Aku masih terkandas di Lapangan Terbang Chitose. Aku menghabiskan masa melayari internet dan termenung dan menerawang melihat-lihat manusia lalu-lalang sambil bersandar pada bangku. Aku letih psikologi. Sebenarnya aku bukanlah tiada wang, namun aku telah sumbatkan semuanya ke dalam ASB. Aku tidak mahu mengeluarkannya, itu sahaja. Jika keadaan terlalu menekan aku akan keluarkan juga, namun aku tak pasti sama ada aku akan berjaya mengeluarkannya secara atas talian, kerana meski pengeluaran atas talian dibenarkan, aku tidak pernah melakukannya, lagi-lagi dari luar negara. Satu lagi alternatif lain yang aku terfikirkan ialah aku boleh duduk di lapangan terbang ini sehingga Jumaat depan (24 November), kerana pada hari itu gaji akan masuk. Lagipun, aku sebenarnya belum puas berjalan-jalan di bandar Sapporo itu, bahkan aku masih belum berkesempatan melihat salji turun di sini.
Aku tepuk kepala. Tiket sudah dibeli! Mengapa aku tak terfikirkan
perancangan ini awal-awal?
Jika diikutkan, wang tiga ratus ringgit lebih digabungkan dengan wang tunai
yang aku ada, cukup untuk bermalam di hotel kapsul di bandar Sapporo, atau dorm
sekurang-kurangnya. Satu malam di hotel kapsul ialah dalam sekitar 3000yen.
Jika ditukarkan kepada ringgit, adalah dalam RM90. Katakanlah aku bermalam di
lapangan terbang ini dua malam, maka jika aku mula bermalam di hotel kapsul
atau dormitori selama empat malam sehingga Jumaat depan, aku habis dalam RM360.
Masih cukup untuk aku sambung berjalan-jalan di bandar Sapporo sementara
menanti hari gaji. Pada hari gaji itu nanti, aku akan membeli tiket pulang.
Lagi pula, aku sememangnya dibenarkan berada di negara ini sehingga sembilan
puluh hari dari tarikh aku dibenarkan masuk.
Aku menyoal diriku, buat apa pulang awal-awal? Namun yang silapnya
sekarang, aku sudah membeli tiket pulang dan ia tidak boleh dipulangkan
kembali.
Saat itu aku berasa agak menyesal kerana terburu-buru membeli tiket pulang.
Namun nasi sudah menjadi bubur. Aku belajar sesuatu dari sini, iaitu keperluan
untuk belajar bertenang ketika sedang dilanda masalah. Bila kita bertenang,
akan ada idea lain datang. Aku dapat idea baru itu pun selepas aku duduk-duduk
dan bertenang. Andai aku bertenang dan tidak gelabah membeli tiket baru tadi,
sudah pasti aku boleh tinggal di sini lebih lama. Lagi pula, wang dari ibu
berjumlah RM2600 itu dari cukup untuk membolehkan aku duduk di hotel yang lebih
baik dari hotel kapsul atau dormitori. Cuti aku pun sehingga Ahad depan, maka
tiada keperluan pun untuk pulang awal.
Tiga hari di sini sebenarnya tidak mencukupi. Dahulu ketika aku merancang
lawatan ini, aku mulanya bercadang memperuntukkan tujuh hari. Namun aku fikir,
tujuh hari akan membuatkan aku jelak. Ia pernah berlaku dahulu, ketika aku ke
Switzerland. Pada hari kelapan aku di sana, aku tidak melakukan apa-apa lagi
kerana naik jelak. Mungkin juga kerana pengembaraan aku di sana tidak dirancang
(aku main redah sahaja), maka mungkin juga disebabkan itu aku kehabisan
perancangan dan naik jelak. Berdasarkan pengalaman itu, aku pendekkan masa
lawatan di Sapporo ini kepada empat hari sahaja. Namun peristiwa terlepaskan
penerbangan ke Sapporo itu telah memendekkan masa lawatan di sini kepada tiga
hari sahaja.
Aku hanya bersandar di bangku sambil mendengar lagu dari telefon bimbit,
dan memerhati orang awam lalu-lalang. Tidak jauh di hadapanku ialah kedai
serbaneka Lawson dan ada surau di hadapannya. Aku solat jamak Zohor dan Asar di
sana. Selepas solat aku kembali duduk di bangku yang sama. Di belakangku ada
deretan ruang mengecas telefon, di mana engkau boleh duduk sambil menunggu
telefon dicas. Di depan kiriku ada kaunter menukar wang. Pada jam lima petang
aku keluarkan onigiri dan makan malam. Waktu itu hari sudah pun gelap. Aku
jamak Maghrib dan Isyak terus.
Pada jam lima dua puluh, aku mencari arah ke penerbangan domestik. Aku
tidak menemuinya, lantas aku naik ke tingkat pelepasan. Di situ ada kaunter
pertanyaan. Mujur penjaga kaunter bagus bahasa Inggerisnya, aku diberitahu
untuk penerbangan Peach Aviation, aku perlu ke bahagian penerbangan domestik
yang terletak di satu hujung bangunan. Maka aku bergegas ke sana sehingga menemui
satu lapangan yang luas dan ramai orang. Kaunter daftar masuk Peach terletak di
sayap kiri lapangan ini. Pabila aku masuk sahaja ke bahagian kiri, ada banyak
kaunter seperti terminal bas TBS pula. Rupanya kaunter Peach terletak di
bahagian paling hujung.
Melihatkan kaunter hanya dibuka jam enam dua puluh, aku pun turun ke bawah
dahulu. Di bahagian bawah rupanya ialah terminal ketibaan domestik. Ya, di
sinilah aku tiba tiga hari lepas, dari Osaka. Aku duduk di sini kerana di sini
tidak terlalu ramai orang. Aku keluar sebentar kerana kepanasan, entah berapa
suhu pemanas mereka tetapkan. Di luar cuaca sudah sejuk, hari sudah pun malam
meski masih pukul lima lebih. Aku nampak mesin air lantas membeli sebotol
minuman, kerana sejak aku makan malam tadi aku masih belum minum air. Selepas
beberapa lama melepak di situ, aku kembali ke atas. Jika engkau menempah tiket
Peach melalui aplikasinya, engkau boleh daftar masuk lebih awal dan ada lorong
khas untuk tujuan itu. Namun disebabkan aku menempah melalui Agoda dan ia
disekalikan dalam satu itinerari bersama Batik Air, maka aku perlu mendaftar
masuk di kaunter. Proses daftar masuk berjalan lancar. Lebih kurang pukul tujuh
lebih aku sudah dibenarkan masuk ke pesawat.
Penerbangan ke Narita hanya berlangsung selama sejam lebih sahaja. Disebabkan
penerbangan ini penerbangan domestik, maka ramailah orang Jepun yang
menaikinya. Sebaik tiba di Narita, aku perlu menaiki sebuah bas untuk ke pintu
ketibaan. Dalam pukul sepuluh lebih malam waktu tempatan, aku tiba di pintu
ketibaan tanpa perlu melalui kastam dan imigresen (kerana ia penerbangan
domestik, sama seperti penerbangan dari Osaka ke Sapporo tempoh hari). Dari
itinerari aku tahu tempat ketibaan ini ialah Terminal 1. Untuk mengambil
penerbangan Batik Air ke KLIA, aku perlu bertukar ke Terminal 2. Ini adalah
salah satu ciri penerbangan transit yang amat penting, di mana tempat ketibaan
transit dan tempat berlepas transit berbeza. Ini juga pertama kali aku bertransit
dengan cara ini, kerana aku tiada pilihan lain dan tiket ini adalah yang
termurah yang aku perolehi. Mujur aku tiada bagasi, kerana jika tidak, aku
perlu menuntutnya dahulu di tempat ambil bagasi dan padaku ini amatlah membuang
masa dan melecehkan. Aku pun tak faham kenapa pelancong lain gemar membawa
bagasi yang berat-berat seolah-olah mereka mahu membawa kehidupan dan rumah
mereka sekali ketika melancong. Ia padaku tidak praktikal dan aku agak meluat
dengan makhluk begini, yang juga melambatkan proses masuk pesawat. Jika
melancong, maka lumrahlah kehidupan dalam pelancongan itu tidak sama dengan
kehidupan sehari-hari, di mana engkau mungkin perlu memakai pakaian yang sama
selama lima hari, tidak mandi, dan sebagainya.
Sampai di tingkat empat iaitu tingkat berlepas, hampir semua kaunter daftar
masuk lengang. Aku melihat satu papan kenyataan yang dipenuhi logo-logo
syarikat penerbangan, tiada logo Batik Air. Sudah pastilah, kerana aku di
Terminal 1. Aku dapati tanda arah untuk ke hentian bas untuk ke Terminal 2 pada
peta yang disediakan. Maka aku pun bergerak ke sana. Aku tidak bergegas kerana
penerbangan Batik Air itu ialah pada jam lapan pagi esok.
Hentian bas itu dikatakan berada di tingkat LG. Aku pun turun beberapa
tangga bergerak sehingga ke LG. Di LG, aku dapat ia terminal keretapi. Di mana
hentian bas? Aku cuba tahan rasa gelabah. Aku tidak menyangka di Jepun pun
boleh menghadapi kesulitan begini. Ya, papan tanda yang membawa engkau ke
hentian bas untuk ke Terminal 2 kurang jelas di sini. Aku tadi ada meng-Google
dan mendapati aku perlu mengambil bas ulang-alik untuk ke sana, namun di mana
hentiannya?
Saat inilah aku perlu menggunakan logik. Bas biasanya tidak akan berhenti
di bawah tanah, maka aku pun keluarlah dari lapangan terbang itu dan
berjalan-jalan di kaki limanya, di sebelah kaki lima itu adalah jalan raya di
mana kereta lalu-lalang. Di sinilah baru dapat aku lihat logo bas, dan jadual
dan peta laluannya. Bahkan ada skrin menunjukkan lokasi semasa bas. Dari peta
dan jadual itulah baru aku tahu di sini adalah tempat menunggu bas untuk ke
Terminal 1. Aku menghembus nafas lega.
Bas pun sampai dan aku naik. Tak ramai di dalamnya, dalam empat orang
sahaja termasuk aku. Jarak ke Terminal 2 agak jauh juga, dan perjalanan memakan
masa hampir setengah jam. Bas itu berhenti di Terminal 3 dahulu sebelum tiba di
Terminal 2.
Aku pun sampai di Terminal 2. Suasana sungguh lengang di sini. Aku hanya
mahu mencari tempat tidur. Di mana aku boleh tidur? Maka aku merayau-rayau di
sepanjang ruang legar. Banyak kedai sudah ditutup. Seperti biasa, ada banyak
mesin-mesin jual barang, jual minuman, jual kopi, jual simkad. Selepas itu ada
suara-suara terakam yang dimainkan berulang-ulang kali, seperti suara meminta
engkau berhati-hati ketika menggunakan eskalator, suara iklan berulang-ulang
dengan skrin pada satu mesin air memaparkan Nakajo Ayami melaram sebagai kaum
bangsawan demi mempromosi minuman yang aku tak ingat apa. Aku boleh jamin
sesiapapun boleh gila jika tinggal di lapangan terbang di Jepun, satu kerana
tidak boleh tidur dek bunyi-bunyi ini, dan yang kedua, disebabkan bunyi-bunyi
ini berulang, engkau akan jelak dan rasa mahu memusnahkan punca bunyi itu namun
disebabkan mustahil ia dapat dilakukan (terutama bunyi di eskalator), maka
engkau memusnahkan objek lain seperti bangku contohnya, dan ditangkap polis di
sini.
Disebabkan aku hanya memakan onigiri dan jam sudah lewat sebelas malam, aku
mulai lapar kembali. Aku menahan diri dari membeli kopi kerana aku ingin tidur
dan juga demi mengurangkan rasa lapar. Aku tidak bertemu sebarang kedai makan
di sini, kecuali yang tidak halal sahaja. Mujur, aku menemui 7-Eleven di
tingkat bawah. Ia dibuka dua puluh empat jam. Aku hanya beli telur rebus.
Selepas makan, aku fikir aku mahu mencari hotel transit. Aku bertemu hotel Nine
Hours Narita, sebuah hotel kapsul. Di kaunter aku ditanya apakah aku ada
membuat tempahan. Aku jawab tiada. Maka penjaga kaunter memberitahuku yang
hotel sudah penuh. Aku beredar dalam hampa. Nampaknya terpaksalah aku tidur di
sini.
Aku tidak akan tidur di bangku meskipun ada ramai yang melakukannya. Padaku
bangku ialah tempat duduk. Aku membawa nama negaraku di sini, maka tidak
eloklah jika perangai begitu dibawa dan ditunjukkan kepada Jepun. Oleh itu, aku
hanya tidur secara duduk di bangku. Namun disebabkan ketidakselesaan, aku pun
mengambil keputusan berbaring di atas lantai di belakang barisan bangku. Hanya
di kawasan ini sahaja tidak terlalu ramai orang. Aku jadikan beg sandang
sebagai bantal. Masih ada sekali-sekala bunyi yang mengganggu, seperti bunyi
orang lalu-lalang, bunyi telefon, bunyi kereta vakum lantai, dan juga bunyi
iklan berulang-ulang pada mesin air berhampiran. Namun bila sudah mengantuk,
bunyi-bunyi itu mampu aku abaikan. Namun ada satu bunyi yang amat mengganggu
yang akhirnya membuatkan aku terjaga dan tidak dapat meneruskan tidur, iaitu
bunyi dari seorang lelaki yang sedang mengemas barang-barang di dalam begnya.
Aku lihat lelaki itu bukan lelaki tempatan, dia seolah dari negara Arab atau
India. Aku pun tak faham kenapa dia mengemas di sini. Sedari awal dia tiba di
sini pun (sebelum aku mula tidur) dia nampak tak tentu hala dan gelisah, jenis
tak duduk diam macam cacing kepanasan, sekejap duduk cara itu, sekejap duduk
cara ini, maka kriuk-kreklah bunyi bangku. Aku fikir, macam seseorang yang
sedang diaktifkan dadah. Sungguh merimaskan. Aku tidak tahu kawasan mana lagi
aku boleh tidur, kerana semua kawasan lain di sini sudah penuh. Bila lelaki itu
sudah reda sedikit, aku pun sambung tidur.
Aku hanya dapat tidur tiga jam sahaja. Masuk jam empat lebih, aku ke surau
untuk solat subuh. Barulah aku nampak ada ramai dari warga yang tak silap aku
dari sebarang negara Arab atau Pakistan atau Bangladesh, dalam dua ke tiga
orang begitu, sedang enak tidur di sini. Padaku, aku tidak akan tidur di surau.
Surau ialah tempat bersolat bukan untuk tidur. Ini kerana jika orang Islam
boleh tidur di surau, maka bagaimana dengan penumpang lain yang bukan Islam?
Bukankah tidak adil namanya begitu, hanya kerana engkau Islam dan dibolehkan
masuk surau, maka engkau memanfaatkan kebenaran itu untuk tidur di surau...
sungguh tidak elok dipandang. Budaya beginilah yang memburukkan pelancong dari
negara Islam di mata masyarakat Jepun. Aku nampak seorang polis yang masuk
memeriksa surau itu, dan mendapati mereka semua ini sedang tidur, hanya
menggeleng-geleng kepala. Hendak ditegur serba salah dia. Sungguh memalukan. Aku
tekad dalam diri aku tidak akan memalukan negara dan agama di sini.
Usai solat subuh, aku ada empat jam lagi sebelum berlepas. Tingkat berlepas
ialah tingkat tiga. Laluannya sudah pun dibuka. Aku pergi membeli kopi di mesin
kopi dahulu. Pada waktu itu baru aku perasan ada sekumpulan budak lelaki macam
Melayu. Aku memandang mereka, namun mengalih pandang ke lain. Rupa mereka
sungguh Melayu. Biasanya kalau aku bertemu orang yang aku syaki rakyat Malaysia
di luar negara, aku akan cuba untuk tidak menegur mereka. Bukan kerana aku
anti-sosial, tapi kerana aku sememangnya tak gemar berborak. Ia akan melarat,
percayalah. Mula berborak, lepas itu ke mana-mana pun sama-sama, dan itu sangat
merimaskan. Aku gemar berseorangan dan melayan dunia dalam kepala dan aku tidak
suka berdampingan, disebabkan itu aku gemar melancong seorang diri. Melancong
seorang diri juga menajamkan pemerhatian dan membolehkan aku merakam
pemerhatian. Kalau melancong dengan orang lain, aku selalunya akan terlepaskan
banyak pemerhatian.
Mendengarkan mereka berborak, dari intonasi percakapan mereka tahulah aku
mereka dari Malaysia. Intonasi Indonesia lain sedikit. Aku buat-buat tidak
nampak dan terus ke tingkat berlepas. Kaunter dibuka jam lima lima puluh pagi.
Bila beratur sahaja aku, barisan mulai jadi semakin panjang. Proses daftar
masuk berjalan lancar, dan aku fikir aku hanya mahu tidur. Bila aku amati
barisan itu, rupanya kumpulan budak Melayu tadi juga akan menaiki pesawat sama.
Aku harap aku tidak duduk berhampiran mereka.
Usai daftar masuk, aku duduk di bangku menanti pintu imigresen dan kastam
dibuka jam tujuh pagi. Untuk mengelakkan kopi dalam botol yang aku beli tadi
dirampas (walaupun aku fikir mereka tak akan rampas air engkau seperti di
China, namun aku fikir risiko dirampas masih ada dan aku tak mahu bazirkan
150yen yang aku laburkan untuk kopi ini), maka aku habiskan isinya. Beg diimbas
dan wajah dan pasport diimbas. Aku rasa aneh juga, kerana selalunya pasport aku
akan dicop.
Tibalah aku di bangunan pintu berlepas. Aku terus ke pintu berlepas. Di
sana aku duduk-duduk dan tidak berhajat membeli apa-apa lagi. Aku hanya mahu
pulang. Jika diikutkan, aku sepatutnya bermalam di Beijing dan pagi ini aku
sepatutnya masih tidur di hotel di Beijing atau mungkin, sedang berjalan-jalan
di sekitar Beijing melawat Kota Larangan, jika aku menepati rancangan asal.
Pada petangnya barulah aku akan mengambil pesawat Air China dari Beijing ke KL
dan melengkapkan itinerari. Namun apakan daya, kita hanya mampu merancang,
Tuhan yang menentukan. Hanya kerana terlepaskan satu penerbangan, habis semua
penerbangan lain dalam itinerari sama terbatal. Satu peraturan dan polisi
penerbangan yang akan aku ingat sampai bila-bila. Satu kesilapan yang mahal
harganya. Perancangan aku melawat China musnah dek kesilapan sendiri.
Orang Malaysia tidaklah terlalu ramai yang menaiki Batik Air ini. Mujur aku
tidak duduk berhampiran budak Melayu itu. Aku tidak pasti siapa yang duduk di
sebelahku, namun yang pastinya, dia seorang wanita India. Di sebelahku ialah
pintu kecemasan. Di sepanjang perjalanan, aku hanya tidur. Tiada makanan diberi
percuma, semua harus dibeli. Aku tidak selera makan, kerana aku terlalu
mengantuk. Perjalanan selama hampir lapan jam itu sungguh membosankan. Lumrah
penerbangan tambang murah beginilah, tiada paparan skrin, tiada aktiviti, tiada
makanan. Aku memainkan lagu pada telefon bimbit berulang kali. Kadangkala aku
buka tingkap sedikit untuk melihat awan, namun dek terlalu cerah cahaya
matahari aku tutup sepanjang masa, agar silaunya tidak mengganggu penumpang
lain. Aku tidur sehingga hilang segala kantuk yang tidak dilangsaikan sejak
semalam.
Selepas lapan jam penerbangan yang membosankan dan meletihkan itu, aku tiba
jua dengan selamat di KLIA pada jam lima petang lebih, 19 November 2023. Dengan
ini, aku tamatkan diari travelog aku di sini. Secara umumnya, pengembaraan aku
kali ini ada perasaan yang bercampur-baur. Ia sepatutnya perjalanan yang paling
murah, namun bertukar menjadi perjalanan paling mahal dan paling menyusahkan. Namun
pada masa yang sama, aku tak akan lupakan masa-masa di Jepun adalah yang paling
menggembirakan dan menenangkan. Aku mendapat gambaran sebenar betapa menyusahkan
lapangan terbang di Beijing, dan pengurusan dan stafnya. Namun tidak semua
begitu, aku tidak lupakan pegawai yang bersimpati dengan nasibku dan menawarkan
bantuan hotspot mereka. Mereka bersungguh dalam membantu, namun ada banyak yang
boleh diperbaiki, seperti pemahaman mereka tentang apa yang berlaku di sekeliling
mereka dan kemahiran bahasa Inggeris mereka. Boleh aku katakan, China ada
rakyat yang baik namun kerajaan yang kurang memuaskan, rakyat menjadi mangsa
paranoia kerajaan terhadap Amerika dan segala produknya terutama Google. Dari
kelana ini juga aku tahu betapa pentingnya penggunaan proksi untuk mengakses
Google dan semua produk Google ketika di China. Juga kelana ini mengubah
tanggapan aku terhadap kad kredit. Aku selalu ada tanggapan buruk terhadap kad
kredit, yang padaku akan menggalakkan orang berhutang dan menjerat penggunanya
dalam perangkap hutang. Namun sebenarnya kad kredit amat membantu di kala
engkau perlu berhutang namun tiada sesiapa yang sudi memberikan engkau hutang,
di kala engkau memerlukan wang tunai namun wang tunai dalam akaun engkau tidak
mencukupi. Aku fikir aku perlu membawa kad kredit ketika mengembara ke
mana-mana selepas ini. Namun pada masa yang sama, aku perlu belajar
mendisiplinkan diri agar tidak terjerat ke dalam perangkap hutang pula.