Di Kyozukayama, aku tidak mengambil foto dengan telefon, aku guna handycam. Namun bunga sakura di stesen Nihongi nampaknya lebih cantik.
2 Mei 2025
Aku bangun awal dan mengambil sarapan. Di sini, aku harus berhati-hati memilih sarapan demi memastikan menu halal sahaja yang diambil. Sarapan disediakan secara bufet. Aku cuba elakkan sosej, kari dan sayur tumis yang dicampur daging. Aku hanya ambil sup miso, nasi, telur cincang, ikan makerel bakar dan kopi.
Usai makan, aku berkemas, daftar keluar dan terus ke stesen Arai. Hari ini aku akan berlepas ke Nagano, iaitu bandar yang sempat aku lawati sebentar tempoh hari. Aku pun tiada perancangan untuk melawat apa di Nagano. Cuma malam semalam, selepas sedikit penyelidikan di internet, aku dapati Nagano ada bukit yang boleh didaki. Aku bercadang untuk ke bukit itu.
Untuk ke Nagano dari Arai, aku harus membeli tiket tren berharga 1,400 yen. Tiket ini merangkumi dua syarikat tren sekaligus, iaitu Echigo Tokimeki dan Shinano. Echigo Tokimeki mengendali tren dari Arai ke Myokokogen, manakala Shinano mengendali tren dari Myokokogen ke Nagano.
Sesampai di Nagano, aku terus keluarkan barang-barang yang tidak penting dari beg dan menyimpannya dalam loker berbayar. Beg aku kini lebih ringan dan lebih memudahkan pendakian nanti. Aku turun dari stesen tren Nagano dan bergerak ke hentian bas. Di sana, bas sudah menunggu. Bas ini melalui satu tokong Shinto terkenal di Nagano yang diberi nama Zenkoji. Kawasan tokong ini agak luas dan dikelilingi tembok kelabu.
Dalam dua puluh minit menaiki bas, aku tiba di kaki bukit. Bukit itu digelar Jizukiyama. Ada jalan bertar kecil yang perlu aku lalui untuk ke atas bukit. Ia membelah kawasan rumah-rumah yang agak cantik, sebelum aku tiba di satu simpang yang mana jalan raya yang lebih besar merentang di depanku.
Aku susuri jalan raya yang besar itu, dan semakin menghampiri puncak. Selepas mendaki lebih kurang dua puluh minit, aku temui satu tempat cerap. Dari sini aku dapat melihat seluruh bandar Nagano:
Pemandangan bandar Nagano dari atas lereng menuju puncak Jizukiyama
Aku teruskan lagi berjalan mengikuti jalan raya yang agak curam itu sehingga ke Jizukiyama Park. Hari semakin mendung. Setibanya aku di Jizukiyama Park, aku terjumpa amaran beruang:
'Awas beruang!' Begitulah maksudnya
Aku tidak jadi mendaki selepas melihat amaran tersebut. Mungkin jika aku mendaki beramai-ramai, aku akan teruskan pendakian.
Oleh itu aku hanya duduk-duduk di satu pondok di taman tersebut. Taman ini sebenarnya adalah pintu masuk denai pendakian untuk ke puncak bukit Jizuki. Meski tidak dapat meneruskan pendakian, aku masih berpuas hati kerana dapat berjalan sehingga ke taman ini dan mencerap pemandangan indah dari tempat setinggi ini, iaitu lebih dari 500 meter dari aras laut.
Selepas itu, hujan lebat pun turun. Aku tunggu sehingga hujan reda sedikit, barulah aku berjalan turun dan mengambil bas untuk kembali ke stesen Nagano. Setiba di Stesen Nagano, hujan lebat kembali. Aku ambil barangan dari loker dan terus ke hentian bas untuk mengambil bas lain ke hotel.
3 Mei 2025
Malam sebelumnya aku ada membuat penyelidikan berkenaan bukit-bukau di sekitar Nagano yang boleh didaki. Aku tertarik dengan satu bukit di tenggara Nagano. Bukit itu tidak diberi nama namun ketinggiannya agak mencabar, sekitar lebih 900 meter. Aku berharap bukit ini tiada beruang seperti Jizuki. Lantas aku guna Google Maps demi mencari laluan bas ke sana. Bukit tersebut terletak di Wakahowatauchi, salah satu kawasan pentadbiran di pinggir bandar Nagano.
Esoknya, dalam jam 8 pagi, aku keluar dari hotel dan berjalan kaki dalam setengah jam untuk ke stesen bas terdekat untuk ke kaki bukit itu. Aku sampai di kaki bukit dalam jam sembilan lebih, selepas berjalan kaki dari perhentian bas selama lebih kurang dua puluh minit. Namun, agak menghampakan pabila mendapati amaran beruang turut ditampal di pintu masuk bukit itu (gambar di bawah).
Amaran beruang di pintu gerbang.
Sekali lagi aku berfikir, andai aku tidak berseorangan, sudah pasti aku akan daki sahaja. Ini kerana beruang-beruang di Jepun tidaklah terlalu berbahaya dan cenderung melarikan diri bila ada manusia melalui kawasan mereka. Dan mereka amat pemalu dan juga gentar jika ada ramai orang melalui kawasan mereka. Namun aku memutus untuk tidak memasuki denai memikirkan aku berjalan berseorangan.
Aku memutus bersiar-siar sahaja sambil melihat pemandangan di sekeliling bukit tersebut. Aku sempat mengambil panoramanya.
Aku lihat ada banyak kawasan di sekitar kaki bukit ini yang dijadikan kawasan pertanian. Melihatkan pokok-pokoknya, aku fikir pokok limau atau epal.
Aku berjalan sehingga bertemu satu kawasan kuil yang ada banyak batu nesan di hadapannya. Aku duduk dan berehat sambil menikmati cuaca cerah dan udara sejuk berais. Tanganku terasa seolah diletakkan dalam peti sejuk beku pula.
Ada banyak batu nesan di hadapan tokong di kaki bukit itu
Tangga ke atas.
Selepas berehat, aku bercadang berjalan kaki sahaja dari situ ke hotel, dengan anggaran masa kira-kira dua jam. Mengapa aku memilih berjalan kaki? Kerana cuacanya yang tidak panas. Ini peluang bagiku. Aku juga ingin melihat pemandangan sekitar pinggir Nagano ini, kawasan perumahan dan pertanian mereka dan budaya seharian mereka.
Sampai di hotel dalam jam 2 petang lebih, aku tidak lagi keluar-keluar dek terlalu penat.
4 Mei 2025
Hari ini aku akan meninggalkan Nagano menuju ke destinasi seterusnya bernama Kofu. Aku ambil bas ke stesen Nagano, dan tiba di sana lebih kurang jam lapan pagi lebih.
Di stesen, aku tersalah beli tiket. Tiket yang aku beli adalah tiket ekspres terhad (limited express fare) ke Matsumoto tanpa tiket asas (base fare). Maka pagar tiket tidak membuka bila aku cucuk tiket ke dalam slot. Aku diminta oleh pegawai untuk beratur di kaunter dan membuat perubahan tiket. Lagi yang aku kesali ialah aku terbeli tiket ulang-alik. Mujur pegawai di kaunter sungguh membantu, wang aku dipulangkan dan tiket aku dibetulkan kepada satu hala sahaja. Pegawai itu juga membantu membeli tiket asas. Untuk pengetahuan, tiket tren di Jepun agak unik sedikit. Jika engkau menaiki tren biasa, tiket yang engkau perlu beli ialah tiket asas sahaja. Namun jika engkau menaiki tren ekspres yang lebih laju, ada satu lagi tiket tambahan yang perlu dibeli kerana engkau membeli kelajuan tambahan.
Aku terus ke platform dan mengambil tren ke Matsumoto. Dalam lima puluh minit, aku sampai di Matsumoto. Di sana aku beli tiket tren biasa ke Kofu. Perjalanan ke Kofu akan memakan masa kira-kira dua jam setengah. Ini kerana tiket tren biasa ini akan berhenti di semua stesen. Di sini, tren biasa mirip kepada LRT di Malaysia. Tren ekspres terhad pula mirip ETS di Malaysia, dan ia lebih laju dan senyap berbanding tren biasa dan berhenti di beberapa stesen sahaja, dan tambangnya pun lebih mahal.
Sampai di Kofu pada jam 12 tengahari lebih, aku terus cari loker berbayar untuk meletakkan beg. Daftar masuk hotel i
alah pada jam 3 petang, maka aku ada masa kira-kira dua jam lebih untuk dibunuh. Lebih baik aku gunakan masa untuk meneroka Kofu.
Kofu ialah bandar terbesar dan pusat pentadbiran wilayah Yamanashi. Ia pernah menjadi kubu seorang samurai terkenal bernama Takeda Shingen pada abad ke 16. Tinggalan kubu tersebut iaitu Kubu Takeda menjadi tumpuan pelancong dan juga tempat sesuai mencerap Gunung Fuji.
Aku beli makanan sedikit untuk makan tengahari, kemudian sambung berjalan tanpa hala tuju yang jelas, namun yang pastinya, aku hanya mahu meneroka bandar bersejarah ini yang pernah menjadi pusat pentadbiran Wilayah Kai. Mulanya aku sudah nampak arah ke Kubu Takeda, namun aku menyimpang ke arah lain dahulu. Sekian lama berjalan, aku menyedari aku sudah memasuki kawasan perumahan. Di sini pabila aku menerawang sekeliling, aku ternampak gunung Fuji. Ini pertama kali aku melihat gunung itu dengan mata dan kepala sendiri, maka aku agak teruja juga. Begini gambarnya:
Di tengah-tengah Kofu yang panas (lebih panas dari Nagano) ini, Gunung Fuji bersinar terang dan jelas dari celah-celah rumah.
Aku teruskan berjalan dan bertemu satu lebuhraya berterowong. Mulanya aku masuk sahaja terowong itu dan berjalan di sepanjang laluan basikal, namun berpatah balik kerana memikirkan ia terlalu panjang dan gelap (dan bising kerana begitu banyak kereta dan lori melaluinya).
Aku lewati sebuah jambatan kecil dan teruskan berjalan hingga bertemu kembali Kubu Takeda. Aku daki tangga ke atas kubu. Ramai juga pelancong hari ini, fikirku. Banyaknya pelancong tempatan sahaja. Biasalah, sekarang ini minggu emas, di mana mereka bercuti panjang. Di atas Kubu Takeda ini ada pelantar yang membolehkan aku mencerap sekeliling Kofu. Aku ambil gambar gunung Fuji lagi:
Nampak Gunung Fuji di tengah?
Kubu Takeda ialah kubu yang didirikan oleh seorang samurai yang pernah memerintah Wilayah Kai bernama Takeda Shingen. Dari atas kubu ini pemerintah dapat melihat keseluruhan kawasan pemerintahannya dan merancang strategi ketenteraan. Bilamana kerajaan Meiji bercadang membina landasan tren Chuo, sebahagian kubu ini dirobohkan. Ada seorang penduduk tempatan menggesa agar sebahagian kubu ini diselamatkan dari perobohan dan itulah yang tinggal sekarang, iaitu yang para pelawat panjat inilah.
Aku ada ambil video juga menggunakan handycam. Oleh sebab orang terlalu ramai, usai mengambil gambar, aku terus turun dan menuju ke pintu gerbang lain kubu ini. Dari situ, aku lihat jam sudah menunjukkan hampir jam 2 petang. Aku terus berjalan kaki ke stesen Kofu untuk mengambil beg dari loker berbayar, dan lanjut ke hotel untuk daftar masuk. Selepas itu aku tidak lagi keluar kerana terlalu letih (Kofu sungguh panas!)
5 Mei 2025
Hari ini aku akan mendaki satu gunung bernama Obina. Sebenarnya hati aku berbolak-balik akan pelan ini. Aku nekad akan berpatah balik sekiranya bertemu amaran beruang seperti di Nagano. Aku pun keluar dari hotel jam 5:30 pagi dan membawa barang yang perlu sahaja dalam beg sandang. Dalam dua puluh minit berjalan kaki aku sampai di Stesen Kofu. Di sana aku beli sedikit makanan dan kopi.
Aku tercari-cari di manakah stesen bas untuk ke Kami-Obina, iaitu pintu masuk ke Gunung Obina. Aku teringat ada satu kawasan yang banyak bas sewaktu meneroka Kofu semalam, dan kawasan itu terletak berhampiran Stesen Kofu. Aku pun ke sana dan mujurlah itu tempat basnya. Jika aku tidak berjalan-jalan semalam mungkin aku tidak akan bertemu kawasan hentian bas ini. Ini kerana hentian bas ini tidak jelas dalam Google Maps.
Selepas merayau-rayau di sekitar hentian bas itu barulah aku bertemu kawasan menunggu yang tepat untuk ke Kami-Obina. Mengikut jadual yang terpampang di kawasan menunggu, bas akan bertolak jam 6:50 pagi. Aku pun tunggulah sahaja. Hari cukup cerah hari ini, dan sedikit sejuk, mungkin kerana masih di awal pagi. Bas sampai seperti dijangka.
Bas ke Kami-Obina hanya beroperasi dua kali sehari, satu dari stesen ini, dan satu lagi kembali ke stesen ini (pada jam 1:26 petang). Aku mesti turun dari gunung dan tiba di Kami-Obina sebelum jam 1:26 petang, atau aku akan terlepas bas dan terpaksa menggunakan khidmat teksi yang mahal.
Di dalam bas tidak ramai penumpang. Pabila ramai penumpang turun di sepanjang perjalanan, hanya tinggal aku dan drebar sahaja ketika menghampiri Kami-Obina. Laluan ke Kami-Obina semuanya menaik dan bercerun, dan berpusing-pusing seperti laluan kereta ke Genting Highlands. Aku dapat merasakan perubahan altitud pabila telinga kurang mendengar. Menerusi tingkap bas, aku dapat melihat lereng yang curam dan dipenuhi hutan belantara. Ada kala jika tidak dihalang pokok, aku dapat melihat Gunung Fuji di kejauhan.
Aku sampai di Kami-Obina pada jam 7:26 pagi. Di situ aku mula menghidupkan GPS dan membuka aplikasi AllTrails dan juga Google Maps. Di dalam kedua-dua aplikasi ini ada denai pendakian yang boleh kujadikan pedoman. Aku melangkah dengan yakin mengikut jalan raya yang membelah kawasan perumahan dan pertanian di lereng-lereng bukit di sini. Kadangkala GPS tidak tepat dalam menentukan lokasiku menyebabkan aku berhenti lama di satu-satu tempat.
Dalam hampir jam lapan, aku mula rasa nak membuang air kecil. Aku tercari-cari di mana tandas. Jika diikutkan, mahu sahaja aku membuang air di mana-mana kawasan semak, namun aku selagi boleh tidak mahu melakukannya kerana di sini banyak perumahan. Aku terdengar bunyi memekik dari dalam sebuah rumah berdekatan. Yang pastinya pekikan seorang lelaki itu bukannya kepadaku, tetapi kepada seseorang di dalam rumah. Aku fikir rumah ini ada penghuni, lantas aku ketuk pintu. Seseorang membukanya dan aku meminta izin mahu menggunakan tandasnya. Mulanya dia agak keberatan, dan seolah tidak mempercayaiku, dan keluar dan cuba membawaku menggunakan tandas di mana-mana di luar.
Namun dia seolah mengubah fikiran tiba-tiba dan berundur kembali ke rumah dan bertanyakan kepada seseorang di dalam sekiranya dia sudah selesai menggunakan tandas. Kemudian dia keluar kembali dan membenarkanku menggunakannya. Selepas aku masuk dan ke tandas di tingkat atas, aku dengar pekikan sama. Rupanya lelaki ini sedang mengejutkan bapanya dari tidur untuk sarapan. Baru kufaham, dia mungkin menjaga orang tuanya di sini.
Selesai menggunakan tandas, aku mengucapkan terima kasih dan keluar meneruskan pendakian. Selepas rumah lelaki itu, jalan raya kini hanya membelah hutan-hutan pergunungan Jepun. Ada amaran rusa dan babi berkeliaran. Namun aku tidak perlu risau kerana kawasan hutan di tepiku berpagar. Kemudian, boleh dikatakan hampir keseluruhan kiri dan kananku bukit dan lereng berhutan sahaja. Sungguh cantik. Hutan Jepun boleh dikatakan kurang menyeramkan berbanding hutan Malaysia. Hutannya tidak terlalu semak di lantai, dan pokoknya tegak-tegak dan tidak berselirat dan seolah wujud sejenis sahaja (kalau hutan di Malaysia, pokoknya bercampur-baur, ada jenis palma, jenis pisang, jenis besar dan kecil dan lantai bersemak). Tiada amaran beruang kedapatan di sini.
Sekian lama berjalan, sekitar jam 7:46 pagi, aku tiba di sebuah kuil Shinto. Kuil ini sungguh sunyi dan seolah terbiar, dan pintunya ada tali tanda menghalang dimasuki. Gambar kuil tersebut:
Kuil yang sunyi di tengah-tengah hutan
Selepas itu aku teruskan mendaki jalan raya. Boleh dikatakan pendakianku hari ini agak mudah kerana hanya perlu mendaki jalan raya sahaja. Sepanjang pendakian aku tajamkan pemerhatian demi mengelak dari bertembung mana-mana binatang liar. Hutan yang cantik dan suhu yang tidak terlalu panas cukup menenangkan. Aku berasa teruja bercampur risau juga. Meski tiada amaran beruang, bertembung dengannya tidak pernah mustahil. Ini kerana kawasan ini bersempadan dengan kawasan pergunungan berhampiran yang pernah ada laporan bertembung dengan beruang.
Di lereng-lereng yang kurang dihalang pokok, aku dapat melihat dengan jelas Gunung Fuji.
Laluan jalan raya yang aku daki, membelah hutan belantara Jepun yang sungguh menakjubkan.
Gunung Fuji dapat dilihat dengan jelas dari lereng yang tidak berpokok
Dalam sekitar sejam lebih berjalan mendaki jalan raya sempit, aku tiba di satu simpang. Ada papan tanda menunjukkan arah ke Gunung Obina.
Harus belok ke kiri untuk ke gunung Obina.
Dari simpang tersebut, aku menyusur jalan raya selama 24 minit hingga sampai di satu sisi jalan raya yang menunjukkan laluan masuk ke Gunung Obina melalui hutan.
Laluan hutan di sebelah kiri bahu jalan
Aku duduk sebentar untuk makan sandwich yang telah dibeli di stesen Kofu tadi. Selepas makan, aku bersiap dengan tongkat mendaki, dan mendaki jalan hutan. Denainya boleh dikatakan tidak terlalu curam dan amat bersih. Berpandukan peta di AllTrails, aku tidak tersesat. Aku tiba di satu lagi jalan raya selepas keluar dari hutan. Aku lintas jalan raya itu dan masuk ke satu lagi laluan hutan.
Setelah dua puluh minit dari denai masuk hutan di bahu jalan tadi, aku bertemu papan tanda di bawah:
Ini bermakna puncak Obina sudah tidak jauh dari sini.
Baru dua minit berjalan dari papan tanda, aku dihidangkan dengan pemandangan Gunung Fuji lagi:
Sebenarnya ini bukanlah puncak sebenar Gunung Obina, ia hanyalah kawasan lapang untuk mencerap gunung Fuji sahaja. Berikut gambar-gambar di kawasan lapang ini:
Aku dapati puncak sebenar Obina digelar Oku-Obina (bermaksud 'Obina dalaman') terletak di tengah-tengah hutan. Aku teruskan perjalanan ke sana. Dalam jam 10:30 pagi aku tiba di puncak sebenar Obina.
Usai mengambil gambar kenangan, aku bergegas turun. Kalau boleh aku ingin menghabiskan masa lama sedikit di sini, namun demi mengejar bas, aku bergegas turun. Dalam sekitar jam 12:30 tengahari, aku tiba kembali di hentian bas Kami-Obina. Aku tunggu bas tiba jam 1:26 tengahari, sampai di hotel dalam jam 2 petang lebih dan aku tidak lagi keluar dari hotel selepas itu dek terlalu penat.
Aku fikir ini adalah the crown of the trip untuk kelana kali ini. Kegagalan mendaki Gunung Myoko tempoh hari sedikit terubat dengan pendakian Obina, meskipun altitud yang dicapai tidaklah setahap Myoko yang lebih dari 2km itu (Obina berketinggian dalam sekitar 1,440 meter sahaja dari aras laut). Namun aku berpuas hati, kerana telah banyak kali aku berbolak-balik untuk mendaki Obina. Namun dengan izin Tuhan aku berjaya melakukannya, dan ia gunung pertama di Jepun yang berjaya aku takluki meskipun ia tidak ada dalam senarai seratus gunung terkenal Jepun yang dicadangkan penulis dan pendaki bernama Kyuya Fukada itu. Dengan izin-Nya juga, aku terselamat dari bertembung dengan mana-mana binatang liar dan apa-apa aral melintang.
Aku tidak akan melupakan kenangan mendaki Gunung Obina, padaku ia kenangan yang cukup indah. InsyaAllah jika ada rezeki lagi, kelak aku datang lagi ke sini, akan menyewa motosikal dan naik ke denai pendakian, dan akan mendaki dari sana. Pemandangan di atas cukup memuaskan hati dan mendamaikan. Aku fikir aku telah datang pada musim yang sungguh tepat dan hari yang tepat. Mengapa aku katakan begitu? Ini kerana musim di awal Mei ialah penghujung musim bunga dan suhunya tidak terlalu sejuk atau panas, anginnya dingin dan kering dan mengeringkan peluh, membuatkan engkau berasa selesa berjalan dan tidak lesu (aku tidak habiskan air yang dibawa sebagai buktinya) dan rumputnya masih kering dan belum lagi hijau dan tidak semak, membolehkan aku berbaring atau duduk dengan tenang. Juga di musim ini, tidak banyak serangga seperti tebuan dan lalat berkeliaran. Mengapa aku katakan hari yang tepat? Kerana ia cerah dan tidak berawan, membolehkan aku mencerap Gunung Fuji dengan jelas.
6 Mei 2025
Aku daftar keluar agak lewat dari hotel dan terus ke stesen Kofu. Disebabkan hotel ini membenarkan aku keluar sebelum jam 12 tengahari (tidak seperti hotel lain yang meminta aku keluar sebelum jam 10 pagi), maka aku tidaklah terlalu bergegas, tambahan penat semalam masih belum bubar.
Di stesen Kofu, aku membeli tiket tren ke Fuji. Hari ini agak mendung dan dijangka hujan. Aku akan menggunakan tren biasa yang melalui jalur Minobu. Jalur Minobu akan merentas barisan gunung-ganang yang memenuhi kaki Gunung Fuji itu jika ia dilihat dari mana-mana di Kofu, termasuk dari Kubu Takeda dan Gunung Obina tempoh hari. Perjalanan akan memakan masa kira-kira 3 jam setengah.
Dalam lebih kurang jam 3:30 petang, aku tiba di Fuji. Cuaca hujan gerimis. Aku tidak perlu berjalan jauh kerana hotel yang kutempah terletak amat hampir dengan stesen Fuji. Aku hanya menghabiskan masa di hotel kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Malamnya, aku merancang pendakian gunung seterusnya. Agendaku di sini ialah mencerap Gunung Fuji dengan lebih jelas. Aku fikir pendakian kedua ini juga satu kenangan yang tidak akan dapat aku lupakan.
7 Mei 2025
Dalam jam enam pagi lebih, aku cuba-cuba membuka tingkap. Langit hari ini cerah seperti ramalan cuaca, tidak seperti semalam yang hanya mendung dan hujan. Aku agak terkejut dengan pemandangan di luar tingkap, Gunung Fuji sungguh jelas dan gah sekali dan dapat dilihat langsung dari tingkap hotel! Namun malangnya aku tidak mengambil gambar menggunakan telefon bimbit. Aku hanya merakam video dengan handycam sahaja. Maka tiada gambar aku muatnaik di sini. Gunung Fuji nampaknya sungguh berlainan jika dilihat pada jarak yang lebih dekat. Semalamnya ia langsung tak kelihatan dek cuaca mendung, namun hari ini ia tampak sungguh besar dan menggerunkan, dengan salji masih melitupi sebahagian besar permukaannya.
Selepas melakukan penyelidikan di internet semalamnya, ada satu puncak gunung yang menarik perhatianku, iaitu Gunung Kanamaru. Ketinggiannya hanyalah sekitar 530 meter dari aras laut. Aku bercadang mendaki gunung ini pada hari ini. Maka untuk tujuan itu, aku keluar dari hotel sekitar jam tujuh pagi untuk ke stesen Fuji. Dari stesen Fuji, aku harus menaiki tren ke stesen Fujikawa di mana stesen ini hanyalah selepas stesen Fuji dalam jalur Tokaido.
Sampai di stesen Fujikawa, aku keluar dan menghidupkan GPS dan aplikasi AllTrails. Di dalam AllTrails, aku harus mengikut garis putus-putus bermula dari kepala denai berhampiran sebuah kuil nanti. Dari stesen Fujikawa, aku berjalan kaki sehingga ke kuil, melewati kawasan perumahan dan sekolah. Dari atas satu jejantas, aku dapat melihat jelas Gunung Fuji.
Mujur hari ini cerah. Gunung Fuji jelas dari sebuah jejantas berhampiran stesen Fujikawa.
Aku sampai di kepala denai selepas lebih kurang dua puluh minit berjalan kaki. Laluan hutan bermula di tepi sebuah kuil Shinto. Laluan hutan ini agak curam namun bersih. Ada sebahagian laluan direntangi dahan pokok tumbang namun ia tidak terlalu mengganggu. Cuma aku dapati begitu banyak sarang labah-labah di sini, petanda tiada orang sebelumku yang melalui denai pendakian sebelum aku pada hari ini.
Aku begitu berani memasuki hutan ini kerana tiada amaran beruang. Namun kebarangkalian bertembung dengannya masih ada. Oleh itu, aku amat berhati-hati dan menggantungkan loceng beruang pada beg dan sentiasa membiarkan ia bergemerincing.
Antara pemandangan denai pendakian yang diambil. Papan tanda menunjukkan arah ke puncak Kanamaru.
Selepas lebih kurang sejam lebih merentas laluan hutan, aku bertemu satu laluan yang seolah dibuat oleh traktor. Pokok-pokok sudah ditebang. Apakah ini laluan baru? Aku tidak pasti. Laluan ini tidak ditunjukkan dalam Google Maps dan AllTrails. Namun jika melihat kepada arahnya, aku yakin jika aku belok ke kanan dan mengikut jalan baru ini, ia akan membawaku ke puncak Kanamaru. Maka dengan teragak-agak aku pun melaluinya.
Ya, aku fikir ia jalan baru. Ia mungkin jalan baru yang akan diturap untuk laluan kereta. Ia mungkin dibina demi merancakkan lagi pelancongan ke sini.
Aku bertemu dengan satu kawasan lapang berumput di hujung laluan. Ya, aku fikir inilah puncaknya. Yang istimewanya, ada pondok menjual pelbagai jenis makanan termasuk ramen, namun ia seolah ditutup. Yang berfungsi ialah satu mesin jual minuman. Ada pekerja sedang mengasingkan sampah, dan ada trak putih kecil sedang parkir di tepi. Aku teruskan mendaki satu laluan kecil bertar di tepi tanah lapang itu. Cuaca sungguh cerah dan aku dipanah mentari, kerana di sini sudah tiada lagi litupan pokok hutan. Di hujung laluan bertar adalah kawasan perkhemahan karavan. Aku naik lagi tinggi sehingga ke menara telekomunikasi, di mana di situlah titik tertinggi Kanamaru. Tiada kayu penanda atau stesen trigonometri di sini seperti Obina kerana keseluruhan puncak Kanamaru dipagar untuk tujuan menjaga keselamatan kawasan menara telekomunikasi itu.
Menara telekomunikasi di puncak Gunung Kanamaru.
Bukan setakat itu, aku turut disajikan dengan pemandangan Gunung Fuji yang lebih jelas berbanding sewaktu di puncak Obina tempoh hari. Berikut aku lampirkan gambar-gambarnya:
Selepas berehat agak lama di situ dan menikmati udara sejuk, aku pun berjalan kaki turun. Aku mengambil masa sejam lebih untuk kembali ke stesen Fujikawa, melalui pelbagai jenis laluan bertar dan dan jalan hutan. Aku tidak mengambil laluan yang sama ketika mendaki tadi, sebaliknya laluan yang lebih rata. Selepas pulang ke hotel dan tidur sebentar, aku keluar kembali pada jam tiga petang untuk melihat-lihat sekitar bandar Fuji. Selepas itu, aku hanya menghabiskan masa di hotel.
8 Mei 2025
Hari ini aku hanya menghabiskan masa di dalam tren menuju Nagoya. Tidak banyak perkara menarik yang boleh kuceritakan. Tiba di Nagoya, aku makan di sebuah restoran Uzbekistan yang pernah aku kunjungi setahun lepas. Namun, hidangannya sungguh tidak memuaskan hati. Dagingnya sedikit dan nasinya hambar. Aku singgah pula di sebuah restoran kebab Turki. Sedikit terubat kekecewaanku dengan kualiti kebabnya.
Nagoya seperti dijangka sungguh panas sekali. Selepas daftar masuk hotel, aku tidak keluar lagi dan hanya berehat.
9 Mei 2025
Aku daftar keluar awal sekitar jam lapan pagi. Hari ini aku hanya mahu menghabiskan masa berjalan kaki sejauh 20km dan melihat kawasan pinggir bandar Nagoya. Dahulu, dalam setahun lepas, aku sudah meneroka kawasan selatan Nagoya. Sekarang aku bercadang meneroka kawasan utara pula. Aku mengambil tren ke stesen Kozoji.
Dari stesen Kozoji sekitar jam 9:50 pagi, aku berjalan kaki selama empat jam sehingga ke kubu Nagoya di pusat bandar Nagoya. Mujur hari itu tidak panas. Cuaca hanya mendung dan diramalkan hujan di sebelah petang. Angin di sini agak sejuk bila cuaca mendung, dan disebabkan akan hujan, tiupannya agak kuat sekali-sekala.
Dalam berjalan kaki itu aku dapati Nagoya tidaklah sebersih mana seperti bandar-bandar lain. Begitu banyak sekali sampah yang disorok di bawah barisan pokok renek yang membarisi bahu kaki lima. Aku berbisik dalam hati ke mana perginya budaya pembersih Jepun? Dahulu aku teringat, sewaktu berjalan di selatan bandar ini pun, ada banyak kawasan yang dipenuhi sampah.
Sebenarnya aku bercadang mahu ke Ghibli Park. Namun disebabkan bayaran masuknya yang tidak masuk akal dan tidak berbaloi, aku batalkan sahaja perancangan itu. Aku pun bukanlah peminat tegar Ghibli, hanya satu dua sahaja animasinya yang pernah aku tonton seperti Spirited Away, dan Howl's Moving Castle. Aku menggantikan perancangan itu dengan perancangan berjalan kaki seperti sekarang.
Aku tiba di Meijokoen Station sekitar jam 1:50 petang. Hujan gerimis sudah pun turun. Aku cepat-cepat ke stesen metro bawah tanah untuk ke stesen Nagoya, dan mengambil bagasi dalam loker berbayar. Selepas itu aku ambil tren ke lapangan terbang kerana aku akan menginap di hotel di sana.
10 Mei 2025
Jam 10:25 pagi aku berlepas dari Nagoya ke Kuala Lumpur dengan transit di Hanoi. Aku selamat tiba pada jam 7:00 malam waktu Malaysia.