu hanya akan masuk jam 4 petang nanti.
Nampaknya tidak banyak aktiviti boleh dilakukan pada hari ini dek hujan sejak pagi. Lagipun gondola dan kereta gantung ke Gunung Goryu juga ditutup, sama seperti di Tsugaike. Aku rasa aku datang pada musim yang salah. Namun aku juga merasakan yang aku datang pada musim yang tepat yang paling sesuai dengan diri aku, peribadi aku yang sukakan kesenyapan dan kawasan yang kurang orang ramai. Sungguh tenang di sini, tiada sesiapapun selain aku seorang di lobi. Bayangkan jika sekarang musim main ski atau mendaki, pastinya lobi ini dipenuhi orang ramai terutama orang Eropah yang berbadan besar-besar dan kalau berjalan boleh hampir melanggar semua objek termasuk apa sahaja yang bergantungan pada siling, kerana tingginya mereka. Aku sangat rimas dengan orang ramai. Dan jika aku bermalam di penginapan seperti ini yang berkatil-katil, mereka agak bising. Tiada privasi. Namun apakan daya, hanya ini sahaja penginapan termurah di sini, dan aku tidak mahu lagi menginap di rumah orang. Harganya pun hampir RM200 satu malam, di mana dengan harga begitu, engkau boleh mendapat sebuah bilik hotel tiga bintang di tengah-tengah Kuala Lumpur beserta sarapan pagi. Namun penginapan di Hakuba dan kawasan sekitarnya sememangnya mahal, kerana kawasan ini kawasan tumpuan pelancong terutama dari luar negara.
Dalam aku melayari apa yang ada pada telefon bimbit sambil bersandar pada sofa dengan kaki tak berstokin dan stokin pula sudah dibilas dan diperah dan dibiarkan mengering, dengan dingin lobi semakin mencengkam, aku dikejutkan dengan kehadiran seorang wanita Jepun pertengahan umur yang masuk dari pintu belakang. Dia terkejut, aku lagi terkejut. Aku beritahu padanya aku menunggu check-in. Dia kata dalam jam empat baru dibuka. Aku pun minta kebenaran kalau aku boleh menunggu di situ dahulu. Dia hanya berkata ok dan maju ke dapur yang terletak di belakang meja penyambut tetamu.
Tidak lama kemudian, dia datang kepadaku dan bertanya sama ada aku adalah penama dalam rekodnya, dan aku sahkan. Dia bertanya aku dari negara apa, aku jawab Malaysia. Dia pun mencadangkan lokasi katilku pada pelan katil yang ditayangkan. Kemudian dia membawa aku ke tangga, dan meminta aku menanggalkan kasut dan meletakkan atas para, dan memakai selipar putih yang diberikan. Aku pun mengikutnya naik tangga ke tingkat atas. Di atas ada banyak katil dua tingkat, dan aku ditempatkan di salah satu katil yang berada di tepi tingkat mengadap jalan raya yang bising itu. Selepas menerangkan serba-serbi peraturan di situ, termasuk dari mana aku boleh mendapatkan air panas, menggunakan ketuhar gelombang mikro, dan bahawa aku tidak boleh makan di katil selain di meja makan di lobi dan bahawa satu-satunya tandas di situ ialah tandas di lobi, dia bertanya mengapa aku datang ke Jepun. Aku menjawab dalam bahasa Jepun yang terabur tatabahasanya (dek kurangnya menggunakan bahasa ini di negara sendiri, maka aku agak kekok), bahawa aku datang untuk melihat gunung-ganang. Aku memberitahu juga dalam bahasa Jepun yang aku tinggal dan bekerja di Malaysia. Wanita ini tidak terlalu mahir berbahasa Inggeris, maka aku gunakan sebaiknya peluang yang ada untuk bertutur dalam bahasa Jepun, Mujur dia faham, dan aku rasa sedikit bangga dapat memahamkannya. Dia beredar dan aku pun terus berbaring sementara menunggu esok. Mood aku untuk berjalan-jalan hari ini telah dileburkan oleh cuaca yang kurang baik.
14 Mei 2024 (Selasa)
Aku keluar awal jam 6:30 pagi dan memikirkan aku mungkin akan mendaki hari ini (meskipun pelan asal ialah sekadar trekking sahaja) jadi aku beli air mineral di mesin depan hotel harga 150 yen siap-siap demi hidrasi. Cuaca hari ini cerah sekali. Matahari sudah lama terbit iaitu sekitar jam 4 pagi. Aku makan sarapan dalam jam 4:30 pagi selepas subuh jam 3:30 pagi, dan tidur kembali sebelum bangun jam 6 pagi. Dingin pagi ini masih agak membekukan.
Aku berjalan kaki kononnya utk ke stesen kereta kabel. Aku bercadang mahu naik kereta kabel, itupun jika ia dibuka. Maka aku pun lalu sebatang jalan sehingga mendaki bukit, dan bertemulah aku dengan satu pusat ski di puncak bukit itu yang kini ditutup kerana salji sudah lama mencair. Di kanan jalan ialah rumah-rumah penginapan yang dimiliki orang perseorangan, jarang aku nampak hotel di sini, sama seperti di Hakuba. Bila aku turun bukit, kiri dan kanan jalan dipenuhi hutan-hutan pokok daun tirus. Aku bertemu jalan rata dan membelok ke kanan, mengikut arah Google Maps. Di situ aku bertemu petak-petak bendang yang maha luas, di hujung di kejauhan aku nampak gunung-ganang termasuk Hakuba Sanzan dan Gunung Karamatsu, Gunung Goryu dan lain-lain. Aku mengambil kesempatan bergambar berlatarbelakangkan gunung-ganang itu dan petak-petak bendang.
Kabus dan awan masih menyelubung sebahagian gunung. Aku tunggu sebentar sehingga kabus dan awan berlalu, dan hari makin cerah. Aku berjalan sedikit ke tengah-tengah jalan bendang dan mengambil video panorama menggunakan handycam, dengan berpusingan merakam sekeliling termasuk gunung-ganang yang macam tembok gergasi itu. Habis bergambar, aku teruskan berjalan kaki. Aku dapati di tepi salah satu jalan bendang yang sempit itu, ada rumah kayu lama yang sebenarnya kuil Shinto. Macam rumah kampung di ceruk di Kuala Krau Pahang pun ada. Kayunya gelap dan halamannya ditanam pokok-pokok yang menggelapkan lamannya. Jalan di bendang ini agak sempit sehingga pabila ada trak putih mereka yang kecil itu mahu melaluinya, aku terpaksa ke tepi sedikit demi memberi laluan.
Habis jalan bendang, aku lalui jalan raya yang lurus dan besar dan penuh dengan kereta, sehingga bertemu sebuah jambatan yang merentangi sebatang sungai yang jernih dan lebar dan berbatu-batu, airnya tidak dalam namun deras dan jernih. Bila aku periksa Google Maps, aku dapati itulah Jambatan Olimpik Hakuba. Dari jauh, iaitu arah dari mana sungai itu mengalir iaitu dari sebelah kiri jambatan, berdirinya gunung Karamatsu dengan puncaknya hanya sedikit sahaja bersalji, di kejauhan. Aku ambil gambar, takjub dengan kecantikan panorama pada hari yang cerah itu. Selepas itu aku teruskan perjalanan ke hadapan kerana ada 7-Eleven, aku mahu beli sarapan di sana.
Di 7-Eleven aku membeli makanan berupa ikan makerel panggang, nasi, kopi dan mochi kacang merah, semuanya berharga 1,195 yen dan dibayar menggunakan Touch 'n Go E-wallet. Selepas membeli, aku berpatah balik ke Jambatan Olimpik itu dan bercadang makan di tepi sungai. Aku mencari jalan turun ke tepi sungai, dan bertemu satu lereng yang ditarah agar membentuk tangga, dan mendarat pada batu-batu sungai. Aku bertemu satu tempat di bawah jambatan yang batu-batunya agak kering dan makan di situ, sambil menatap Gunung Karamatsu yang megah berdiri. Nasi putih dalam bekas plastik digabungkan dengan ikan makerel panggang sungguh menyelerakan, bertemankan air kopi panas. Mochi aku makan paling akhir sebagai pencuci mulut. Aku agak gemar dengan rasa mochi inti kacang merah ini yang liat macam kuih koci seperti di tanah air. Selepas itu aku ambil gambar Gunung Karamatsu dan sungai yang dipanggil Sungai Hira itu puas-puas, sebelum naik semula ke atas untuk meneruskan perjalanan ke stesen kereta kabel.
Betul-betul di atas Jambatan Olimpik itu ialah jalan raya yang penuh kereta yang aku lalui tadi. Aku lintas jalan itu untuk ke seberang, dan melalui sebatang jalan sempit yang membarisi sepanjang tebing Sungai Hira. Menurut Google Maps, inilah jalan ke stesen kereta kabel. Aku pun ikut berjalan membabi buta, sambil menikmati pemandangan kiri dan kanan jalan. Di belah kiri jalan ialah Sungai Hira yang masih dapat didengari hingar dari alirannya melanggar batu-batu, beserta hutan belukar kecil di tebingnya. Di belah kanan aku pula ialah hutan-hutan dan rumah-rumah penginapan yang berselang-selang. Ada juga tempat latihan ski yang sudah ditutup kerana saljinya sudah lama kering. Ada rumah penginapan di sini yang dibina mengikut seni bina moden, ada yang mengikut seni bina ryoukan, dan ada yang mengikut seni bina rumah-rumah kabin pergunungan seperti di Eropah.
Selepas penat berjalan, dalam jam 10 lebih, aku bercadang berhenti di tebing Sungai Hira yang ada tanah lapang berumput. Ada penanda dengan batu-batu besar menandakan kawasan itu boleh dimasuki untuk tujuan berkelah atau lain-lain. Aku pun masuk dan duduk di atas sebuah batu besar, ditemani cahaya matahari yang sungguh menyilaukan namun tidak panas. Angin bertiup menghantar kesejukan yang persis ais, maka aku tidak terlalu berpeluh. Aku merenung sungai di bawah yang jernih dan hingar yang menenangkan. Aku lihat tempat ini sungguh bersih, tiada sampah-sampah kecil kelihatan, seperti puntung rokok, pembungkus makanan dan lain-lain sepertimana yang biasa dilihat di kawasan perkelahan di Malaysia. Sungguh bersih, dan aku bercadang mahu bersolat di sini ketika Zuhur masuk nanti.
Aku teruskan berjalan ke stesen kereta kabel pada jam 10 lebih pagi. Aku bertemu kawasan empangan Sungai Hira yang diberi nama Gentaro, lantas aku panjat temboknya. Mujur tiada orang di situ, kecuali ada satu rombongan berhelikopter ke hulu ke hilir menghantar barang ke kabin gunung dan membuat bising dengan kipas helikopter mereka. Di atas tembok itu, aku dapat melihat sungai Hira mengalir di bawah dengan derasnya, dan stesen kereta kabel Hakuba 47 di seberang sungai. Aku nampak kereta kabel bergerak, namun bila aku periksa Google Maps, ia ditutup. Aneh. Mungkin pasukan penyelenggaraan yang menggunakannya. Namun aku hairan juga, kerana aku dapati ada mereka yang menggunakan payung terjun. Bagaimana mereka naik ke atas? Adakah mereka mendapat kebenaran khas menggunakan kereta kabel? Aku tak pasti.
Dari tembok itu juga, aku dapat melihat gunung-ganang yang hijau dan berpokok nun jauh di hilir Sungai Hira, bersetentang berdirinya mereka dengan Gunung Karamatsu di hulu sungai itu. Aku malas benar mengambil video panorama. Andai aku ambil, ia adalah antara pemandangan paling cantik setakat ini di Hakuba.
Aku patah balik ke jalan kecil tadi, dan meneruskan perjalanan. Aku mulai perasan yang aku semakin banyak mendaki, dan Sungai Hira semakin rendah dari sisi jalan. Bila aku periksa Google Maps, baru aku perasan yang jalan yang dicadangkan Google Maps semakin lama semakin jauh dari stesen kereta kabel, dan aku tak nampak pun sebarang stesen kereta kabel lagi selain dari stesen Hakuba 47 itu yang berada di seberang Sungai Hira. Aku fikir stesen itulah yang dimaksudkan. Maka aku teruskan berjalan demi mencari jambatan di hadapan, kerana aku fikir berdasarkan Google maps, ada daratan yang mungkin bahagian cetek sungai tersebut yang boleh diranduk. Namun malangnya, semakin aku berjalan mencarinya, semakin jauh aku ke dalam hutan dan semakin jauh aku mendaki. Ada sekali sekala trak putih lalu jalan itu, aku tak pasti apa tujuan mereka. Kadangkala ada laluan yang diredah air sungai yang turun dari atas lereng di belah kanan jalan, dan membentuk sungai kecil di tengah jalan. Aku pijak batu-batu yang kering untuk meredahinya. Ada dua tiga juga kawasan begitu, yang mana ada yang dalam, memaksa aku membuka kasut dan meredahnya, dan duduk di atas salah satu batu besar di seberangnya sementara menanti kaki kering dan memakai kasut kembali. Mujur udara di sini sejuk dan kering dan matahari tidak terlalu terik berbanding Malaysia, maka cepat benar kakiku kering.
Aku menukar pelan, dari mencari jambatan menyeberangi Sungai Hira dan ke stesen kereta kabel, kepada menuju ke hulu sungai itu sehingga ke kaki gunung Karamatsu. Ini kerana aku fikir stesen Hakuba 47 itulah stesennya, namun aku mungkin tidak akan bertemu sebarang jambatan pun lagi. Pelan ke kaki gunung Karamatsu ini tidak dirancang pun, sekadar suka-suka dan demi mencari pemandangan menarik. Aku tekad azam ke sana, dan berhati-hati takut juga kalau-kalau ada beruang di sini, kerana Hakuba sememangnya ada penampakan beruang namun ia agak jarang berbanding di Hida, di belah Kamikochi dan Gifu sana.
Aku akhirnya sampai di hujung Sungai Hira yang paling dekat dengan kaki Gunung Karamatsu jam 10:40 pagi. Jalan yang aku lalui mati di sini. Jika aku nak teruskan perjalanan lagi, aku harus susuri tebing sungai Hira di atas bukit di hadapan dan redah hutan tanpa laluan sesuai, di mana aku fikir tidak perlulah aku lakukannya. Di sini di hujung jalan mati itu juga aku dapati ada bar-bar besi. Aku tidak bertemu hulu Sungai Hira. Sungai Hira yang aku nampak mengalir menuruni satu dinding konkrit semacam empangan di hadapanku, dan ia barangkali berhulu jauh lagi di hadapan dinding konkrit itu, sehujungnya sehingga bertemu kaki Gunung Karamatsu yang sebenarnya. Lagipun, dalam Google Maps ada menyatakan itulah Empangan Gentaro, namun aku tak pasti. Disebabkan pernyataan Google Maps yang menunjukkan itu Empangan Gentaro dan rupanya pun macam empangan (ada dinding) maka aku tak rasa itu hulu Sungai Hira.
Aku juga ada rasa aneh sepanjang perjalanan ke sini, iaitu mengapa ada trak-trak melaluinya dan mengapa jalannya bertar meskipun jauh ke ceruk dalam gunung. Aku fikir jalan bertar itu dibina demi memudahkan pengangkutan bahan-bahan untuk pembinaan empangan ini. Ini aku hubungkait dengan besi-besi yang terbiar di hujung jalan mati ini. Ada kanvas biru membalut sebahagiannya. Besi-besi itu aku fikir lebihan dari pembinaan empangan, sebab ia sudah berkarat dan usang, mungkin telah lama ditinggalkan di situ.
Aku ambil foto dengan telefon bimbit dan memuatnaik ke Google Maps. Talian selular yang lembab tadi kian memulih. Agak tersekat-sekat juga memuatnaik kerana talian tidak pulih sepenuhnya. Foto yang aku ambil merakam gambar Empangan Gentaro itu berlatarbelakang Gunung Karamatsu.
Aku mula jalan balik pada 11:00 pagi dari jalan mati itu, dan kini Sungai Hira berada di kananku. Aku temui kembali kawasan yang semacam terowong dan agak sejuk di dalamnya. Ia bukanlah terowong berdinding, cuma ada bumbung besi dan tiang-tiang besi. Aku merasakan seolah ini kawasan bekas landasan keretapi. Entahlah. Mungkin kerana terowong ini mirip terowong di landasan keretapi di lereng di Switzerland.
Aku temui kembali rumah-rumah dan hutan yang jarang-jarang. Aku temui kembali stesen kereta kabel Hakuba 47. Selepas aku sahkan betul-betul, itulah stesennya. Namun ia ditutup. Aku periksa laman selain Google Maps, juga menyatakan ia ditutup sehingga Jun. Maka tidak jadilah aku ke sana walau dengan menyeberang Sungai Hira sekalipun.
Jam 12:00 tengahari, aku tiba di tebing Sungai Hira iaitu tempat di mana aku ada berehat beberapa jam lepas. Aku bercadang makan tengahari di situ. Aku duduk di atas batu besar dan melihat Sungai Hira mengalir deras di bawah. Aku makan sandwich telur dan tuna, dan roti yang masih berbaki bersama telur dadar. Aku teguk kopi. Selepas itu aku ambil air sembahyang di Sungai Hira. Agak sejuk juga, kerana ia sungai glasier. Jernih sungguh airnya. Aku panjat lereng berbatu dan naik ke tebing, dan mencari arah kiblat dengan kompas pada telefon. Arah kiblat benar-benar menghadap Gunung Karamatsu. Aku pun solat Zuhur dan Asar jamak taqdim di bawah cerah mentari menghadap gunung Karamatsu dan bertemankan hingar Sungai Hira di atas hamparan rumput yang bersih tiada sampah. Angin sejuk bertiup sekali-sekala mengeringkan air wudhuk.
Selepas solat aku hanya duduk berehat sehingga jam 12:30 tengahari. Tiada sesiapapun di sini, maka aku tidak perlu segan-segan termenung menghadap sungai dan gunung. Hakuba 47 di seberang sungai betul-betul dekat denganku sekarang. Namun melihatkan ia ditutup, aku fikir adalah tidak sesuai untuk ke sana. Bila aku periksa Google Maps, aku dapati dengan menyeberang Sungai Hira ini, aku akan dapat melalui jalan pintas ke hotelku.
Aku turun kembali ke bawah tebing untuk mencari kawasan paling cetek. Tak ada. Batu-batu banyak yang berjauhan dan aku perlu mencelup kaki juga. Boleh jadi ia dalam paras lutut meski dari permukaan tampak cetek. Aku beranikan diri, tanggal kasut dan menjinjingnya, stokin disimpan dalam beg, dan dengan menggalas beg, aku celup kaki dalam sungai yang sejuk itu. Aku berjalan perlahan-lahan, kalau ada batu, aku naik. kalau tak ada, aku celup kaki dalam sungai, sambil menahan arus sungai dari menjatuhkanku. Meredah sungai ini memerlukan engkau berhati-hati dan tidak gopoh. tenang dan redah sedikit-sedikit, dengan izin Tuhan, engkau mampu sampai ke tebing seberang. Selepas agak cuak dan kekok mencelup kaki dan menahan arus dan sejuk air, aku tiba di seberang dengan seluar jeans yang disingsing ke bawah lutut basah jua. Aku duduk di atas batu di seberang itu, sambil menunggu kaki dan seluar kering.
Waktu duduk-duduk itu, aku mula nampak ada sepasang lelaki dan wanita sedang bersiar-siar di tebing yang aku tinggalkan. Kemudian di tebing sebelah sini, ada satu kereta kompak warna putih tiba, Seorang lelaki Jepun dan pasangan wanitanya yang berkulit agak gelap (aku fikir Jepun juga melihatkan wajahnya) keluar dari kereta. Mereka turun ke tebing dan menanggalkan pakaian luar, hanya berpakaian renang dan mencelupkan diri masing-masing ke dalam sungai yang sejuk itu. Gila, fikirku. Mandi sungai sejuk dalam cuaca yang tidak terlalu panas ini sungguh menyeksa diri. Lainlah kalau di Malaysia yang panas terik, adalah lebih sesuai begitu fikirku.
Aku memakai kembali stokin dan kasut dan masuk ke jalan raya di tepi. Aku redah jalan raya yang berhutan pokok tirus kiri dan kanan, dan meredah kawasan bendang yang maha luas. Kemudian aku tiba di tempat di mana aku lalui pagi tadi. Aku mendaki bukit dan sampai di stesen kereta kabel dan pusat ski yang aku lalui pagi tadi, dan turun bukit dan bertemu rumah-rumah penginapan. Lambat betul aku rasa haus di sini, tidak seperti di Malaysia. Maka aku berhenti di satu mesin air dan membeli coke di mesin tersebut dengan 150 yen.
Aku sampai di hotel jam 2:15 petang. Aku terus ke katil untuk berehat. Sambil berbaring aku menatap kembali gambar-gambar yang aku ambil tadi. Sungguh berpuas hati dengan trekking hari ini. Jika diikutkan, aku telah berjalan sejauh 18 km pergi dan balik.
15 Mei 2024 (Rabu)
Aku bangun seawal jam 3 pagi untuk solat Subuh. Selepas subuh aku sakit perut tiba-tiba, lantas ke tandas di lobi. Mujur tiada orang menggunakannya. Setahuku ada dua lagi penginap pada malam ini, namun mereka mungkin masih nyenyak tidur. Selepas selesai membuang air, aku makan sarapan jam 3 pagi lebih, dan kembali tidur jam 4 pagi. Aku sudah biasa bangun awal sekitar jam 3 pagi, maka tiada masalah untuk meneruskan rutin itu. Memang rutin begini aneh, namun aku suka melakukannya kerana aku fikir aku akan lebih bersedia untuk ke tempat kerja dan tidak akan terlepas solat subuh.
Jam enam pagi, hari sudah terang-benderang. Aku kemas barang-barang, dan membetulkan cadar, bantal dan katil. Aku simpan kembali selipar putih yang diberikan dan memakai kasutku. Tiada sesiapa di kaunter, dan aku boleh terus keluar kerana tidak perlu memberikan apa-apa kunci. Aku keluar jam enam pagi lebih, hari cerah dan agak sejuk.
Dari hostel itu aku berjalan kaki ke stesen Kamishiro yang tidak terlalu jauh. Aku perasan aku kekurangan duit syiling, maka aku beli kopi botol di sebuah mesin di luar stesen itu pada harga 180 yen untuk pecahkan duit. Di Jepun, amat mudah memecahkan wang kertas kepada duit syiling. Boleh menukar di mesin tiket, mesin jual air bahkan juga ketika berada di dalam bas.
Di stesen ini, cara menaiki tren sama seperti ketika di stesen Hakubaoike tempoh hari. Engkau perlu naik pada bahagian platform yang bertanda 'naik', kerana gerabak khas akan tiba di situ. Pembayaran akan dilakukan di gerabak paling hadapan pabila engkau keluar nanti. Atau secara alternatif, pembayaran boleh juga dilakukan di kaunter di stesen, sekirannya stesen itu ada penjaga. Ini kerana ada stesen-stesen keretapi di kawasan terpencil yang tiada penjaga, menyebabkan engkau perlu membayar tiket di dalam tren tersebut sebelum keluar.
Tren tiba jam 6:13 pagi. Aku cabut kertas putih penanda stesen yang dijelirkan sebuah mesin di tepi pintu ketika aku masuk. Kertas ini akan aku tunjukkan pada konduktor tren atau penjaga kaunter pabila aku mahu membayar tiket nanti. Hari ini aku akan ke Matsumoto dan akan bermalam di Toyoshina, di sebuah hotel bisnes.
Perjalanan dari Kamishiro ke Matsumoto memakan masa sejam lebih. Matsumoto ini antara bandar yang sangat ingin aku lawati. Ada sejarah gelap yang tersimpan di sini. Di sinilah, pada tahun 1990-an (aku tak ingat tahun bila yang tepatnya) berlaku satu insiden pelepasan gas sarin yang beracun, oleh pengikut ajaran sesat Shoko Asahara. Namun malangnya aku tak sempat pula pergi ke tempat kejadian insiden itu, kerana sibuk merayau ke tempat lain. Antara yang menarik di bandar ini ialah Kubu Matsumoto yang merupakan pusat pentadbiran samurai yang memerintah pada zaman Tokugawa dahulu. Selain itu, bandar ini terletak agak tinggi dari paras laut iaitu pada ketinggian 700 meter, maka iklimnya masih sederhana. Matsumoto ini juga bandar pintu masuk ke tempat-tempat peranginan dan kawasan pendakian di dalam gunung seperti Kamikochi, dan juga Hakuba yang telah aku lawati dalam masa beberapa hari lepas.
Aku sampai di stesen Matsumoto jam 7 lebih pagi. Aku mula bingung macam mana mahu bayar tiket, kerana sesampai sahaja di stesen, konduktor di dalam tren meminta aku ke kaunter sambil membawa kertas putih itu.
Bila sampai di kaunter, ada papan tanda bertulis 'Tidak boleh membayar tiket dengan kertas putih di sini'. Aku bingung. habis di mana aku boleh membayarnya? Aku periksa di mesin tiket. Juga tidak boleh. Akhirnya aku ke kaunter sahaja, dan bertanya bagaimana boleh aku bayar tiket. Penjaga kaunter berkata boleh bayar di sini! Habis, apa pula tujuan papan tanda itu ditayangkan?
Tak sangka ada juga perkara mengelirukan di sini. Ingatkan di Malaysia sahaja.
Selepas bayar 1,170 yen tunai, penjaga kaunter beri satu kertas semacam resit, yang mana aku akan lalu di pagar paling kanan yang tiada pintu automatik, dan menayangkan kertas itu pada penjaga pagar yang berdiri di tepinya. Selepas melepasinya, maka dengan rasminya tibalah aku di stesen Matsumoto. Aku terus mencari loker beg, dan aku temui yang berharga 500 yen. Aku keluarkan barang-barang tidak penting, masukkan ke dalam loker, kemudian masukkan duit syiling 500 yen ke dalam slot dan kunci boleh dipusingkan selepas itu, dan ditarik keluar. Aku simpan kunci loker dalam poket seluar dan dengan beg yang kini lebih ringan, aku bebas berjalan ke mana-mana. Ketika turun menggunakan eskalator aku perasan ada loker yang lebih murah bayarannya di tingkat bawah iaitu 400 yen! Namun aku mengabaikan saja, kerana aku pun mahu cepat tadi dan sudah tidak ingin merayau-rayau semata-mata mahu mencari loker.
Cuaca di luar cukup cerah dan panas, kerana Matsumoto ini lebih rendah dari Hakuba. Aku terus menelusuri susur gajah di hadapan stesen. Orang agak ramai, ada yang berpakaian kerja dan ada yang beruniform sekolah. Aku duduk sebentar demi mengelakkan silau matahari di satu tempat duduk di bawah susur gajah itu, dan meneliti Google Maps, mencari arah ke Kubu Matsumoto. Ia berjarak 1.2km dan akan memakan masa 17 minit jika ke sana dengan berjalan kaki. Aku pun ikut saja arah yang dicadangkan Google Maps. Orang ramai benar pagi ini, dan yang paling merengsakan aku ialah mereka yang menunggang basikal, iaitu kebanyakannya pelajar sekolah. Ini kerana ada kebarangkalian engkau akan dilanggar mereka jika tiba-tiba menukar arah. Jadi, pesanku kepada sesiapa jua yang mahu berjalan di sini, pastikan anda tidak membelok tiba-tiba sewaktu berjalan kaki, dan kalau mahu membelok, lihat dahulu ke belakang.
Aku berhenti sebentar di satu tempat di mana mereka membina tembok batu rendah yang boleh diduduki, dan di dalam tembok itu ada bunga-bunga ditanam. Aku menanggalkan jaket dan menyangkutnya pada beg, dan hanya berbaju kolar bulat. Cuaca panas pagi ini.
Berdasarkan arah pada Google Maps, aku perlu membelok ke kanan di satu simpang empat. Aku terus menelusuri jalan, sebelah bahu kiri, sebelum terserempak dengan sebuah taman di seberang jalan dengan parit yang besar dan pokok-pokok. Mengikut Google Maps, inilah Kubu Matsumoto. Ada peta dipasang pada pintu masuknya. Aku pun seberang jalan dan masuk ke taman itu.
Kubu Matsumoto itu dikelilingi parit yang digenangi air. Di tepinya ada pelancong bergambar dan menunggang basikal. Aku pun ambil beberapa gambar. Kalau dicari di Google pun ada saja gambarnya. Binaan kubu tersebut berwarna putih dan bumbungnya bumbung tradisional, senibina Jepun. Di sekeliling hanya taman biasa.
Aku mencari tempat berteduh di satu kawasan di mana pokok-pokok yang tinggi ditanam dan ada meja beserta kerusi, dan menjamah sedikit makanan berupa telur dadar yang dibeli di kedai serbaneka. Aku dapati tempat-tempat yang terlindung dari matahari di sini, seperti di bawah pokok ini, sejuk seperti dipasang penghawa dingin, namun bila aku keluar sahaja dan mendedahkan diri pada matahari, panasnya terasa.
Aku bertukar tempat duduk demi mendapatkan pemandangan jelas kubu itu. Dari situ, aku ternampak ada pelancong mengambil gambar di tingkat atas kubu dan merayau-rayau di balkoninya. Rupanya boleh dimasuki. Namun aku tidak berminat. Aku masih juga pergi ke pintu masuknya sekadar mahu mengetahui harga tiket. Dalam 500 yen. Aku fikir meski murah, namun aku sungguh tiada mood untuk masuk. Mungkin kalau aku datang dengan rakan ke sini, aku terpaksa masuk juga. Namun dengan mengembara berseorangan, aku tidak perlulah mengikut suara majoriti. Aku lebih berminat dengan alam semulajadi, seperti di Hakuba, berbanding binaan manusia.
Aku pun keluar dari taman kubu itu melalui pintu lain, di mana aku merentas jambatan yang merentangi parit di luar. Di sini ada dua parit rupanya, satu di dalam yang mengelilingi Kubu Matsumoto itu, dan satu lagi parit di luar yang mengelilingi perimeter seluruh taman. Aku menyusur jalan yang panjang dan lurus, dan kerapkali perlu berhenti melintas lintasan zebra yang merentangi simpang ke kanan. Kadangkala ada juga lintasan zebra yang tiada lampu trafik dan aku hanya perlu melihat kiri dan kanan sebelum melintas macam di Malaysia.
Aku pun tak tahu ke mana hala tuju aku yang seterusnya, cuma nun jauh di hujung jalan aku ternampak bukit-bukau yang agak tinggi dan berhutan yang amat menarik perhatianku. Aku periksa Google Maps dan mendapat tahu ia kawasan perkhemahan di puncaknya dan ada tasik, iaitu Tasik Misuzu. Selidik lanjut, ia merupakan tasik empangan. Aku pun tak pasti bagaimana mereka orang Jepun membinanya di atas bukit yang agak tinggi itu yang ketinggiannya 1,000 meter dari aras laut (namun sebenarnya hanya 400 meter dari aras Matsumoto kerana Matsumoto sendiri sudah berada di aras lebih kurang 600 meter dari aras laut). Aku teruja mahu mendakinya. Lantas aku teruskan berjalan.
Dalam perjalanan, aku terasa agak haus, kerana belum meminum air sejak makan tadi. Maka aku singgah di satu 7-eleven dan membeli air manis berharga 170 yen, yang dibayar dengan Touch 'n Go. Aku singgah lagi di Daily Yamazaki yang hanya terletak tidak jauh di hadapan selepas 7-Eleven itu, dan membeli seketul mochi (kuih hijau yang liat seperti kuih koci, dan berinti kacang merah) berharga 168 yen. Aku pun tak tahulah kenapa aku gemar betul mochi yang rasa macam teh hijau ini dan membelinya meskipun perut tidaklah lapar mana.
Aku rasa ada dalam tiga empat buah juga 7-Eleven di sepanjang jalan yang lurus dan panjang ini. Itu 7-Eleven sahaja, belum kira kedai serbaneka lain seperti Daily Yamazaki, Family Mart, Lawson, AEON MaxValue... sebab itulah aku amat suka akan Jepun. Mengembara di sini amat mudah. Tak perlu kau gelabah membawa makanan sendiri, kerana kedai serbaneka ada di mana-mana sahaja. Jika tidak ada sekalipun, pasti akan ada mesin jual air di situ.
Selepas jauh berjalan, aku lihat bukit-bukau berpokok itu semakin dekat, dan suasana bandar semakin kurang sibuk, jalan semakin kecil, kereta semakin kurang dan semakin banyak rumah-rumah. Aku lihat rumah-rumah di sini dibina dengan gabungan senibina model dan Jepun. Tengok gayanya, nampak macam rumah-rumah orang berada, dengan tembok mengelilingi setiapnya. Kebanyakan rumah dua tingkat, dan ada taman dengan kolamnya. Juga mereka ada anjung dengan senibina tradisional, lengkap dengan pelantar rendah daripada kayu dan pintu gelangsarnya.
Menurut Google Maps, aku perlu menyusur jalan raya yang agak curam. Aku gagahkan diri mendaki, meski sudah penat menyusur jalan yang jauh itu. Di sebelah kiri dan kananku masih rumah-rumah, yang mungkin disewakan sebagai rumah musim panas lengkap dengan taman mereka sendiri dan ruang mandinya. Ada air dari gunung di atas sana yang sungguh jernih mengalir dalam longkang di tepi jalan, sungguh jernih, dan langsung tiada sampah. Bunyi air yang mengalir itu memberikan ketenangan luar biasa, ditambah dengan kurangnya kereta di sini dan jauhnya ia dari jalan besar di bawah sana. Hanya ada dua tiga buah kereta yang lalu-lalang di sini dalam sela beberapa minit.
Sekian lama mendaki jalan yang sempit itu, aku tiba di sebuah kawasan perkuburan, di mana selepas kawasan kubur ini, hanyalah hutan pokok daun luruh dan tiada lagi rumah. Aku berasa seolah berada di pintu masuk hutan gelap yang penuh misteri. Ini kerana di belakangku ialah kawasan perumahan lereng yang cerah dek mentari, dan di depanku kegelapan dek kanopi hutan. Aku fikir inilah pintu masuk menuju ke kawasan perkhemahan dan Tasik Misuzu. Mengikut perkiraan Google Maps, masa pendakian sehingga ke kawasan perkhemahan ialah dua jam. Sekarang jam 11:30 pagi, maka aku akan dijangka sampai di sana pada jam 1:30 petang.
Aku mengambil nafas sebentar. Agak menyesal juga tidak membeli air minum di satu mesin air di kaki bukit ini tadi. Namun aku bercadang akan berhenti sekerat jalan sahaja jika tidak larat mendaki hingga ke puncak. Aku pun menyusur jalan raya bertar yang masih boleh dilalui kenderaan, yang agak curam. Ya, agak menakjubkan bagaimana Jepun sanggup membina jalan bertar yang boleh dilalui kenderaan mendaki bukit yang agak tinggi dan berhutan ini. Maka aku bolehlah katakan perjalananku ini sebuah pendakian juga, melihatkan kecuraman jalan itu. Di belah kiriku ialah tanah beralun yang curam, yang dipenuhi pokok-pokok dengan batang yang lurus-lurus, dan banyak juga kulihat pokok-pokok dengan batangnya patah dan berbaring pada lereng, dan amat berisiko untuk ia bergolek turun dan menghentam apa sahaja di bawah termasuk kenderaan dan pengembara sepertiku. Aku pun tak pasti bagaimana pokok-pokok ini boleh patah, namun melihatkan kesan patahnya, aku fikir disebabkan panahan petir. Disebabkan itu aku fikir ada papan tanda di situ mengingatkan agar berhati-hati dengan pokok mati yang jatuh dari lereng dan kaki lereng di tepi jalan ini dipagar dengan pagar dawai yang tinggi.
Kanopi hutan yang menggelapkan menjadikan suhu di sini agak nyaman berbanding di bawah sana. Aku rasa seperti meredah hutan gelap yang misteri. Sungguh sunyi, sungguh nyaman, sungguh tenang dan terhindar dari bunyi kenderaan seperti di bandar Matsumoto di bawah sana. Aku rasa agak takut juga, kalau-kalau ada beruang di sini. Namun tidak pula aku temui papan tanda memberitahu ada beruang, seperti di Sapporo dulu. Aku sentiasa peka sepanjang perjalanan, kerana aku berseorangan dan aku tidak arif akan hutan di Jepun ini yang mungkin ada binatang berbisa dan buas. Aku ada kesan najis di tengah jalan, dan kerisauan menjalar di tengkuk. Namun aku cuba yakinkan diriku yang ia hanya najis kucing hutan atau monyet. Namun di sini aku tidak temui seekor monyet pun. Anehnya. Apapun aku cuba abaikan, barangkali ia bukan najis tetapi lumpur. Entahlah. Agak menakutkan juga. Mungkin roh-roh Jepun sedang memerhatikanku dari atas mana-mana pucuk pokok yang menaungiku ini.
Sepanjang perjalanan aku hanya mendaki. Ketika di awal perjalanan, pendakian agak landai sedikit. Ada satu dua kereta melintas di sebelahku sekali-sekala, maka kuranglah sedikit rasa gentarku. Mereka ini mungkin mahu berkhemah di kawasan perkhemahan yang aku tujui itu. Sekian lama berjalan atau mendaki, aku temui satu kolam, yang aku fikir menahan air yang turun dari gunung. Air dari kolam itulah rupanya punca air yang turun menuruni longkang di sebelah jalan yang aku lalui sekian lama ini.
Disebabkan jalan ini jalan pendakian, maka ia dibina bengkang-bengkok agar mengikut garis kontur dan tidak membebankan pemanduan dan kenderaan mereka. Oleh itu, jalan yang sepatutnya pendek (namun curam) dari titik A ke titik B sebagai contoh, akan mengambil jalan yang lebih panjang (namun lebih landai) dengan mengikut garis kontur. Dalam banyak keadaan ketika mendaki itu, aku geram sahaja mahu merentas jalan curam itu demi memendekkan masa perjalananku, namun jalan curam itu biasanya akan merentas semak-samun dan tanah yang tidak sekata dan mencederakan kaki yang aku fikir lebih baiklah dielakkan. Mengikut jalan tar yang bersih dari semak-samun lebih selamat. Jenis jalan begini juga yang mengikut garis kontur dan bengkang-bengkok yang aku temui di Genting Highlands dan Cameron Highlands yang merupakan jalan boleh dilalui kenderaan yang mendaki tanah tinggi itu.
Angin kadang-kadang bertiup juga dan menghantar bunyi yang aneh dan menyeramkan. Aku bukan penakut hantu, aku lebih takutkan binatang buas jika ada di sini. Sudahlah aku berseorangan. Namun aku fikir perasaan takut di sini tidaklah segentar ketika mendaki menuju Tsugaike Kogen di Hakuba tempoh hari kerana kebarangkalian ada beruang itu lebih tinggi di Hakuba. Lagipun kereta yang melalui jalan di sini lebih banyak dari Hakuba sana. Aku juga agak risau dengan batang-batang pokok mati yang tersadai di lereng-lereng yang mungkin boleh bergolek ke bawah bila-bila masa sahaja dan menghentamku. Mungkin lebih tinggi kebarangkalian ia berlaku jika gempa menggerakkannya. Harap-harap ia tidak akan berlaku di sini. Gempa jarang berlaku di Jepun Tengah.
Sejam berlalu, aku merentas bahagian jalan yang kurang berhutan, namun bergaung di sebelah kanan, dan ada tembok penahan tanah pada lereng curam di sebelah kiri jalan. Aku mula rasa nak terkencing. Ini semua salah kopi yang diminum pagi tadi. Aku cuba cari tempat yang sesuai. Jumpa, ia di lereng. Nun jauh di bawah lereng itu lembah yang menempatkan bandar Matsumoto, dengan bangunan dan rumah kecil-kecil belaka, jelas tanpa dihalang pokok-pokok yang hanya tumbuh di bawah lereng gaung. Aku pun kencing menghala ke bawah gaung, selepas benar-benar pasti tiada kereta yang melalui jalan di sebelahku. Biarlah terdedah kepada bandar itu sekalipun, mereka tidak nampak pun aku. Lainlah jika mereka gigih meneropong ke sini. Aku tidak mahu kencing pada tembok itu kerana takut percikannya terkena pada seluar yang aku mahu bawa bersolat itu. Dengan kencing ke dalam gaung, ia akan terus menghilang tanpa mengenai seluar.
Aku siap membetulkan seluar benar-benar sebelum sebuah kereta melalui jalan itu! Mujur. Aku geram sambil genggam penumbuk. Mereka amat jarang lalu-lalang, namun mengapa ketika aku baru sahaja selesai menunaikan hajat mereka teringin benar lalu?!
Perjalanan diteruskan, dan aku kembali memasuki kawasan hutan. Disebabkan aku semakin tinggi dari aras laut, pokok-pokok di hutan ini kini berubah kepada pokok konifer. Jalan raya masih berbentuk zig-zag dan sedikit curam. Namun disebabkan cuaca yang nyaman akibat terlindung dari sinar mentari, ditambah angin yang kerap bertiup, mengurangkan penat. Mujur juga aku telah kurangkan beban dalam beg yang aku sandang.
Setiap kali ada kereta lalu-lalang, rasa gentar aku sedikit hilang kerana sekurang-kurangnya ada orang lain di dalam hutan ini jika berlaku apa-apa yang tidak diingini. Aku amat risau akan kehadiran binatang buas seperti beruang, namun setakat ini aku tidak menemuinya, syukurlah. Aku ada terjumpa najis di tengah-tengah jalan, agak besar juga saiznya, dan aku amat risau sekiranya ia najis beruang.
Perjalanan dari tempat aku kencing itu semakin curam dan gelap dengan pokok-pokok konifer kini mendominasi. Dalam lebih kurang 20 minit berjalan, aku akhirnya tiba di puncak. Jalan raya di sini ada penghadang sepertimana tepi lebuh raya di Malaysia. Di luar penghadang itu ialah gaung yang amat dalam dan juga jalan yang aku tempuhi sebelumnya. Pabila melihat jalan itu dari ketinggian sekarang, aku terasa puas hati, seolah sebuah pencapaian tercipta. Masih ada sebuah kereta lalu di sebelah aku tatkala aku rehat-rehat di tepi penghadang itu. Jika di sebelah kiri aku penghadang dan gaung, di sebelah kananku pula ialah bukit tanpa pokok, dengan cahaya matahari yang cerah menyuluh, mengurangkan gelap yang aku tempuhi sepanjang dua puluh minit lepas. Aku fikir kawasan perkhemahan karavan itu terletak sudah tidak jauh dari sini, barangkali di atas bukit di sebelahku ini, kerana jika dilihat dari tempatku sekarang, ia tampak seolah kawasan lapang yang luas, sesuai untuk tujuan parkir karavan.
Usai berjalan lagi dua puluh minit dengan dahaga yang sungguh menyeksa (aku sudah habis bekalan air minum), aku tiba di sebuah kawasan yang ada beberapa buah bangunan kayu, seperti hospital desa atau kompleks balairaya di kampungku. Atau kompleks resort atau chalet. Ada pokok rendang ditanam di mana-mana, ada laluan masuk kereta. Di belakang bangunan itu ada deretan karavan diparkir. Aku ternampak papan tanda bertulis Tapak Auto Campsite Tasik Misuzu. Benarlah ini tempatnya aku fikir.
Disebabkan aku haus, aku masuk ke dalam satu bangunan semacam kedai. Ada dua orang Jepun sedang minum sambil berborak di dalam dan memandangku. Aku tunduk dan dia pun tunduk. Aku mencari air minuman di dalam peti ais, namun tidak kedapatan air mineral. Di dalam kedai itu juga ada dijual barang-barangan makanan untuk perkhemahan seperti daging-daging dan makanan laut yang dipek. Aku fikir ia untuk sesiapa sahaja yang berkhemah di sini. Memang, kerana aku nampak ada banyak dapur arang di luar untuk barbeku.
Aku meninggalkan kedai itu tanpa membeli apa-apa. Aku teruskan perjalanan menuruni sebuah lereng, menuju ke Tasik Misuzu, dengan harapan dalam perjalanan itu sebuah cafe yang diberi nama Cafe Pirata (menurut Google Maps) ada dibuka dan aku dapat membeli air mineral. Pemandangan kiri dan kanan laluanku masih dipenuhi pokok-pokok konifer. Aku terserempak dengan tempat parkir basikal, tetapi kosong. Nampaknya kawasan ini tidaklah terlalu terpencil. Aku tiba di satu pinggir Tasik Misuzu selepas beberapa minit. Ada satu kotak kenderasaji yang tutup, bertulis Morito Soup. Aku ingatkan ia sebuah gerai pabila memeriksa dalam Google Maps sebelum perjalanan, rupanya hanya sebuah kontena kenderasaji. Di sebelah kenderasaji itu ada satu pondok terbuka. Aku pun duduk di situ dan makan telur dadar, telur rebus lembut dan onigiri yang dibeli di kedai serbaneka. Aku masih dahaga dan berharap akan bertemu dengan mana-mana mesin jual air di tasik ini. Sambil makan, aku sempat mengambil foto tasik yang agak cantik ini.
Usai makan, aku meneruskan perjalanan ke Cafe Pirata yang kian aku lupakan. Cafe ini terletak di satu hujung di sebuah simpang tiga. Jika aku masuk dan belok ke kanan simpang, cafe ini akan berada di belah kiri. Aku menghampiri pintu depan cafe yang diperbuat dari kayu balak itu. Gelap di dalamnya, tiada orang pun. Namun dalam Google Maps dinyatakan yang ia dibuka. Aku jenguk-jenguk menerusi tingkap lutsinar pada pintu dan mendapati ada banyak bangku-bangku kayu di dalamnya tersusun bertingkat-tingkat. Apakah cafe ini sudah pun ditutup dan diabaikan? Aku fikir begitulah. Lantas terpaksalah aku beredar. Sekali lagi aku hampa, hajat membeli air minuman belum tertunai.
Aku teruskan berjalan meski tekak sangat haus, menyusur tepi tasik. Jam sudah melepasi 1:00 tengahari. Di sini pokok-pokok sudah berkurangan, hanya jalan raya, tasik dan laluan pejalan kaki mendominasi. Pendek kata, kawasan di sini kelihatan sudah banyak diubah tangan-tangan manusia. Di belah kananku ialah Tasik Misuzu, yang menurut Google, ialah tasik empangan buatan manusia. Bayangkan, tasik ini dibina di atas sebuah bukit yang lebih kurang 1,000 meter dari aras laut (atau 400 meter dari aras tanah Matsumoto). Di belah kiri aku selepas cafe itu ialah sebuah tandas awam.
Sedikit di hadapan, aku nampak ada sebuah kompleks bangunan putih di bahagian kanan. Kemudian di sebelah bangunan putih itu, ada kawasan yang rendah seperti gaung buatan manusia dengan dinding konkrit, di bawahnya ada sekumpulan pemancing. Barulah kufaham yang kereta-kereta yang lalu-lalang di sebelahku selama ini adalah mereka yang mahu memancing, selain dari berkhemah. Tasik Misuzu sudah berada di bawahku kini, dan searas dengan para pemancing. Ada yang menerbangkan drone secara suka-suka di situ. Aku mahu ke bangunan putih demi mencari mesin jual air.
Di sebelah kiriku ketika aku hampir dengan mesin air, aku ternampak seperti lurah yang amat dalam dan hutan tebal hijau. Sungguh cantik. Namun hausku memaksa aku terus ke bangunan putih. Ya, mujur ada satu mesin air, akhirnya! Aku pun keluarkan 110 yen syiling dan membeli air mineral. Habis aku teguk sebotol. Usai membeli air, aku menyusur berpatah balik ke tepi gaung tempat pemancing itu. Jam sudah 1:30 tengahari. Jika perjalanan menuruni bukit ini dua jam, aku seharusnya sampai di kaki bukit jam 3:30 petang, dan setengah jam dari kaki bukit ke stesen Matsumoto, aku akan tiba di sana jam empat petang.
Selepas duduk rehat di satu laluan pejalan kaki berasphalt, aku pun sambung berjalan kaki untuk pulang jam 1:45. Aku dapat merasakan perjalanan turun lebih laju berbanding mendaki, kerana faktor graviti mungkin. Maka dalam satu jam dua puluh minit atau 3:05 petang, aku sudah tiba di kaki bukit. Di situ, aku mencari mesin jual air kerana kepingin benar minum air bergas. Aku temui satu, dan membeli tiga tin Mountain Dew pada harga 360 yen. Dua tin untuk disimpan dalam hotel kelak.
Cuaca redup petang ini, namun dengan penat yang tidak terkata, dan suhu yang lebih panas berbanding atas bukit tadi, aku berjalan perlahan-lahan. Aku sempat singgah di sebuah 7-Eleven dan membeli makanan berupa nasi dan ikan makerel panggang berharga 1,052 yen menggunakan TnG (aku beli banyak juga kerana aku fikir aku tak mahu keluar esok kerana kepenatan). Aku mahu saja naik bas di sini untuk terus ke stesen dengan lebih cepat, namun aku tidak tahu menggunakannya. Banyak arahan bertulis dalam bahasa Jepun yang mana aku belum benar-benar mahir membacanya.
Aku sampai di stesen Matsumoto hampir jam empat petang, terus ke loker dan keluarkan barang-barang, isi dan susun kembali ke dalam beg sandang. Beg sandang berat kembali. Duit syiling aku keluarkan siap-siap untuk beli tiket ke stesen Toyoshina, di mana aku akan bermalam di sebuah hotel berhampirannya bernama Route-Inn Court. Harga tiket dari Matsumoto ke Toyoshina ialah 240 yen. Aku harus sampai di Toyoshina sebelum jam 6 demi mengejar waktu Asar (dijamakkan dengan Zuhur). Selepas jam 6, senja akan tiba dan Maghrib akan datang beberapa minit kemudian.
Aku sampai di hotel jam empat lebih. Hotel tersebut terletak sangat hampir dengan stesen, cuma aku hanya perlu melintas landasan keretapi kerana ia terletak di belah yang satu lagi. Proses daftar masuk berjalan lancar. Penjaga kaunter menggunakan nota untuk berkomunikasi denganku dalam Bahasa Inggeris. Aku lihat tidak ramai tetamu di sini, namun aku ada ternampak sekumpulan tetamu yang berbual sesama sendiri, mereka ini aku fikir pekerja syarikat yang berkursus lalu bermalam di sini mungkin, melihatkan gaya mereka berpakaian dan tanda nama bergantungan.
16 Mei 2024 (Khamis)
Aku tidak keluar hari ini sebab terlalu letih berjalan kaki dan mendaki semalam. Awalnya aku bercadang mahu keluar dan berjalan-jalan di sekitar bendang di tepi hotel ini, dan terus masuk ke hutan di kaki gunung Hotaka yang dapat dilihat dari sini, namun aku terlalu penat. Lantas seharian aku habiskan dengan tidur sahaja.
Sarapan di hotel ini bermula jam 7 pagi. Aku agak terkejut kerana orang Jepun yang merupakan majoriti tetamu di sini, sudah awal-awal beratur di depan pintu restoran sebelum ia dibuka lagi. Sesuatu yang pada aku agak janggal, kerana di Malaysia, tetamu hotel tidaklah sehingga perlu beratur kerana mereka akan masuk makan lebih lewat dari waktu restoran dibuka biasanya, dan hotel-hotel di Malaysia banyak yang mengelat dengan menghidangkan sarapan lewat dari waktu yang dijadualkan.
Di sini makanan disediakan secara bufet sama seperti hotel-hotel di Malaysia. Aku ambil tray dan kayu penyepit dan sudu dan garfu, dan cedok ikan, keledek rebus, sayur rebus, ikan makerel, nasi dan sup miso. Mana-mana menu yang aku khuatir ada babi, aku akan tanyakan pada pelayan di situ. Makanan di situ aku cedok sedikit-sedikit sahaja, namun mengenyangkan. Selepas makan, aku hanya melepak dalam bilik.
17 Mei 2024 (Jumaat)
Aku keluar jam 8:30 pagi dan terus daftar keluar dengan memulangkan kad akses (tiada deposit dikenakan). Kebanyakan hotel di Jepun meminta penginap agar daftar keluar sebelum jam 10:00 pagi. Aku fikir ini agak kejam pada penginap. Sedang di tanah air sendiripun ramai yang melenting bila hotel-hotel mewajibkan penginap keluar sebelum jam 12:00 tengahari, lagikan pula jam 10:00 pagi yang terlalu awal.
Hari ini aku akan kembali ke Nagoya, dan berkelana di sana sehingga hari aku pulang lusa. Oleh itu, aku perlu ke Matsumoto dahulu, dan tukar tren ekspres ke Nagoya. Di stesen Toyoshina, aku pun beli tiket ke Matsumoto di mesin, berharga 240 yen. Tren tiba jam 8:49 pagi, dan aku sampai di Matsumoto jam 9:10 pagi. Hari agak cerah sama seperti semalam.
Keluar dari stesen Matsumoto, aku kena ambil tren sambungan ke Nagoya. Tren ini dinamakan 'limited express Shinano'. Aku cuba beli di mesin guna kad kredit demi menjimatkan wang tunai, dan hanya mesin yang bertanda logo-logo kad kredit sahaja yang boleh menggunakannya. Harga tiket 5,610 yen (lebih kurang RM168). Selepas membuat bayaran, keluarlah dua keping kertas; satu kertas besar dan satu kecil. Yang besar itu ialah resit, sementara yang kecil itu pula tiket. Aku kembali ke pagar tiket dan memasukkan kertas kecil itu ke dalam slot. Ia keluar kembali pada satu hujung dengan dilubangkan, dan aku kini kembali di dalam ruang legar stesen Matsumoto. Aku turun ke bawah menuju platform 1, iaitu platform yang dikhaskan untuk tren limited express Shinano.
Di platform, aku tiba-tiba rasa haus, mungkin kerana hari ini agak panas. Aku cuba beli air di mesin menggunakan AliPay-Touch N Go ewallet, namun ia tak dapat digunakan. AliPay di sini membolehkan aku menggunakan Touch N Go ewallet, namun ia tidak pula dapat dilakukan pada mesin ini. Lantas aku beli minuman di kedai New Days yang merupakan sebuah layan diri di tepi platform itu, membayar menggunakan kad kredit, setin Livita berharga 180 yen. Kedai itu sepenuhnya layan diri, dengan CCTV dipasang merata-rata.
Tren tiba jam 9:52 pagi. Disebabkan aku tidak menempah tempat duduk, maka aku perlu memilih tempat duduk di gerabak 5 dan 6 sahaja. Mujur aku pantas, maka dapatlah aku duduk di tepi tingkap. Perjalanan ke Nagoya akan memakan masa kira-kira dua jam dan tren akan berhenti di beberapa stesen utama sahaja di sepanjang perjalanan. Aku selamat tiba di Nagoya jam 12:01 tengahari.
Sampai di Nagoya, aku tercari-cari di mana stesen subway Nagoya. Orang amat ramai di dalam stesen Nagoya yang besar ini. Mungkin cuti umum? Aku tak pasti. Papan tanda ke stesen subway agak mengelirukan, sekejap ada dan sekejap tiada. Selepas beberapa kali menelaah Google Maps, akhirnya aku tiba di bahagian luar stesen, dan di situ ada papan tanda mengarah ke stesen bawah tanah atau subway Nagoya.
Tujuan aku ke stesen subway ialah menaiki tren bawah tanah ke satu kedai makan Uzbek. Aku dah muak jadi vegetarian selama hampir seminggu di sini, maka aku bercadang makan daging di kedai halal pula. Restoran Uzbek itu aku dapat infonya dari Google Maps pada hari semalam.
Aku terus ambil tren Nagoya Subway jalur Higashiyama dari stesen Nagoya dan berhenti di stesen Kamejima dengan tiket harga 240 yen. Keluar dari stesen Kamejima, aku perlu berjalan kaki kira-kira 600 meter dengan cuaca yang agak terik di Nagoya ini. Sampai di lorong yang dicadangkan Google Maps, aku lihat ramai benar orang Islam berkeliaran di sini, dari pelbagai negara, kebanyakan mereka memakai kopiah atau serban. Baru kutahu ada masjid kecil di sini, dan hari ini pula hari Jumaat. Masjid di Jepun ini biasanya sebesar surau sahaja dan agak tersorok, jadi kau kena pandai-pandailah cari. Aku tidak kisah sangat untuk tidak solat Jumaat kerana aku sedang bermusafir. Maka aku meneliti sekeliling, dan terpampanglah di depan mata sebuah pintu kecil dengan tulisan Arab sekali-sekala dan hiasan seolah dari Timur Tengah, dan ada menu di hadapannya. Itulah kedai Uzbek yang dimaksudkan, di celah-celah barisan kedai aras tanah.
Aku membuka pintu kedai kecil itu dan masuk dan mengambil tempat duduk. Seorang lelaki yang kelihatan seperti orang Timur Tengah (atau orang Asia tengah? Aku tak pasti) datang ke mejaku dan memberikan sekeping menu dan mengucapkan 'Apa Khabar?' Mungkin kerana dia dapat menerka yang aku ini Melayu. Aku pun jawab khabarnya. Aku yang sememangnya sudah lapar memesan satu set nasi plov sekali minuman, harga 1,500 yen semuanya. Disebabkan waktu makanku berselisih dengan waktu solat Jumaat, pelayan kedai meminta bantuanku agar menyerahkan sebungkus makanan pada seorang penghantar makanan yang akan tiba, kerana dia ingin keluar sekejap untuk solat Jumaat. Aku mengangguk. Begitu sekali mereka mempercayaiku meskipun aku baru sahaja tiba di sini sebagai pelanggan. Kalau ikutkan boleh saja aku lari selepas makan, namun aku tidaklah berfikiran untuk buat begitu. Tidak lama kemudian mereka tiba kembali ke kedai (ya mujur sekejap sahaja, kerana aku ingin membayar cepat. Mereka barangkali hanya menunggu solat dan tidak menyertai dari mula khutbah). Nasi plov mereka tidaklah terlalu sedap dan tidak pula hambar, hanya sedang-sedang sahaja. Bahkan nasi plov yang pernah aku makan di KL jauh lebih sedap dari itu. Tetapi sekurang-kurangnya aku lega sedikit sebab dapat makan makanan yang kurang hambar selepas beberapa hari di sini.
Lepas makan, aku kembali ke stesen Kamejima dan mengambil Nagoya Subway jalur Meijo berharga 240 yen dan berhenti di Meijokoen untuk ke Kubu Nagoya. Keluar dari Stesen Meijokoen, aku perlu melintas jalan untuk ke sebuah taman. Dari taman itu aku perlu berjalan kaki sedikit ke Kubu Nagoya.
Cuaca hari ini agak terik, tidak seperti di Hakuba, menyebabkan aku cepat letih. Aku duduk sekejap di taman itu, kerana aku pun baru lepas makan. Waktu daftar masuk ke hotel masih lagi jauh, sekarang baru jam 1 lebih tengahari. Aku keluar dari taman dan mengikut satu laluan tepi taman itu untuk ke Kubu Nagoya.
Di Jepun ada banyak kubu yang merupakan tinggalan zaman samurai. Di sinilah letaknya pejabat ketua samurai atau Daimyo yang pernah memerintah sesuatu kawasan. Aku mulanya ingin masuk kubu tersebut namun membatalkan hasrat kerana orang terlalu ramai pada hari itu (lagipun aku kurang berminat dengan struktur binaan manusia). Aku hanya melihat dari luar dan sekeliling kubu itu. Tidak seperti di Matsumoto tempoh hari, parit di sekitar Kubu Nagoya telah dikeringkan airnya dan dasarnya boleh dilihat rumput-rampai tumbuh menyemak dari dasar hingga ke sepanjang tebing parit. Ada pekerja sedang memotong rumput-rumput itu dan membuat bising dengan bunyi mesin pemotong rumput mereka.
Selesai pusing hampir keseluruhan Kubu Nagoya, aku tiba di sebuah jejantas tanpa bumbung yang agak berkarat. Aku lintas jejantas itu hingga sampai di satu sisi jalan lurus, selebar lebuhraya. Disebabkan sudah jam dua petang lebih, aku berniat untuk terus ke hotel sahaja. Panas sungguh Nagoya, aku fikir sudah melepasi tiga puluh darjah Celsius. Nama hotel yang ditujui itu ialah Hamilton Blue. Berpandukan Google Maps, aku akhirnya tiba di hotel tersebut jam 3:04 petang dan terus dibenarkan daftar masuk. Dalaman bilik hotel ini benar-benar seperti hotel yang aku inap tempoh hari di Toyoshina, namun di sini lebih baik kerana ada ketuhar gelombang mikro dibekalkan di dalam bilik, mudah untuk aku panaskan makanan. Disebabkan tiada makanan dijual di sini, aku keluar jam empat untuk membeli makanan di sebuah AEON MaxValue. Habis 1,130 yen untuk itu. Selepas itu aku tidak lagi keluar kerana terlalu penat.
18 Mei 2024 (Sabtu)
Hari ini hari terakhir aku boleh berjalan-jalan di sini, kerana esok penerbangan ke KL dijadualkan jam sepuluh pagi, dan aku perlu berada di lapangan terbang jam tujuh sekurang-kurangnya.
Di hotel ini ada disediakan sarapan bermula jam tujuh pagi. Sarapannya agak mengenyangkan dan juga dihidangkan secara bufet seperti hotel di Toyoshina tempoh hari. Cuma menunya agak biasa padaku. Di sini disediakan sup miso, ada onigiri yang biasanya boleh dibeli dari kedai serbaneka, kemudian ada sup segera jagung, kopi dan teh dan roti. Hotel di Toyoshina tempoh hari padaku lebih pelbagai dalam hidangan mereka.
Aku terus keluar dari hotel selepas sarapan, meredah pagi jam 7:30. Sebenarnya aku pun tak berapa pasti ke mana harus aku tujui pagi buta ini. Selepas meneliti Google Maps, aku bercadang ke sebuah restoran makanan Arab bernama Sedra, yang terletak berhampiran pelabuhan. Sebenarnya aku boleh saja ke sana menggunakan tren atau bas, namun aku memilih untuk berjalan kaki demi menikmati pemandangan di bandar ini dengan lebih dekat. Aku sasarkan akan sampai dalam masa tiga jam dari sekarang, iaitu 10:30 pagi dan restoran tersebut akan dibuka jam 11:00 pagi, maka selisihnya tidaklah terlalu jauh.
Aku pun terus jalan kaki ke barat daya Nagoya. Dalam perjalanan itu aku ada melintas sebuah jejambat yang agak besar di atas kepala yang aku fikir ialah landasan Shinkansen. Kemudian aku lintas persiaran sebuah apartmen berservis, dan sisi sebuah terusan, dan kemudian kawasan perumahan di bahagian sisi sebuah jalan raya besar. Aku mengikuti sisi sebuah jalan raya yang lurus dan agak cuak dengan kereta yang begitu dekat denganku. Bahagian kiri dan kanan jalan sudah mula dipenuhi dengan bangunan-bangunan kilang, gudang borong, dan hanya sedikit berselang-seli dengan kedai-kedai dan rumah-rumah dan sekolah. Aku fikir aku sudah mula memasuki kawasan pinggir bandar. Kenderaan yang banyak lalu-lalang di sisiku juga lori-lori dan trak putih mereka yang terkenal itu. Hari ini meskipun cerah, tidaklah terlalu terik dan anginnya yang sejuk kadang-kadang bertiup perlahan. Aku hanya memakai selapis kemeja sahaja hari ini.
Dalam perjalanan aku terdetik untuk masuk ke sebuah AEON Top Value, iaitu sebuah pasaraya yang agak besar seperti AEON Big di Malaysia. Aku agak terkesima melihat pilihan untuk satu-satu produk. Sebagai contoh, produk untuk kopi sahaja aku fikir ada ratusan di sini. Kalau di Malaysia, pilihannya tak adalah sebanyak di sini. Pilihan makanan yang boleh segera dimakan dengan dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro pun banyak, seperti ikan makerel yang selalu aku beli di 7-Eleven itu. Namun disebabkan aku masih kekenyangan sarapan tadi, aku hanya beli aiskrim matcha yang berharga 127 yen.
Aku habiskan aiskrim itu di luar. Cuaca sungguh cerah dengan angin dingin kadang-kadang bertiup. Jalan besar betul-betul di tepi AEON ini, menyebabkan suasana agak bising dengan bunyi kenderaan lalu-lalang.
Aku sambung berjalan mengikut arah Google Maps. Selepas lebih kurang sejam berjalan, aku fikir aku sudah jauh di pinggir bandar Nagoya, dengan rumah-rumah mula banyak kelihatan. Aku mula memasuki kawasan ala Malaysia di mana ada banyak kedai-kedai barangan rumah, bengkel kenderaan, dan rumah-rumah. Aku ada melalui satu taman perumahan dan berehat sebentar di satu bangku di taman rekreasi dalam taman perumahan itu. Disebabkan cuaca yang cerah, banyak orang melawati taman ini untuk beriadah mahupun sekadar menghirup udara segar.
Usai rehat, aku teruskan perjalanan dan menemui satu jalan besar. Aku lintas jalan besar ini dan mengikut satu laluan celah satu lagi taman perumahan. Hari yang panas membuatkan tekak terasa sungguh dahaga. Mujur aku terserempak dengan 7-Eleven di tepi jalan itu, lantas beli air Monster berharga 320 yen.
Aku perlu melalui sebuah lagi taman perumahan sebelum tiba di Sedra hampir pukul 11:00 pagi, iaitu waktu ia mula dibuka. Sebelum tiba di Sedra, aku terjumpa satu kawasan kedai-kedai makanan timur tengah yang dibuka dalam satu kawasan setempat. Aku agak teruja bagaimana masih ada komuniti timur tengah di sini. Gerai kebab pun ada.
Sampai di Sedra, aku memesan nasi arab Mandi kambing dan air jus mangga yang berharga 1,700 yen. Meskipun nasinya sedap, aku tidak berpuas hati dengan kambing yang merupakan sekeping lamb chop. Aku sebenarnya sudah menyedari awal-awal lagi dari gambar pada menu, namun aku pesan juga kerana sudah lama tidak makan daging. Namun masih rasa tidak puas hati itu ada juga, kerana harga yang mahal tidak sebanding dengan kuantiti lamb chop itu.
Selepas makan, aku keluar dan menyusur balik semua jalan yang kulalui sebelumnya, namun aku tidaklah berjalan sehingga kembali ke pusat bandar Nagoya kerana aku sudah kepenatan. Aku berhenti selepas 1.6km berjalan kaki (atau 23 minit) dari Sedra, di sebelah Stesen Arakogawakoen, untuk mengambil tren swasta jalur Aonami menuju Nagoya pada harga 270 yen. Tren ini beroperasi seperti LRT dan banyak relnya ialah rel atas kepala.
Aku sudah tidak larat lagi berjalan kaki. Nagoya sungguh panas berbanding Hakuba. Dalam perjalanan pulang ke hotel aku sempat singgah di 7-Eleven dan membeli nasi sepeket yang berharga 203 yen, yang boleh dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro dalam bilik hotel nanti.
Jika kalian membaca diari hari ini sehingga habis, kalian akan dapati apa yang aku alami di Nagoya dalam sehari ini agak sama dengan Malaysia. Cuaca panas, ada taman perumahan, kedai-kedai dan sebagainya, dan kurang gunung-ganang. Ya, di sini tiada apa yang menarik, kecuali bangunan-bangunan bersejarah seperti kubu dan Legoland. Legoland terletak hampir dengan restoran Sedra itu sebenarnya, malah amat mudah dijangkau dengan tren jalur Aonami. Namun aku tidak berkunjung ke sana, kerana sesungguhnya aku tidak berminat dengan sebarang tarikan pelancong dan kawasan yang ramai dikunjungi pelancong. Aku suka melancong dengan cara aku sendiri. Meski pembaca mungkin akan nampak diari hari ini agak membosankan dan hanya sama dengan kehidupan sehari-hari seperti di Malaysia, sebenarnya ada banyak yang aku lalui sepanjang perjalanan dari pusat bandar Nagoya hingga ke Sedra itu yang tidak aku tuliskan. Sebagai contoh, ada sahaja tempat yang banyak sampah seperti satu kawasan dalam salah sebuah taman perumahan yang aku lalui, dan juga ada kawasan kaki lima jalan raya yang dipenuhi sampah yang terletak berhampiran sebuah sekolah. Aku tidak sangka juga ada komuniti Timur Tengah di bandar raya ini yang hidup dalam kelompok mereka. Juga, Nagoya ada masjidnya yang dikunjungi masyarakat pemastautin Muslim di sini. Ada landskap dan pemandangan yang sukar dihuraikan dalam tulisan. Namun aku akan berusaha untuk sunting lagi diari-diari di sini kelak dengan meletakkan banyak gambar-gambar.
19 Mei 2024 (Ahad)
Hari ini hari terakhir aku di sini. Penerbangan ke Singapura dijadualkan pada jam 10:25 pagi dari Chubu Centrair.
Demi tiba awal di lapangan terbang, aku daftar keluar hotel pada jam 6 pagi tanpa sempat bersarapan, terus ke stesen Meitetsu Nagoya. Aku beli tiket ke lapangan terbang yang berharga 980 yen dan naik tren. Namun tidak lama selepas itu, aku tersedar tren yang aku naiki ini tren yang salah, di mana meskipun ia menuju ke lapangan terbang, ia lebih mahal dan berhenti pada bilangan stesen yang kurang dan lebih laju. Mujur tiada pemeriksa tiket di dalamnya, maka aku sempat keluar di stesen Kanayama dan menukar tren lain. Aku sampai di lapangan terbang jam 8 pagi.
Disebabkan aku tidak sempat bersarapan, aku terus ke Family Mart yang terletak di pintu masuk lapangan terbang dan beli kopi dan makanan berharga 598 yen. Selepas makan, aku terus ke pintu berlepas kerana sudah pun daftar masuk awal. Aku hanya duduk-duduk di pintu berlepas menanti waktu masuk kapal (boarding). Dalam kebosanan, aku berlegar-legar dan mendapati satu kawasan yang dipenuhi mesin-mesin jualan. Ada mesin menjual aiskrim. Aku tiba-tiba kemaruk dan akhirnya membeli aiskrim matcha berharga 180 yen dan air minuman bergas dari satu lagi mesin berharga 140 yen. Selain dari kemaruk, aku sebenarnya mahu menghabiskan duit syiling, kerana duit syiling tidak boleh ditukarkan kepada ringgit di mana-mana pengurup wang.
Jam 10 pagi, aku dibenarkan masuk kapal terbang. Jam 10:25 pagi, aku terus terbang ke Singapura dan selamat sampai pada jam 4 petang waktu Singapura. Aku tidak banyak masa lantas terus ke pintu berlepas E22 untuk penerbangan sambungan ke KL. Terbang ke KL jam 625 petang dan tiba jam 7:45 malam. Aku beli tiket KLIA Transit ke Putrajaya harga RM9.40 dan tiba di rumah hampir 10 malam.